Tag Archives: Chery Malaysia

Chery Malaysia serah kereta baharu kepada wira Paralimpik Paris 2024

Chery Malaysia telah menyerahkan kenderaan baharu kepada atlet Paralimpik negara dalam satu majlis yang diadakan di bilik pameran Chery di Glenmarie, Selangor baru-baru ini.

Untuk pengetahuan, kenderaan-kenderaan ini dibeli oleh atlet Paralimpik dengan diskaun eksklusif yang ditawarkan oleh Chery Malaysia sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka dalam mengharumkan nama negara dalam bidang sukan.

Dalam majlis yang dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh itu, Chery Malaysia menyerahkan Omoda 5 kepada pemenang pingat perak lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Omoda E5 kepada pemenang pingat emas badminton, Cheah Liek Hou.

Pemanang pingat emas powerlifting yang turut memecahkan rekod dunia, Bonnie Bunyau Gustin menempah sebuah Tiggo 8 Pro namun tidak dapat menghadiri majlis tersebut.

Atlet Sukan Paralimpik Paris 2024 yang memenangi pingat emas layak menikmati diskaun 50% ke atas barisan SUV Chery, manakala pemenang pingat perak dan atlet yang mara ke separuh akhir dan akhir mendapat diskaun 30%.

Bukan itu sahaja, Chery turut menawarkan diskaun 15% kepada semua atlet yang bertanding di Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024.

“Atlet Paralimpik kita menunjukkan kekuatan dan daya tahan yang memberi inspirasi kepada kita semua. Di Chery, kami berbesar hati untuk berdiri di samping mereka dalam perjalanan mereka, meraikan kemenangan dan menyokong aspirasi mereka,” kata Michael Chew, Naib Presiden Chery Malaysia.

Chery Malaysia terima pensijilan SIRIM untuk bateri EV

Chery Malaysia mengumumkan bahawa ia telah menerima pensijilan SIRIM bagi pek bateri litium EV, menjadikannya jenama automotif pertama di negara ini yang diberikan pensijilan tersebut.

Syarikat itu berkata pengiktirafan daripada SIRIM QAS International ini adalah bukti komitmennya terhadap kualiti dan pematuhan kepada prestasi dan standard keselamatan tertinggi.

“Menjadi jenama automotif pertama di Malaysia yang menerima pensijilan bateri EV adalah penghormatan yang luar biasa dan peristiwa penting bagi kami di Chery Malaysia,” kata Michael Chew, naib presiden Chery Malaysia.

“SIRIM QAS berbesar hati untuk memainkan peranan dalam menyokong perjalanan Chery Malaysia ke arah penyelesaian mobiliti mampan,” kata Nur Fadhilah binti Muhammad, ketua pegawai eksekutif SIRIM QAS International.

Menurut Chery Malaysia, bateri EV tersebut telah disaksikan menjalani ujian ketat di China mengikut Standard UN R100 untuk memastikan pematuhan kepada piawaian keselamatan dan prestasi antarabangsa untuk kebolehpercayaan, kecekapan dan ketahanan.

Chery Malaysia berkata ia juga menyasarkan untuk memperoleh pensijilan SIRIM untuk bateri EV untuk model-model yang akan ditawarkan pada masa depan.

Buat masa ini, satu-satunya EV keluaran Chery yang ditawarkan di negara ini adalah Omoda E5, yang dijual pada harga RM146,800. Ia menampilkan bateri litium ion fosfat (LFP) 61 kWj yang mampu memberikan jarak pandu sejauh 430 km berdasarkan kitaran WLTP.

Dalam usahanya untuk meningkatkan lagi usaha mobiliti elektronya di negara ini, Chery Malaysia berkata ia merancang untuk memperluaskan lagi penawaran elektrfikasinya dengan model-model PHEV bermula tahun depan.

Tiada model spesifik yang dinyatakan namun antara model yang berkemungkinan besar akan dilancarkan adalah Tiggo 8 Pro e+.

Kempen ‘Great Year-End Lucky Draw’ Chery Malaysia tawar hadiah lebih RM150,000

Chery Malaysia melancarkan kempen ‘Great Year-End Lucky Draw’ di mana pelanggan Chery berpeluang membawa pulang hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM150,000.

Kempen ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Chery Malaysia untuk memberikan nilai dan pengalaman yang luar biasa kepada pelanggannya.

“Ramai pembeli sering menantikan bulan Disember untuk membeli-belah dan meraikan cuti akhir tahun mereka bersama rakan dan keluarga.

“Di Chery, kami ingin menambah lagi keseronokan musim cuti akhir tahun mereka dengan memperkenalkan cabutan bertuah khas ini,” kata Michael Chew, Naib Presiden Chery Auto Malaysia.

Berlangsung dari 1 hingga 31 Disember 2024, kempen ‘Great Year-End Lucky Draw’ terbuka kepada pelanggan yang membeli dan mendaftarkan kenderaan Chery baharu mereka dalam tempoh kempen.

