Tidak pernah penulis terfikir yang sebuah roadster seperti Mercedes SL boleh dijelmakan semula sebuah menjadi shooting brake namun nampaknya tidak ada yang mustahil dengan Brabus.
Ya, percaya atau tidak, jentera yang dikenali sebagai Rocket GTS ini asalnya adalah sebuah Mercedes-AMG SL63 S E Performance.
Anda mungkin tidak mengenalinya kerana bumbung soft top convertible-nya telah digantikan dengan bumbung tetap, cermin yang condong dan tailgate.
Apa yang lebih mengagumkan, keseluruhan badan, ini termasuk hud, bampar, dapra, tiang dan bumbung, diperbuat dari gentian karbon.
Tidak cukup dengan itu, apron depan, diffuser belakang, bilah aero pada rim Monoblock P Platinum Edition, serta muncung ekzos juga dihasilkan dari bahan ringan itu demi menjaga berat.
Bercakap tentang berat, Brabus tidak menyatakan berat keseluruhannya namun tekaan kami ia jauh lebih ringan berbanding kereta asal yang mempunyai berat sekitar 2,195 kg.
Menurut syarikat itu lagi, Rocket GTS telah menjalani ujian terowong angin bagi memastikan ia kekal stabil pada kelajuan 300 km/j dan ke atas.
Apron depan bertindak untuk mengurangkan daya angkat, manakala bumbung yang rata, spoiler ekor itik dan rekaan diffuser belakang yang agresif membantu meningkatkan downforce pada kelajuan tinggi.
Corong pengambilan udara yang besar pula membantu menghalakan aliran udara ke arah radiator dan brek depan bagi membantu penyejukan.
Seperti SL 63, bahagian dalaman Rocket GTS masih mampu memuatkan empat penumpang dengan konfigurasi 2+2.
Bukan itu sahaja, dengan membuang mekanisma bumbung convertible, Brabus berjaya menghasilkan ruang kargo yang lebih besar di belakang ruang kabin.
Seperti kebanyakan rekaan Brabus yang lain, bahagian kokpit dinaik taraf dengan kemasan gentian karbon, upholsteri Alcantara dan kulit lembut, serta logo Brabus.
Sesuai dengan namanya, Rocket GTS dipacu oleh enjin hibrid twin-turbo V8 SL 63 yang telah diperbesarkan dari 4.0 liter kepada 4.5 liter. Apabila digabungkan dengan motor elektrik pada gandar belakang, jentera ini mempunyai 1,000 PS dan 1,820 Nm!
Namun bagi menjaga transmisi, Brabus mengambil keputusan untuk mengurangkan jumlah tork kepada 1,620 Nm ‘sahaja’.
Walaupun begitu, kereta ini masih mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.6 saat, 0 hingga 200 km/j dalam 9.5 saat dan 0 hingga 300 km/j dalam 23.6 saat. Kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik 317 km/j – adakah ini bermakna ia boleh pergi lebih laju?
Setakat ini, harga serta jumlah yang akan dihasilkan tidak diketahui.
SEBELUM pelancaran smart #1 untuk pasaran Malaysia, penulis telah hadir ke setiap sesi pratonton dan pandu uji eksklusif. Kiranya, penulis sudah cukup membelek spesifikasi kenderaan elektrik (EV) ini.
Masalahnya, penulis pada masa itu belum nampak apa keunikan sebenar smart #1. Yang penulis nampak hanyalah ciri seperti mod parti dimana ia memainkan muzik kuat di luar lengkap dengan kelipan lampu, selain avatar musang comel yang menjadi pembantu dalam infotainment, semua ini lebih kepada gimik.
Apakah ciri yang boleh membuatkan seseorang memilih smart #1 dengan lambakan pilihan yang ada dalam pasaran sekarang. Ya, seperti anda lihat, pasaran EV dengan julat harga RM150,000 hingga RM250,000 memang kompetitif buat masa sekarang.
Tetapi selepas memandu uji sendiri smart #1 Brabus yang berharga RM249,000 selama beberapa hari, penulis mula faham.
