Tag Archives: blueshark

Blueshark perkenal SoloEra – jenama motosikal elektrik mampu milik untuk rakyat Malaysia

Landskap motosikal elektrik di Malaysia bakal menjadi lebih meriah dengan kehadiran SoloEra, sub-jenama baharu daripada penyedia mobiliti elektrik terkemuka iaitu Blueshark.

Jenama SoloEra, bersama tiga modelnya iaitu Solo 1, Solo 2 dan Solo 3, kini dipamerkan buat pertama kali kepada umum di acara Malaysia Autoshow 2025. Pameran ini berlangsung di reruai Petronas di Dewan A, MAEPS Serdang, dari 9 hingga 15 Mei.

Menurut Blueshark, SoloEra disasarkan sebagai rangkaian motosikal elektrik yang lebih mampu milik dan mudah diakses, bagi menarik minat lebih ramai penunggang di Malaysia.

Solo 2

Jenama baharu ini dibangunkan berasaskan kepakaran Blueshark dalam teknologi mobiliti elektrik pintar, termasuk sistem penukaran bateri dan teknologi ketersambungan, namun dengan penekanan terhadap reka bentuk ringkas dan harga yang berpatutan.

Pengeluaran model-model SoloEra dijadualkan bermula pada Jun 2025 di fasiliti khas yang terletak di Glenmarie, Shah Alam, dan akan dikendalikan oleh EP Manufacturing Berhad (EPMB).

Pelancaran rasmi SoloEra juga dijadualkan pada bulan yang sama. Maklumat lanjut termasuk spesifikasi penuh, harga, risalah, serta laman web rasmi SoloEra akan diumumkan dalam masa terdekat.

Solo 3

Selepas MAS2025, orang ramai boleh melihat dengan lebih dekat model Solo 1, Solo 2 dan Solo 3 di bilik pameran dan pusat 3S Blueshark di Glenmarie, Shah Alam.

Pengenalan SoloEra selari dengan usaha nasional untuk memperluas penggunaan kenderaan elektrik dua roda (2WEV) serta menyokong peralihan ke arah mobiliti rendah karbon, sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Skuter elektrik Blueshark R1 dilancar – harga dari RM7,190, RM59 sebulan untuk bateri

BLUESHARK, anak syarikat Sharkgulf Technologies Group telah melancarkan siri skuter elektrik Blueshark R yang terdiri daripada R1 dan R1 Lite ke pasaran Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (ASEAN) Blueshark Ecosystem Sdn Bhd, Jin Chan berkata skuter Blueshark R merupakan kemuncak usaha pihaknya untuk membawakan solusi lestari dan inovatif ke pasaran mobiliti urban.

“Berbekalkan teknologi penukaran bateri serta aneka teknologi perintis, kami sedang memperkenalkan sebuah produk yang lebih hebat, namun mampu milik, bagi meluaskan aksesibiliti skuter elektrik pintar untuk seluruh lapisan masyarakat,” katanya.

Blueshark R1 dipacu oleh sebuah motor elektrik dengan output 5kW dan tork puncak 201 Nm, yang membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 80 km/j.

Untuk tenaga pula, R1 mendapat bekalannya daripada dua pek bateri litium besi fosfat (LFP) yang menawarkan jarak tunggangan sejauh 110 km (berdasarkan kitaran NEDC).

Bateri-bateri tersebut boleh ditukar ganti dengan segera di mana-mana stesen penukar bateri BlueStation atau dicas penuh dalam masa 3.5 jam.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan lim mod tenggangan termasuk Walk Assist Mode (WAM) dan Turbo, serta sistem operasi pintar ArkRide yang menyediakan sambungan Bluetooth, GPS, pemain media, kemas kini perisian secara OTA dan perakam tunggangan.

Apa yang menarik, semua ciri berkenaan boleh diakses menerusi papan pemuka HD IPS berukuran 10.4 inci.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans dan dengan pengecualian SST) bermula dari RM7,190 untuk R1 Lite dan RM9,390 untuk R1.

Pek bateri tersebut pula boleh dilanggan menerusi pakej-pakej yang ditawarkan iaitu Lite (RM59/sebulan, 36 pertukaran), Standard (RM99/sebulan, 70 pertukaran), Pro (RM139/sebulan, 120 pertukaran) dan Flex (RM1.95 untuk setiap pertukaran).

Blueshark R1 diperkenal di Malaysia – teknologi tukar bateri, jarak tunggangan 160km

BLUESHARK R1 hari ini diperkenalkan di Malaysia hasil kerjasama dengan EP Manufacturing Berhad (EPMB), bertempat di International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM) 2022. Kerjasama ini adalah sebagai usaha merevolusi mobiliti urban hijau di Malaysia.

Beberapa memorandum kerjasama (MoC) juga dibuat dengan beberapa pemain industri tempatan bagi mencetus peluang pekerjaan berasaskan kelestarian buat komuniti B40 dengan memudahkan penerimagunaan mobiliti urban hijau di Malaysia.

Sebuah program rintis yang akan dijalankan dalam fasa pertama dengan rakan penghantaran dan infrastruktur masing masing akan mendemonstrasikan kebolehlaksanaan platform berelektrik ‘first-to-last mile’ serta ekosistem yang sedia menemui pasaran di kawasan Lembah Klang.

Skuter elektrik Blueshark R1 dikuasakan motor elektrik dengan kuasa maksima 5000W dan tork setinggi 201Nm (dalam mod Turbo Racing). Ia mampu memecut dari pegun ke 50km/j dalam hanya 4.5 saat, dengan kelajuan maksima 80km/j dan jarak tunggangan sehingga 160km.

Kuasa dibekalkan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) yang berteknologi terkini. Menariknya, selain boleh dicaj seperti biasa, bateri ini juga boleh ditukar dengan mudah.

Selain itu, Blueshark R1 menampilkan sistem operasi ArkRide OS yang dikatakan pertama seumpamanya untuk kenderaan dua roda. OS ini dipaparkan pada skrin IPS 10-inci yang memberikan paparan lebar, jelas, selain kalis air dan debu.

Skuter ini turut dilengkapi dengan lebib 70 pengesan yang akan mengawal pelbagai fungsi seperti sistem brek, lampu, dan kelajuan. Ia mampu memberikan amaran atau petunjuk sekiranya terdapat sebarang sistem yang bermasalah.

Sementara itu, pusat 3S pertama milik Blueshark yang bakal dibuka tidak lama lagi di Glenmarie untuk sokongan selepas jualan pengguna. Pemilik skuter ini juga boleh menggunakan aplikasi telefon pintar untuk mendapat dan mengawal segala maklumat R1.

Untuk maklumat lanjut, layari www.blueshark.com.my.