Pelanggan baharu yang layak berpeluang memenangi hadiah bernilai lebih RM150,000, termasuk sebuah Omoda 5 sebagai hadiah utama, serta pelbagai hadiah menarik lain seperti perkakasan rumah, konsol permaian video dan baucar membeli-belah.

Chery Malaysia juga menawarkan promosi istimewa untuk barisan kenderaannya. Pelanggan boleh menikmati penjimatan sehingga RM13,000 untuk Omoda 5, manakala Omoda E5 datang dengan penjimatan sehingga RM11,000.

Tiggo 7 Pro dan Tiggo 8 Pro pula masing-masing menawarkan penjimatan sehingga RM4,000 dan RM15,000.

Omoda E5 didatangkan dengan waranti kenderaan selama tujuh tahun/150,000 km, waranti bateri lapan tahun/160,000 km dan waranti unit pemanduan lapan tahun/160,000 km.

Pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan penukaran bateri satu-dengan-satu jika tahap kesihatan bateri jatuh di bawah 70% semasa dalam tempoh jaminan.

Omoda 5, Tiggo 7 Pro dan Tiggo 8 Pro pula didatangkan dengan waranti kenderaan komprehensif tujuh tahun/150,000 km bersama perkhidmatan buruh percuma selama lima tahun.

Chery KP11 bakal beri saingan kepada Ranger, Triton, Hilux, pelancaran tahun 2025

Segmen trak pikap saiz pertengahan bakal dimeriahkan lagi dengan kehadiran pendatang baharu dari Tanah Besar China.

Bersempena dengan acara Chery International User Summit yang berlangsung di Wuhu, Chery memperlihatkan sebuah model prototaip trak pikap yang dikenali dengan kod nama KP11.

Sekali imbas, anda mungkin akan menyangka Chery KP11 merupakan sebuah model yang dirojakkan dengan pelbagai elemen rekaan trak pikap terkenal.

Seperti contoh, muka depan menampilkan rekaan lampu utama berlapis dengan grafik DRL berbentuk L yang mengingatkan kita pada trak pikap Mitsubishi Triton baharu.

Elemen trak pikap Ford pula boleh diperhatian menerusi struktur jeriji hadapan dengan perkataan CHERY yang agak besar, warna biru yang digunakan, lampu belakang diikuti dengan kehadiran tempat pemijak sisi pada bampar belakang.

Untuk menyerlahkan lagi karakter versatiliti trak pikap ini, Chery telah memadankan pelbagai jenis aksesori perkhemahan termasuklah rak pada bed belakang dan khemah bumbung.

Menurut laporan media tempatan, Chery KP11 dijangka akan ditawarkan dengan pilihan enjin petrol 2.4 liter turbo dengan tetapan plug-in hybrid (PHEV) atau versi penambah jarak (range extender).

Chery KP11 akan dilancarkan di pasaran Asia-Pasifik, Amerika Selatan dan Eropah pada tahun hadapan, menyertai segmen trak pikap yang sudah sedia tepu dengan model seperti Ford Ranger, GWM Cannon, Mazda BT-50, Mitsubishi Triton, Nissan Navara, dan Toyota Hilux.

Chery Malaysia tawar diskaun eksklusif untuk atlet Olimpik, Paralimpik

Chery Malaysia mengumumkan penawaran diskaun eksklusif sehingga 50% untuk model-model keluarannya bagi meraikan pencapaian atlet Malaysia di Sukan Olimpik dan Paralimpik di Paris baru-baru ini.

Menurut syarikat itu, pemenang pingat emas layak mendapat diskaun 50% untuk Tiggo 8 Pro, Omoda 5, dan Omoda E5.

Pemenang pingat perak dan atlet yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir dan akhir pula akan menikmati diskaun 30% sehingga untuk model-model yang sama.

Selain itu, semua atlet Malaysia yang layak bersaing di Sukan Olimpik dan Paralimpik di Paris akan menikmati diskaun 15% untuk rangkaian kenderaan Chery yang sama.

Chery Malaysia dalam satu kenyataan berkata, ini merupakan penglibatan pertamanya dalam menyokong sukan Malaysia sejak kemasukannya ke pasaran tempatan.

“Sebagai pemain baru dalam landskap automotif Malaysia, kami amat berbesar hati dapat menyokong para atlet tempatan Malaysia.

“Ketabahan, keazaman, dan semangat juang mereka memberi inspirasi kepada kita semua, dan kami berharap dapat terus memberi galakan kepada semua atlet sukan Malaysia,” kata Michael Chew, Naib Presiden Chery Malaysia.

Chery turut menekankan kepentingan untuk menyokong atlet kurang upaya, yang telah menunjukkan prestasi luar biasa serta telah mencerminkan semangat ketahanan dan kecemerlangan di sukan Paralimpik baru-baru ini.

