Honda Malaysia mensasarkan untuk menjual 83,000 unit pada 2025 dengan pegangan pasaran sebanyak 10.6%.
Menurut syarikat itu, sasaran tahun ini, yang mengatasi jualan 81,600 unit yang direkodkan tahun lalu sebanyak 1,400 unit, dipacu oleh pelancaran tiga model baharu, termasuk Civic facelift pada Januari.
Honda Malaysia berkata dengan permintaan kukuh yang berterusan, ia yakin akan mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu pasaran kenderaan penumpang bukan nasional untuk tahun ke-12 berturut-turut.
Syarikat itu juga yakin bahawa teknologi enjin pembakaran dalaman dan e:HEV akan kekal relevan dalam pasaran, dengan manfaat daripada ketersediaan infrastruktur, keutamaan pengguna dan kemajuan teknologi.
Tahun lalu, model e:HEV mendapat maklum balas positif daripada pasaran, menyumbang hampir 30% daripada jumlah jualan kenderaan hibrid di Malaysia.
Selaras dengan hala tuju perniagaan bagi 2025, Pengarah Urusan dan Ketua Pengarah Urusan Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata syarikat itu akan melancarkan kenderaan elektrik bateri (BEV) pertamanya iaitu e:N1.
“Model ini menunjukkan ciri BEV termaju Honda, dan pada masa yang sama juga juga memperkenalkan teknologi EV awal syarikat kepada pasaran Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, pelancaran e:N1 akan membuka jalan kepada pelan Honda Malaysia untuk memperkenalkan tiga model BEV dalam tempoh tiga tahun menjelang 2027.
Selain memperkayakan penawaran produk, Honda Malaysia berkata ia akan menambah baik perkhidmatan jualan dan selepas jualannya. Syarikat itu kini mempunyai 104 pusat pengedaran di seluruh negara.
Volvo Car Malaysia mengakhiri tahun 2024 dengan rekod jualan sebanyak 1,953 unit kenderaan, 30 peratus daripadanya terdiri daripada model kenderaan elektrik bateri (BEV), dengan peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding tahun 2023.
Secara keseluruhan, model BEV dan plug-in hybrid (PHEV) membentuk 83 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan untuk tahun 2024, berbanding 71 peratus pada tahun terdahulu.
Pencapaian ini adalah seiring dengan hasrat jenama itu untuk menjual antara 90 hingga 100 peratus kenderaan berelektrik menjelang tahun 2030.
Kurang 20 peratus daripada jualan keseluruhan Volvo Car Malaysia terdiri daripada kenderaan hibrid ringan (MHEV), berbanding satu pertiga yang dicatatkan pada tahun 2023.
Di peringkat global, Volvo Cars merekodkan jumlah jualan 763,389 unit kenderaan, peningkatan sebanyak 8 peratus.
Terdapat peningkatan jumlah jualan bagi segmen kenderaan berelektrik, di mana sebanyak 175,194 unit BEV dan 177,593 model PHEV telah terjual, masing-masing mencatatkan peningkatan 54 peratus dan 16 peratus.
Secara keseluruhan, 46 peratus daripada jumlah jualan Volvo global terdiri daripada kenderaan berelektrik, manakala jumlah jualan BEV sahaja merangkumi 23 peratus berbanding 16 peratus pada tahun 2023.
Untuk tahun 2025, Volvo Car Malaysia sedang merancang untuk melancarkan sebuah lagi model BEV, iaitu Volvo EX90, sebuah SUV mewah tujuh tempat duduk.
KERAJAAN hari ini mengumumkan kadar fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan bagi kenderaan bermotor tanpa pelepasan atau zero emission vehicle (ZEV), juga dikenali sebagai EV.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, “Bagi memastikan struktur LKM dikemaskini seiring dengan perkembangan teknologi kenderaan dan memberi kepastian kepada pengguna, saya ingin mengumumkan kadar baharu fi LKM bagi ZEV yang akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2026 seperti di Lampiran A.”
Lampiran A
Secara ringkasnya, siaran media oleh Kementerian Pengangkutan menerangkan bahawa:
Kadar fi ditetapkan berdasarkan kepada “kuasa motor elektrik”.
Kadar fi akan meningkat selaras dengan kenaikan kuasa motor elektrik. Secara amnya, peningkatan kuasa motor elektrik akan mewakili peningkatan dalam harga belian, saiz, segmen dan berat kenderaan.
Peningkatan secara progresif mengikut setiap peningkatan kuasa motor elektrik akan mengelakkan peningkatan kadar fi LKM secara mendadak dari satu kumpulan kepada kumpulan seterusnya;
Bagi menggalakkan transisi kepada kenderaan tanpa pelepasan karbon, kadar fi bagi kebanyakan kenderaan ZEV adalah lebih rendah berbanding kadar fi LKM bagi kenderaan internal combustion engine (ICE) dalam lingkungan jenis badan kenderaan yang sama;
Kadar fi LKM baharu yang ditetapkan hanya terpakai kepada ZEVs dalam kategori Pure Battery Electric Vehicle (PBEV) dan Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV) sahaja; dan
Secara purata, kadar fi LKM baharu adalah 85 peratus lebih rendah berbanding kadar fi sedia ada.
