Tag Archives: BYD

BYD rasmikan kereta NEV ke-5 juta keluar kilang

BYD, sebuah pengeluar utama dunia dalam kategori kenderaan tenaga baharu dan bateri, baru sahaja mengeluarkan kenderaan NEV (new energy vehicle) yang ke-5 juta pada 9 Ogos lepas. Kenderaan itu merupakan Denza N7 dan pencapaian pengeluaran ini merupakan yang pertama di dunia.

Denza N7

“Hari ini merupakan satu pencapaian bersejarah bagi BYD dimana kenderaan NEV yang ke-5 juta keluar dari kilang pemasangan,” kata Wang Chuanfu, pengerusi dan presiden syarikat itu.

“Dalam upacara istimewa ini, kami ingin menyampaikan penghargaan kepada pelanggan kami seluruh dunia untuk kepercayaan mereka terhadap produk kami, kepada rakan kongsi dalam industri, dan kesemua pekerja kami yang bekerja keras dan berdedikasi memastikan kejayaan ini.”

BYD mengambil masa 13 tahun mencapai satu juta pertama pengeluaran NEV, 18 bulan kemudian untuk mencapai angka 3,000,000, dan dalam hanya sembilan bulan kemudian, mencapai angka 5,000,000.

Pada 2022, jualan NEV dary BYD meningkat mendadak, dengan jumlah keseluruhan melebihi 1.86 juta unit. Momentum itu diteruskan untuk 2023, dengan jualan 1.5 juta unit dari Januari hingga Julai.

Setakat ini, jualan keseluruhan BYD di perigkat global melebihi 4.8 juta unit, menunjukkan komitmen syarikat itu dalam solusi pengangkutan lestari.

BYD mula ditubuhkan pada 1995 sebagai pembuat bateri boleh dicas semula. Kini, mereka terlibat dalam pelbagai industri seperti automotif, transit rel, tenaga baharu, dan elektronik.

BYD mempunyai lebih 30 taman industri di China, Amerika Syarikat, Canada, Jepun, Brazil, Hungary, dan India.

BYD Dolphin tiba di pasaran Malaysia – harga dari RM99,900, jarak sehingga 490 km

SELEPAS melancarkan BYD Atto 3 pada Disember tahun lalu, Sime Darby Motors selaku pengedar rasmi BYD memperkembangkan rangkaian kenderaan elektrik (EV) mereka dengan pelancaran model baharu iaitu Dolphin.

Untuk pasaran Malaysia, Dolphin ditawarkan dalam dua varian iaitu Dynamic Standard Range dan Premium Extended Range, dengan harga runcit yang disyorkan (RRP) dari RM99,900 hingga RM124,900.

Untuk harga on-the-road tidak termasuk insurans, varian Dynamic Standard Range akan menjadi RM100,530 manakala Premium Extended Range pula RM125,530. Ini menjadikan ia model EV kedua paling mampu milik di negara ini selepas Neta V.

Dolphin didatangkan dengan waranti enam tahun/150,000 km. Untuk bateri dan unit pacuan pula, Sime Darby Motors menawarkan waranti lapan tahun/160,000 km dan lapan tahun/150,000 km.

Dalam versi Dynamic Standard Range, Dolphin mendapat pek bateri (Blade Battery) berkapasti 44.92 kWj yang menawarkan jarak gerak sehingga 410 km berdasarkan kitaran WLTP.

Ia mempunyai motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menghasilkan 94 hp dan 180 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 12.3 saat.

Sementara itu, varian Premium Extended Range dengan bateri 60.48 kWj pula dikatakan boleh dipandu sejauh 490 km dengan satu cas penuh.

Ia juga dilengkapi dengan motor elektrik tunggal namun dengan kuasa yang lebih tinggi iaitu 201 hp dan 300 Nm, versi ini hanya memerlukan 7.0 saat untuk memecut sehingga 100 km/j.

Dari segi pengecasan, Dolphin didatangkan standard dengan pengecasan AC 7kW. Bagaimanapun, untuk pengecasan pantas DC, kapasiti antara kedua-dua varian ini berbeza iaitu 60 kW untuk Dynamic Standard Range dan 80 kW untuk Premium Extended Range.

Walaupun berkongsi platform yang sama, Dolphin mempunyai ukuran dimensi yang lebih kecil berbanding iaitu 4,290 mm panjang, 1,770 mm lebar, 1,570 mm tinggi dan tapak roda 2,700 mm.

