Tag Archives: cfmoto 800nk

CFMOTO 800NK GP lengkap dengan ekzos SC Project SC1-R – 99.2hp

Pelbagai jenama motosikal baharu sudah timbul dari China antaranya Grand River (Haojue), Lifan, Loncin, Zongshen, Jialing, Jianshe, Qianjiang, Haojin, Shineray, Bashan, Jonway, Wuxi Futong dan Cyclone.

Namun, ada beberapa jenama dari China yang semakin mencuri tumpuan antaranya CFMOTO.

 

Pengeluar motosikal itu turut mendapat kepercayaan dari KTM bagi menghasilkan model 790 (Duke dan Adventure) untuk pasaran global. Baru-baru ini, Yamaha turut memilih CFMOTO bagi menghasilkan motosikal mereka untuk pasaran China. 

Selain itu, kerjasama dengan KTM juga menyaksikan CFMOTO memperkenalkan model mereka sendiri untuk pasaran global antaranya 800NK dan 800MT.

Terbaru, CFMOTO telah memperkenalkan keluarga baharu 800NK menerusi varian GP ketika pameran motosikal EICMA 2023 di Milan, Itali, November lalu.

CFMOTO 800NK GP merupakan model yang dibangunkan khas bagi meraikan pencapaian jenama itu di pentas sukan permotoran berprestij dunia. Ketika ini, CFMOTO mempunyai pasukan di Moto3 hasil kerjasama dengan PrustelGP. 

Hasilnya, 800NK GP menampilkan warna livery dan grafik yang diilhamkan dari PrustelGP. Namun, versi GP ini bukan sahaja tampil dengan grafik berbeza malah turut dilengkapi dengan komponen premium. 

Pertamanya, 800NK GP ini dipadankan bersama pakej brek Brembo Stylema serta fork depan boleh laras di bahagian depan. Bahagian belakang pula, CFMOTO menempatkan penyerap hentak jenama Öhlins. 

Aspek ergonomik juga telah dinaik taraf agar kedudukan penunggang lebih agresif antaranya dengan kedudukan ‘handlebar’ yang lebih rendah dan tempat letak kaki (foot rest) yang lebih tinggi. 

Sebagai pelengkap, 800NK GP ini juga telah dipasang dengan ekzos SC Project SC1-R. 

KL Bike Show 2023: CFMoto 800NK Advanced menerpa pasaran Malaysia – RM38,888

PELANCARAN seterusnya di KL Bike Show 2023 ialah CFMoto 800NK Advanced, sebuah sportbike naked, ditawarkan pada harga RM38,888.

Motosikal ini menjadi penambahan tawaran kepada 800MT yang dilancarkan sebelum ini, berharga RM53,800.

Bagi 800NK, ia dipacu oleh enjin DOHC sejukan cecair dengan konfigurasi parallel-twin, berserta sistem EFI. Enjin ini mengeluarkan 99.2hp pada 9,500rpm dan 81Nm tork pada 8,000rpm.

Ia dipadankan dengan kotak gear 6-kelajuan dan slipper clutch. Dengan bahan api penuh dalam tangki 15 liter padanya, CFMoto 800NK Advanced ini mempunyai berat sekitar 183kg.

Suspensi adalah jenis KYB upside-down di depan, dan jenis monoshock boleh-laras di belakang. Brek pula adalah cakera bersaiz 320mm di depan dengan ABS Bosch sebagai standard, dan cakera 260mm di belakang.

800NK Advanced juga dilengkapi dengan paparan TFT-LCD 8-inci, sambungan telefon pintar, dan sistem Smart Key untuk menghidupkan enjin serta membuka ruang simpanan dan penutup tangki minyak.