Tag Archives: campervan

Vanace ubah penampilan Toyota Hiace jadi seakan VW Transporter T3

Biarpun Toyota Hiace sudah pun memasuki generasi baharu sejak tahun 2019, generasi kelima Hiace versi cab-over masih lagi kekal popular dan terus ditawarkan di beberapa pasaran.

Jika anda sudah rasa bosan dengan penampilan standard Hiace, syarikat penala Auto Motive Japan (AMJ) kini menawarkan pakej kosmetik Vanace yang diinspirasikan daripada van enjin belakang Volkswagen Transporter T3 (1979-1992).

Terdapat tiga pilihan rekaan muka hadapan yang boleh dipadankan, iaitu Type 1 (unit lampu bulat) yang sama seperti spesifikasi T3 pasaran Eropah dan Jepun; Type 2 (lampu bulat berkembar) yang diinspirasikan daripada model pasaran Afrika Selatan; serta Type 3 (unit lampu petak) yang mirip spesifikasi pasaran Amerika Utara.

Selain daripada unit lampu utama halogen, kit Vanace turut merangkumi lampu membelok berwarna kuning, rekaan hud yang rata, unit fender hadapan yang direka semula serta penutup hab roda berwarna krom sekaligus memberikan imej retro pada Hiace.

Pembeli juga boleh memilih sehingga 10 opsyen cat yang disediakan termasuklah pilihan warna gunmetal, beige dan dua tona.

Untuk ruang kabin, pihak AMJ menyediakan pelindung tempat duduk retro (pilihan warna biru, hijau atau beige), roda stereng stail vintaj dan tombol gear yang diperbuat daripada kayu.

Kemasan kayu juga turut ditawarkan sebagai satu opsyen pada bahagian lantai dan siling kargo, diikuti dengan sistem pencahayaan LED yang sangat sesuai untuk mereka yang mahu mengubah Hiace menjadi sebuah van pekhemah (campervan).

Berdasarkan semakan di laman web AMJ, harga jualan untuk kit Vanace bermula dari ¥3.75 juta hingga ¥4.64 juta (RM105k-RM130k), bergantung kepada unit van penderma dan juga tahap penyesuaian yang ditetapkan oleh pelanggan.

Selain AMJ, pemilik Hiace juga boleh mendapatkan kit badan retro yang diinspirasikan daripada Land Rover Defender, iaitu Deface yang dihasilkan oleh sebuah lagi penala Jepun – DAMD.

Syarikat Jepun bangunkan bumbung pop-up untuk Suzuki Jimny 5-Pintu

Mahukan sebuah kenderaan yang lebih unik untuk dijadikan sebagai campervan?

Syarikat White House Camper dari Negara Matahari Terbit mendedahkan projek terbaharu mereka berupa bumbung jenis pop-up berkuasa elektrik yang boleh dipadankan pada Suzuki Jimny lima pintu.

 

Projek tersebut telah didedahkan dalam bentuk blueprint sebelum unit prototaip sebenar muncul di acara Tokyo Camper Show 2024.

Dengan pemasangan bumbung pop-up tersebut, ia akan menyediakan ruang tidur untuk dua orang dewasa.

 

 

Selain daripada itu, ia juga mampu memudahkan urusan pergerakan dari kabin ke bahagian atas bumbung tanpa memerlukan tangga di bahagian luar kenderaan, namun apa yang pasti bumbung asal Jimny ini perlu dikorbankan terlebih dahulu.

White House Camper juga menyebut bumbung pop-up ini sangat berguna terutama dalam situasi kecemasan seperti bencana alam.

 

 

Buat masa ini, pihak White House Camper masih lagi belum mendedahkan tarikh serta harga jualan rasmi bagi bumbung pop-up untuk Suzuki Jimny lima pintu ini.

Citroen, Peugeot ada jual model van berkepala dua di Eropah

Ini bukanlah satu cerita seram yang dipetik daripada majalah Mastika, akan tetapi ia sebenarnya satu amalan yang telah lama dipraktikkan oleh sebilangan pengeluar kenderaan di pasaran Eropah.

Van berkepala dua yang diperlihatkan ini merupakan sebuah (atau dua buah?) Citroen Relay Back to Back, versi ‘rebadge’ daripada model Fiat Ducato.

Nampak pelik. Tapi kebiasaannya, dua kepala van Relay ini akan dipasang pada sebuah struktur casis sementara sebelum dihantar kepada pihak ketiga, seperti syarikat pengeluar motorhome/campervan dan pembina kenderaan kecemasan.

Disebabkan tiada keperluan untuk membina struktur pada bahagian belakang, Citroen dapat menjimatkan kos pengeluaran. Kos penghantaran juga dapat dikurangkan kerana Relay Back to Back ini tidak memerlukan ruang yang besar berbanding sebuah Relay Chassis Cab standard.

Selain itu, van-van komersial ini juga biasanya mempunyai sistem pacuan roda depan, jadi tiada sebarang aci pemacu yang perlu dibuka atau dibuang selepas penghantaran dibuat.

Dengan adanya Relay Back to Back ini juga, syarikat pihak ketiga mempunyai kebebasan untuk menentukan binaan belakang kustom yang tersendiri tanpa perlu bergantung kepada bahagian belakang yang biasanya dibekalkan oleh pengeluar.

Selain daripada Citroen, sebuah lagi jenama di bawah Stellantis, Peugeot juga turut menghasilkan binaan van berkepala dua menerusi model Boxer Back to Back untuk dihantar kepada syarikat pembina campervan/motorhome.

Hyundai ST1 EV, kuda kerja futuristik, tiga varian didedahkan

Hyundai Staria diperkenalkan pada tahun 2021 sebagai pengganti kepada model pacuan roda belakang Starex.

Selain wujud dalam versi van penumpang (tiga atau empat baris tempat duduk), Hyundai Staria juga turut ditawarkan dalam versi van komersial yang dikhususkan untuk membawa muatan barangan.

Mereka yang berminat untuk menjalankan aktiviti luar boleh mendapatkan Hyundai Staria Lounge Camper, terdiri daripada dua model iaitu Camper 11 dan Camper 4 dengan empat tempat duduk eksklusif.

 

Masuk tahun 2024, Hyundai meluaskan lagi penawaran Staria dengan memperlihatkan model ST1, atau nama penuhnya “Service Type 1”.

Ia merupakan sebuah kuda kerja berkuasa elektrik sepenuh masa dan direka untuk memenuhi keperluan perniagaan kecil di Korea Selatan.

Untuk permulaan, Hyundai bakal menawarkan tiga varian, iaitu versi kargo standard, kargo sejuk serta ‘chassis cab’ yang asas untuk pemilik yang mahu memadankan binaan belakang secara retrofit.

Sesuai sangat untuk mereka yang mahu menjadikan ST1 ini sebagai projek campervan.

 

 

Reka bentuk luaran ST1 ini banyak mengingatkan kita kepada model Staria Load, dengan unit lampu asas yang diposisikan rendah, jalur lampu nyalaan siang LED, rim keluli, serta padanan lapisan perlindungan plastik pada sekeliling badan.

Sama seperti Kona EV, port pengecasan Hyundai ST1 ini terletak pada bahagian muka hadapan.

Buat masa ini, spesifikasi penuh seperti kuasa dan had muatan yang mampu ditampung oleh ST1 masih lagi tidak diketahui, dan perinciannya hanya akan didedahkan dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

Selain pasaran Korea Selatan, Hyundai juga merancang untuk menjual ST1 di beberapa pasaran lain.

Hyundai Staria Premium

 

Hyundai Staria 10 tempat duduk

Hyundai Staria Load