Tag Archives: Chery Auto Malaysia

Operasi CKD Chery Omoda E5 sudah bermula di Kulim

Chery Auto Malaysia mengumumkan bahawa ia telah memulakan operasi pemasangan tempatan (CKD) Omoda E5, kira-kira lapan bulan selepas ia dilancarkan dalam versi CBU. Unit pertama EV itu telah pun keluar dari barisan pengeluarannya di Kilang Inokom di Kulim, Kedah.

Pencapaian ini selari dengan komitmen Chery untuk meningkatkan keupayaan pembuatan tempatan, mempromosikan pertumbuhan industri Malaysia, dan menyumbang kepada peralihan negara ke arah masa depan automotif yang lestari dengan EV.

Omoda E5 merupakan kenderaan keempat Chery yang dipasang di negara ini selepas Tiggo 7 Pro, Tiggo 8 Pro dan Omoda 5.

“Dengan memasang kereta kami secara tempatan, ia bukan sahaja membolehkan kami menawarkan harga yang lebih kompetitif tetapi juga menandakan komitmen jangka panjang Chery di Malaysia, memupuk penciptaan peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran dalam tenaga kerja tempatan,” kata Leo Chen, Presiden Chery Auto Malaysia.

Tambah beliau, inisiatif ini selaras dengan dasar pematuhan penyetempatan kerajaan dan akan menyokong serta membantu Malaysia menjadi hab serantau untuk EV.

Dato’ Jeffri Salim Davidson, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad berkata, pencapaian penting ini mencerminkan pengukuhan kerjasama dan visi yang dikongsi antara Sime Darby dan Chery.

“Keupayaan kami merangkumi seluruh rantaian nilai automotif, dan perkhidmatan pemasangan adalah kawasan pertumbuhan yang penting serta pemacu utama untuk bahagian pemotoran kami,” tambahnya.

Semasa majlis perasmian line-off itu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri YB Liew Chin Tong, berkata, “Chery patut diberi pujian kerana 99% daripada tenaga kerja pemasangan mereka di sini adalah rakyat Malaysia. Industrialisasi Malaysia harus membawa kepada pekerjaan yang lebih baik dan gaji yang lebih tinggi untuk rakyat Malaysia, bukan lebih banyak pekerjaan untuk pekerja asing yang tidak mahir.”

Beliau menambah bahawa, setakat 30 September 2024, terdapat 32,543 Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang didaftarkan di jalan raya Malaysia. Walau bagaimanapun, 98% daripada BEV ini merupakan unit import CBU.

“Dengan majlis line-off ini, Chery menyertai jenama-jenama lain yang memasang EV di Malaysia, menandakan satu kemajuan besar dalam usaha melokalkan pengeluaran kenderaan elektrik.

“Penyetempatan sebanyak mungkin dalam aspek pembuatan kenderaan mempunyai dimensi imbangan pembayaran. Pada tahun 2023, sektor automotif mencatatkan jumlah nilai import sebanyak RM62.14 bilion, manakala nilai eksport keseluruhan ialah RM18.01 bilion,” kata YB Liew.

Chery Tiggo 7 Pro rasmi dilancarkan, RM120k untuk 2,000 pelanggan pertama

PRODUK ketiga Chery Auto Malaysia iaitu Chery Tiggo 7 Pro telah dilancarkan secara rasmi pada harga RM123,800.

Walau bagaimanapun, 2,000 pelanggan pertama akan menikmati harga istimewa RM119,800.

Dari segi saiz, Tiggo 7 Pro mempunyai ukuran panjang 4,513 mm, lebar 1,862 mm dan tinggi 1,696 mm, menjadikan ia lebih pendek tetapi lebih lebar dan tinggi berbanding pesaing terdekatnya iaitu Proton X70.

Menariknya, ukuran tapak roda bagi kedua-dua model adalah sama iaitu 2,670 mm.

Untuk kelengkapan luaran, Tiggo 7 Pro tampil dengan lampu LED hadapan dan belakang, lampu membelok berjujukan, kemasan ala permata pada gril dan rim aloi dua tona berukuran 18 inci.

Ia boleh didapati dalam empat warna iaitu Bloodstone Red dengan bumbung hitam, Vanilla Blue, Carbon Black dan Khaki White dengan bumbung hitam.

Masuk ke dalam, terdapat paparan lebar berukuran 24.6 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas wayarles 50W, sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna dan sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara.

Tempat duduk depan dan belakang, trim pintu serta stereng dibalut upholsteri kulit sintetik berwarna hitam.

Kelengkapan lain yang disertakan secara standard termasuk port USB Type A dan Type C, bumbung panoramik, Remote Engine Start dan Walk Away Auto Lock.

Terletak di bawah bonet Tiggo 7 Pro adalah enjin 1.6-liter empat silinder turbo yang menghamburkan 197 PS dan 290 Nm.

Dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan yang memacu roda depan, SUV ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 9.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 205 km/j.

Menurut Chery, model ini boleh merekodkan tahap kecekapan bahan api serendah 7.0 liter/100 km. Ia juga didatangkan dengan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

Dari segi keselamatan, Tiggo 7 Pro mempunyai ADAS tahap 2.5 yang merangkumi ciri-ciri seperti berikut:

  • Autonomous Emergency Braking
  • Multi Collision Brake
  • Blind Spot Detection
  • Door Opening Warning
  • Traffic Jam Assist
  • Intelligent High Beam Control
  • Front Collision Warning + Rear Collision Warning
  • Adaptive Cruise Control + Integrated Cruise Control
  • Lane Departure Warning + Lane Departure Prevention
  • Lane Change Assist + Emergency Lane Keep Assist
  • Rear Cross Traffic Alert + Rear Cross Traffic Brake

Turut disertakan adalah tujuh beg udara, sistem kamera panoramik 540 darjah, Hill Start Assist Control dan Hill Descent Control.