EV paling sporti dalam kelasnya
Perkara ini penulis hanya sedari pada hari terakhir meminjam smart #1 Brabus. Penulis terdetik dalam hati, “Eh betullah, mana ada EV lain dalam pasaran dengan warna seakan-akan matte grey, bumbung merah menyerlah, tempat duduk sports dengan balutan kulit suede, dan juga stereng balutan suede.”
Warna kelabu ini ialah Atom Grey dengan bumbung Radiant Red, hanya boleh didapati pada varian Brabus. Tema warna sebegini seperti throwback kepada zaman smart dan Brabus yang dulu.
smart Fortwo dulu pernah dikeluarkan dalam versi Brabus, jadi ini suatu sentuhan menarik untuk mereka yang masih ingat.
Selain dari kemasan luaran berimej sporti seperi logo dan emblem hitam (varian Pro dan Premium mendapat emblem krom biasa) dan merah-merah pada beberapa bahagian lain di badan, penulis cukup suka dengan kemasan dalam kabin.
Tempat duduk sportsnya tetap selesa dan tidak keras atau terlalu ‘memeluk’, dan kemasan kelabu pada papan pemuka dan balutan suede pada stereng memberikan kelainan untuk EV yang ada hari ini. Kebanyakan EV dalam pasaran lebih kepada minimalistik atau ke arah premium.
Tali pinggang keledar juga berwarna merah, ini memang wajib.
Dan sudah tentu dengan dua motor yang mampu menjana 422hp dan 543Nm tork, pecutan untuk smart #1 Brabus ini cukup mengujakan. Walaupun mempunyai berat 1,900kg, ia masih mampu mencapai 100km/j dalam 3.9 saat sahaja.
Ditambah dengan bunyi yang digarap oleh pembesar suara, ia sepadan dengan prestasi Brabus ini kerana bunyinya mirip enjin V8 AMG. Bila dalam pecutan laju dan ditemani bunyi sebegini, kadang-kadang anda sudah tidak peduli sama ada ia bunyi sebenar atau hanyalah palsu.
Di selekoh, getah hitam Dunlop SportMAxx bersaiz 235/46/R19 di setiap penjuru memastikan anda berada dalam kawalan dan cengkaman dengan tahap tinggi setiap masa.
Tetapi jika anda gelojoh menekan pedal ‘minyak’ semasa keluar selekoh, smart #1 ini masih boleh understeer dan sedikit terasar ke luar; sebuah karakter yang masih selamat, lebih baik dari oversteer.
Stereng tidak terlalu berat atau ringan, sesedap rasa walaupun kurang maklum balas. Tetapi pengendalian smart #1 Brabus ini tetap menyeronokkan kerana ada sedikit berat yang akan mengolengkan badan di selekoh, dan anda ada lambakan kuasa jika perlu.
Jika anda mahukan konteks, pengendalian smart #1 Brabus ini ada rasa SUV prestasi tinggi seperti Porsche Macan, Mercedes GLA250 AMG Line atau Mazda CX-5 2.5T turbo.
Kualiti binaan solid
Dari jarak-jarak panel badan kenderaan, papan pemuka, hinggalah kepada rasa dan feel setiap butang kawalan, anda dapat rasakan smart #1 ini satu tahap lebih atas berbanding EV lain yang berlumba-lumba untuk menarik pelanggan dengan harga paling mampu milik.
Kemudian cermin tanpa bingkai, bumbung panoramik, dan lampu logo smart yang menyala di tiang-C menambah kepada kecantikan dan rasa premium EV ini.
Praktikal dan seronok dipandu setiap hari
Walaupun smart #1 Brabus membawakan imej sporti dan prestasi tinggi, ia praktikal digunakan setiap hari. Bukaan pintu depan dan belakang adalah luas, dari segi ketinggian juga ideal untuk penumpang keluar dan masuk.
Ruang depan terasa lapang di kaki dan kepala, tetapi sedikit sempit di konsol tengah. Tetapi seperti biasa, konsol tengahnya menempatkan ruang-ruang simpanan, pad pengecasan tanpa-wayar.
Malah terdapat selapis lagi ruang di bahagian bawah. Inilah kelebihan EV, tiada transmisi, maka ada lebih ruang simpanan.