Antara kelengkapan yang disertakan secara standard termasuk lampu LED depan dan belakang, lampu nyalaan siang (DRL) LED, dan cermin sisi elektrik dengan fungsi pemanas. Saiz rim adalah 16 inci bagi Dynamic Standard Range dan 17 inci bagi Premium Extended Range.

Di dalam, terdapat upholsteri kulit sintetik, kluster instrumen digital lima inci, skrin sentuh sistem infohibur 12.8 inci yang boleh diputar seperti Atto 3, sambungan Apple CarPlay, navigasi satelit, fungsi arahan suara dan enam pembesar suara. Turut disertakan adalah Vehicle-to-Load (V2L).

 

Mendapat beberapa kelengkapan tambahan Premium Extended Range termasuk bumbung kaca panoramik, pengecas wayarles, serta fungsi pelarasan kuasa dan ventilasi pada tempat duduk depan.

Sistem bantuan pemandu (ADAS) disertakan secara standard pada kedua-dua varian. Antara cirinya termasuk Adaptive Cruise Control, Automatic Emergency Braking, Lane Depature Warning, Lane Keeping Support, Lane Change Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Blind Spot Detection.

BYD Dolphin akan dilancarkan di Malaysia pada 28 Julai

SELEPAS melancarkan Atto 3 pada tahun lalu, BYD Cars Malaysia kini dalam persiapan untuk membawa masuk satu lagi model kenderaan elektrik (EV) ke pasaran tempatan.

Berdasarkan foto teaser yang disiarkan menerusi laman Facebook rasminya, syarikat itu sah akan melancarkan model Dolphin pada 28 Julai ini.

Berbeza dengan Atto 3 yang merupakan sebuah crossover, Dolphin adalah sebuah model hatchback. Kedua-dua model ini dibina menggunakan e-Platform 3.0 yang sama namun saiz Dolphin sedikit lebih kecil jika dibandingkan dengan Atto 3.

Dolphin mempunyai ukuran panjang 4,290 mm, lebar 1,770 mm, tinggi 1,570 mm dan tapak roda 2,700 mm. Sebagai perbandingan, Atto 3 berukuran 165 mm lebih panjang, 105 mm lebih lebar, 45 mm lebih tinggi dan tapak rodanya pula lebih panjang sebanyak 20 mm.

Varian dan spesifikasi untuk pasaran Malaysia masih belum diumumkan namun di Thailand, model ini boleh didapati dalam dua varian iaitu Standard Range dan Extended Range.

Varian Standard Range mempunyai motor elektrik tunggal dengan janaan 94 PS dan 180 Nm, serta bateri jenis Blade berkapasiti 44.9 kWj yang menawarkan jarak gerak sehingga 410 km sekali cas berdasarkan kitaran NEDC.

Sementara itu, varian Extended Range juga mempunyai sebuah motor elektrik namun dengan output yang lebih tinggi iaitu 204 PS dan 310 Nm. Dengan pek bateri 60.48 kWj, ia dikatakan boleh dipandu sejauh 490 km dengan satu cas penuh.

Kedua-dua varian menyokong pengecasan AC sehingga 7 kW  namun untuk pengecasan pantas (DC), Standard Range boleh menampung sehingga 60 kW manakala Extended Range pula sehingga 80 kW.

Harga jualan Dolphin di negara itu bermula dari 699,999 baht (RM91,386) untuk Standard Range dan 859,999 baht (RM112,275) untuk Extended Range.

Apa pendapat anda mengenai Dolphin? Kami menjangkakan ia akan dijual pada harga sekitar RM100,000 hingga RM120,000.

Sime Darby Motors lancar pakej servis BYD, tempoh 3 hingga 8 tahun

SIME Darby Motors, pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia, telah melancarkan pakej perkhidmatan selepas jualan untuk memenuhi keperluan para pemilik kenderaan elektrik jenama itu.

Pakej pertama yang ditawarkan ialah Pakej Servis Standard, di mana pelanggan boleh memilih tempoh tiga, enam dan lapan tahun atau jarak 60,000 km, 120,000 km atau 160,000 km, masing-masing. Harga bagi pakej ini adalah antara RM1,688 hingga RM4,888.