Syarikat automotif itu berharap dapat melihat lebih ramai lagi atlet Malaysia layak ke Sukan Olimpik Musim Panas 2028, mencerminkan kekuatan negara yang semakin berkembang dalam sukan di peringkat global.

“Kami amat berbangga dengan keputusan kontinjen Malaysia di Paris. Kejayaan mereka memberi tumpuan kepada kuasa dedikasi, kerja keras, dan kebanggaan negara.

“Sukan memegang tempat istimewa dalam hati setiap rakyat Malaysia, menyatukan dan membangkitkan rasa bangga apabila kita bersama sebagai satu pasukan, satu negara.

“Di Chery Malaysia, kami memahami kuasa transformatif sukan dan kami komited sepenuhnya untuk memupuk bakat tempatan, memastikan atlet Malaysia mendapat sokongan yang diperlukan untuk menyerlah di pentas dunia,” tambah Michael.

Pemenang pingat Olimpik Paris terima habuan Chery Tiggo 7 Pro

SEPERTI yang diumumkan pada Jun lalu, Chery Malaysia telah menyerahkan hadiah kepada atlet-atlet Olimpik Malaysia yang membawa pulang pingat dari Sukan Olimpik Paris baru-baru ini.

Pasangan beregu badminton negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, yang memenangi pingat gangsa dalam kejohanan tersebut, masing-masing menerima sebuah Chery Tiggo 7 Pro.

Sementara itu, pemenang pingat gangsa acara badminton perseorangan lelaki, Lee Zii Jia turut memenangi sebuah Tiggo 7 Pro namun beliau tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana sedang bersaing dalam kejohanan di luar negara.

“Kecekalan, ketabahan, dan kegigihan mereka sepanjang Sukan Olimpik benar-benar memberi inspirasi, dan kami berbangga untuk meraikan kejayaan mereka dengan kenderaan yang mencerminkan sifat-sifat ini,” kata Michael Chew, Naib Presiden Chery Malaysia.

Majlis penyerahan hadiah yang diadakan di sebuah bilik pameran Chery di Bandar Bukit Puchong itu turut dimeriahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“Kami percaya bahawa sukan adalah alat penyatuan bagi Malaysia. Kami menggalakkan sektor swasta untuk memainkan peranan mereka dalam memberi ganjaran kepada atlet apabila mereka berjaya membawa pulang pingat. Apa yang membuatkan sumbangan Chery istimewa adalah mereka meraikan semua pemenang pingat,” kata Yeoh.

Dilancarkan pada Jun lalu pada harga RM123,800, Tiggo 7 Pro dikuasakan oleh enjin 1.6-liter empat silinder turbo yang menghasilkan 197 PS dan 290 Nm.

Dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan yang memacu roda depan, SUV ini mampu mencapai tahap kecekapan bahan api serendah 7.0 liter/100 km.

Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan pelbagai ciri menarik seperti Advanced Driver Assistance System 2.5 (ADAS 2.5), Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, bumbung panoramik dan sistem audio premium Sony.

Menurut Chery Malaysia, seiring dengan perkembangan jenama Chery di seluruh negara, mereka berhasrat untuk terus menyokong sukan tempatan dan menyumbang kepada kejayaan negara di pentas global.

Chery Malaysia perluas rangkaian dengan pusat 3S baharu di Kluang

CHERY Malaysia telah mengumumkan pembukaan sebuah bilik pameran dan pusat servis baharu di Johor yang dimiliki dan dikendalikan oleh Li Koon Auto Sdn. Bhd selaku rakan pengedar.

Beralamat di No. 5 & No. 6, Jalan Kluang Perdana 1, Taman Kluang Perdana, 86000 Kluang, Johor, pusat 3S itu meliputi kawasan seluas 896 kaki persegi dan menyediakan pelbagai kemudahan.

Antaranya termasuk pusat servis yang dilengkapi dengan empat ruang servis yang dikendalikan oleh juruteknik terlatih Chery.

Chery Kluang dikendalikan oleh pasukan profesional terlatih bagi memastikan setiap keperluan pelanggan dipenuhi dengan standard kualiti dan penjagaan yang tertinggi.

Pengarah Rangkaian Chery Malaysia, Soon Boon Ping berkata, “Misi kami adalah untuk menawarkan kenderaan berkualiti tinggi dan memastikan setiap pelanggan menerima penjagaan dan sokongan yang terbaik sepanjang pemilikan mereka.”

Bilik pameran Chery Kluang dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 6 petang (Isnin-Ahad) termasuk Cuti Umum. Sementara itu, pusat servis pula beroperasi dari 8 pagi hingga 5.15 petang (Isnin-Jumaat); dan 8 pagi hingga 12.45 tengahari (Sabtu). Ia ditutup pada Ahad dan Cuti Umum.