Ruang belakang terasa lebih lapang dengan bukaan tingkap yang luas. Walaupun tempat duduknya masih nampak sporti, ia sebenarnya agak empuk dan selesa untuk perjalanan jauh. Terdapat dua soket USB berdekatan corong pendingin hawa belakang, satu jenis Type-A dan satu lagi Type-C.
Penulis seronok memandu #1 Brabus ini untuk urusan seharian seperti menghantar anak ke sekolah dan pergi ke kedai runcit. Selain penampilan unik dan sporti, ia mudah dikendalikan di jalan-jalan sempit dan memasuki parkir.
Tetapi dari pengalaman penulis memandu dalam trafik dan lebuh raya sekitar Lembah Klang, penulis boleh katakan jarak yang dipaparkan pada kereta ini cukup realistik. Baterinya bertahan cukup baik walaupun kita memandu pada kelajuan tiga digit di lebuh raya.
Pengecasan mudah
Seperti biasa untuk sebuah EV, kita perlu sentuh bab pengecasan. smart #1 Brabus boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa 30 saat sahaja menggunaka DC kerana ia menyokong sehingga 150kW.
Yang menariknya ialah pengecasan AC kereta ini, yang boleh dibuat pada kadar 22kW. Kebanyakan EV dalam pasaran hanya boleh dicas pada 11kW. Jadi ini satu kelebihan besar buat smart kerana pengecasan AC dari 10 hingga 80 peratus hanya mengambil masa kira-kira tiga jam.
Sudah tentu kebanyakan pemilik akan ada pengecas AC sendiri di rumah, dan tidak perlu bergegas. Kereta boleh dicas pada waktu malam sebaik anda pulang dari bekerja, dan bateri sudah penuh menjelang tengah malam.
Tetapi apa salahnya jika boleh dicas lebih pantas, masih bagus, manalah tahu ada situasi luar jangkaan yang memerlukan kita memandu kereta ini, bukan?
Aplikasi Hello smart juga membantu dalam pengecasan sekiranya anda mahu mencari stesen pengecas awam, seperti dari pengalaman penulis.
Terdapat banyak maklumat seperti lokasi, jarak, kekosongan, dan harga dipaparkan. Kemudian semasa mengecas, anda boleh memantau status bateri dan kenderaan dari jauh melalui telefon pintar sahaja.
Padat dengan teknologi
Seperti kebanyakan EV lain, smart #1 Brabus juga padat dengan teknologi. Skrin infotainment 12.8-inci menyimpan pelbagai fungsi. Tetapi yang menariknya ialah sistem dalam smart #1 ini mempunyai paparan unik dan agak ceria.
Di menu utama terdapat imej seperti glob yang menyusun fungsi-fungsi dan terdapat avatar musang yang akan menyahut bila anda memberikan arahan suara. Sistem ini nampak agak berserabut dan sukar pada mulanya tetapi bila anda sudah biasa, sebenarnya mudah dan agak membantu.
Sudah tentu satu lagi teknologi yang menjadi keunikan untuk smart #1 ialah sistem audio Beats, jika anda masih ingat headphone Beats by Dr Dre yang pernah popular suatu ketika dulu.
Sistem audio ini hanya terdapat pada varian Premium dan Brabus. Penulis tidaklah begitu pandai menilai kualiti bunyi, tetapi untuk penulis, sistem ini memang sedap bunyinya dan menepati jangkaan anda. Padan dengan namanya.
Kemudian, sistem keselamatan juga penuh dan lengkap untuk smart #1 Brabus ini. Dari ESC, tujuh beg udara, hinggalah sistem ADAS seperti Adaptive Cruise Control, Lane Keep Assist, Lane Departure Warning dan Blind Spot Monitoring, semuanya ada. Cuma kadang-kala bunyi amarannya terlalu pelik atau kuat.
Tetapi anda boleh sahaja tukar tetapan ini dalam menu skrin.
Ada kelemahan?
Menyebut menu skrin, ini sedikit kelemahan untuk smart #1 Brabus. Kami faham jika kebanyakan fungsi yang jarang digunakan ‘disimpan’ dan disorok dalam menu skrin.
Tetapi untuk fungsi seperti pendingin hawa, anda masih perlu tekan 2-3 langkah untuk melaras suhu atau kipas, sesuatu yang sangat tidak praktikal.
