Tag Archives: cam

Ambulans elektrik CAM EC35 – 80 hp/200 Nm, jarak gerak 268 km, harga RM199,000

Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menyaksikan kemunculan pelbagai jenis kenderaan elektrik untuk kegunaan komersial.

Salah satu daripadanya adalah van elektrik CAM EC35 yang boleh didapati dalam tiga versi iaitu panel van, semi-panel van dan window van. Unit yang dipamerkan ini adalah jenis window van yang telah diubah suai menjadi ambulans.

Ketiga-tiga versi mempunyai ukuran dimensi yang sama iaitu panjang 4,500 mm, lebar 1,680 mm dan tinggi 1,985 mm, dengan tapak roda 3,050 mm. Berat kasar adalah 2,600 kg manakala had muatan adalah dari 1,025 hingga 1,090 kg.

Panel van menyediakan dua tempat duduk, semi-panel van menyediakan lima tempat duduk manakala window van mempunyai konfigurasi enam atau lapan tempat duduk.

EC35 dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang terletak pada gandar belakang yang menghasilkan 80 hp (60 kW) dan 200 Nm. Kuasa dibekalkan oleh bateri berkapasiti 38.7 kWj yang memberikan jarak gerak sejauh 268 km berdasarkan kitaran WLTP.

Pengecasan standard (AC) mengambil masa kira-kira lima jam untuk memulihkan kuasa bateri dari 20% hingga 80%, manakala pengecasan pantas (DC) memerlukan 80 minit untuk pengecasan 20% hingga 80% atau 2.5 jam untuk pengecasan penuh.

Kelengkapan lain yang terdapat pada EC35 termasuk tingkap kuasa, ABS, EBD, sensor undur dan kamera undur yang dipaparkan menerusi skrin berukuran lapan inci.

Sudah tentu, untuk mengubahnya menjadi sebuah ambulans, beberapa modifikasi dan ubahsuai perlu dilakukan.

Antaranya termasuk bar lampu LED, siren, pembesar suara, sistem PA, serta lapan unit lampu amaran LED (dua pada gril depan, empat pada bahagian sisi bumbung dan dua pada bahagian belakang bumbung). Semua tingkap belakang juga dipasang filem penapis haba dengan VLT 95%.

Di dalam, terdapat lantai yang diperbuat daripada kayu lapis kalis air setebal 18 mm, kabinet aluminium, dan paip oksigen dan komponen-komponen berkaitan. Turut disertakan adalah pemadam api, inverter AC, palam tiga pin, port USB, lampu siling LED dan dua unit pengusung.

Harga jualan EC35 bermula dari RM135,000 untuk panel van, RM138,500 untuk semi-panel van dan RM145,000 untuk window van lapan tempat duduk.

Harga ambulans ini pula adalah RM199,000. Ia didatangkan dengan waranti selama lima tahun/120,000 km untuk kenderaan, dan waranti selama setahun untuk pemasangan.

CAM Kingo kini di Malaysia, van automatik 6-kelajuan pertama, enjin Euro 5, sehingga 18 tempat duduk

CAM Kingo diperkenalkan untuk pasaran Malaysia dengan versi terbaharu iaitu 6AT. Dibawa masuk oleh R&A Marketing iaitu anak syarikat Sendok Group, van itu dilancarkan di acara Malaysia Commercial Vehicle Expo 2024 (MCVE 2024).

Selain kotak gear automatik 6-kelajuan yang dikatakan pertama dalam kelasnya, CAM Kingo 6AT juga menampilkan enjin diesel Euro 5 2.5-liter turbodiesel yang menjana 145hp dan 400Nm tork, lebih tinggi berbanding 350Nm pada versi sebelumnya.

Enjin Kingo 6AT ini juga dikatakan mempunyai sela masa servis 20,000km, bermakna ia tidak perlu diservis terlalu kerap seperti van-van lain dalam pasaran ini. Jaminan pula ialah enam tahun atau 200,000km, yang mana dahulu.

Kotak gear automatik 6-kelajuan pada Kingo baharu ini didatangkan dengan tiga mod; automatik, manual, dan sport. Ia juga mempunyai logik khas untuk pertukaran gear lancar, selain bantuan kawalan suhu tinggi dan rendah, serta kawalan naik/turun bukit.

Brek adalah cakera di depan, dan dram di belakang, berserta ABS dan EBD. Van ini dilengkapi rim 16-inci dengan tayar 215/75.

CAM Kingo 6AT baharu ini boleh didapati dalam dua konfigurasi iaitu 15 dan 18 tempat duduk. Setiap tempat duduk mendapat tali pinggang keledar tiga-poin, dan setiap baris mempunyai soket USB dan corong penghawa dingin.

Ciri standard luaran termasuklah cermin sisi berkuasa dengan lampu belok LED, lampu depan projektor dengan DRL, lampu kabus, lampu brek ketiga posisi tinggi, dan cermin belakang dengan fungsi penghilang wap.

Kelengkapan dalaman lain pula terdiri dari paparan skrin infotainmen 10-inci dengan Bluetooth dan USB, enam pembesar suara, kamera undur, dan pengesan undur.

CAM Kingo 6AT baharu dijual pada harga RM144,800 untuk 15 tempat duduk dan RM164,800 untuk 18 tempat duduk.