Semua kadar fi yang ditetapkan di atas akan disemakkan sekurang-kurangnya setiap lima (5) tahun bagi memastikan keberkesanan dalam mencapai objektif peralihan kepada ZEVs serta impak kepada hasil kerajaan.
Perbandingan kadar fi LKM ZEVs sedia ada berbanding kadar fi baharu bagi beberapa model popular adalah seperti di Lampiran B.
Lampiran B
Menurut siaran media itu, tahap penggunapakaian kenderaan elektrik di Malaysia telah menunjukkan pertumbuhan yang sangat positif pada tahun 2023 susulan dasar kerajaan yang memberi pengecualian pelbagai duti, cukai dan fi yang berkenaan.
Walau bagaimanpun, secara kesuluruhannya trend pertumbuhan EV di Malaysia masih di peringkat awalan.
Penerangan ke atas prinsip penetapan kadar blok di atas adalah seperti berikut:-
Setiap blok ditetapkan pada julat kuasa motor 100,000 watt. Sebagai contoh, blok 1 adalah bagi ZEVs yang mempunyai kuasa motor elektrik dari 1 watt hingga 100,000 watt, blok 2 bagi ZEVs dengan kuasa motor elekrik antara 100,001 watt kepada 210,000 watt dan seterusnya;
Bagi setiap blok, akan ditetapkan had minima dan maksima kadar fi LKM. Sebagai contoh, kadar fi minima LKM bagi blok 1 adalah RM20 manakala kadar maksima pula adalah RM70. Bagi blok 3, kadar fi minima adalah RM305 dan kadar fi maksima adalah RM575;
Di dalam setiap blok, kadar kenaikan fi LKM akan ditetapkan secara progressif mengikut kenaikkan setiap blok 9,999 watt kuasa motor. Pada setiap kenaikan blok 9,999 watt, akan dikenakan tambahan bayaran kadar fi LKM mengikut kadar kenaikan yang ditetapkan di dalam blok tersebut.
Sebagai contoh, dalam blok 2, kadar fi LKM (min) pada kuasa motor elektrik 100,001 watt adalah RM80. Dengan kenaikan 9,999 watt, kuasa motor elektrik seterusnya adalah 110,000 watt. Kadar fi LKM bagi ZEVs kuasa motor 110,000 watt adalah ditetapkan seperti berikut:
Kadar fi LKM kuasa motor 100,001 watt: RM80;
Kadar kenaikan per blok 9,999 watt bagi blok 2: RM20;
PERODUA sedang menilai untuk pembinaan sebuah kilang baharu menjelang 2025 bagi menyokong pengeluaran Myvi generasi baharu, menurut laporan oleh Wapcar.
Pada masa ini, Perodua mempunyai dua kilang yang terletak di Rawang. Kilang pertama Perodua Manufacturing Sdn Bhd (PMSB) kini mengeluarkan Alza, Aruz, dan Myvi. Ia juga mengeluarkan Toyota Veloz secara kontrak.
Kilang kedua Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd (PGMSB) kini mengeluarkan Axia, Bezza, dan Ativa. Kilang ketiga dirujuk sebagai ‘kilang BEV’ (bagi kenderaan elektrik bateri).
Pada masa yang sama, Perodua juga mempunyai pilihan terbuka. Pelan alternatif ialah untuk bekerjasama dengan pengeluar lain secara kontrak.
Bercakap semasa pengenalan umum konsep Perodua EMO-1 minggu lepas, Presiden dan CEO-nya, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, “Saya tidak boleh mengganggu kilang sekarang. Ia berjalan pada kadar lebih 300,000 unit (setahun).”
“Seperti saya sebut tadi, kami sedang berusaha mengeluarkan kira-kira 340,000 hingga 350,000 unit. Itu sudahpun melebihi kapasiti normal kami.
“Jadi, saya tidak boleh ganggu kilang sekarang. EV (bateri) ini sesuatu yang kami harus mengambil kira untuk membina kilang baharu, atau mencari rakan kongsi, yang ada kemampuan di Malaysia untuk membolehkan kita membuat pemasangan,” tambahnya.
Perodua BEV generasi baharu dibangunkan secara bebas, tanpa bantuan teknikal dari Daihatsu.
Bermula dari sifar, projek ini dijalankan dengan kerjasama tiga universiti tempatan dan pakar konversi kenderaan elektrik dari Australia, iaitu EV North.
Projek yang diketuai oleh ketua jurutera, Puan Jehan Adnan ini menggunakan prototaip yang disokong oleh 60 vendor tempatan, sekaligus memastikan Malaysia mempunyai rangkaian bekalan bagi penghasilan EV dalam negara.
