Tag Archives: Boreham Motorworks

Ford Escort Mk1 RS dilahirkan semula, 296 hp, terhad 150 unit sahaja

Ford akhirnya memberikan lampu hijau kepada Boreham Motorworks untuk memproduksikan semula model ikonik klasik Ford Escort Mk1 RS.

Biarpun ia dibina menggunakan lukisan rangka asal tahun 1970-an, pihak Boreham tetap menyuntik beberapa elemen moden pada model ini.

Hanya 150 unit sahaja Escort RS yang akan diproduksikan, di mana pembeli akan diberikan dua pilihan enjin.

Versi paling berkuasa datang dengan enjin empat silinder sebaris 2.1 liter aspirasi semula jadi yang dipadankan dengan kotak gear dogleg lima-kelajuan, menghasilkan kuasa setinggi 296 hp dan mampu mencecah putaran enjin 10,000 rpm.

Enjin baharu ini menampilkan komponen seperti rod penyambung keluli, aci engkol bilet, sistem suntikan bahan api dan ekzos titanium kustom.

Mereka yang mahukan pakej yang lebih ‘asli’ boleh mendapatkan versi asas dengan enjin Twin-Cam 1,845 cc yang telah dinaik taraf dengan sistem pancitan bahan api baharu.

Dengan kuasa mencecah 182 hp, kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi manual empat nisbah kelajuan jenis straight-cut.

Dari segi luaran, Escort RS mengekalkan semangat rekaan yang dibawakan pada model asal, namun ditambah dengan elemen moden seperti unit lampu LED, gerbang roda yang lebih lebar, dan rim kustom empat jejari saiz 15 inci.

Menurut Boreham, kereta ini mempunyai nisbah agihan berat badan 55:45, sistem gantungan spring gegelung, pembeza gelincir terhad di belakang, serta gandar belakang aluminium dan titanium jenis terapung.

Sistem brek terdiri daripada angkup empat omboh dan rotor 260 mm di hadapan, diikuti angkup dua omboh dan rotor 264 mm di bahagian belakang.

Ruang kabin pula agak asas, di mana ia tidak langsung dicemari dengan kehadiran skrin bersaiz besar.

Sebaliknya, ia menampilkan papan pemuka gentian karbon yang lengkap dengan tolok meter analog, sistem pendingin hawa dan sistem audio yang sangat ringkas.

Selain itu, terdapat juga roda stereng Alcantara tiga jejari, tempat duduk jenis bucket, serta pilihan untuk memasang sangkar keselamatan dan sistem abah-abah empat poin, serta ruang storan untuk penyimpanan helmet perlumbaan.

Seperti yang disebutkan tadi, hanya 150 unit sahaja Escort MK1 RS yang akan dihasilkan, setiap satu mempunyai tanda harga bermula dari £295,000 (RM1.66 juta).

Ford mahu hidupkan semula jentera rali ikonik Escort Mk1, RS200!

Jika anda perasan, sejak kebelakangan ini terdapat usaha untuk menghidupkan semula semangat jentera-jentera rali klasik yang disuntik dengan elemen kemodenan.

Dengan jumlah wang yang mencukupi, anda kini boleh mendapatkan sebuah jentera Kimera EVO37 yang diinspirasikan daripada Lancia 037, serta Prodrive P25 yang diinspirasikan daripada Subaru Impreza 22B STi.

 

 

Bagi para peminat Ford, usah risau kerana pengeluar tersebut memberikan lampu hijau kepada syarikat UK Boreham Motorworks untuk menghasilkan semula dua jentera ikonik rali era 70-an dan 80-an yang halal digunakan atas jalan raya, iaitu Escort Mk1 dan RS200.

Ford Escort Mk1 merupakan bintang yang pernah menguasai pentas rali di Britain era 60-an dan 70-an, sementara Ford RS200 pula merupakan hero 80-an yang bertempur di dalam Group B menentang pesaing seperti Audi Quattro dan juga Lancia 037.

 

 

Berdasarkan imej teaser yang dibekalkan, kedua-dua jentera ikonik dilihat cuba sedaya upaya untuk mengekalkan bentuk badan yang asal, namun ditambah dengan ciri moden seperti unit lampu LED serta mungkin sekali kelengkapan yang lebih selesa.

Tiada sebarang perincian berkenaan unit rangkaian kuasa yang bakal digunakan pada kedua-dua model, namun Boreham mendedahkan model RS200 yang dihasilkan semula itu akan mengekalkan susun atur enjin yang asal serta sistem pacuan semua roda.

 

 

Manakala untuk model Escort pula akan dibina setepat mungkin mengikut pelan blueprint yang asal, serta mempunyai sambungan nombor VIN daripada siri nombor yang asal.

Buat masa ini, tiada sebarang tanda harga diumumkan dan bertepatan dengan ‘undang-undang’ yang tidak tertulis, kedua-dua model ini akan dihasilkan dalam unit yang agak terhad.

Selain daripada dua model yang disebutkan tadi, Boreham Motorworks akan menghasilkan beberapa model ikonik Ford yang lain, di mana setiap pembeli akan diberikan keahlian kelab eksklusif Boreham High Performance yang menawarkan pengalaman pemanduan yang unik serta berpeluang menghadiri pelbagai acara di seluruh dunia.