Tag Archives: CBU

Xpeng G6 Ultra Smart Coupe SUV 2024 rasmi, dua varian, dari RM165k

Bermaz XPeng Sdn Bhd selaku pengedar rasmi kenderaan berjenama XPeng di Malaysia melancarkan model SUV elektrik pertama, iaitu Xpeng G6 2024.

Crossover saiz pertengahan dengan reka bentuk badan coupe ini ditawarkan dalam dua varian utama, iaitu 580 Pro dengan jarak gerak 435 km dan 755 Pro dengan jarak gerak 570 km.

Berikut merupakan beberapa fakta menarik yang anda perlu tahu pasal Xpeng G6 Ultra Smart Coupe 2024.

 

1. Platform SEPA 2.0

XPeng G6 merupakan model kelima yang diperkenalkan oleh XPeng, namun ia adalah model produksi pertama yang dibina berdasarkan platform Smart Electric Platform Architecture 2.0 (SEPA 2.0) dengan senibina elektrik 800 voltan dan kelebihan ruang kabin yang lebih luas.

Selain itu, ia turut menawarkan titik graviti yang lebih rendah, menyumbang kepada kawalan dinamik pemanduan yang lebih baik.

Binaan badan XPeng G6 pula menggandingkan bahan aluminium dan keluli.

 

2. Kuasa

Dua varian ditawarkan iaitu G6 580 Pro dan G6 755 Pro.

G6 580 Pro dikuasakan oleh motor elektrik 255 hp/440 Nm yang dipadankan dengan pek bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) 66 kWh.

Ia mampu bergerak sejauh 435 km untuk sekali cas penuh, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.6 saat.

Sementara G6 755 Pro pula mendapat motor elektrik 282 hp/440 Nm yang dipadankan dengan pek bateri Nickel Manganese Cobalt (NMC) 87.5 kWh yang membenarkan jarak gerak sejauh 570 km.

Pecutan 0-100 km/j pula memakan masa 6.2 saat.

Kedua-dua varian mempunyai kelajuan maksimum 200 km/j.

 

3. Pengecasan sepantas 20 minit

XPeng G6 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 215 kW untuk varian 580 Pro, atau sehingga 280 kW untuk varian 755 Pro.

Ini bermakna, pengecasan bateri dari 10-80 peratus boleh diselesaikan sepantas 20 minit.

 

4. Keselamatan

XPeng G6 secara standard dibekalkan dengan fungsi keselamatan XPILOT 2.5  yang merangkumi 7 beg udara, serta ciri keselamatan termaju seperti berikut:
-Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dengan Stop & Go
-Kawalan Pengekalan Pusat Lorong (LCC)
-Bantuan Penukaran Lorong Aktif (ALC)
-Bantuan Parkir Auto (EAP 2.0)
-Bantuan Keluar Parkir Auto (AEP)
-Pemantauan Keadaan Pemandu (DSM)
-Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
-Bantuan Suluhan Tinggi (IHB)
-Amaran Keluar Lorong (LDW)
-Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
-Pengekalan Lorong Kecemasan (ELK)
-Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
-Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)

Kesemua fungsi diatas dibantu dengan kelengkapan seperti radar gelombang milimeter, radar ultrabunyi, serta kamera HD 360 darjah yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Nvidia Orin-X.

 

5. Ruang kabin

XPeng G6 menerapkan konsep ‘Circle of Life’ pada ruang kabin bagi memastikan penumpang duduk dengan selesa.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah tempat duduk pemandu dan penumpang balutan leatherette dengan fungsi larasan enam tahap, fungsi pengudaraan dan pemanasan, dan sokongan tulang lumbar empat tahap, sementara tempat duduk baris kedua juga turut dilengkapi dengan fungsi pemanasan.

Selain itu, terdapat juga pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W, kawalan iklim dua zon automatik, sistem penapisan udara XFreeBreath, skrin digital 10.2 inci, skrin infohibur 14.96 inci dengan Xmart OS 5.0, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sokongan kemaskini over-the-air (OTA).