Pada masa ini, Chery mengendalikan enam bilik pameran dan lima pusat servis di Johor, bersama dua pusat badan dan cat, untuk memenuhi keperluan pelanggan Chery di negeri itu.

Chery Malaysia janjikan hadiah kereta untuk pemenang pingat sukan Olimpik Paris 2024

Chery Malaysia dengan bangganya mengumumkan sokongan berbentuk ganjaran untuk kontinjen atlet tempatan yang akan menyertai Sukan Olimpik Paris pada bulan depan.

Kerjasama tersebut diumumkan oleh Presiden Chery Auto Malaysia, Leo Chen dalam satu acara yang turut dihadiri oleh Datuk Stuart Ramalingam selaku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia dan Koordinator Road to Gold Programme; Yin Tongyue, Pengerusi Chery Automobile Co. Ltd dan Zhang Guibing, Presiden Chery International.

 

 

Sebagai satu tanda penghargaan dan motivasi kepada para atlet tempatan, Chery Malaysia menjanjikan pemenang pingat emas dengan SUV tujuh tempat duduk Chery Tiggo 8 Pro, diikuti Chery Omoda E5 untuk pemenang pingat perak dan Chery Tiggo 7 Pro untuk pemenang pingat gangsa.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Abdul Rashid Yaakub berkata, “kami amat berbesar hati dengan ikrar yang diberikan oleh Chery Malaysia untuk memberikan ganjaran kepada para atlet Malaysia yang beraksi dengan baik dalam Sukan Olimpik Paris. Kami berharap ini akan merangsang para atlet untuk memberikan yang terbaik dan membanggakan negara.”

 

 

Di peringkat global, Chery Group sentiasa menyokong para atlet tempatan dari pelbagai negara yang akan bersaing dalam pelbagai jenis sukan.

Menurut Leo Chen, “kami tahu atlet Malaysia telah bekerja keras dan berlatih berjam-jam lamanya untuk sukan (Paris Games). Kami mempunyai harapan yang tinggi untuk tahun ini pasukan Malaysia akan mencapai pingat emas yang diidamkan.

“Untuk kontinjen Malaysia, anda harus tahu Chery Malaysia akan sentiasa menyokong dan menceriakan setiap langkah anda.”

 

Chery Malaysia umum kempen recall, libatkan 600 unit Omoda 5

Chery Malaysia dalam satu kenyataan mengumumkan kempen panggil semula (recall) melibatkan sebanyak 600 unit SUV Omoda 5 untuk proses pemeriksaan dan menggantikan komponen gandar rasuk belakang.

Menurut kenyataan yang baharu sahaja dikeluarkan, Chery Malaysia mengenalpasti kes yang tular di laman sosial Facebook sebagai kes terpencil.

Sebagai usaha untuk mempamerkan ketelusan dan tanggungjawab sebagai pengeluar, Chery Malaysia turut menghubungi vendor alat ganti untuk menjalankan analisis terperinci terhadap komponen yang dihasilkan.

 

Difahamkan, sebanyak 600 unit Omoda 5 mungkin berpotensi terjejas akibat kerja-kerja naiktaraf yang dijalankan di fasiliti kemudahan vendor yang menghasilkan komponen gandar rasuk belakang tersebut.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Chery Malaysia akan menghubungi pelanggan yang terjejas berdasarkan Nombor Pengenalan Kenderaan (VIN) yang terjejas untuk pemeriksaan terperinci.

Proses penggantian komponen tersebut akan mengambil masa kira-kira dua jam, dan tiada sebarang bayaran akan dikenakan kepada pemilik.

Untuk ketenangan minda, para pemilik Omoda 5 yang tidak tertakluk di bawah kempen panggil semula terbaharu ini juga boleh menghubungi pihak Chery Malaysia (+603-2771 7070) bagi membolehkan kenderaan mereka diperiksa dengan terperinci.

 

Pemilik Omoda 5 dakwa brek gagal berfungsi, Chery Malaysia beri penjelasan

BARU-baru ini tular sebuah video di media sosial yang dirakam oleh seorang pemilik Chery Omoda 5 yang mendakwa brek keretanya tiba-tiba gagal berfungsi ketika sedang memandu di lebuh raya.

Dalam video berdurasi hampir dua minit itu, wanita bernama Jc Jess mendakwa isu berkenaan telah dibangkitkan kepada pusat servis namun ia tidak dapat diselesaikan.

Lebih malang lagi, pengadu memberitahu bahawa kereta miliknya itu baru berusia dua bulan.

Berikutan isu tersebut, Naib Presiden Chery Malaysia, Lee Wen Hsiang dalam satu kenyataan rasmi berkata pihaknya mengambil perkara itu dengan sangat serius.

“Keselamatan pelanggan adalah keutamaan kami. Kami telah berhubung dengan pelanggan yang terlibat sejak Sabtu (6 April 2024) untuk menangani kebimbangannya dan seterusnya sebuah kereta guna sementara telah ditawarkan kepadanya.