Prototaip ini diasaskan dari Myvi tetapi dilengkapi dengan pek bateri 55.7kWh yang memberikannya jarak pemanduan sehingga 350km.
Ia mempunyai satu motor elektrik di roda depan dengan output 161hp dan 220Nm tork.
Difahamkan model pertama EV Perodua dirancang untuk dilancarkan pada penghujung 2025 dengan harga tidak melebihi RM100,000.
Isuzu bakal memeriahkan acara pameran tahunan Bangkok International Motor Show yang ke-45 tahun ini dengan kehadiran model konsep berkuasa elektrik, iaitu D-Max BEV Concept.
Sama seperti model trak pikap satu tan berkuasa diesel, D-Max BEV ini juga telah dibangun untuk memenuhi keperluan yang lebih meluas dalam segmen kenderaan penumpang dan juga komersial.
Menurut Isuzu, D-Max BEV Concept ini menampilkan sistem pacuan empat roda sepenuh masa yang terdiri daripada dua e-Axle.
Sistem gandar elektronik itu dikatakan mampu menawarkan prestasi yang cemerlang di atas laluan kasar, pecutan linear tipikal sebuah EV, dan dalam masa yang sama mampu meminimumkan gegaran dan bunyi bising.
Menggerakkan trak pikap ini ialah gandingan dua motor elektrik berkuasa 174 hp dan 325 Nm, terdiri daripada motor elektrik 53.6 hp/108 Nm untuk gandar depan, diikuti motor elektrik 121 hp/217 Nm untuk gandar belakang.
Kedua-dua motor elektrik itu memperoleh kuasa daripada pek bateri lithium-ion66.9 kWh, dan dikatakan mampu mencapai kelajuan tertinggi ‘melebihi 130 km/j’.
Sama seperti trak D-Max diesel, D-Max BEV mempunyai keupayaan membawa muatan sekitar 1,000 kg, dan kapasiti menunda muatan maksimum seberat 3,500 kg.
Dari segi luaran, D-Max BEV Concept ini membawakan rekaan yang hampir sama dengan model facelift yang dilancarkan tahun lepas, namun dengan sedikit perbezaan seperti jeriji tertutup yang dikemaskan dengan aksen warna biru, serta bampar depan yang telah direka semula.
Menurut Isuzu, trak pikap D-Max BEV ini akan dilancarkan buat kali pertama di Eropah pada tahun 2025, diikuti pasaran Australia, Thailand dan beberapa pasaran utama dunia.
Sebaliknya, mereka yakin terdapat beberapa cara lain untuk itu. Jadi, Toyota membawakan Beyond Zero, satu inisiatif jenama itu ke arah Neutraliti Karbon menjelang 2050.
Acara itu, yang bermula pada 20 hingga 28 Februari dan diadakan di Taman Teknologi Malaysia, mempersembahkan inisiatif transformasi yang mempamerkan komitmen jenama itu terhadap amalan mampan dan mesra alam.
Acara Beyond Zero dilancarkan secara simbolik bagi mempamerkan pendekatan yang pelbagai dengan berbagai-bagai teknologi elektrifikasi, termasuk Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV), Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) dan Kenderaan Elektrik Sel Bahan Api (FCEV).
Antara model BEV yang dibawakan termasuklah bZ4X, Hilux BEV REVO-e, dan C+pod. Bagi FCEV pula, model-model yang terdapat di sini termasuklah Mirai, GranAce FCEV, dan Hilux FCEV.
Acara Beyond Zero dibuka kepada pelbagai tetamu untuk mempelajari tentang inisiatif kemampanan dan teknologi baharu, dan memandu uji kenderaan tertentu dari 20 hingga 28 Februari 2024.
Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang merasmikan acara itu memuji UMW Toyota (UMWT) atas komitmen yang ditunjukkan oleh syarikat itu terhadap amalan mampan dan pemuliharaan alam sekitar.
“Menyedari kepentingan untuk peralihan Malaysia kepada tenaga mampan, kita didorong oleh komitmen global dan potensi untuk kepelbagaian ekonomi dan keterjaminan tenaga,” katanya.
“Malaysia, yang diiktiraf sebagai negara terbaik di Asia Tenggara dalam Indeks Peralihan Tenaga 2023 oleh Forum Ekonomi Dunia, berada di atas landasan yang betul untuk menjadi pemimpin serantau dalam peralihan tenaga.
“Usaha inovatif Toyota dalam tenaga bersih, menerusi pendekatannya yang pelbagai, sememangnya selari dengan matlamat negara kita.”
Presiden UMWT, Datuk Ravindran K. Berkata: “Kami mengakui wujudnya pelbagai cabaran dan peluang di seluruh negara dalam usaha kami memperjuangkan pendekatan berbilang laluan (multi-pathway) dan melaksanakan tindakan kitar hayat yang sesuai agar selari dengan setiap kepentingan nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara.