Melengkapi pengalaman unik dalam kabin ialah sistem bunyi keliling XOpera 960W dengan 18 pembesar suara, teknologi bunyi panorama dan algoritma akustik yang dibangunkan sendiri oleh XPeng.

 

6. Harga

XPeng G6 Ultra Smart Coupe SUV 2024 merupakan unit import penuh (CBU) dari China dengan lima pilihan warna iaitu Midnight Black, Silver Frost, Artic White, Graphite Gray, dan Fiery Orange.

Harga jualan bermula dari RM165,000 untuk varian G6 580 Pro, sementara varian 755 Pro pula berharga RM185,000.

XPeng G6 didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau jarak perbatuan 120,000 km, serta jaminan pek bateri bervoltan tinggi selama lapan tahun atau had perbatuan 160,000 km (yang mana tiba dahulu).

Subaru tamatkan program CKD di Asia Tenggara, jual unit CBU Jepun 2025

Subaru Corporation dan Tan Chong International Limited (TCIL) dalam satu kenyataan bersama mengumumkan penamatan operasi pemasangan kenderaan complete knock down (CKD) di Asia Tenggara.

Menurut kenyataan tersebut, kedua-dua pihak percaya model perniagaan CKD yang diamalkan pada masa ini tidak lagi mampan untuk tempoh jangka masa panjang.

“Bermula tahun depan, pasaran CKD di Thailand, Vietnam, Malaysia dan Kemboja akan berubah kepada model complete build up (CBU) yang diimport sepenuhnya dari Jepun.”

 

 

Di Malaysia, Subaru menerusi Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) memasang model generasi kedua Subaru XV untuk pasaran domestik dan eksport di kilang Segambut.

Model generasi keempat Subaru Forester sebelum ini turut dipasang di fasiliti tersebut, sebelum operasinya dipindahkan ke kilang pemasangan di Thailand.

TCIL dan Subaru Corporation percaya keputusan strategik ini akan memastikan kejayaan yang berterusan Subaru di dalam pasaran yang dinamik, selain komited dalam menawarkan nilai yang luar biasa kepada pelanggan, rakan kongsi serta pihak berkepentingan.

 

Industri automotif tempatan terjejas jika import kereta CBU cc rendah dibenarkan

ANDA mungkin tertanya-tanya kenapa kerajaan tidak membenarkan kemasukan kereta diimport sepenuhnya (CBU) dengan enjin berkapasiti kecil ke negara ini.

Menurut Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, perkara itu akan mendorong kepada lambakan dalam pasaran serta menjejaskan matlamat kerajaan bagi membangunkan industri automotif tempatan.

Tambah beliau lagi, kemasukan kereta CBU dengan enjin berkapasiti kecil akan turut menjejaskan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 sekiranya syarikat-syarikat Pengilang Peralatan Tulen (OEM) beralih daripada aktiviti pengeluaran kereta tempatan kepada pengimportan CBU.

“Pada masa sama, ia akan menjejaskan perancangan pelaburan jangka masa panjang pengeluaran tempatan oleh syarikat-syarikat OEM dan kedua-dua syarikat pengeluar kereta nasional.

“Malah, ini seterusnya akan menjejaskan usaha ke arah pembangunan vendor tempatan, termasuk kehilangan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan pada masa depan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara, pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Senator Seruandi Saad mengenai kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan permit import bagi kemasukan kenderaan berkuasa kuda (cc) rendah seperti 660 cc.

Mengulas selanjutnya, Liew berkata, tumpuan hala tuju industri automotif tempatan adalah menggalakkan aktiviti pemasangan tempatan oleh syarikat pengeluar kereta nasional dan syarikat-syarikat OEM tanpa mengira jenama serta kapasiti enjin kenderaan.

“Kapasiti enjin yang kecil tidak semestinya memberi gambaran bahawa sesuatu kenderaan tersebut dijual pada harga rendah kerana import masih tertakluk kepada cukai import, cukai eksais dan cukai jualan,” katanya.

