Tag Archives: Brunei

Perodua mahu perluas pasaran eksport Alza dan Axia ke Brunei, sasar kenaikan jualan pasaran asing 79 peratus

PERODUA pada 3 Mei lepas  telah memperkenalkan Alza AV dan H serta Axia AV dan G ke Brunei dengan sasaran jualan masing-masing sebanyak 120 unit serta 40 unit.

Syarikat itu juga akan meningkatkan jualan eksport tahun ini sebanyak 79 peratus kepada 1,960 unit berbanding 1,094 unit pada tahun 2023. Ini berikutan sasaran yang dibuat oleh syarikat kereta kompak itu untuk meluaskan pasaran luar negaranya.

Di samping itu, Perodua turut mengeksport model Bezza 1.0L G ke Brunei dengan jangkaan jualan sebanyak 300 unit, menjadikan jumlah sasaran keseluruhan jualan tahun 2024 di negara berkenaan sebanyak 460 unit.

Pada tahun 2023, Perodua telah mencatat jualan sebanyak 300 unit Bezza 1.0L G ke Brunei, menjadikannya pasaran eksport terbesar syarikat berkenaan pada tahun lalu.

“Kami menjangkakan tahun 2024 akan menjadi tahun pertama pengembangan pasaran eksport kami kerana kami kini berada di tahap yang mana ekosistem automotif Malaysia sudah mampu untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat terhadap kenderaan kami, sama ada di dalam mahupun di luar negara,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Beliau menjangka pertumbuhan yang berterusan di dalam pasaran eksport Perodua berikutan pengembangan agresif yang dijalankan oleh syarikat berkenaan di dalam operasinya di samping keupayaan pengeluaran para pembekalnya.

“Brunei adalah pasaran eksport pertama dipilih bagi tujuan pengembangan operasi tanpa menjejaskan peruntukan domestik kenderaan kami.

“Malah, kami telah berjaya mengurangkan tempoh menunggu untuk semua model popular kami dan mempunyai stok tersedia bagi sesetengah model kenderaan.

“Di samping itu, sasaran kami untuk meningkatkan pasaran eksport juga akan memberikan peluang yang lebih besar kepada para pembekal kami untuk turut sama meningkatkan jumlah jualan mereka selaras dengan keperluan bagi komponen alat ganti,” kata Dato’ Sri Zainal.

Berikut adalah harga model-model Perodua yang dijual di Brunei:

Alza AV – B$30,900 (RM108,510)
Alza H – B$27,900 (RM97,975)
Axia AV – B$21,900 (76,905)
Axia G – B$17,900 (RM62,859)
Bezza 1.0L G – B$16,900 (RM59,347)

Kesemua harga yang disenaraikan adalah termasuk cukai jalan dan insurans.

Brunei nafi terlibat dalam projek Trans Borneo Railway

Berbeza dengan apa yang dilaporkan sebelum ini, kerajaan Brunei Darussalam semalam (4 April) menafikan penglibatan negara itu dalam cadangan pembinaan projek Trans Borneo Railway.

Menurut laporan Astro Awani, dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan menerusi laman Facebook GOVBN menjelaskan kerajaan Brunei tidak pernah melantik mana-mana syarikat tempatan atau luar negeri untuk mengendalikan projek berkenaan.

 

 

Pihak Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Brunei turut memaklumkan tiada sebarang perbincangan rasmi diperingkat kerajaan berkenaan perkara tersebut.

Berdasarkan laporan Utusan Borneo beberapa hari lepas, sebuah syarikat swasta Brunergy Utama mengumumkan cadangan projek Trans Borneo Railway merentasi tiga negara, iaitu Malaysia, Brunei dan Indonesia.

 

 

Projek kereta api berkelajuan tinggi itu merangkumi laluan sepanjang 1,620 km, selain mampu mencapai kelajuan operasi 300-350 km/j.

 

Jualan Proton di Brunei meningkat 87%, X50 paling laris

PROTON mengumumkan bahawa ia berjaya menjual 789 unit kenderaan di Brunei pada 2023, menunjukkan peningkatan sebanyak 87% berbanding 422 unit yang dicatat pada tahun sebelumnya.