“Menyedari keunikan landskap industri automotif Malaysia, serta kedudukannya sebagai hab pengeluaran elektrik dan elektronik utama di Asia Tenggara, adalah penting untuk kami meletakkan diri kami di kedudukan yang sewajarnya dalam perjalanan ini.”
PENGELUAR kereta terbesar dunia, Toyota, tidak mahu menyerah kalah dalam enjin pembakaran dalaman. Mereka ingin meneruskan komitmen itu dan ianya hasil dari hala tuju oleh pengerusinya yang juga ‘kaki kereta’, Akio Toyoda.
Beliau mahu melindungi jutaan pekerjaan di Jepun dan pada masa yang sama menawarkan pilihan kepada pembeli-pembeli kereta masa depan.
“Kepada mereka yang telah membuat enjin dari dulu hingga sekarang, mari terus hasilkan enjin,” kata Toyoda semasa acara Tokyo Auto Salon 2024 (TAS2024).
“Disebabkan kita pencinta kereta kitab oleh membentuk masa depan. Keinginan saya untuk menikmati kereta membuatkan saya mahu mencuba pelbagai teknologi. Ini satu perkara yang saya serius,” katanya.
Tambahnya, seramai lebih 5.5 juta pekerja terlibat dalam pembuatan enjin di Jepun. “Kita jangan kehilangan mereka ini,” kata Toyoda.
Beliau menggariskan pelan pelbagai hala Toyota dalam mobiliti masa depan.
“Bagaimana cara mencapai neutraliti karbon bergantung kepada negara dan rantau. Walaubagaimanapun, bukankah keinginan kereta yang kita perlukan?”
“Saya mendapati bahawa, di luar negara, kami mempunyai ramai rakan sekerja yang mempunyai minat dan keinginan sama.”
Menurutnya, kenderaan BEV (elektrik bateri) bukanlah satu-satunya cara mencapai neutraliti karbon, Toyota juga sedang menjalankan pembangunan hidrogen sejak tiga tahun lepas.
“Tahun lepas, kami mencuba hidrogen cecair dan memandunya di Le Mans. Masih terdapat tugas untuk enjin dalam mencapai neutraliti karbon. Jadi, mari perhalusi teknologi enjin. Mari mulakan projek itu.”
DI samping Urban SUV Concept, Toyota turut memperkenalkan Sport Crossover Concept buat pertama kali di Eropah semasa acara Kenshiki Toyota di Brussels, Belgium.
Apa yang menarik, kereta konsep ini telah pun membuat kemunculan di Auto Shanghai pada April lalu namun dengan nama bZ Sport Crossover Concept.
Bakal memasuki pasaran Eropah pada 2025, Sport Crossover Concept tampil sporty dengan bentuk fastback yang dilengkapkan lagi dengan bumbung yang rendah serta garisan-garisan yang tajam di seluruh badan.
Sudah tentu, seperti model-model Toyota yang terkini, model ini mempunyai rekaan lampu ala hammerhead shark pada bahagian hadapan. Bahagian belakang pula menampilkan bar lampu yang merentangi sepenuhnya tailgate dan dapra belakang.
Gambar ruang dalaman tidak didedahkan namun menurut Toyota, ia mempunyai “but yang besar” dan “ruang kaki belakang yang luas.”
Sport Crossover Concept juga dibangunkan untuk pasaran Eropah dan China oleh BYD Toyota EV Technology Co. Ltd. (BTET), sebuah usaha sama yang ditubuhkan di China oleh Toyota dan BYD. Adakah ini bermakna yang model EV itu akan menggunakan teknologi BYD seperti bateri Blade dan sebagainya?
Di Eropah, Toyota merancang untuk melancarkan enam kenderaan elektrik bateri (BEV) menjelang 2026. Ini bagi membantu Toyota Motor Europe mencapai sasarannya untuk menjual kenderaan emisi sifar sahaja menjelang 2025 dan neutraliti karbon menjelang 2040.
TOYOTA baru-baru ini telah mendedahkan kereta konsep baharu mereka yang memberi bayangan kepada SUV elektrik bateri (BEV) bersaiz kompak yang akan dilancarkan di Eropah pada 2024.
Dikenali sebagai Urban SUV Concept, kereta itu dikatakan akan bersaing dalam segmen B-SUV dengan ukuran panjang 4,300 mm, lebar 1,820 mm dan tinggi 1,620 mm.
Ini secara tidak langsung meletakkan Urban SUV Concept di antara Yaris Cross dan C-HR dari segi saiz. Menurut Toyota, ia akan menjadi model paling kompak dalam rangkaian BEV yang terdiri daripada enam model yang dirancang untuk pasaran Eropah menjelang 2026.