“Kami ingin menekankan bahawa Chery Malaysia komited untuk menyediakan penyelesaian pengangkutan yang selamat dan diyakini, dan kami berazam untuk memastikan bahawa semua kenderaan kami memenuhi standard keselamatan yang tertinggi,” katanya.

Pelanggan Chery yang menghadapi sebarang masalah dengan kenderaan mereka digesa untuk menghubungi Chery Malaysia di talian +603 2771 7070 atau melalui emel di cherycareline@chery.my.

Chery Malaysia buka pusat 3S baharu di Kota Kinabalu

CHERY Malaysia memperkembangkan perniagaannya di Malaysia Timur dengan pembukaan pusat pameran dan pusat servis Chery baharu di Kota Kinabalu, Sabah.

Dimiliki dan dioperasikan oleh Universal Chery Sdn Bhd, pusat 3S baharu itu terletak di Lot 7, Jalan Limau Manis Off Jalan Lintas Inanam, 88450 Kota Kinabalu.

Fasiliti yang mempunyai keluasan 1,400 meter persegi ini menawarkan pengalaman komprehensif dalam perkhidmatan pelanggan dan penyelenggaraan.

Ia mempunyai lapan ruang servis yang dikendalikan juruteknik Chery yang terlatih, dengan kapasiti untuk menyelenggara sehingga 830 kenderaan setiap bulan.

“Kami sangat berbesar hati untuk menetapkan kehadiran kami di Sabah, dengan itu memperluaskan rangkaian kami di seluruh Malaysia, memberikan peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk memiliki rangkaian kenderaan kami,” kata Naib Presiden Chery Malaysia, Lee Wen Hsiang.

“Dengan pembukaan pusat pameran dan servis di Kota Kinabalu, ini seterusnya menunjukkan komitmen kami di Chery Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan yang luar biasa dan kemudahan kepada pelanggan kami di Sabah. Kami juga ingin memperkenalkan jenama kami kepada lebih ramai pelanggan terutamanya di Sabah untuk memandu uji dan mengenali dengan lebih dekat lagi kenderaan Chery,” tambah beliau.

Pusat pameran ini dibuka setiap hari, dari 8.30 pagi hingga 6 petang (Isnin – Jumaat), 8.30 pagi hingga 4 petang (Sabtu) dan dari 10 pagi hingga 3 petang (Ahad dan cuti umum).

Pusat servis pula dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang (Isnin – Jumaat) dan dari 8 pagi hingga 3 petang (Sabtu); ditutup pada hari Ahad dan cuti umum.

Dengan pembukaan Chery Kota Kinabalu, Chery Malaysia kini mempunyai 40 wakil pengedar di seluruh negara.

Chery Malaysia tawar pakej Extra Peace of Mind – pakej servis 7 tahun, waranti enjin 10 tahun

CHERY Malaysia telah memperkenalkan pakej ‘Extra Peace of Mind’ yang ditawarkan khas kepada pemilik baharu Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro.

Dengan bayaran tambahan sebanyak RM11,600, pelanggan akan mendapat pakej servis selama tujuh tahun dan jaminan enjin selama 10 tahun atau 1 juta km.

Pakej servis tersebut merangkumi penggantian item penyelenggaraan berjadual seperti minyak enjin, penapis minyak enjin, coolant radiator, bendalir brek, penapis udara, palam pencucuh, washer minyak enjin dan minyak transmisi untuk tujuh tahun pertama.

Menurut Chery, pakej Extra Peace of Mind menawarkan perlindungan hebat untuk kenderaan baharu, sekali gus membolehkan pemilik memastikan kenderaan mereka beroperasi pada tahap yang terbaik.

Komitmen ini oleh Chery tidak hanya menjamin perkhidmatan berkualiti terbaik tetapi juga meningkatkan nilai jualan semula kenderaan pada masa depan.

Bukan itu sahaja, pelanggan boleh yakin bahawa mereka tidak akan terjejas oleh peningkatan harga alat ganti dan kos penyelenggaraan dari masa ke semasa.

Untuk maklumat lanjut tentang pakej Extra Peace of Mind, layari laman https://www.chery.my/ atau kunjungi pusat pameran Chery di seluruh negara.

Chery Omoda E5 kini boleh ditempah, akan tiba di pusat pameran hujung minggu ini

Chery Malaysia mengumumkan bahawa Chery Omoda E5 yang dinantikan akan tiba di pusat pameran Chery di seluruh negara, bermula hujung minggu ini (24 Feb).

Para pelanggan dan peminat Chery dijemput untuk melihat dengan lebih dekat crossover elektrik itu serta membuat tempahan sebelum pelancaran rasminya pada 6 Mac nanti.

Dijangkakan berharga sekitar RM160,000, Omoda E5 menampilkan motor elektrik tunggal pada gandar hadapan yang menjana 201 hp dan 340 Nm.

