Tag Archives: chiron

Ini harga lampu depan Bugatti Chiron, hanya RM712,773 sepasang

TIDAK banyak kereta yang mempunyai lampu quad seperti Bugatti Chiron. Nyalaannya cukup jelas, menyebabkannya mudah dikenali dari jauh atau pada waktu malam.

Walaubagaimanapun, kenderaan ini cukup rare, hanya 500 unit dibina. Tetapi sudah tentu, tahap eksklusif ini berkos tinggi bukan sahaja semasa membeli kereta, tetapi juga untuk alat ganti.

Untuk rujukan, sebuah iklan di eBay Germany memaparkan sepasang lampu depan Valeo untuk Chiron dengan harga yang boleh tahan menangis bila kita melihatnya. Cuba teka. RM100,000? RM250,000? Salah.

Sepasang lampu LED quad yang boleh dipasang pada Chiron Pur Sport dan Super Sport 300+ ini berharga 147,000 Euro, bersamaan RM712,773 (mengikut kadar tukaran hari ini).

Dengan harga ini, di Malaysia, anda boleh beli BMW X7, Lotus Emeya, Mercedes S580e, atau Audi A7 baharu. Bayangkan harga sepasang lampu menyamai harga kereta-kereta mewah.

Penjual eBay ini berada di Poland tetapi dia boleh menghantar lampu Chiron itu ke negara-negara Eropah, dengan tambahan harga 1,000 Euro (RM4,848). Anda mahu ia dihantar ke Malaysia? Pasti boleh, tetapi kami yakin penghantarannya lebih mahal lagi.

Menurut iklan itu lagi, lampu tersebut adalah baharu dan dalam keadaan sempurna. Ianya mempunyai kod OEM alat ganti bertulis 5B4941035C 5B4941036C.

Mengapa harga lampu LED ini begitu mahal? Pastinya dengan beberapa sebab. Lampu tersebut berteknologi tinggi, bukan LED biasa tetapi lengkap dengan fungsi terkini seperti Auto High Beam dan matriks.

Kemudian, ianya mahal kerana pengeluaran yang terhad. Apa-apa barang jika dikeluarkan dalam jumlah terhad, pasti harganya lebih tinggi untuk mencapai skala ekonomi.

Akhir sekali, jika anda tidak boleh terima harganya, mungkin anda belum menjadi pelanggan sasaran Bugatti.

Buat pemilik dan pelanggan Bugatti, mereka tiada masalah membayar harga sebegini asalkan kereta-kereta koleksi mereka berada dalam keadaan sempurna untuk ditayang dalam media sosial dan dibawa melepak bersama rakan.

Bugatti Tourbillon – 16 silinder, 8.3-liter, 3 motor elektrik, 1,800hp, 0-100 2 saat

WALAUPUN sekali imbas nampak seperti Chiron, tetapi ini ialah Bugatti Tourbillon, model baharu sepenuhnya. Casis monocoque, suspensi, dan enjin semuanya baharu. Mari kita lihatkan perincian dan angka-angka enjin dahulu.

Seperti dilaporkan sebelum ini, Bugatti akan mengeluarkan hypercar dengan enjin 16 silinder baharu, inilah dia.

Di belakang kokpit Tourbillon ini tersumbatnya enjin 8.3-liter V16 hibrid naturally-aspirated yang mampu berputar sehingga 9,500rpm dan menjana 1,000hp sendiri. Tetapi ini bukanlah outout keseluruhan Tourbillon.

Ini kerana ia mendapat bantuan hibrid yang dibangunkan oleh Cosworth. Terdapat dua motor elektrik di gandar depan, dan motor ketiga di belakang bersama enjin.

Pek bateri 25kWh membekalkan 800hp untuk sistem elektrik ini, menjadikan output keseluruhan 1,800hp. Ditambah pula dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2, Bugatti Tourbillon mampu memecut ke 100km/j dalam hanya 2 saat.

Kemudian jika anda terus menekan pedal rapat ke lantai, 200km/j dicapai dalam 5 saat, dan 300km/j kurang 10 saat.

Kelajuan maksima 380km/j pula dicapai dalam masa kurang 25 saat. Kemudian jika anda mempunyai Speed Key khas, spoiler belakang Tourbillon akan terus memastikan kereta stabil hingga 444km/j.

Walaupun lebih kompleks dan lebih berkuasa, Bugatti berkata Tourbillon lebih ringan dari Chiron. Ia juga menggunakan sistem 800 volt dan boleh dipandu sehingga 60km dalam mod elektrik.

Peminat jam tangan akan perasan bahawa Tourbillon menampilkan banyak komponen mekanikal yang memerlukan ketepatan dan kualiti tinggi.

Ia dilengkapi pintu dihedral berkuasa elektrik, dan tiga paparan analog untuk instrumen yang direka oleh pembuat jam Switch. Paparan ini terpasang tetap pada kolum stereng.

Di konsol tengah pula, terdapat barisan suis-suis aluminium, tombol rotary, dan tombol kristal untuk menghidupkan enjin V16. Kesemua ini direka untuk memberikan Tourbillon rupa yang timeless.