Seperti yang boleh dilihat, kereta konsep ini tampil dengan bahagian hadapan mirip ikan yu tukul seperti yang digunakan oleh model-model terkini Toyota termasuk Prius, bZ3 dan bZ4X.
Untuk bahagian sisi, terdapat kemasan hitam pada bahagian bawah badan yang kelihatan seragam dengan tiang A dan bumbung yang dicat dalam warna yang sama. Pemegang pintu belakang pula disorokkan untuk penampilan yang kemas.
Bahagian belakang pula tampil sporty dengan spoiler bumbung berkembar dan bar lampu nipis yang merintangi pintu tailgate.
Gambar ruang kabin belum didedahkan namun menurut Toyota, Urban SUV Concept mempunyai kabin yang fleksibel yang boleh disesuaikan untuk mengutamakan penumpang atau barangan.
Perincian mengenai trenkuasa juga tidak diumumkan namun pengeluar kenderaan dari Jepun itu berkata versi produksi akan ditawarkan dalam versi pacuan roda hadapan atau semua roda, dengan dua pilihan kapasiti bateri.
KAMI tahu kenderaan bateri elektrik (BEV) atau lebih dikenali sebagai EV kian mendapat perhatian dalam kalangan anda rakyat Malaysia dan peminat automotif khususnya.
Tetapi menurut komen dari tulisan-tulisan kami di Facebook, ada beberapa faktor yang menjadi penghalang rakyat Malaysia membeli EV buat masa ini; rangkaian pengecas dan harga. Izinkan penulis tolak ke tepi dahulu bab pengecas.
Soal harga, kebanyakan EV ‘sedap’ seperti Porsche Taycan dan Mercedes EQE berharga lebih dari setengah juta Ringgit, lebih mahal dari rumah-rumah kita. Harus difahamkan, semua teknologi pun begitu.
Mula-mula mahal, makin lama makin murah. Dan kita perlu berterima kasih kepada pembeli-pembeli awal kerana merekalah yang membantu menurunkan harga teknologi baharu ini. Anda masih ingat awal tahun 2000 dulu telefon bimbit dengan kamera berharga lebih RM1,000? Hari ini telefon RM500 pun sudah mempunyai kamera dan skrin dengan warna yang jelas.
Untuk EV, walaupun kebanyakannya masih berharga premium, tetap ada penawaran yang lebih mesra poket, bawah RM200,000. Amacam?
Kita lihatkan GWM Ora Good Cat. Varian yang kami uji ini merupakan Ora Good Cat 500 Ultra yang berharga RM169,800. Satu lagi varian ialah Good Cat 400 Pro, dengan harga RM139,800. Nama pada varian menunjukkan jarak maksima, iaitu 500km bagi Ultra.
Tak rasa macam RM170k!
Menarik mengenai Ora Good Cat ini ialah, walaupun boleh dikatakan sebagai EV permulaan atau mampu-milik, ia langsung tidak nampak murah.
Malahan jika anda telitikan perincian pada bampar depan, lampu utama, jahitan tempat duduk, kemasan papan pemukan, dan sentuhan tombol serta butang-butang di dalamnya, terasa seperti kereta yang berharga lebih RM200k. Jika Good Cat ini dari Mercedes atau BMW, senang-senang saja harganya RM250,000.
Paparan pada skrin melintang panjang bagi instrumen dan infotainmen juga cukup jelas dan beresolusi tinggi. Kereta-kereta jenama China hari ini sangat mementingkan aspek ini, mereka juga sukakan kamera. Jadi Ora Good Cat mendapat kamera 360-darjah yang sungguh jelas dan besar, walaupun kereta ini tidak begitu memerlukannya.
Pilihan warna luar dan dalam kereta ini juga menjadikannya antara model paling comel yang memasuki pasaran kita hari ini. Tidak cukup dengan rupa funky tetapi retro, warnanya jika tersilap pilih, nampak begitu feminin. Mujurlah penulis dapat warna Verdant Green ini, masih nampak maskulin.
Oh ya, memandu Ora Good Cat ini juga membuatkan anda mudah menjadi perhatian. Pandu di kawasan-kawasan kedai yang padat dengan orang, pasti ada yang menoleh lama pada kereta ini, kebanyakannya memandang pada logo di depan untuk mengenal pasti makhluk apa yang mereka sedang lihat.
Kanak-kanak pun suka dengan Good Cat ini. Semasa penulis memandu, kanak-kanak yang berjalan dengan ibunya di kaki lima menuding jarinya ke arah kereta ini sambil tersenyum, seperti mahu menunjukkan pada ibunya.
Go-kart elektrik
Jika ditanya bagaimana rasa pemanduan Ora Good Cat ini, dalam kata mudah ialah ibarat go-kart elektrik. Ini mungkin kedengaran cliché, MINI Cooper atau hot hatch biasanya dikatakan seperti go-kart.