Ia juga didatangkan dengan bateri jenis lithium iron phosphate berkapasiti 61 kWj yang menawarkan jarak pandu sejauh 430 km mengikut kitaran (WLTP).

Untuk pengecasan, Omoda E5 menyokong pengecasan AC 9.9 kW dan pengecasan DC pada kapasiti sehingga 80 kW yang boleh mengisi semula bateri dari 30% hingga 80% dalam hanya 30 minit.

Selain itu, ia juga menampilkan skrin melengkung 2K berdefinisi tinggi berukuran 24.6 inci yang dikuasakan oleh cip Qualcomm. Turut disertakan adalah fungsi Vehicle-to-Load (V2L).

Chery Malaysia berkata model ini juga telah berjaya dalam Ujian Merentasi Air dan Ujian Mencengkam Lantai, sekaligus membuktikan bahawa ia mampu menghadapi pelbagai rintangan dan memastikan pengalaman memandu yang lebih selamat.

Chery Malaysia, Carsome jalin kerjasama revolusikan tukar-beli kenderaan

CHERY Malaysia telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Carsome dan Akademi Carsome semasa taklimat tahunan perniagaannya pada Rabu, 10 Jan.

Fokus utama kerjasama ini adalah untuk merevolusi tukar-beli (trade-in) kenderaan dan meningkatkan kemahiran insaniah dalam rangkaian wakil jualan Chery.

Kerjasama dengan Carsome memudahkan proses bagi pelanggan Chery yang mengunjungi pusat pameran mereka. Dengan memilih untuk tukar-beli, pelanggan boleh meminta Carsome untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan di lokasi pilihan mereka.

Selesai pemeriksaan, Carsome akan membuat tawaran harga bagi kenderaan yang hendak ditukar-beli. Apabila tawaran diterima, pelanggan boleh menyerahkan kereta lama mereka sebelum atau semasa mengambil kereta Chery yang baru.

Carsome juga menjalankan kempen istimewa untuk pengedar Chery dengan menawarkan tambahan RM500 di atas harga tawaran pertukaran untuk pelanggan mereka yang menukar kereta dari 15 Januari hingga 15 Februari 2024.

Sementara itu, MoU kedua bertujuan untuk memperkukuhkan kemahiran insaniah dalam rangkaian wakil jualan Chery.

Perjanjian di antara Chery Auto Malaysia dan Akademi Carsome akan memberi tumpuan kepada empat aspek iaitu Peningkatan Kemahiran Tenaga Kerja, Program Pemeriksaan Kenderaan Peneraju Skil, Latihan & Penempatan serta Inisiatif Pemasaran.

“Kerjasama dengan Carsome akan memberi manfaat dan penting bagi pengedar kenderaan Chery kami, terutama dengan peningkatan pelanggan yang ingin menukar kereta lama mereka dengan kereta Chery yang baru,” katanya Naib Presiden Chery Auto Malaysia, Lee Wen Hsiang.

Selain itu, dengan rancangan untuk memperluaskan pusat pameran kepada 48 cawangan menjelang akhir 2024, akan melihat peningkatan dalam tenaga kerja, termasuk wakil jualan dan pengurus jualan.

Oleh itu, memastikan kepentingan perkhidmatan pelanggan Chery menjadi langkah penting untuk kejayaan jenama itu pada masa hadapan.

Chery Malaysia jual 4,501 unit kenderaan dari September hingga Disember 2023

CHERY Malaysia mengumumkan ia berjaya menjual sebanyak 4,501 unit kenderaan pada 2023, satu pencapaian yang dianggap luar biasa memandangkan syarikat itu hanya mula menyerahkan Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro pada September.

Menurut Naib Presiden Chery Auto Malaysia, Lee Wen Hsiang, lebih 80 peratus daripada jumlah tersebut disumbangkan oleh Omoda 5.

Bukan itu sahaja, Lee berkata mereka juga menjalankan tinjauan kepuasan jualan di mana lebih 1,000 pelanggan jenama itu telah memberikan markah 94 daripada 100.

Tambah Lee lagi, walaupun mendapat banyak ulasan ketika mula memasuki pasaran Malaysia, Chery Malaysia akan mengekalkan tumpuan mereka untuk terus menyelesaikan isu pelanggan.

Antara usaha yang dilakukan untuk mencapai sasaran itu adalah menerusi perluasan rangkaiannya di seluruh negara.

Pengarah Pembangunan Rangkaian Chery Auto Malaysia, Soon Boon Ping berkata setakat ini syarikat itu mempunyai 32 outlet yang beroperasi di seluruh negara dengan tenaga kerja seramai 550 kakitangan.

“Menjelang akhir 2024, kami berharap untuk mempunyai sekurang-kurangnya 48 cawangan beroperasi dan ini juga akan menyumbang kepada peningkatan 70 peratus dalam pusat 3S dan 4S kami,” katanya.