Pencapaian itu melonjakkan jenama itu ke tangga kelima keseluruhan dalam jadual jualan, dengan pegangan pasaran sebanyak 5.4%, naik satu tempat dan meningkat 2.2% berbanding tahun 2022.

Jumlah Volum Industri (TIV) bagi negara tersebut ditutup pada 14,640 unit untuk tahun 2023, peningkatan daripada 13,000 unit bagi tahun sebelumnya.

Proton berkata X50 mendahului jualannya di Brunei dengan 476 unit terjual, merangkumi kira-kira 60% daripada  jumlah jualannya dan memacu model itu ke tempat ketiga keseluruhan dalam segmen pasarannya.

Steven Xu, Pengarah Bahagian Jualan Antarabangsa, Proton berkata, “Populariti Proton X50 di Brunei boleh dikaitkan dengan komunikasi yang jelas tentang nilai dan cirinya, serta ekuiti jenama kami.

Proton bekerjasama rapat dengan pengimport kami, PAD Motors, untuk mempromosikan harga kompetitif dan ciri ciri unggul model itu berbanding pesaingnya di samping menawarkan pakej kewangan untuk memudahkan pembelian.”

Sementara itu, model-model Proton lain turut disenaraikan dalam kedudukan 10 teratas segmen masing-masing pada tahun 2023.

Persona dan Iriz berada pada kedudukan keenam dan kelapan untuk kereta segmen B manakala X90 menduduki tempat ketujuh untuk SUV segmen D walaupun berada dalam pasaran kurang daripada setengah tahun.

Dengan menggunakan kejayaan pada tahun 2023 sebagai landasan, Proton dan PAD Motors yakin dapat mencapai lebih daripada 1,000 unit jualan pada tahun 2024.

Kunci untuk mencapai matlamat itu ialah pelancaran S70, yang dijangka berlaku sebelum hujung Februari. Brunei merupakan pasaran antarabangsa pertama yang menerima model itu dan 15 unit telah dihantar ke sana bulan lepas menjelang pelancaran rasminya.

Tempah sekarang, Proton X70 SE hanya ditawarkan 2,000 unit

MODEL X70 Special Edition (SE) bakal dilancarkan di pasaran tempatan bermula Khamis ini.

Proton dalam satu kenyataan berkata, majlis pelancaran akan berlangsung secara maya bermula jam 11 pagi.

Menerusi laman Facebook Proton, pelanggan berminat boleh membuat pra-tempahan secara dalam talian bila-bila masa.

Bagaimanapun, Proton masih belum mendedahkan harga model terbaharu tersebut dan hanya akan berbuat demikian pada hari pelancaran nanti.

Orang ramai berminat mendapatkan model Proton X70 SE boleh mula membuat tempahan sekarang. – Foto ihsan Fadli

Enjin X70 SE

Tiada perubahan sistem mekanikal pada X70 SE. Ia masih menggunakan enjin 1.8 liter empat silinder turbo.

Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

Ciri menarik lain Proton X70 SE?

X70 SE diasas daripada varian Premium 2WD dan hampir serupa dengan model dipasarkan di Brunei pada Jun lalu iaitu X70 Exclusive Edition (EE).

Apa yang menarik, model SE ini hanya dihasilkan sebanyak 2,000 unit sahaja.

Menerusi kenyataan Proton, X70 SE turut ditawarkan dengan pilihan warna badan Ruby Red.

Berikut antara spesifikasi lain yang ada pada X70 SE:-

• Didatangkan dengan spoiler belakang dan bumbung dengan kemasan hitam yang memberikan dua tona
• Mempunyai emblem SE pada pintu tailgate belakang
• Rim 19-inci dengan rekaan sama seperti Geely Boyue Pro

Panel dalaman lebih canggih untuk keselesaan pemandu dan penumpang. – Foto ihsan Fadli

Model ini didatangkan dengan karpet lantai yang turut disertakan lencana SE.

Selain itu, ia juga mempunyai sentuhan upholsteri kulit Nappa hitam bersama serlahan jahitan benang putih dan merah pada kerusi.

Jadi, kepada anda berminat sila segera membuat tempahan memandangkan model ini mempunyai tawaran yang terhad!