Perkhidmatan yang disediakan di bawah pakej ini termasuk servis minyak reducer, penggantian penapis penyaman udara, servis cecair brek, servis pendingin pemacu motor dan servis pendingin sistem penyaman udara.

Sementara itu, Pakej Servis Tambahan pula menawarkan tempoh enam tahun atau 120,00 km dan lapan tahun atau 160,000 km, pada harga antara RM7,888 hingga RM12,888.

Antara perkhidmatan tambahan yang terangkum di dalam pakej ini termasuk penggantian cecair pencuci cermin depan, penggantian bilah pengelap cermin (depan dan belakang), penggantian bateri alat kawalan jauh, penggantian bateri 12V, penggantian pad brek (depan dan belakang), penggantian cakera brek (depan dan belakang).

Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Bahagian Peruncitan & Pengedaran Sime Darby Motors Asia Tenggara, Hong Kong, dan Macau berkata perkhidmatan selepas jualan merupakan komponen penting di dalam rantaian nilai syarikat itu.

“Sime Darby Motors mempunyai pusat membaiki dan mengecat badan kenderaan dengan piawaian tertinggi yang diluluskan oleh panel insurans. Pusat-pusat tersebut terletak secara strategik di Pulau Pinang, Lembah Klang dan Johor Bahru,” katanya.

BYD buka bilik pameran, pusat servis di Johor dan Pulau Pinang

SIME Darby Motors, selaku pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia, terus meluaskan jaringan pengedarnya di negara ini menerusi pembukaan dua pusat BYD di Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Dibangunkan oleh anak syarikat Sime Darby Motors iaitu Sime Darby Beyond Auto (SDBA), kedua-dua pusat baharu ini menawarkan kemudahan perkhidmatan jualan (1S) kepada mereka yang berada di kawasan selatan dan utara.

Bukan itu sahaja, kedua-duanya juga dibina untuk menyediakan pengalaman lebih baik bagi pelanggan kerana terletak di dalam pusat beli-belah iaitu Mid Valley Southkey Johor dan Gurney Plaza Pulau Pinang.

Jeffrey Gan, Pengarah Urusan, Bahagian Peruncitan dan Pengedaran Sime Darby Motors – Asia Tenggara, Hong Kong dan Macau, berkata, “Sambutan kepada BYD di pasaran Malaysia adalah amat positif, jelas menunjukkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) yang semakin meningkat di negara ini.”

Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn Bhd dan PT. BYD Motor Indonesia, mengulas, “Pengembangan rangkaian BYD secara agresif di Malaysia membuktikan pertumbuhan positif bagi prospek EV di negara ini, memandangkan semakin ramai rakyat Malaysia mengiktiraf kehadiran jenama BYD dan manfaat EV.”

Untuk perkhidmatan selepas jualan, pelanggan BYD di Johor boleh mengunjungi pusat servis BYD di Jalan Skudai Kiri, Johor Bahru manakala mereka yang berada di Pulau Pinang boleh ke pusat servis BYD di Jalan Sungai Pinang, Georgetown.

Menurut SDBA, perkhidmatan selepas jualan yang disediakan sememangnya serba lengkap untuk memberikan sokongan diagnostik, manakala pengurusan bersepadu pengedaran alat ganti BYD di seluruh negara menjamin bekalan alat ganti yang secukupnya.

Bukan itu sahaja, ia disokong oleh pasukan juruteknik yang terlatih untuk memastikan kepakaran dan penjagaan berkualiti demi ketenangan fikiran pelanggan.

Pusat 3S BYD Sisma Auto terbesar kini dibuka di Glenmarie, kos cecah RM5 juta

SISMA Auto telah merasmikan pembukaan pusat 3S BYD yang terbesar di negara ini yang terletak di Glenmarie, Shah Alam. Kemudahan yang menelan belanja sebanyak RM5 juta ini merupakan kemudahan BYD bertaraf Kelas A.

Ia menampilkan sebuah bilik pameran yang mampu memuatkan sehingga sembilan buah kereta pada satu-satu masa dan sebuah pusat servis dengan 16 ruang kerja yang memiliki kapasiti untuk menerima lebih 1,000 pelanggan sebulan.

Selain itu, pusat servis itu juga dilengkapi dengan peralatan diagnosis terkini, kawasan simpanan dengan suhu yang terkawal untuk komponen bateri kuasa yang sensitif. Turut disediakan adalah bilik Kenderaan Tenaga Baharu untuk membaiki semua komponen voltan tinggi.