Berang isu gear ‘tersengguk’ tak selesai, pemilik Proton X70 mahu hantar surat guaman

BERANG dengan isu kotak gear ‘tersengguk’ yang tidak selesai, seorang pemilik X70 didakwa akan menghantar surat guaman kepada pihak Proton.

Imej oleh: Facebook Summer Yippie Yap

“Fed up already with the jerking issue. Sending lawyer letter to Proton Cars”, tulis Summer Yippie Yap di group Facebook X70OCM (Proton X70 Owner Club).

Menurut rakan media kami di Mekanika dan Funtasticko, Summer yang juga merupakan seorang peguam pernah bertanya kepada ahli-ahli lain X70OCM berkenaan isu jerking atau ‘tersengguk’ pada X70 CBU.

Menurutnya, Proton X70 miliknya itu bergetar dan tersekat-sekat apabila kereta diperlahankan ke gear 4 tanpa menekan brek. Isu ini juga dikatakan semakin kerap berlaku.

Summer dan beberapa orang rakannya akan menggunakan khidmat firma guaman Tan, Tan & Tan Associates dan surat bertarikh 22 Disember 2021 itu dialamatkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar yang beribu pejabat di Centre of Excellence, Subang Jaya, Selangor.

Tajuk atau isi surat itu walaubagaimanapun tidak didedahkan.

Adakah anda di kalangan pemilik Proton X70 CBU yang mengalami masalah sama?

UMWT jual 9,280 unit kenderaan pada April, Corolla Cross dan Harrier terlaris

UMW Toyota Motor (UMWT) meneruskan momentum positif selepas berjaya memasarkan lebih 9,280 unit bagi Toyota dan Lexus pada April.

Perkembangan itu dipercayai susulan daripada lanjutan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan berakhir pada 30 Jun depan.

Menerusi data UMWT, model Corolla Cross dan Harrier antara mendapat permintaan tinggi pengguna.

Ia menyaksikan model import sepenuhnya (CBU) bagi Corolla Cross dan Harrier telah habis terjual.

Sementara itu, UMWT mengakui sistem pembelian secara digital turut memudahkan urusan pengguna menempah kenderaan.

“Kami (UMWT) lihat terdapat kecenderungan daripada pelanggan menggunakan platform digital bagi menempah kenderaan mereka sukai.

“Kami akan meneruskan usaha jitu dalam memantapkan platform digital untuk berurusan dengan para pelanggan di masa depan,” kata presidennya, Ravindran K.

Pelanggan berminat mendapatkan kenderaan keluaran UMWT boleh segera membuat tempahan.

Sempena Hari Raya Aidilfitri, para pelanggan bakal menikmati ganjaran berganda jika mendapatkan mana-mana kenderaan keluaran syarikat itu.

Pada masa sama, pelanggan juga boleh menikmati skim pembiayaan EZ Beli yang menawarkan ansuran bulanan rendah.

Saga model kedua tembus pasaran Pakistan selepas X70

PROTON Holdings Bhd melancarkan model terlarisnya, Proton Saga di pasaran Pakistan.

Selepas berjaya memasarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) X70 tahun lalu, Proton yakin model Saga mampu mendapat permintaan tinggi sekaligus memenuhi kehendak pasaran negara itu.

Terdapat tiga varian ditawarkan di pasaran Pakistan iaitu  Saga MT, Saga AT dan Saga Ace AT.

Proton turut menawarkan 100 unit Proton Saga R3 edisi terhad dengan pilihan transmisi MT atau AT.

Setakat ini, semua kenderaan Proton di Pakistan merupakan unit Completely BuiltUp atau CBU.

Bagaimanapun, Proton menjangkakan dapat melaksanakan pemasangan tempatan bagi kesemua model di Pakistan pada suku ketiga tahun ini.

Ia adalah hasil kerjasama dengan rakan kongsinya Al-Haj Automotive yang bakal membuka kilang di Karachi dengan kapasiti pengeluaran 25,000 unit setahun.

Setakat ini, Proton telah menembusi pasaran antarabangsa di beberapa negara termasuk Brunei, Bangladesh, Mesir, Jordan, Kenya, Mauritius, Nepal dan Pakistan.