Malah, pelarasan cermin sisi juga dibuat melalui skrin. Tetapi ini agak cool juga bila difikirkan, tidak begitu menjengkelkan kerana jarang untuk kita buat.
Kesimpulan
Akhir sekali, penulis mempunyai masa dan pengalaman cukup menyenangkan selama beberapa hari memandu uji smart #1 Brabus. Ia bergaya, praktikal, moden, unik, dan seronok dipandu.
Penulis juga sempat mematikan Traction Control sepenuhnya di kawasan lapang off-road, dan smart #1 Brabus ini boleh menjadi liar! Kesemua 543Nm tork dihamburkan tanpa sebarang tapisan, membuatkan penulis terasa seperti memandu jentera Rally Dakar elektrik!
smart #1 Brabus boleh menjadi calon sesuai jika anda golongan muda atau dengan keluarga kecil yang ingin mencari EV pertama.
PROTON New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) mengumumkan bahawa smart Malaysia bakal membuka tiga lagi cawangan pengedar untuk negara ini, termasuk satu di Malaysia Timur.
Tiga cawangan baharu yang akan dibuka itu adalah di Petaling Jaya, Kuantan, dan Kota Kinabalu. Ia melalui kerjasama dengan Naza Automotive Group untuk smart Petaling Jaya, Hoi Keen Service Sdn Bhd untuk smart Kuantan, dan Fook Loi Eurocar Sdn Bhd untuk smart Kota Kinabalu.
“Matlamat kami adalah untuk melonjak ke peringkat seterusnya dan terus meluaskan liputan pasaran dengan produk dan perkhidmatan smart kami,” kata CEO PRO-NET, Zhang Qiang.
Menurut siaran media oleh smart Malaysia, rakan kongsi terpilih memainkan peranan penting dalam mewujudkan ruang bagi individu untuk meneroka produk dan perkhidmatan, selain daripada menyediakan pilihan pengecasan yang mudah.
“Fokus kami terhadap kestabilan melibatkan peningkatan kedua-dua stesen pengecasan AC dan DC dengan memastikan pengecasan yang cepat dan efisien untuk pemilik smart dan orang awam secara umum,” tulis siaran media itu.
SEMPENA Tahun Baharu Cina, pengedar smart terpilih di seluruh negara menawarkan Tawaran Lóng龙-evity eksklusif.
Tawaran ini menampilkan kadar faedah rendah bermula 1.15 peratus dan smartCharge Home Charger percuma yang berharga RM3,200 dengan jaminan selama dua tahun untuk semua pelanggan baru dengan pembelian mana-mana variant smart #1 – Pro, Premium atau Brabus.
Selain mengecas di rumah, kredit pengecasan bernilai RM3,888 turut akan diberikan untuk setiap pembelian sehingga 29 Februari 2024 melalui bank-bank terpilih.
Pusat komuniti smart
Anda juga boleh meneroka cawangan pengedar smart dan menikmati pelbagai aktiviti perayaan yang disediakan untuk seisi keluarga.
Terdapat aktiviti seperti tarian singa, letupan mercun, sesi seni kaligrafi Cina, cabutan bertuah, mencuba kreativiti dengan kalendar D.I.Y, bengkel seni kanak-kanak, dan ruang fotografi khas.
Direka untuk kemudahan bagi komuniti smart, pusat sehentian smart merangkumi semua keperluan mobiliti elektrik.
Anda berpeluang untuk pandu uji smart #1, bertemu dengan rakan-rakan penggemar kereta elektrik (EV), dan menjadi sebahagian daripada komuniti.
Berikut adalah senarai bilik pameran smart yang mengambil bahagian yang boleh anda lawati:
DALAM tempoh kurang daripada dua bulan sejak pelancaran pada 21 November 2023, smart Malaysia melaporkan telah mencatatkan 200 unit pendaftaran untuk smart #1.
Menurut smart juga, pengguna dan pelanggan memberikan maklum balas positif berkenaan smart #1 dengan sentuhan unik Mercedes serta teknologi terkini Geely.
Dengan itu, sebagai permulaan untuk 2024, smart Malaysia mengumumkan penambah baikan kepada Aplikasi Hello Smart, memberikan pengguna pengalaman pemilikan yang lebih lancar dan mudah.