Pusat 3S BYD Sisma Auto ini juga telah mendapat pengiktirafan daripada Pengasas dan Pengerusi BYD, Wang Chuanfu, semasa kunjungan beliau ke Malaysia pada 4 Mei 2023.

Pengarah Urusan Kumpulan Sisma Auto, Syed Khalil bin Syed Ibrahim berkata dengan sejarah perkongsian perniagaan dengan jenama automotif selama 30 tahun, syarikat itu bersedia untuk menawarkan pengalaman 3S premium kepada para pemilik BYD di Malaysia.

“Kami percaya bahawa masa depan industri automotif ialah kenderaan elektrik dan sebagai pembuat Kenderaan Tenaga Baharu (New Energy Vehicle, NEV) nombor satu di dunia, BYD berada dalam kedudukan yang terbaik untuk menjadi peneraju masa depan tenaga elektrik,” katanya.

Sempena dengan pembukaan pusat 3S ini, BYD Sisma Auto akan menganjurkan Karnival Electric Dreams dari 2 hingga 11 Jun 2023, dari 10 pagi hingga 5 petang. Pengunjung yang mendaftar untuk pandu uji layak menerima hadiah dan menyertai cabutan bertuah.

Tiga pusat 3S BYD dibuka di Lembah Klang

SIME Darby Motors telah mengumumkan pembukaan bukan satu atau dua, tetapi tiga pusat 3S BYD di Lembah Klang.

Terletak di lokasi strategik di Ara Damansara, Glenmarie dan Cheras, pusat-pusat tersebut menyediakan akses, kemudahan serta perkhidmatan jualan dan selepas jualan untuk pelanggan BYD di sekitar Lembah Klang.

Pusat 3S BYD di Ara Damansara dilancarkan oleh anak syarikat Sime Darby Motors iaitu Sime Darby Beyond Auto (SDBA). Majlis pelancaran dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi termasuk Pengerusi dan Presiden BYD, Wang Chuanfu.

Dengan kos pelaburan kira-kira RM11 juta, pusat yang terletak di atas kawasan berkeluasan 19,375 kaki itu menampilkan konsep runcit jenama BYD serta pelbagai kemudahan terkini termasuk pusat servis yang mempunyai empat ruang kerja dengan kapasiti sehingga 270 unit kenderaan sebulan.

Pusat 3S BYD di Glenmarie pula dikendalikan oleh BYD Sisma Auto. Berukuran kira-kira 21,527 kaki persegi, ia mempunyai bilik pameran yang mampu memuatkan sehingga sembilan kenderaan dan pusat servis dengan 10 ruang kerja.

Sementara itu, pusat 3S BYD di Cheras kendalian Millenium Autobeyond pula mempunyai keluasan kira-kira 21,323 kaki persegi. Bilik pamerannya mampu memaparkan sehingga empat kenderaan manakala pusat servisnya mempunyai lima ruang kerja.

Selain kemudahan bilik pameran dan pusat servis, pelanggan juga boleh menikmati ruang istirahat yang selesa, perkhidmatan WiFi percuma, ruang pengecasan, serta hidangan kopi dan snek tanpa had.

Dato’ Jeffri Salim Davidson, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad berkata, “Pembukaan tiga pusat BYD 3S adalah bukti komitmen kami ke arah memacu lebih banyak kenderaan elektrik (EV) diterima pakai di kalangan rakyat Malaysia dan pada masa yang sama kami berusaha untuk menyediakan perkhidmatan jualan dan selepas jualan bertaraf dunia kepada pelanggan BYD kami.”

BYD Ara Damansara
Alamat : Block 1, Sime Darby Motors City, 6, Jalan PJU 1A/7, Ara Damansara, 47301 Petaling Jaya, Selangor
No telefon : 1300-38-1888
Waktu operasi: : Isnin – Sabtu: 8:30PG – 5:30PTG
Ahad & Cuti Umum: 10:00PG – 5:00 PTG
Laman Web : https://byd.simedarbymotors.my

BYD Sisma Auto
Alamat : 19, Jalan Perintis U1/52, Section U1 Temasya, 40150 Shah Alam, Selangor
No telefon : 03-5569 2260
Waktu operasi : Isnin – Jumaat: 9:00PG to 6:00 PTG
Sabtu: 10:00PG to 5:00 PTG
Ahad: 10:00PG to 5:00 PTG
Laman web : https://byd.sismaauto.com/