Tetapi Ora Good Cat ini dengan motor yang responsif, terasa ringan, senyap, dan berat bateri di bawah casis menjadikannya seimbang, memang benar-benar seperti go-kart. Bezanya cuma Good Cat ini pacuan roda-depan.
Unit ini mempunyai bateri 63kWh dengan output 143hp dan 210Nm tork, lebih kurang seperti kereta 1.6-liter NA atau 1.5-liter turbo. Tetapi dengan sifat elektrik, anda tidak perlu tunggu rpm tertentu atau kotak gear pergi ke gear tertentu, tekan sahaja, sekelip mata anda ‘dilastik’ ke depan.
Ini menjadikan pemanduan Ora Good Cat cukup menyeronokkan walaupun ia tidak mempunyai bunyi dramatik seperti sebuah Golf GTi atau Civic Type-R. Ora Good Cat cukup bersahaja untuk memecut keluar simpang, malah sebaik lampu isyarat bertukar hijau, dia akan ‘makan’ kebanyakan kereta yang anda jumpa secara kebiasaan.
Kereta-kereta petrol semua makan asap sahaja. Eh sekejap, Ora Good Cat ni mana ada keluarkan asap…
Motor dan sistem eletriknya juga agak cekap menggunakan tenaga pada kelajuan dalam bandar walaupun anda memecut dan menekan minyak membabi buta. Bila memandu Good Cat ini, anda akan mengekalkan kelancaran trafik kerana kereta di jalan utama tidak perlu brek bila anda susur masuk.
Di selekoh, ia kekal menyeronokkan kerana seperti dikatakan tadi, baterinya di bawah lantai, tengah-tengah antara tayar depan dan belakang. Ini bermakna ia mampu mengambil selekoh seperti hot hatch, malah pertukaran arah di selekoh S juga cukup meyakinkan pemandu.
Cuma penumpang di belakang mungkin kurang selesa dari aspek suspensi. Mungkin kerana belakang Good Cat ini ringan, jadi mudah terasa melantun di jalan tidak rata. Tetapi ini mungkin bukan salah kereta, kerana jalan raya kita yang ‘terlalu cantik’. Jika di negara lain yang permukaan jalannya sempurna, tiada masalah. Tetapi harus diberitahu, Ora Good Cat ini begitu luas kabinnya.
Bagaimana dengan lebuh raya? Seperti anda mungkin ketahui, lebuh raya ialah salah satu musuh utama EV. Disebabkan kebanyakan EV tidak mempunyai kotak gear, kelajuan motor adalah berkadar terus dengan kelajuan kereta.
Semakin laju kereta, semakin laju juga motor bekerja, bermakna tidak begitu cekap di kelajuan tinggi. Range atau jarak pemanduan pada Ora Good Cat ini menurun dengan normal dalam pemanduan bandar, tetapi apabila anda meluncur di lebuh raya lebih 100km/j, angkanya menurun drastik.
Bagaimana dengan pengecasan?
Dari segi pengecasan, varian 500 Ultra dengan bateri 63kWh memerlukan kira-kira 10 jam untuk dicas penuh menggunakan pengecas AC. Tetapi dengan pengecasan pantas DC, hanya 40 minit diperlukan untuk mengecas dari 10 hingga 80 peratus.
Menurut pengalaman penulis, sempat penulis cas Good Cat ini menggunakan DC 60kW, dan masa diambil adalah kira-kira sejam untuk ‘mengisi’ jus bateri dari kurang 10 peratus hingga 85 peratus. Baki mulanya 88km dan penulis isi sehingga 410km dengan 85 peratus.
Masa yang diambil lebih lama sedikit, bergantung kepada pelbagai faktor seperti suhu persekitaran dan suhu jentera pengecas.
Bayaran yang dikenakan pula adalah kira-kira RM79 untuk pertambahan kira-kira 330km. Jika dibandingkan dengan petrol, tidak berbaloi. Tetapi pemilikan kereta EV adalah lebih dari sekadar penjimatan petrol. Jauh lebih besar dari itu.
Anda harus ingat, pemilik EV tidak akan mengecas menggunakan DC di tempat awam setiap hari, sebaliknya menggunakan pengecas AC di rumah. Ia lebih perlahan, boleh dicas sepanjang malam, dan cara ini lebih ‘menyihatkan’ untuk bateri.
Kadar bayaran juga bergantung kepada pengeluar, kerana ia masih pasaran terbuka, tidak dikawal seperti petrol. Mentaliti memandu EV adalah berbeza. Dan kebanyakan pemilik juga memiliki EV untuk kereta kedua atau ketiga.
Untuk itu, Ora Good Cat sebuah model yang sangat-sangat sesuai dan ideal. Kereta kedua untuk pemanduan dalam bandar setiap hari. Dan anda tidak semestinya perlu cas setiap hari. Jarak dibekalkan adalah lebih 400km, dan jika berulang-alik ke tempat kerja, jarang antara kita yang memandu lebih 100km setiap hari, bukan?