Aplikasi yang dikemas kini sekarang memudahkan pembayaran dengan kad debit atau kredit, membolehkan pemilik membayar dan mengecaj kenderaan mereka, atau membeli data internet dalam kereta secara langsung melalui aplikasi.
Harga data internet adalah pada 1GB untuk RM8, 3GB untuk RM21, dan 5GB untuk RM30.
Keistimewaan utama dalam Aplikasi Hello smart ialah peta pengecasan terintegrasi, memberikan akses kepada 70 peratus stesen pengecasan awam di seluruh negara.
Selain itu, aplikasi ini juga memudahkan proses permohonan pinjaman, menetapkan piawai baharu untuk pemilikan EV yang lebih mudah diakses.
Peraduan ‘The Lóng龙 Drive’ oleh smart Malaysia
Sebagai tambahan, smart Malaysia mengadakan peraduan yang menawarkan hadiah percutian dengan hanya memandu uji smart #1.
Melalui peraduan media sosial ‘The Lóng龙 Drive’, anda mungkin berpeluang menjadi pemenang bertuah yang akan ke Melaka dengan segala perbelanjaan ditanggung sepenuhnya.
Hadiah-hadiah lain termasuklah TnG e-wallet bernilai sehingga RM200 dan paket Angpao smart Edisi Terhad.
Lawati laman media sosial di Facebook atau Instagram untuk cara penyertaan dan maklumat lanjut.
Kadar kompetitif dan percuma Pengecas Rumah smartCharge
Dengan pembelian mana-mana varian smart #1 – BRABUS, Premium atau Pro – anda berpeluang mendapat manfaat daripada pengecas rumah smartCharge secara percuma bernilai RM3,200.
Ia hadir dengan jaminan dua tahun dan kredit pengecasan, sah untuk pembelian yang dibuat sehingga 31 Januari 2024.
Di samping itu, pembeli boleh memanfaatkan kadar faedah yang rendah, serendah 1.15 peratus, melalui tawaran bank terpilih.
Ia ditawarkan pada harga bermula RM189,000 hingga RM249,000. Harga ini tidak jauh berbeza dari anggaran RM200,000 hingga RM250,000 yang dilaporkan sebelum ini.
Berikut adalah harga dan spesifikasi ringkas smart #1:
Pro dan Premium
RM189,000 untuk Pro, RM219,000 untuk Premium
Motor tunggal di belakang
Output 272hp, 343Nm
Jarak pemanduan 440km
0-100km/j dalam 6.7 saat
Kelajuan maksima 180km/j
Pengecasan AC 7.2kW: 6 jam untuk 10 hingga 80 peratus, 22kW dalam 3 jam
Pengecasan DC hingga 150kW: 22 minit (Pro) dan 29 minit (Premium)
Brabus
RM249,000
Dua motor elektrik (AWD)
Output 428hp, 543Nm
Jarak pemanduan 400km
0-100km/j dalam 3.9 saat
Kelajuan maksima 180km/j
Pengecasan AC 22kW: 3 jam
Pengecasan DC hingga 150kW: 29 minit
Harga-harga di atas hadir dengan jaminan seperti di bawah:
8-tahun/200,000km jaminan bateri
8-tahun/150,000km jaminan komponen voltan tinggi
4-tahun jaminan kenderaan, tanpa had perbatuan
2-tahun jaminan alat ganti, tanpa had perbatuan
Bantuan tepi jalan 24/7
Semasa pelancaran, turut diumumkan pakej-pakej percuma seperti berikut:
smartCharge Home Charger bernilai RM3,200
Adaptor v2L bernilai RM800
Pakej aksesori bernilai RM2,000
Data internet 5-tahun berjumlah 60GB
Perlindungan insurans komprehensif smartPlus
smart #1 dibangunkan oleh Geely bagi aspek mekanikal dan mendapat sentuhan Mercedes-Benz untuk rekabentuknya. Maka sebab itu anda dapat lihat elemen-elemen seperti jenama Jerman itu pada rekaan luaran dan dalamannya.
Varian Pro tampil dengan roda aloi 19-inci seretan rendah untuk kestabilan dan bumbung halo panoramik untuk pencahayaan dan pemandangan semula jadi.
