Tag Archives: buang pekerja

Nissan Thailand bakal buang 1,000 orang pekerja

Nissan Motor Co. dijangka akan membuang atau memindahkan kira-kira 1,000 orang pekerja di Thailand menjelang musim luruh 2025 ketika mereka sedang berdepan dengan kemerosotan keuntungan.

Menurut sumber yang rapat dengan perkembangan tersebut, langkah tersebut adalah selari dengan perancangan untuk mengurangkan tenaga pekerja global sebanyak tujuh peratus, atau 9,000 orang menjelang tahun fiskal 2026 yang akan berakhir Mac 2027.

Walaupun telah lama mendominasi pasaran Thailand, kehadiran model kenderaan elektrik dari pasaran China nampaknya telah menggugat kedudukan beberapa pengeluar automotif Jepun.

Untuk tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, Nissan telah mengalami penurunan angka jualan yang mendadak sebanyak 29.7 peratus kepada 14,244 unit kenderaan sahaja pada tahun fiskal 2023.

Di Thailand, kilang Nissan digunakan untuk menghasilkan empat buah model untuk pasaran domestik dan eksport, termasuklah SUV Nissan Kicks.

Selain pasaran Thailand, Nissan juga dijangka akan mengurangkan kira-kira 6 peratus, atau 1,000 orang pekerja di Amerika Syarikat menjelang akhir tahun ini.

Tesla buang lebih 10 peratus pekerja di seluruh dunia

Tesla dilapor akan mengurangkan lebih 10 peratus tenaga pekerjanya di seluruh dunia, menyebabkan lebih 14,000 orang bakal kehilangan mata pencarian.

Menurut bos Tesla Elon Musk, langkah ‘strategik’ itu bertujuan untuk mengurangkan kos operasi dan meningkatkan produktiviti syarikat, selain “mempersiapkan syarikat itu untuk fasa pertumbuhan berikutnya.”

Dalam emel dalaman yang ditujukan kepada pekerja Tesla, Elon turut menyebut pihaknya “telah melakukan penilaian terperinci, dan terpaksa membuat keputusan sukar untuk memberhentikan lebih 10 peratus tenaga pekerja global.”

Menariknya, emel dalaman yang dihantar itu tidak langsung menyebut berkenaan pertumbuhan EV global yang semakin perlahan.

Sebaliknya, CEO itu mengaitkan langkah pemberhentian tenaga pekerja itu dengan pertindihan peranan dan fungsi jawatan tertentu yang disebabkan oleh pertumbuhan pesat Tesla beberapa tahun kebelakangan ini.

Laman Bloomberg menyebut setakat akhir tahun lepas, Tesla mempunyai kekuatan seramai 140,473 orang pekerja, atau dua kali ganda berbanding jumlah pekerja yang dicatatkan pada tahun 2020.