Tag Archives: cermin sisi

Cermin sisi vs kamera sisi, lebih canggih bermakna lebih baik?

Jika anda perasan, ada beberapa buah model kereta yang wujud di pasaran Malaysia yang sudah pun dilengkapi dengan opsyen kamera sisi bagi menggantikan peranan cermin sisi.

Sekali imbas, memang nampak canggih kereta-kereta yang dilengkapi dengan unit kamera sisi. Futuristik, macam kereta yang datang dari zaman masa depan pun ada.

Ada juga model yang diimport masuk seperti Honda e yang didatangkan standard dengan ciri kamera sisi.

Menurut pengeluar, penggunaan kamera sisi memberikan beberapa manfaat terutama untuk kenderaan elektrik.

Antaranya ialah aspek aerodinamik yang lebih baik, dan jarak gerak yang lebih jauh mampu dicapai.

Selain itu, ia juga dapat membantu mengurangkan kesan bunyi bising angin dan mengelakkan titik buta yang lebih besar seperti yang terdapat pada kereta konvensional.

Namun, adakah lebih canggih bermakna ia jauh lebih baik berbanding cermin sisi?

Penulis sebelum ini pernah berkesempatan menguji sebuah kereta baharu yang dilengkapi dengan kamera sisi.

Tiada cara yang lebih sesuai untuk menguji keberkesanan sistem canggih ini melainkan dengan memasuki kotak parkir secara mengundur.

Berbeza dengan model yang dilengkapi cermin sisi, penulis mengambil masa yang agak lama untuk membiasakan diri dengan kereta yang ada kamera sisi.

Satu sebab ialah kedudukan skrin paparan pada panel pintu, di mana ia secara langsung mengubah tabiat pemerhatian kita memandang kedudukan cermin sisi yang asal kepada posisi pandangan baharu.

Bayangkan untuk mengagak jarak di bahagian sisi kenderaan, kita terpaksa melihat paparan tersebut di dalam kereta dan bukannya di luar kereta.

Sudut pandangan yang dipaparkan pada skrin tersebut tidak begitu meluas berbanding penggunaan cermin sisi.

Keadaan pencahayaan yang kurang mencukupi juga mampu memberikan kesan kepada imej yang dipaparkan pada skrin.

Sekarang, cuba bayangkan jika anda memandu di atas jalan raya, dan kamera sisi tersebut menjadi mangsa perbuatan penunggang motosikal yang tidak bertanggungjawab.

Suka atau tidak, anda mungkin perlu memperuntukkan belanja yang besar untuk menggantikan kamera sisi yang rosak, berbanding menggantikan cermin sisi konvensional.

Tidak semua kemajuan teknologi itu memudahkan, namun terpulang kepada poket masing-masing untuk menentukan mana satu yang terbaik untuk kegunaan peribadi.

Blind spot punca kemalangan, ini tips perlu anda tahu!

TITIK buta atau blind spot seringkali menjadi punca berlaku kemalangan.

Walaupun pelbagai cara dilakukan pihak berwajib untuk menerangkan mengenai bahaya blind spot namun, masih banyak pemandu kurang memahami mengenai perkara ini.

Justeru, artikel kali ini EnGear ingin kongsikan kepada anda mengenai blind spot dan kaedah mengatasinya.

Blind spot dan tips atasinya

Apakah itu Blind Spot?

Blind spot adalah kawasan terlindung di bahagian kiri dan kanan kenderaan.

Ia terlindung dari penglihatan walau menggunakan cermin sisi dan cermin pandang belakang kenderaan.

Situasi ini sering terjadi apabila anda ingin memotong dan secara tiba-tiba terdapat kenderaan lain betul-betul berada rapat di sebelah kenderaan anda.

Jadi, apakah anda perlu lakukan?

Langkah pertama, anda perlu melaraskan cermin sisi kanan dan kiri kenderaan dengan menghala ke arah luar bagi mengurangkan blind spot.

Kedua, laraskan cermin pandang belakang sehingga dapat melihat keseluruhan bahagian belakang kenderaan anda.

Ketiga, sebaik anda melakukan pelarasan cermin sisi dan cermin pandang belakang maka ujilah kedudukan blind spot di jalan raya.

Semasa memandu, tumpukan juga perhatian pada kenderaan di belakang anda.

Sebaik-baiknya, beri laluan untuk kenderaan belakang anda untuk memotong dan pastikan ia berada dalam medan penglihatan pada cermin sisi.

Menerusi kaedah ini, anda boleh memandu dengan selesa memandangkan kedudukan kenderaan lain boleh dilihat dengan jelas.

Pada masa sama, ia juga membantu anda untuk menukar lorong termasuk ketika mengundurkan kenderaan.

Terus utama keselamatan dan selamat memandu!