Jadi, anda mungkin cas seminggu sekali sahaja, atau dua kali maksimum. Sama seperti isi petrol, bezanya bahan yang diisi.
Secara kesimpulan, Ora Good Cat menawarkan pakej menarik dengan gaya unik, sistem dan spesifikasi lengkap, selain pengalaman pemanduan EV yang bagus, setaraf dengan jenama-jenama lain pada julat harga ini.
JAGUAR elektrik sepenuhnya kini telah tiba di Malaysia. Perkenalkan Jaguar I-Pace baharu, kenderaan elektrik bateri (BEV) pertama dari jenama itu. Dan seperti biasa dengan jenama-jenama lain, Jaguar I-Pace ini juga hadir dalam bentuk SUV.
Walaupun berbentuk SUV, ia membekalkan kuasa dan kualiti pemanduan seperti kereta sports, menurut kata Jaguar. Tetapi ini pasti logik, memandangkan I-Pace mempunyai badan dari binaan aluminium dan ketegeran casis setinggi 36kNm/darjah. Senang cerita, memang keras casisnya.
Jaguar I-Pace didatangkan dengan dua motor elektrik (satu di gandar depan, satu di gandar belakang) dengan output keseluruhan 400hp dan 696Nm tork. Ini menjadikan I-Pace sebuah jentera AWD, dan pecutan 0-100km/j boleh dibuat dalam masa 4.8 saat sahaja.
Kuasa dibekalkan oleh bateri berkapasiti 90kW, dan ini membolehkan I-Pace mempunyai jarak pemanduan sehingga 470km (mengikut kitaran WLTP).
Dari segi pengecasan pula, I-Pace boleh disambungkan kepada pengecaj AC 11kWh dan sifar hingga 100 peratus bateri boleh dicapai dalam masa 8.6 jam. Tetapi dengan pengecasan pantas DC, ia hanya memerlukan 40 minit untuk dicaj dari sifar hingga 80 peratus.
Untuk maklumat tambahan, walaupun bateri Jaguar I-Pace terletak di tengah dan bawah kabin, SUV EV ini boleh meranduk air sehingga kedalaman 500mm. Jadi, tiada kerisauan jika berlakunya banjir kilat. Ia juga dilengkapi dengan suspensi udara, dan ketinggian boleh dilaras secara automatik.
Di bahagian dalam, Jaguar I-Pace menampilkan kluster instrumen digital 12.3-inci di depan pemandu. Di tengah pula, terdapat skrin infotainmen Pivi Pro bersaiz 10-inci, dan di bawahnya terdapat skrin ketiga bersaiz 5-inci untuk paparan sistem pendingin hawa digital.
Jaguar I-Pace dijual pada harga bermula RM460,800 untuk Black LE, dan RM498,800 untuk HSE. SUV ini hadir dengan jaminan 5-tahun atau 150,000km, pakej servis percuma 5-tahun, dan jaminan bateri sehingga 8-tahun atau 160,000km.
Jaguar Land Rover Malaysia juga memberikan kredit percuma RM1,000 dalam aplikasi DC GoToU mereka bagi tempahan yang diterima dalam tempoh pelancaran sehingga 28 Mei 2023, yang membolehkan pengguna meninjau lokasi pengecasan dengan mudah sepanjang perjalanan.
ACARA Tokyo Auto Salon 2023 yang membuka tirainya hari ini (13 Januari 2023) menyaksikan kemunculan dua Toyota AE86 yang telah diubah suai menjadi kenderaan elektrik.
Seperti yang boleh dilihat, kedua-dua jentera konsep berkenaan tampil dengan livery hitam putih dari siri animasi Initial D yang bertanggungjawab melonjakkan nama AE86.
Bagaimanapun, kedua-duanya mempunyai sumber kuasa yang berbeza. Corolla Levin dengan lampu depan tetap merupakan versi elektrik bateri (BEV) manakala Sprinter Trueno dengan lampu pop-up dikuasakan oleh enjin hidrogen (H2).
Untuk pembangunan AE86 BEV, Toyota menggunakan motor elektrik daripada Tundra HEV dan bateri Prius PHEV, serta mengekalkan sebanyak mungkin elemen asal AE86, termasuk transmisi manual. Toyota mendakwa gabungan ini menjadikan ia lebih seronok dipandu berbanding versi original.
Sementara itu, AE86 H2 pula masih mempunyai 1.6-liter empat silinder dan transmisi manualnya namun ia telah digandingkan dua tangki penyimpanan hidrogen yang diambil daripada Mirai. Modifikasi turut dilakukan pada penyuntik bahan api, paip bahan api dan palam pencucuh namun secara minimum.
Selaras dengan sasaran neutraliti karbonnya, Toyota menggunakan kerusi terpakai yang diperbaharui, serta tali pinggang keledar yang diperbuat daripada bahan kitar semula pada kedua-dua hachiroku ini.
