Tag Archives: beijing motor show

Beijing Motor Show 2024: Jaecoo tayang J8 PHEV, 605hp, 0-100 5.4 saat

JAECOO J8 telah dipertontonkan di Malaysia awal tahun ini, dan versi PHEV telah didedahkan di acara Auto China 2024 yang sedang berlangsung di Beijing.

Jaecoo J8 PHEV ini mendapat pakej powertrain 1.5-liter turbo petrol TGDi yang digabungkan dengan Dedicated Hybrid Transmission (DHT).

Bersama dengan dua motor elektrik (satu di depan, satu di belakang), SUV ini mempunyai output keseluruhan setinggi 605hp dan 915Nm tork, cukup untuk pecutan 0-100km/j dalam masa hanya 5.4 saat.

Menurut Jaecoo, SUV ini boleh dipandu dalam mod EV sehingga 175km, sementara jarak pemanduan sejauh 1,321km untuk setiap tangki dalam mod hybrid.

Tiada perincian mengenai spesifikasi bateri, tetapi menariknya, ia boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC, malah mempunyai fungsi V2L, sama seperti Omoda E5 dan J7 PHEV.

Untuk perbandingan, Jaecoo J8 PHEV ini boleh dikatakan mirip Mazda CX-8 dari segi saiznya. Ia berukuran 4,820mm panjang, 1,930mm lebar, 1,699mm tinggi, dan mempunyai jarak roda 2,820mm.

 

Jaecoo J8 yang dipertontonkan di Malaysia tempoh hari adalah versi lima tempat duduk, tetapi unit yang kami lihat di Auto China 2024 adalah dengan konfigurasi tiga baris, enam tempat duduk.

Ciri lain pada J8 PHEV ini termasuklah lampu LED, rim 20-inci, dua paparan 12.3-inci untuk panel instrumen dan infotainmen, penghawa dingin dwi-zon, dan paparan head-up display.

Jaecoo J8 versi petrol dijangka dilancarkan di Malaysia hujung tahun ini dengan harga anggaran sekitar RM200k. Kami jangkakan J8 PHEV bakal menyusul sekitar suku pertama 2025.

Beijing Motor Show 2024: Jaecoo J7 dipertonton dengan versi PHEV – 347PS, 525Nm!

JIKA anda mengikuti perkembangan industri automotif di Malaysia, anda akan ketahui bahawa Jaecoo J7 telah dipertonton, malah telah dibuka tempahannya. Ia dijangka ditawarkan pada harga antara RM150k hingga RM160k.

Terkini, sub-jenama di bawah Chery ini memperkenalkan pula versi PHEV (plug-in hybrid), ditayangkan di Auto China 2024 di Beijing. Ia nampak hampir serupa dengan versi petrol, tetapi sudah tentu mempunyai sedikit perbezaan spesifikasi.

Ia oleh enjin 1.5-liter turbo TGDi petrol yang dikatakan versi spesifik untuk hibrid. Enjin ini digandingkan dengan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dan motor elektrik di depan, memberikan J7 PHEV output keseluruhan sebanyak 347PS dan 525Nm tork.

Sebagai perbandingan, Jaecoo J7 biasa mempunyai enjin 1.6-liter TGDi dengan 197PS dan 290Nm tork.

J7 PHEV ini juga mampu dipandu dalam mod EV sehingga 88km. Penggunaan bahan api pula adalah serendah 4.9 liter/100km. Menurut Jaecoo, ini memberikan kemampuan J7 PHEV untuk dipandu sehingga 1,200km untuk setiap tangki.

Menariknya, J7 PHEV ini boleh dicas menggunakan DC. Walaupun tidak didedahkan berapa lama tempoh untuk pengecasan, ia pastinya boleh dibuat dalam tempoh masa yang singkat.

Satu ciri pada J7 PHEV ini ialah fungsi V2L, iaitu kemampuan mengecas perkakasan luaran. Fungsi ini juga terdapat pada Chery Omoda E5.

Dari segi rupa luaran, Jaecoo J7 PHEV boleh dibezakan dari rim 19-inci aero, flap penutup tempat pengecasan di sisi kanan, dan ketiadaan ekzos di belakang. Ciri standard juga adalah pemegang pintu retractable.

Belum dapat dipastikan sama ada Jaecoo J7 PHEV ini akan dilancarkan di Malaysia, tetapi kami rasa ia pastinya akan memberikan pilihan menarik untuk kita. Apa pendapat anda dengan spesifikasi J7 PHEV ini?

Beijing Motor Show 2024: Volkswagen ID.Code Concept yang boleh melihat anda

VOLKSWAGEN antara pengeluar yang menyertai acara Auto China 2024 di Beijing, dan model yang menjadi tarikan utama mereka sudah tentu ID.Code Concept.

Dari luar, ia kelihatan seperti SUV biasa, kabinnya pula sedikit radikal. Tipikal seperti sebuah kenderaan konsep dengan empat tempat duduk individual serta kokpit minimalis. Tetapi yang ingin kita bincangkan ialah teknologi padanya.

Ia menampilkan 3D Eyes yang ‘melihat’ anda mendekati kereta ini. Ciri ini sebahagian dari sistem pencahayaan interaktif yang dibawakan oleh Volkswagen untuk masa depan autonomi.

Jika anda lihat strip cahaya memanjang antara dua lampu depan, ianya dinamakan Light Cloud, yang terdiri dari 967 LED. Inilah yang membentuk ‘mata’ berbentuk-U yang membuatkan SUV ini seolah-olah sedang memandang.

Pencahayaan ini bekerja dengan Light Screen, iaitu bahagian ‘senyum’ di bawah Light Cloud. Volkwagen menggunakan cat jernih, yang mana bila Light Screen dipadamkan, nampak seperti bahagian normal.

Semasa dihidupkan, ia boleh menayangkan pelbagai maklumat dari laporan cuaca hinggalah grafik buah ceri di musim bunga. Jika ada kereta berhenti untuk memberi lalua anda membelok, ia akan menayangkan bentuk hati sebagai ucapan terima kasih.

Ada lagi ciri pelik, iaitu Smart Windows. Pada beberapa tempat di cermin, ia boleh menayangkan avatar berbentuk manusia yang boleh diajak berbual.

Kemudian, satu ciri rahsia dari Volkswagen ialah satu bentuk hubungan atau komunikasi kereta ini oleh teknologi AI. Komunikasi ini tidak terhad kepada pemiliknya sahaja.

Pelbagai kamera dan pengesan juga memberikan ID.Code fungsi Autonomous Level 4. Dengan itu, anda boleh memusingkan tempat duduk depan 180-darjah, jadi anda boleh berbual dengan penumpang belakang.

Rupa luaran ID.Code ini Volkswagen terangkan sebagai sleek dan seperti jet, memberikan kombinasi SUV praktikal dan kenderaan grand touring sporti.

ID.Code hanyalah sebuah konsep buat masa ini. Tidak dinyatakan jenis rangkaian kuasa, jarak pemanduan, atau sebarang elemen mekanikal.

Tiada juga dinyatakan pelan pengeluaran, walaupun Volkswagen berkata ID.Code memberikan klu tentang hala tuju mereka untuk masa depan di China.