Millenium Autobeyond
Alamat : No 691, Batu 5, Jln Cheras, Taman Mutiara Barat, 56100 Kuala Lumpur
No telefon : 03-9133 7228
Waktu operasi : Isnin – Sabtu: 8:30PG to 5:30PTG
Ahad: 10:00PG to 5:00PTG

BYD Atto 3 laku keras, 1000 unit diserahkan dalam 100 hari

NAMPAKNYA kenderaan elektrik (EV) dari China iaitu BYD Atto 3 menerima sambutan yang menggalakkan daripada pembeli di Malaysia.

Menurut pengedar rasmi jenama BYD iaitu Sime Darby Motors, mereka telah berjaya memecahkan rekod dengan penyerahan 1,000 unit Atto 3 dalam masa hanya 100 hari.

Detik bersejarah ini telah diraikan bersama 1,000 pemilik pertama BYD di Malaysia dalam satu majlis penyerahan besar-besaran yang pertama seumpamanya di Stadium Negara Bukit Jalil baru-baru ini.

Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Peruncitan dan Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia, Hong Kong dan Macau, berkata sambutan ini menandakan satu mercu jaya penting dalam pemasaran EV di Malaysia dan ia mencerminkan tahap populariti dan penerimaan EV yang semakin meningkat di negara ini.

“Kami sukacita untuk mengekalkan momentum penyerahan BYD ATTO 3 kami kepada pelanggan, dan hari ini merupakan satu majlis yang bertujuan meraikan semua pemilik kereta baharu. Kami akan terus memacu pertumbuhan permintaan EV di seluruh segmen pasaran kami,” katanya.

Sementara itu, Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn Bhd dan PT BYD Motor Indonesia berkata, “Kami berharap para pemilik BYD menikmati pengalaman unik bersama kami pada hari ini dan kami akan terus berusaha membawakan teknologi tenaga dan produk tenaga baharu di Malaysia pada masa depan.”

Bersempena dengan kejayaan menyerahkan kenderaan baharu, BYD baru-baru ini membuka bilik pameran terbaharunya di Gurney Plaza, Pulau Pinang.

Bilik pameran ini menyediakan ruang yang selesa seluas 1,500 kaki persegi, serta stesen pengecasan percuma di tingkat 6 bangunan tersebut. Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh mengambil kesempatan dengan memandu uji Atto 3.

Pusat perkhidmatan lepas jualan BYD pula terletak di Sungai Pinang, hanya 6 km dari bilik pameran tersebut. Kemudahan berkeluasan 20,000 kaki persegi ini menyediakan alat ganti, serta perkhidmatan membaiki dan mengecat.

BYD YangWang U9 ini supercar boleh menari dan melompat [+video]

SYARIKAT gergasi China, BYD bakal mempertontonkan supercar elektrik (EV) mereka kepada awam minggu depan, yang akan menampilkan sistem suspensi baharu. Menariknya, suspensi ini mempunyai trick unik.

Dalam satu video yang disiarkan di Youtube, BYD YangWang U9 dilihat menari dan melompat setempat di atas pentas. Ianya suatu demonstrasi mengenai kuasa suspensi udaranya.

Sistem suspensi udara ini yang dinamakan DiSus System didakwa oleh BYD sebagai “sistem kawalan badan kenderaan paling canggih dalam industri di seluruh dunia”.

YangWang U9 dikuasakan oleh empat motor elektrik yang menjana kuasa gabungan setinggi 1,099hp dan 1,680Nm tork. Ini cukup untuk membolehkannya memecut ke 100km/j dalam hanya dua saat.

Spesifikasi U9 belum diumumkan, tetapi media-media China mengatakan supercar itu akan mempunyai keupayaan jarak pemanduan sehingga 700km untuk sekali caj penuh.

Supercar ini dijangka dijual pada harga 1 juta Yuan (RM641k), tetapi tiada maklumat lanjut mengenai pasaran eksport untuknya.

BYD YangWang U9 akan dipamerkan di Shanghai Motor Show minggu depan.

BYD Atto 3 masuk pasaran Malaysia – harga dari RM149,800

Sime Darby Motors selaku pengedar rasmi kenderaan elektrik BYD di Malaysia telah melancarkan model pertamanya iaitu Atto 3 untuk pasaran tempatan. 