Chery Malaysia lancar kilang pemasangan Jaecoo di Shah Alam

CHERY Auto Malaysia Sdn Bhd hari ini melancarkan Kilang Korporat Malaysia Chery yang terletak di Shah Alam.

Menurut Chery, kemudahan ini adalah yang pertama di rantau ASEAN yang akan mengeluarkan SUV off-road premium Jaecoo J7.

Pelancaran kilang pengeluaran baharu itu diraikan dengan pengeluaran unit pertama Jaecoo J7 pacuan semua roda (AWD). Versi pacuan dua roda (2WD) juga akan dipasang di kilang yang sama.

Majlis pelancaran disaksikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Menteri Industri dan Teknologi Maklumat dari China (MIIT), Dr Jin Zhuanglong.

Menurut Chery Auto Malaysia, pembukaan kilang itu telah mencipta 500 pekerjaan baharu dengan potensi untuk berkembang seiring dengan permintaan pasaran.

Ia terletak secara strategik di zon perindustrian Shah Alam iaitu berhampiran pengeluar tempatan yang penting kepada rantaian bekalan.

Bukan itu sahaja, ia juga berada tidak jauh dari Pelabuhan Klang yang merupakan pelabuhan paling sibuk Malaysia dan yang kedua terbesar di Asia Tenggara, meningkatkan lagi tahap kesediaan syarikat itu untuk mengeksport ke rantau ASEAN pada masa depan.

Pengerusi Chery Automobile Co. Ltd, Yin Tongyue berkata, “Malaysia ialah sebuah pasaran yang sangat penting bagi Chery. Wawasan kami bagi pasaran Malaysia ialah untuk melangkah maju seiring rakan-rakan tempatan dan pelanggan dalam jangka panjang.”

Mengenai pasaran kenderaan cekap tenaga yang sedang berkembang pesat, Yin menambah pihaknya teruja untuk menyokong pertumbuhan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Sebelum ini, syarikat itu telah memberikan gambaran awal portfolio EV masa depannya dengan mempertontonkan Chery Tiggo 8 Pro PHEV, Jaecoo JV PHEV dan Jaecoo J6 di Malaysia Autoshow 2024 pada Mei lalu.

Sehingga kini, Chery bertanggungjawab mencipta lebih daripada 1,000 peluang pekerjaan di Malaysia menerusi operasi tempatannya. Jenama ini juga mempunyai rangkaian 100 pusat jualan dan servis di seluruh negara.

Chery Malaysia kenal pasti punca gandar belakang Omoda 5 patah

CHERY Auto Malaysia telah mengeluarkan satu lagi kenyataan mengenai isu gandar patah yang melibatkan sebuah Chery Omoda 5 yang tular baru-baru ini.

Selepas melancarkan kempen panggilan semula melibatkan 600 unit Omoda 5, syarikat itu mengumumkan bahawa ia sedang bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan untuk memastikan pembetulan semua kenderaan yang terjejas mematuhi standard keselamatan tertinggi.

Dalam kenyataan itu, Naib Presiden Chery Auto Malaysia menjelaskan bahawa pihaknya juga telah mengadakan pertemuan dengan kementerian berkenaan untuk memberikan penjelasan status serta punca kejadian tersebut.

Berikutan siasatan menyeluruh, pihak vendor melaporkan bahawa masalah tersebut disebabkan oleh naik taraf fasiliti di mana muncung mesin kimpalan automatik yang haus digantikan dengan muncung baharu.

“Penggantian muncung kimpalan baharu itu telah menyebabkan salah kalibrasi pada kelengkapan tersebut,” jelas Lee.

Kesan daripada itu, Chery Auto Malaysia mendapati bahawa terdapat sebanyak 60 unit Omoda 5 yang dikeluarkan pada 15 Ogos 2023, dilengkapi dengan bahagian yang bermasalah itu.

Syarikat itu mengambil langkah berjaga-jaga dengan memanggil semula dan memeriksa gandar belakang Omoda 5 yang dikilangkan antara 14 hingga 17 Ogos 2023, berjumlah 600 unit semuanya.

“Chery Auto Malaysia memandang serius perkara ini kerana keselamatan pelanggan adalah keutamaan kami. Kami sedang dalam proses menghubungi pelanggan Nombor Pengenalan Kenderaan (VIN) yang terjejas untuk meminta mereka membawa kenderaan mereka ke pusat servis sah kami untuk pemeriksaan terperinci.” kata Lee.

Bukan itu sahaja, Chery juga telah melancarkan laman web khusus di mana pelanggan boleh mengesahkan sama ada kereta mereka terkesan atau tidak dengan hanya memasukkan VIN.

Setakat 3 Mei 2024, Chery telah menghubungi 32 daripada 60 pemilik yang terjejas. Syarikat itu juga mengesahkan bahawa model lain tidak terjejas.

Untuk pertanyaan, hubungi Talian Khidmat Pelanggan Chery Malaysia di +603 – 2771 7070 (Isnin hingga Jumaat, 8:30 pagi hingga 5:30 petang).