Mengenai produk, Pengarah Produk Chery Auto Malaysia, Michael Chew mengesahkan bahawa syarikat itu akan memperkenalkan empat model baharu pada 2024.

Ia akan bermula dengan Omoda E5 pada Mac, diikuti dengan Tiggo 7 Pro pada suku kedua dan dua lagi model pada suku keempat.

Apa yang menarik, salah satu daripada dua model tersebut merupakan model mampu milik yang akan membantu Chery Malaysia mencapai volum lebih tinggi. Adakah ia Tiggo 4 Pro yang dipratonton pada Oktober 2022?

Chery Tiggo 7 Pro sah akan dilancarkan pada suku kedua 2024

SEMASA pembentangan taklimat perniagaannya di Kuala Lumpur awal hari ini, Chery Malaysia mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan Tiggo 7 Pro ke pasaran tempatan pada suku kedua tahun ini.

SUV lima tempat duduk itu akan menjadi model keempat Chery yang diperkenalkan di Malaysia selepas Omoda 5, Tiggo 8 Pro dan Omoda E5. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Omoda E5 akan dilancarkan pada Mac depan.

Di samping mengesahkan kemasukan Tiggo 7 Pro, Chery Malaysia turut mengambil kesempatan untuk mendedahkan spesifikasi awal untuk model berkenaan.

Tidak seperti Indonesia, di mana Tiggo 7 Pro ditawarkan dengan enjin 1.5-liter turbo, kita akan mendapat enjin 1.6-liter empat silinder turbo yang menghasilkan 197 hp dan 290 Nm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.3 saat.

Selain itu, Tiggo 7 Pro juga didatangkan dengan rim aloi 18 inci, bumbung suria panoramik dan penyejuk tempat duduk depan. Menariknya, gambar yang digunakan dalam slaid pembentangan menunjukkan rekaan bampar hadapan yang berbeza dengan unit yang dipratonton tahun lalu.

Sistem infohibur pula merangkumi skrin berkembar berukuran 24.6 inci, Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, serta sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara.

Dari segi keselamatan pula, model tersebut dilengkapi dengan 17 ciri ADAS, iaitu lima ciri lebih banyak berbanding Tiggo 8 Pro. Turut disertakan adalah kamera 540 darjah.

Harga masih belum diumumkan, namun kami menjangkakan Tiggo 7 Pro akan diposisikan betul-betul di antara Omoda 5 (RM108,800 hingga RM118,800) dan Tiggo 8 Pro (RM159,800). Kemungkinan besar ia juga akan dipasang secara tempatan di Kulim, Kedah bersama-sama dengan dua model tersebut.

Chery Malaysia rai serahan pertama unit CKD Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro

CHERY Malaysia mengumumkan baru menyempurnakan penyerahan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) bagi model Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro.

Acara yang dijalankan di kilang CKD Chery di Inokom Kulim, Kedah itu juga menzahirkan komitmen mereka untuk operasi pemasangan tempatan serta untuk memberikan pengalaman baik kepada pelanggan.

Acara itu juga menyaksikan penyerahan replika kunci dari Pengara Urusan Inokom Corporation, Mr. Kui Seng Huat kepada Pengarah Operasi Kilang Chery Malaysia, Mr. Xu Jing Zhong, selain tetamu kehormat lain.

Unit CKD pertama Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro diserahkan secara rasmi kepada Chery Malaysia, menandakan permulaan era baharu dalam sektor automotif negara ini.

Chery jual 740,000 kenderaan untuk separuh pertama 2023

Dalam perkembangan antarabangsa, Chery Group dilaporkan telah menjual 741,400 kenderaan untuk enam bulan pertama 2023, bersamaan peningkatan 56 peratus untuk tempoh sama berbanding tahun lepas.

Data ini dikongsi oleh China Association of Automobile Manufacturers (CAAM). Menurut perkongsian itu juga, jumlah eksport China bagi suku pertama 2023 juga melebihi 1.07 juta kenderaan, melebihi angka Jepun, sekaligus menjadikan China pengeksport kenderaan terbesar di dunia.

Chery Malaysia siapkan kelompok pertama pemeriksaan pra-penghantaran di Kulim

CHERY Malaysia mengumumkan bahawa ia telah berjaya menyiapkan kelompok pertama Pemeriksaan Pra-Penghantaran (Pre-Delivery Inspection atau PDI) di kilang pemasangannya di Kulim, Kedah.

Pencapaian ini merupakan bukti komitmen Chery Malaysia terhadap kualiti dan pemasangan, selain penting bagi memastikan pengalaman pemilikan yang tiada tandingan untuk pelanggan mereka.

Menurut syarikat itu, penyepaduan prosedur PDI terus ke dalam barisan pengeluaran kilang pemasangan tempatannya (CKD) menandakan detik penting dalam usahanya untuk mendapatkan jaminan kualiti.