Varian Premium pula menawarkan ciri-ciri tambahan seperti lampu hadapan CyberSparks LED + Matrix, dan gril hadapan bercahaya.
#1 Pro boleh didapati dalam lima warna luaran iaitu Digital White, Laser Red, Cyber Silver, Quantum Blue, dan Future Green.
#1 Premium pula menawarkan pilihan Atom Grey-Matte dan Lumen Yellow selain lima warna berkenaan. Kesemua warna ini dipadankan dengan bumbung Eclipse Black kecuali Atom Grey-Matte.
Untuk ruang dalaman,#1 Pro menampilkan trim standard After Dark, manakala varian Premium menerima trim Dark Matter dua tona iaitu putih dan hitam.
Dari segi prestasi, #1 Pro dan Premium kedua-duanya dipacu oleh motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang. Motor elektrik tersebut menjana 272PS (200kW) dan 343Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam 6.7 saat dan kelajuan maksimum 180km/j.
#1 Pro menyokong pengecasan AC 7.2kW yang memerlukan enam jam untuk pengecasan 10 hingga 80 peratus, manakala #1 Premium pula boleh menampung sehingga 22kW yang boleh melakukan pengecasan yang sama dalam tiga jam sahaja.
Pengecasan pantas DC pula boleh dilakukan pada kapasiti sehingga 150kW yang boleh memulihkan tenaga bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam 22 minit untuk varian Pro dan 29 minit untuk Premium.
Sebagai varian sporty, #1 Brabus tampil dengan tujuh kombinasi warna luaran. Jika memilih bumbung Radiant Red, pembeli boleh memilih warna luaran Atom Grey-Matte, Meta Black atau Cyber Silver. Bumbung berwarna hitam pula boleh berpasangan dengan warna Digital White, Laser Red dan Cyber Silver.
Seperti varian Pro dan Premium, mereka yang memilih warna Atom Grey-Matte boleh mendapatkan bumbung yang sama dengan warna badan.
#1 Brabus dipacu oleh dua motor elektrik yang menghasilkan 428PS (315kW) dan 543Nm. Dengan pacuan semua roda (AWD), ia hanya memerlukan 3.9 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j. Ia dilengkapi dengan bateri NMC 66kWj yang sama seperti #1 Premium namun jarak pandunya lebih dekat iaitu 400km.
Prestasi pengecasannya juga sama dengan varian Premium iaitu tiga jam untuk pengecasan 10 hingga 80 peratus menggunakan pengecas AC 22 kW atau 29 minit dengan pengecas DC 150 kW.
SELEPAS pratonton smart #1 dan smart #1 Brabus selama beberapa bulan kebelakangan ini, SUV elektrik itu sedia untuk dilancarkan secara rasmi ke pasaran kita.
Ini juga bermakna smart akan mendedahkan harga dan pakej yang ditawarkan bagi SUV EV kompak tersebut.
smart sebelum ini telah mengumumkan harga anggaran bagi #1 iaitu antara RM200,000 hingga RM250,000 bagi ketiga-tiga varian iaitu Pro, Premium, dan Brabus.
smart #1 dibangunkan oleh Geely bagi aspek mekanikal dan mendapat sentuhan Mercedes-Benz untuk rekabentuknya. Maka sebab itu anda dapat lihat elemen-elemen seperti jenama Jerman itu pada rekaan luaran dan dalamannya.
Berikut adalah pakej dan output kuasa bagi smart #1:
Pro dan Premium
Motor tunggal di belakang
Output 272hp, 343Nm
Jarak pemanduan 440km
0-100km/j dalam 6.7 saat
Kelajuan maksima 180km/j
Pengecasan AC 7.2kW: 6 jam untuk 10 hingga 80 peratus, 22kW dalam 3 jam
Pengecasan DC hingga 150kW: 22 minit (Pro) dan 29 minit (Premium)
Brabus
Dua motor elektrik (AWD)
Output 428hp, 543Nm
Jarak pemanduan 400km
0-100km/j dalam 3.9 saat
Kelajuan maksima 180km/j
Pengecasan AC 22kW: 3 jam
Pengecasan DC hingga 150kW: 29 minit
Untuk menonton pelancaran smart #1 ini, bolehlah ke laman rasmi Facebook smart Malaysia. Pastikan anda RSVP dengan mengklik “Berminat” di halaman acara di sini.