Menurut Toyota, model konsep ini merupakan sebahagian daripada usahanya untuk mempromosikan neutralisasi karbon bukan sahaja pada kenderaan baharu malah untuk kenderaan yang masih digunakan oleh pelanggan.
Tidak diketahui sama ada conversion kepada EV ini akan ditawarkan kepada pelanggan atau tidak, namun ia sekurang-kurangya menunjukkan bahawa pengeluar itu mempunyai teknologi dan kepakaran untuk melakukannya.
INDONESIA akan mengubah struktur cukai kenderaan mereka yang berdasarkan kapasiti enjin kepada pengiraan berdasarkan pelepasan karbon CO2 yang lebih terkini.
Sistem ini akan bermula pada 16 Oktober 2021 dan ini menjadikan Indonesia negara yang ketiga di rantau Asia Tenggara yang melaksanakan sistem ini selepas Singapura dan Thailand.
Presiden Indonesia, Joko Widodo. Sumber: Facebook
Ia sebahagian langkah menyesuaikan Cukai Barangan Mewah (Luxury Goods Tax) untuk kenderaan akan menjadikan struktur cukai Indonesia setaraf dengan negara maju ASEAN yang lain yang mula diumumkan pada 2019.
Jadi, apa perubahan yang akan berlaku dalam industri automotif negara jiran ini? Pertamanya, sedan dan SUV tidak akan dikenakan cukai yang lebih tinggi kerana tiada lagi cukai berdasarkan jenis badan kenderaan dalam sistem baharu ini.
Kenderaan seperti MPV, SUV, dan hatchback sebelum ini dikenakan cukai antara 10 hingga 125 peratus bergantung kepada kapasiti enjin, manakala sedan dan kenderaan 4WD/AWD dikenakan cukai antara 30 hingga 125 peratus.
Sumber: bestsellingcarsblog.com
Ini menjelaskan kenapa Toyota Avanza dan Innova lebih banyak dijumpai di sana berbanding Honda Civic. Sistem baharu ini akan menjadikan model sedan seperti Civic dan Toyota Corolla lebih berdaya saing.
Sumber: Kompas Otomotif
Sementara itu, kenderaan Low Cost Green Cars (LCGC) seperti Daihatsu Ayla dan Toyota Agya (kembar Perodua Axia) akan melihat sedikit kenaikan harga kerana akan dikenakan cukai 3 peratus.
LCGC di sini dikategorikan sebagai kereta bandar dengan kapasiti enjin bawah 1.2-liter dan mempunyai kecekapan bahan api sekurang-sekurangnya 20km/liter.
Untuk segmen MPV dan SUV Rendah (seperti Toyota Avanza dan Rush) juga akan mengalami kenaikan harga.
Walaubagaimanapun, kebanyakan pengguna tidak akan merasai kenaikan harga tahun ini. Struktur cukai baharu akan melihatkan cukai antara 15 hingga 70 peratus untuk kenderaan penumpang dengan penekanan untuk kenderaan elektrik bateri (BEV).
Untuk menikmati cukai terendah (15 peratus), kenderaan petrol harus memperoleh kecekapan bahan api minimum 15.5km/liter dan pelepasan karbon tidak lebih 150g/km, manakala diesel pula 17.5km/liter dengan pelepasan CO2 sama.
Pengurangan cukai seterusnya akan meningkat 5 peratus untuk setiap kenaikan 50g/km dan sehingga 25 peratus untuk tahap 250g/km.
Had kecekapan bahan api petrol bermula pada minimum 11.6 hingga 15.5 km/liter untuk lingkungan cukai 15 peratus, meningkat kepada 9.3 hingga 11.5 km/liter dan kemudiannya 9.2km/liter kebawah.
Untuk diesel: 13.1 hingga 17.5 km/liter, 10.5 hingga 13 km/liter, dan 10.5 km/liter ke bawah untuk lingkungan cukai yang sama.
Kenderaan elektrik Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV), BEV, dan Biofuel akan dikenakan cukai minimum 15 peratus sahaja.
Secara umumnya, harga kenderaan hibrid juga akan meningkat, tetapi kenaikan akan diketepikanbagi pengeluar kenderaan yang telah memberi komitmen pelaburan sekurang-kurangnya Rp5 trilion (sekitar RM1.47 bilion) dalam pengeluaran kenderaan elektrik tempatan.
Sumber: Malay Mail
Malaysia bila lagi? Ya, satu persoalan menarik. Malangnya tanah air kita masih mengenakan struktur cukai zaman dinosaur yang berdasarkan kapasiti enjin.
Jangankan bab cukai, kurikulum sekolah memandu kita pun masih lagi menyuruh penunggang motosikal mengangkat tangan jika berhenti. Siapa antara anda yang pernah praktikkan cara ini semasa menunggang di jalan raya sebenar?