Tag Archives: BYD Ocean-M

BYD Seal X didedahkan, hot hatch elektrik, kuasa setinggi 416 hp!

Sukar untuk kebanyakan pengeluar automotif di China merahsiakan model yang bakal dilancarkan, memandangkan maklumat tersebut kini boleh didapati menerusi laman web Kementerian Industri dan Teknologi Informasi China.

Terbaharu, BYD dilapor akan memperkenalkan sebuah hot hatch berkuasa elektrik yang dinamakan sebagai Seal X sebagai sebahagian daripada siri Ocean.

Berbanding Ocean-M yang tampak lebih agresif dan sporti, Seal X dilihat membuang banyak komponen aerodinamik untuk penampilan yang lebih bersih.

 

 

Antaranya ialah splitter hadapan aerodinamik, liang kemasukan udara pada hud, sirip aero skirt sisi, dan juga sayap kekal pada bahagian belakang.

Namun begitu, BYD Seal X masih lagi menawarkan elemen agresif hot hatch terutama pada bahagian bampar hadapan diikuti unit lampu yang tajam, sementara bahagian belakang pula terdapat unit diffuser yang lebih ringkas.

Di pasaran China, BYD Seal X bakal ditawarkan dalam dua tetapan motor elektrik, dan bateri lithium-ion phosphate Blade daripada divisyen bateri FinDreams.

Versi paling asas dibekalkan dengan motor elektrik yang dipasang pada gandar belakang berkuasa 215 hp.

Sementara versi motor elektrik berkembar pula dikatakan mampu menjana kuasa setinggi 416 hp.

 

Dari segi dimensi, BYD Seal X berukuran sepanjang 4,630 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,490 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,820 mm. Dengan set rim sebesar 18 inci, BYD Seal X dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum 200 km/j.

Lebih banyak perincian bakal diketahui menjelang pelancaran rasmi BYD Seal X dalam masa terdekat.

 

BYD Ocean-M Concept

Beijing Motor Show 2024: BYD Ocean-M, hot hatch EV RWD ganas bergaya

Bertempat di Beijing Auto Show, BYD memperlihatkan sebuah model konsep yang bakal direalisasikan pada tahun ini, iaitu BYD Ocean M.

Berkemungkinan besar versi produksi sebenar tidak akan seganas apa yang diperlihatkan ini, namun setidak-tidaknya kita sudah tahu BYD bakal menawarkan produk yang unik kelak.

Antara fakta yang menarik pasal BYD Ocean-M:

 

Hatchback pantas segmen C

BYD bakal memposisikan model produksi Ocean-M di antara model Dolphin dan Seal.

Bermakna, Ocean-M akan menjadi sebuah hatchback EV di dalam segmen C, dan mampu memberikan cabaran kepada model seperti MG4.

 

Reka bentuk luaran sporti

Untuk model konsep yang dipamerkan ini, BYD cuba untuk menjadikan penampilan yang lebih dekat dengan jiwa kelajuan.

Antara ciri menarik yang boleh dilihat termasuklah komponen splitter hadapan besar, sirip pada bahagian sisi, spoiler tinggi serta diffuser belakang stail GT3.

Muka depan pula mengingatkan kita pada model Lamborghini Aventador, diikuti dengan profil sisi yang tampak sporti dan dinamik

 

Hot hatch pacuan roda belakang (RWD)

Unik untuk Ocean-M ialah senibina elektrik baharu dengan sistem pacuan roda belakang.

Buat masa ini, BYD masih belum mendedahkan spesifikasi terperinci rangkaian kuasa elektrik yang bakal dipadankan pada Ocean-M.

 

Harga jualan mampu milik?

Menurut laporan Car News China, BYD menyasarkan harga jualan Ocean-M versi produksi bermula dari RMB150,000 hingga 200,000 (RM98,841-RM131,789).