SMART Malaysia hari ini mendedahkan smart #1 Brabus di pameran International Electric Mobility Showcase (IEMS) 2023, sekaligus menjadikan ianya penampilan sulung EV prestasi tinggi itu di Asia Tenggara (ASEAN).
Kami sebelum ini telah melaporkan mengenai smart #1 dan #1 Premium beberapa bulan lepas, tetapi perincian model varian Brabus agak terhad pada masa itu. Kini, mari kita lihatkan dengan lebih lanjut.
Di bahagian luar, smart #1 Brabus mendapat kelengkapan yang sama dengan varian Premium. Ini termasuklah lampu LED matriks CyberSparks, dan beberapa bahagian yang menyala seperti di gril depan, pemegang pintu dan logo di tiang-C.
Varian ini juga mendapat bumbung panoramik, rel bumbung, dan pintu but berkuasa. Paling ketara sudah tentu kemasan merah yang dapat dilihat pada bahagian bumbung, perumah cermin sisi, pemegang pintu, rim, angkup brek, dan gril. #1 Brabus juga mendapat tulisan emblem berwarna hitam.
smart #1 Brabus bukan sahaja nampak sporti, ia memang membawakan prestasi agak tinggi. Ia mendapat dua motor elektrik menjadikannya sebuah AWD, dan kuasa dibekalkan oleh bateri 66kWh.
Output maksima adalah 422hp dan 543Nm tork, dan ini membolehkan smart #1 Brabus memecut ke 100km/j dalam masa 3.9 saat. Kelajuan maksima ialah 180km/j dan jarak maksima ialah 400km setiap cas.
Menggunakan pengecasan AC dan kadar 22kW, Brabus ini boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam tiga jam. Tetapi dengan DC 150kW, cas yang sama boleh dilakukan kurang 29 minit.
Di bahagian dalam, ia serupa dengan smart #1 biasa, tetapi terdapat banyak kemasan merah, dan kelengkapan khas Brabus seperti roda stereng dan tempat duduk sports.
Ia masih juga mendapat paparan instrumen digital 9.2-inci, paparan infotainmen 12.8-inci, sistem audio Beats, dan sambungan Apple Carplay serta Android Auto.
Harga bagi smart #1 Brabus ini dianggarkan antara RM200,000 hingga RM250,000 atas jalan tanpa insurans. Jika anda berminat, tempahan boleh dibuat melalui aplikasi smart Hello, dengan bayaran RM1,000 yang boleh dipulangkan semula.
501 pelanggan pertama yang membuat pra-tempahan akan diberikan kredit mengecas sebanyak RM1,001.
Apa pendapat anda dengan smart #1 Brabus, menarik setakat ini? Atau baik beli….?
BRABUS, satu nama besar dalam dunia talaan dan modifikasi kereta, dilihat semakin aktif dalam segmen dua roda menerusi kerjasamanya dengan pengeluar motosikal dari Austria iaitu KTM.
Tahun lalu, gandingan dua syarikat itu berjaya melahirkan motosikal edisi terhad 1300 R Edition. Tahun ini, mereka kembali bergabung untuk menghasilkan versi yang dinaik taraf yang dikenali secara rasmi sebagai 1300 R Edition 23.
KTM hanya akan menghasilkan 290 unit, dengan pecahan 145 unit untuk warna Superblack dan selebihnya untuk warna Stealth Grey.
Seperti versi asal, 1300 R Edition 23 dibina berasaskan KTM 1290 Super Duke EVO namun dengan beberapa komponen yang diperbuat daripada gentian karbon dan CNC.
Dari segi penampilan, ia tidak jauh berbeza dengan yang terdahulu tetapi versi baharu ini telah diberikan beberapa modifikasi termasuk trim gentian karbon pada lampu hadapan dan skup udara, serta cermin sisi yang diletakkan pada kedudukan lebih tinggi serta lebih lebar.
Selain itu, tempat duduk penunggang kini menampilkan corak jahitan Brabus “Crest” manakala tempat duduk pembonceng pula mendapat rekaan baharu. Melengkapi modifikasi ini adalah rim tempaan Brabus Monoblock Z berwarna Platinum Black.