SUV elektrik itu ditawarkan dalam dua varian iaitu Standard Range dan Extended Range, dengan harga masing-masing bermula dari RM149,800 dan RM167,800.

Atto 3 didatangkan dengan waranti pengeluar selama enam tahun atau 150,000 km, waranti bateri untuk lapan tahun atau 160,000 km dan waranti motor elektrik untuk lapan tahun atau 150,000 km.

Varian Standard Range dilengkapi dengan bateri berkapasiti 49.92 kWh, membolehkan ia dipandu sejauh 410 km dengan satu cas penuh. Sementara itu, varian Extended Range yang mempunyai bateri 60.48 kWh pula menawarkan jarak gerak sehingga 480 km.

Dengan motor elektrik berkuasa 203 hp dan 150 Nm, Atto 3 boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 7.3 saat. Kelajuan maksimum tidak dinyatakan.

Untuk pengecasan, Atto 3 menyokong pengecasan AC sehingga 7 kW. Ia juga boleh menampung pengecasan pantas DC dengan kapasiti sehingga 70 kW untuk Standard Range dan 80 kW untuk Extended Range.

Untuk pasaran Malaysia, Atto 3 boleh didapati dalam lima warna iaitu Surf Blue, Ski White, Boulder Grey, Forest Green dan Parkour Red.Standard Range menggunakan rim 17 inci dengan tayar 215/60, manakala Extended Range dengan rim 18 inci dan tayar 215/55.

Masuk ke dalam, terdapat kluster instrumen digital berukuran 5 inci, skrin sentuh 10.25 inci yang boleh dipusing, bumbung suria panoramik dan pengecas tanpa wayar. Menurut Sime Darby, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar akan tersedia mulai suku kedua 2023.

Sistem keselamatan merangkumi enam beg udara, brek parkir elektronik, sistem pemantau tekanan tayar, monitor 360 darjah dan ADAS.

Sime Darby Motors Malaysia dilantik jadi pengedar kenderaan elektrik BYD

SIME Darby Motors (SDM) Malaysia bahawa mereka telah menandatangani perjanjian pengedaran dengan pengeluar kenderaan tenaga baharu terkemuka, BYD. Kerjasama ini menyaksikan kemasukan kenderaan elektrik penumpang berjenama BYD ke pasaran Malaysia.

Majlis tandatangan perjanjian pengedaran dihadiri oleh Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Peruncitan dan Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia dan Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn Bhd dan PT. BYD Motor Indonesia.

Ia turut disaksikan oleh Andrew Basham, Pengarah Urusan Sime Darby Motors dan Liu Xueliang, Pengurus Besar Divisyen Jualan Auto BYD Asia Pasifik.

“Selaras dengan komitmen kami untuk menggalakkan penggunaan EV di kalangan rakyat Malaysia, kami mengalu-alukan kedatangan BYD ke barisan jenama-jenama berkelas dunia kami. Kerjasama ini akan membawa kepakaran BYD ke pasaran Malaysia menerusi rangkaian model EV yang meluas dan merupakan salah satu langkah yang diambil oleh Sime Darby Motors untuk menjadi peneraju dalam segmen EV,” kata Andrew Basham.

Liu Xueliang berkata, “Malaysia adalah pasaran utama untuk pengembangan kami kerana ada peluang yang luas untuk ekosistem EV untuk terus berkembang. Dengan rekod yang terbukti dalam sektor automotif di rantau Asia Pasifik, kami berharap kerjasama dengan Sime Darby Motors dapat memenuhi permintaan EV yang semakin meningkat di Malaysia.”

Menerusi kerjasama ini, SDM akan bertindak sebagai pengedar dua model keluaran BYD iaitu Atto 3 dan e6. Dibina di atas e-Platform 3.0, Atto 3 merupakan sebuah crossover elektrik yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 420 km mengikut kitaran WLTP.

BYD e6

Ia juga menyokong fungsi pengecasan pantas sehingga 88 kW, yang boleh mengecas kapasiti bateri dari 30 hingga 80 peratus dalam hanya 29 minit.

Sementara itu, e6 pula merupakan sebuah MPV elektrik yang boleh dipandu sejauh 522 km dengan satu cas penuh. Model ini dilengkapi dengan bateri berkapasiti 82 kWh yang mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit untuk mencapai pengecasan penuh.