Tag Archives: Bentayga

Barisan Bentley Mulliner dipamer – Continental GT, Flying Spur, Bentayga EWB, dari RM3.2 juta

SEJAK sekian lama, Mulliner telah menjadi sebahagian dari Bentley dalam menghasilkan barisan model yang ultra-bespoke dan kustom.

Mulliner menawarkan pilihan warna, bahan, dan ciri yang tiada batasan, memberikan pemilik Bentley lebih eksklusiviti untuk kenderaan kesayangan mereka.

Kali ini, Bentley Kuala Lumpur membawakan barisan Continental GT, Flying Spur, dan Bentayga EWB yang telah menerima sentuhan Mulliner. Kesemua model ini mengekalkan enjin, kotak gear dan sistem pacuan, tetapi memfokuskan kepada kemasan mewah yang khas untuk pemilik individu.

Bentley Continental GT Mulliner V8 – RM3,257,400

Continental GT Mulliner V8 diberikan warna serba hitam Black Velvet untuk warna badan, dan Portland serta Burnt Oak untuk lapisan secondary hide. Rim adalah Mulliner Wheels bersaiz 22-inci.

Papan pemuka pula mendapat Mulliner Bespoke Interior manakala panel veneer dikemaskan dengan warna Grand Black bersama Diamond Milled Console.

Continental GT Mulliner ini juga dilengkapi dengan Bentley Safeguard Plus, Night Vision, lampu kabin, bumbung kaca panoramik, penutup tangki minyak Jewel, sistem audio Naim, Bentley Rotating Display, stereng dengan pemanas, dan pedal sports.

Bentley Flying Spur Mulliner V8 – RM3,432,700

Untuk sedan Flying Spur, ia menerima kemasan serba hitam yang sama seperti Continental di bahagian luar, dengan warna Onyx disulami Portland dan Beluga. Rim 22-inci Mulliner Wheels juga sama, lengkap dengan lencana self-levelling.

Menambah ciri sporti pada Flying Spur ini ialah side sill, splitter depan, diffuser belakang, dan spoiler, kesemuanya gentian karbon high-gloss.

Bahagian kabin pula didatangkan dengan balutan kulit mewah yang diambil khas dari utara Eropah dan dipastikan tiada sebarang gigitan serangga bagi mengekalkan rupa premiumnya.

Bentley Bentayga EWB Mulliner V8 – RM3,321,200

Akhir sekali untuk Bentayga EWB, SUV mewah ini mendapat warna yang kontra dari dua model tadi, iaitu Glacier White yang dilapisi dengan Brunel dan Beluga. Rim adalah Mulliner Wheels bersaiz 22-inci berwarna hitam.

Komponen badan yang lain juga dikontrakan dengan warna hitam berkilat seperti pemegang pintu, ekzos, trim bampar, gril, bezel lampu, dan rel bumbung.

Bentayga EWB juga dilengkapi dengan Airline Seat yang mewah, mempunyai pelarasan berkuasa, dan dengan sistem pemanas. Menambah keselesaan ialah fungsi urut dan bantal.

Sementara itu, teknologi pada Bentayga EWB termasuklah sistem audio Bang & Olufsen, Night Vision, head-up display, pintu belakang power-close, dan lampu mood.

Sekiranya anda menempah mana-mana model Bentley Mulliner, ia akan mengambil masa purata enam hingga lapan bulan untuk disiapkan.

Galeri Continental GT Mulliner V8

Galeri Flying Spur Mulliner V8

Galeri Bentayga EWB Mulliner V8

Bentley Bentayga EWB Azure kini di Malaysia – harga dari RM1.09 juta

BENTLEY Kuala Lumpur telah melancarkan model SUV terbarunya iaitu Bentayga Extended Wheelbase (EWB) Azure ke pasaran tempatan. Secara asasnya, ia adalah versi tapak roda lebih panjang kepada Bentayga.

Oleh itu, Bentayga EWB Azure mempunyai ukuran tapak roda sepanjang 3,175 mm, iaitu 180 mm lebih panjang berbanding model standard. Ukuran panjang keseluruhan pula adalah 5,322 mm.

Unit yang dipertontonkan di bilik pameran Bentley Kuala Lumpur ini didatangkan dalam warna hitam Onyx dan rim 22 inci. Ruang dalaman pula dihiasi dengan upholsteri kulit dua tona Camel dan Beluga, serta trim kayu Koa.

Apa yang lebih menarik, ia dispesifikasikan dengan kerusi belakang Airlines Seat yang mempunyai pelarasan 22 cara, sistem pengesan suhu dan teknologi pelarasan postur badan automatik.

Sistem infotainment pula terdiri daripada skrin sentuh 10.9 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, dan sistem audio Naim dengan 20 pembesar suara.

Turut disertakan adalah Touring Specification yang merangkumi ciri-ciri bantuan pemandu termaju termasuk Adaptive Cruise Control, Lane Assist, Night Vision dan paparan Head-Up.

Bentayga EWB Azure dikuasakan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang mampu menghasilkan 550 PS pada 6,000 rpm dan 770 Nm dari 2,000 hingga 4,5000 rpm.

Dengan transmisi ZF automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda (AWD), ia hanya memerlukan 4.6 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j. Kelajuan maksimum adalah 290 km/j.

Untuk sistem suspensi, SUV seberat 3.2 tan ini menggunakan suspensi udara dengan Continuous Damping Control. Ia juga didatangkan dengan Bentley Dynamic Ride yang merupakan teknologi Active Anti-Roll Bar 48V pada bahagian depan dan belakang.

Di Malaysia, harga Bentayga EWB Azure bermula dari RM1,091,000 tidak termasuk cukai insurans dan pendaftaran.