Ciri-ciri yang dibawa dari edisi terdahulu termasuklah sistem ekzos slip-on, kerangka berwarna hitam, belly pan gentian karbon, triple clamp CNC, tuil dan tempat letak kaki CNC, serta panel instrumen bertemakan Brabus dengan animasi unik.
1300 R Edition masih dikuasakan oleh enjin 1,301 cc LC8 V-berkembar yang mampu menjana kuasa sebanyak 180 hp pada 9,500 rpm dan 140 Nm pada 8,000 rpm. Ia juga dilengkapi dengan sistem suspensi separa aktif APEX dan peredam stereng keluaran WP.
Harga jualan bermula dari 42,500 euro (~RM200,498). Kesemua 290 unit akan ditawarkan secara eksklusif menerusi portal pra-tempahan dalam talian yang akan dibuka bermula 16 Februari.
DENGAN 612PS dan 850Nm, Mercedes-AMG GLE63 S Coupe boleh dikatakan sangat berkuasa untuk sebuah SUV moden. Namun, bagi syarikat tuner yang terkenal dengan rekaan-rekaan yang ekstrem seperti Brabus, angka ini masih boleh dipertingkatkan ke satu tahap yang lebih tinggi. Maka dengan itu, terhasillah Brabus 900 Rocket Edition.
Sudah tentu, tumpuan utama jentera ini terletak di bawah bonet, di mana kapasiti enjin biturbo V8 telah diperbesarkan dari 4.0-liter kepada 4.5-liter.
Digabungkan dengan pelbagai naik taraf lain, enjin tersebut kini menghasilkan 900PS dan 1,050Nm. Ini membolehkannya melakukan pecutan 0-100km/j dalam hanya 3.2 saat dengan bantuan daripada transmisi automatik 9-kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic+.
Bergantung kepada kombinasi tayar yang digunakan, 900 Rocket Edition mampu mencapai kelajuan 330km/j sebelum pengehad elektronik diaktifkan. Menariknya, enjin tersebut mampu menjana kuasa kilas sehingga 1,250Nm, namun ia dikurangkan bagi melindungi enjin dan transmisi.
Untuk perbandingan, GLE63 S Coupe ‘biasa’ memerlukan 3.8 saat untuk mencapai kelajuan 100km/j dari kedudukan pegun, manakala kelajuan maksimumnya pula ‘hanyalah’ 280km/j.
Menurut Brabus, antara komponen yang digunakan bagi mendapatkan peningkatkan kuasa termasuklah piston tempaan, pengecas turbo Brabus dengan unit pemampat 52mm, pam bahan api bertekanan tinggi serta adapter injap blow off.
Selain itu, SUV ini juga mendapat sistem ekzos karbon titanium dengan injap yang dikawal secara elektronik dan downpipe bersaiz 75mm. Gabungan ini sudah tentunya menghasilkan bunyi yang lebih agresif, sesuai dengan gelaran Rocket yang diberikan.
Pemilik bagaimanapun tidak perlu khuatir mereka akan mengganggu ketenteraman awam, terutamanya apabila pulang ke rumah pada waktu malam, kerana sistem ekzos ini juga dilengkapi dengan ciri Coming Home.
Seperti jentera-jentera keluaran Brabus yang lain, Rocket 900 Edition GLE63 S dihiasi dengan pelbagai elemen yang diperbuat daripada gentian karbon. Ini termasuk kemasan di sekeliling lubang ambilan udara, gerbang roda, spoiler, diffuser serta cakera aero pada rim 24-inci.
Melengkapkan lagi imej agresifnya adalah warna Superior Grey, logo Brabus pada gril, lencana Rocket Edition pada tailgate dan jalur merah pada gril dan rim.
Ruang dalaman pula menampilkan gabungan upholsteri kulit dan Alcantara, trim gentian karbon serta kemasan merah ‘Rocket Red’ di segenap sudut. Seperti biasa, pelanggan akan diberi keistimewaan untuk memilih upholsteri, kemasan, trim dan warna kegemaran mereka ketika membuat pesanan.
Pengeluaran model ini terhad kepada 25 unit sahaja untuk pasaran global. Ia dijual pada harga bermula dari 381,243 Euro (kira-kira RM1.8 juta).