Tag Archives: batman

Warner Bros akan hasilkan 10 unit Tumbler dari trilogi Dark Knight, harga RM13 juta

Kepada peminat tegar Batman, khususnya trilogi Dark Knight yang dibintangi oleh Christian Bale, ini peluang anda untuk memiliki Tumbler anda sendiri!

Warner Bros. Discovery Global Consumer Products (WBDGCP) mengumumkan ia akan menghasilkan 10 unit replika Tumbler saiz sebenar yang boleh dibeli oleh orang ramai.

Apa yang lebih menarik, jentera itu ditawarkan dan boleh ditempah menerusi syarikat barangan mewah yang dikenali sebagai Wayne Enterprises Experience. Ya, ia sebuah syarikat sebenar yang dioperasikan oleh Relevance International dengan kerjasama WBDGCP.

Seperti yang dikatakan, Tumbler ini adalah replika saiz sebenar, bermakna ia boleh dipandu cuma anda tidak boleh membawanya ke pasar atau menghantar anak ke sekolah kerana secara teknikalnya, ia tidak sah untuk digunakan di jalan raya.

Ia mempunyai casis tiub yang diperbuat daripada keluli aeronautik, manakala setiap panel badan diperbuat daripada gabungan Kevlar, gentian karbon, gentian kaca dan kepingan logam.

Seperti yang anda boleh lihat, ia memang nampak seperti Tumbler yang sebenar, lengkap dengan turbin jet di belakang tetapi sudah tentulah ia palsu dan tidak boleh menghamburkan api seperti di dalam filem.

Tumbler akan menggunakan enjin LS3 6.2-liter V8 yang boleh menghasilkan 525 hp dan 659 Nm, bersama transmisi automatik 4L85E GM yang boleh dioperasikan menerusi paddle shifter.

Berat keseluruhan jentera ini adalah kira-kira 2.5 tan – memang berat tetapi masih lagi ringan jika dibandingkan dengan Cybertruck yang mempunyai berat sekitar tiga tan.

Untuk ruang dalaman, Warner Bros. berkata ia akan menampilkan dua tempat duduk, abah-abah lima poin dan beberapa skrin. Pelanggan juga boleh kustom mengikut citarasa masing-masing.

Berapa harganya? Seperti yang boleh dijangka, kenderaan yang unik seperti ini bukan murah dan anda perlu mempunyai tahap kekayaan yang hampir sama dengan Bruce Wayne kerana menurut Warner Bros., setiap unit dijual pada harga $2,990,000 (RM13 juta).

Batman kembali ke Caltex

CHEVRON Malaysia Limited hari ini mengumumkan bahawa Batman Collection telah kembali ke stesen-stesen mereka.

Menjadi kegemaran ramai peminat, Batman Collection ini kembali dengan koleksi sebuah Batwing dan tiga jenis Batmobiles yang ditampilkan dalam pelbagai filem Dark Knight itu.

Setiap figura boleh dibeli berasingan pada harga RM19.90 setiap satu. Tetapi sebelum itu, anda harus mendaftar dengan kad Caltex JOURNEY (percuma) dan isi minyak sekurang-kurangnya RM30.

Batman Collection ini telah dinantikan selama dua tahun oleh peminat. Sejak pengenalannya pada 2019, ia mendapat sambutan hangat dan semua stok habis dalam masa singkat.

Untuk mereka yang tinggal di Lembah Klang dan menggunakan aplikasi CaltexGO untuk mengisi minyak, boleh membeli figura Batman ini pada harga RM17 sahaja.

Selain itu, koleksi Batman ini juga oleh dibeli di Shopee pada harga RM19.90, tetapi hanya selepas membeli beberapa produk minyak terpilih melalui Caltex Official Store.

Untuk ahli kad JOURNEY pula, mereka boleh menebus satu figura dengan 1,800 mata ganjaran BPoints atau kombinasi 500 BPoints dan RM13.

Serentak dengan Batman Collection ini, terdapat juga Collector’s Kit dan StarCash bernilai RM100 untuk direbut melalui peraduan Caltex Snap, Tag & Win. Hanya ambil satu selfie dengan patung Batman di stesen Caltex, dan muat naik ke Instagram Caltex Malaysia dengan tulisan berikut:

“Saya suka Batman Collection kerana…” dan #CaltexMY #CaltexCubaTry #CaltexBatmanCollection , atau “I like the Batman Collection because ….” and #CaltexMY #CaltexCubaTry #CaltexBatmanCollection

Pemenang peraduan ini akan diumumkan pada 30 November dan 31 December 2021.