Dengan menjalankan pemeriksaan dan ujian yang teliti sebelum kenderaan meninggalkan kilang, Chery Malaysia
menyasar untuk menghantar kenderaan yang bukan sahaja memenuhi tetapi juga melangkaui jangkaan pelanggan.

“Kejayaan ini adalah kemuncak kerja keras dan usaha gigih kumpulan pemasangan Chery Malaysia di kilang CKD, kami akan terus berusaha untuk menetapkan standard industri baharu bagi memenuhi tahap kualiti antarabangsa.” kata Leo Chen, Naib Presiden Eksekutif Chery Malaysia.

Tambah beliau lagi, komitmen Chery Malaysia terhadap kualiti meliputi setiap aspek proses pembuatan dan pemasangannya.

“Kesediaan barisan pengeluaran dan pemasangan untuk PDI adalah bukti perancangan teliti serta bukti pelaburannya dalam teknologi dan proses termaju.

“Penambahan PDI dalam proses pengeluaran CKD mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai jenama yang semakin meningkat dalam industri automotif Malaysia. Inisiatif ini sejajar dengan misi Chery Malaysia untuk menetapkan standard baharu bagi kualiti, keselamatan dan kepuasan pelanggan,” kata Chen.

Chery Malaysia jual 3,000 unit kenderaan dalam masa 10 hari

CHERY Malaysia mengumumkan bahawa ia berjaya menjual 3,000 unit kenderaan dalam tempoh 10 hari selepas jenama itu dilancarkan secara rasmi.

Pada 7 Julai lalu, Chery Malaysia menandakan kehadiran semulanya ke negara ini menerusi pelancaran dua model crossover iaitu Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro.

Kedua-dua model tersebut didatangkan dengan jaminan selama tujuh tahun dan servis percuma selama lima tahun. Apa yang menarik, 3,000 pelanggan pertama akan menerima jaminan enjin sehingga 10 tahun atau satu juta km secara percuma.

Bagaimanapun, pelanggan yang masih mahukan pakej jaminan lanjutan enjin itu boleh mendapatkannya pada harga mampu milik iaitu RM2,000.

Menurut syarikat itu, pencapaian luar biasa ini menjadi bukti yang menunjukkan permintaan pasaran yang kukuh dan keyakinan pelanggan pada produk yang ditawarkannya.

Setakat ini, Chery Malaysia mempunyai 23 bilik pameran yang sedia dikunjungi dan lapan lagi hampir siap menjelang hujung Ogos 2023 bagi memenuhi keperluan pelanggan.

Syarikat itu juga menyediakan 22 pusat servis yang terletak secara strategik di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Rangkaian komprehensif ini memastikan pelanggan boleh mengakses perkhidmatan jualan dan selepas jualan dengan mudah.

“Sebagai syarikat automotif yang berpengalaman tinggi dalam pembuatan dan keupayan inovatif, Chery berdedikasi untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan pengguna Malaysia,” kata Leo Chen, Naib Presiden Eksekutif Chery Malaysia.

“Kami menitikberatkan kualiti, keselamatan dan prestasi produk, terus menghasilkan inovasi dan menambah baik teknologi secara berterusan untuk terus mendahului permintaan pasaran,” katanya lagi.

Chery Malaysia, Tiong Nam Logistics jalin kerjasama strategik

CHERY Malaysia mengumumkan bahawa ia telah menandatangani perjanjian perkhidmatan logistik bersama Tiong Nam Logistics Holdings Berhad.

Menerusi perjanjian ini, Tiong Nam Logistics memperoleh hak untuk mengendalikan penggudangan dan penghantaran alat ganti serta model-model keluaran Chery seperti Tiggo 8 Pro dan Omoda 5 yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Tiong Nam merupakan sebuah syarikat perkhidmatan logistik dan penggudangan yang bereputasi tinggi dan terkemuka dengan lebih 90 gudang alat ganti di Malaysia. Persetujuan ini menandakan satu peristiwa penting dalam penubuhan kerjasama antara kedua-dua pihak.

“Malaysia dilihat sebagai pasaran yang sangat baik dan cerah di Asia Tenggara,” kata Leo Chen, Pengarah Negara bagi Chery Malaysia.

Menurut beliau lagi, Malaysia telah muncul sebagai pasaran penting untuk perkembangan Chery di dunia. Sebagai salah satu ekonomi terbesar di ASEAN, perkembangan ekonomi Malaysia yang stabil dan pasaran automotif yang penuh potensi menjadikannya pasaran strategik untuk kenderaan pemanduan kanan Chery.

Dengan kemasukan Chery ke Malaysia, syarikat itu akan menjalinkan hubungan dengan negara-negara jiran dan terus mengukuhkan pengaruh pasarannya di Asia Tenggara.

Dalam pada itu, Chery dan Tiong Nam sedang giat membina pasukan yang kuat dan bekerja mengikut mekanisme kerja 4P + 2P Chery.