Tag Archives: CEO

Isuzu Malaysia lantik Tomoyuki Yamaguchi sebagai CEO baharu

Isuzu Malaysia mengumumkan pelantikan Tomoyuki Yamaguchi sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baharu bermula 24 April 2025 bagi menggantikan Shunsuke Okazoe yang akan bertugas di Jepun.

Graduan Universiti Toyo itu menyertai Isuzu Motors pada tahun 1997 di dalam Jabatan Operasi Antarabangsa untuk menguruskan pasaran seperti Russia dan Ukraine.

Selain itu, beliau juga terlibat di dalam pengurusan pasaran negara-negara CIS dan Asia Barat Daya sebelum bertugas di Isuzu Motors Afrika Selatan.

Memulakan tugas di Malaysia, Yamaguchi akan memberikan keutamaan terhadap memperkukuhkan rangkaian pengedar Isuzu dan tahap perkhidmatannya, selain memastikan bekalan alat ganti sentiasa tersedia untuk manfaat pemilik kenderaan Isuzu.

“Isuzu Malaysia terus menjadi model cemerlang di gelanggang global. Operasi di sini telah mewujudkan kelompok pelanggan setia yang menghargai ketahanan dan keupayaan kenderaan Isuzu.

“Ini selari bagi mewujudkan pelanggan sepanjang hayat bagi jenama ini. Bagaimanapun, kami perlu terus mengekalkan kesungguhan tersebut dan sentiasa memastikan pengalaman positif dapat disalurkan kepada setiap pelanggan.

“Saya berharap dapat bekerjasama erat dengan pasukan dan pengedar kami untuk membawa kepuasan pelanggan ke tahap yang baharu,” jelas Yamaguchi.

Di Isuzu Motors Ltd Jepun, Shunsuke Okazoe kini menyandang jawatan Timbalan Presiden dalam Bahagian Jualan Jepun.

Narushi Yazaki kini Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia

Honda Malaysia mengumumkan pelantikan Narushi Yazaki sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif berkuatkuasa 1 April 2025.

Narushi Yazaki menggantikan peranan Hironobu Yoshimura yang telah menerajui Honda Malaysia sejak tiga tahun lepas, di mana beliau kini berkhidmat di ibu pejabat Honda di Tokyo.

Menurut Honda Malaysia, Yazaki mempunyai pengalaman lebih 25 tahun, dengan memegang peranan kepimpinan utama di beberapa buah negara termasuklah Amerika Syarikat, Jepun dan Thailand.

Sebelum berkhidmat di Malaysia, Yazaki telah berkhidmat dengan Operasi Pentadbiran Korporat di Honda Motor Co. Ltd, Tokyo, Jepun.

“Saya amat berbesar hati untuk memikul tanggungjawab ini di Honda Malaysia, pasaran yang terkenal dengan pertumbuhan dinamik serta sumbangan yang penting terhadap jenama Honda di rantau Asia dan Oceania.

“Saya berazam untuk meneruskan asas kukuh yang diletakkan oleh pemimpin terdahulu, dan terus memacu pertumbuhan dan kejayaan Honda Malaysia dalam pasaran berkembang pesat ini,” ujarnya.

Di bawah kepimpinan Yoshimura, beliau memainkan peranan penting dalam mengekalkan kedudukan Honda Malaysia di dalam segmen kenderaan penumpang bukan nasional untuk 11 tahun berturut-turut.

Beliau juga bertanggungjawab memimpin Honda Malaysia mengharungi tempoh mencabar pasca pandemik COVID-19.

 

Amanda Zhang dilantik CEO baharu Mercedes-Benz Malaysia

MERCEDES-Benz Malaysia telah menamakan Amanda Zhang sebagai CEO dan Presiden Mercedes-Benz Malaysia, serta Ketua Wilayah Mercedes-Benz Cars SEA II berkuat kuasa 1 Ogos 2023 lalu.

Beliau menggantikan CEO dan Presiden sekarang iaitu Sagree Sardien, yang kini menyandang jawatan sebagai Ketua Wilayah Luar Negara, Mercedes-Benz Cars di Stuttgart.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Sardien memainkan peranan penting dalam mengetuai agenda mobiliti elektrik di Malaysia menerusi pengenalan barisan kenderaan elektrik mewah Mercedes-Benz termasuk Mercedes-Benz EQS 500 4Matic yang dipasang secara tempatan.

Sagree Sardien (kanan), bersama Tengku Zafrul Aziz

Di bawah kepimpinan beliau, Mercedes-Benz Malaysia turut meningkatkan penawaran serta pengalaman pelanggan menerusi transformasi digital dengan pelaksanaan model agensi ‘Retail of the Future’. Syarikat itu juga memperkukuhkan kewarganegaraan korporatnya menerusi pelbagai inisiatif komuniti.

Sebelum menyandang jawatan ini, Zhang merupakan CEO Mercedes-Benz Romania dan bertanggungjawab menyelia empat divisyen perniagaan.

Zhang dan pasukannya menjana momentum yang signifikan dengan mencapai pertumbuhan dua digit dalam jualan dan juga perkhidmatan pelanggan. Beliau juga bertanggungjawab melaksanakan strategi elektrifikasi dalam lanskap pasaran yang mencabar dan memainkan peranan penting dalam menghidupkan semula jaringan pengedar di pasaran Romania.