Dari segi rekaan luaran, anda pasti kenal ianya sebuah Bugatti dengan sekali pandang sahaja. Reka bentuk mirip Chiron ini dilengkapi dengan diffuser yang bermula dari belakang kabin, hampir tidak kelihatan dari pandangan biasa.

Corong-corong di lampu depan menyalurkan udara ke liang udara sisi yang besar, kemudian gril horseshoe ikonik di depan ‘menyuap’ udara ke radiator sambil menjana downforce.

Spoiler belakang aktif seperti biasa juga berfungsi sebagai brek udara. Tourbillon dilengkapi dengan suspensi baharu sepenuhnya yang 45 peratus lebih ringan dari Chiron.

Bugatti Tourbillon dijangka memasuki pasaran pada 2026 dengan 250 unit pertama akan dihasilkan. Harga bermula 3.6 juta Euro (RM18.2 juta).

Apa itu EV? Bugatti akan dedah enjin V16 pada 20 Jun ini!

DALAM zaman elektrifikasi ini, seperti yang kita dapat lihat banyak pengeluar mula menawarkan model elektrik sepenuhnya (EV) atau hibrid.

Bugatti juga terkesan, tetapi mereka nampaknya belum bersedia untuk EV, sebaliknya mengambil jalan hibrid. Dengan nama seperti Bugatti, anda pasti dapat jangkakan ia bukan hibrid biasa.

Tepat sekali, ia hibrid dengan pakej enjin V16 yang mampu memberikan kuasa puncak sehingga 1,800hp. Enjin ini bakal didedahkan kepada dunia pada 20 Jun depan.

Ia merupakan enjin naturally-aspirated (NA) tidak seperti pada Veyron dan Chiron yang merupakan enjin quad-turbo.

V16 yang akan menggantikan W16 ini ialah hibrid dengan tiga motor elektrik – dua pada gandar depan, satu di belakang. Motor elektrik belakang ini juga akan terletak di dalam kotak gear dwi-klac 8-kelajuan.

Ura-ura mengatakan enjin ini mempunyai sesaran 8.3-liter yang boleh rev sehingga 9,500rpm dan menjana sehingga 1,000hp. Motor elektrik pula menyumbang kuasa tambahan menjadikan output keseluruhan sebanyak 1,800hp.

Kita sudah mengetahui Bugatti bakal melancarkan pengganti Chiron tahun ini. Jadi, enjin ini pastinya menjadi nadi kepada hypercar baharu ini nanti.

Black Bess

Menurut Bugatti, hypercar itu nanti “direka dari bawah sepenuhnya”. Ia mengambil inspirasi dari model-model lepas seperti Type 57 C Atlantic, Type 41 Royale, dan Type 35.

Hypercar ini juga dijangka mampu memecut ke 100km/j kurang dua saat, 200km/j dalam lima saat, dan mencapai 300km/j kurang 10 saat. Kelajuan maksima dihadkan kepada 446km/j.

Dikatakan hanya 250 unit akan dikeluarkan. Ini lebih eksklusif berbanding Veyron dan Chiron, yang masing-masing dibina sebanyak 450 dan 500 unit.

Inilah casis Bugatti Bolide yang istimewa, lebih kukuh dari Chiron

BUGATTI Bolide bukan sekadar sebuah hypercar super-eksklusif. Ia sebuah pencapaian kejuruteraan dimana keselamatan tahap tertinggi bertemu dengan prestasi.

Hasil pengetahuan dan pengalaman Bugatti dalam sukan permotoran membawakan kepakaran menghasilkan teknologi maju seperti casis monocoque gentian karbon yang mematuhi piawaian FIA (Fédération Internationale de l’Automobile).

Casis monocoque yang menjadi ‘tulang’ kepada Bugatti Bolide telah menetapkan suatu aras baharu untuk industri ini. Ia juga lebih kukuh dan tegar dari casis Bugatti Chiron!

Ciri keselamatan Bolide bukan calang-calang, ia melepasi piawaian FIA yang ketat bagi ujian gulingan dan perlanggaran. Hypercar prestasi tinggi ini juga dilengkapi dengan sistem pemadam api automatik bergred tentera serta tali pinggang enam-poin yang membuatkannya sedia untuk menyertai perlumbaan.

Kokpitnya direka untuk keselamatan dan juga keselesaan, tetapi lengkap dengan sistem HANS (Head And Neck Support). Sistem penghawa dinginnya pula ditala khas untuk situasi perlumbaan.

Ciri keselamatan lain termasuklah Tracton Control, Electronic Stability Control, dan brek ABS, memastikannya sedia bersaing dalam apa jua keadaan cuaca.

Nadi kepada Bugatti Bolide ialah enjin 8.0-liter quad-turbo W16 yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 1,825hp dan 1,850Nm tork. Kombinasi keselamatan, prestasi, dan inovasi kejuruteraan menjadikan Bugatti Bolide suatu hypercar yang istimewa.

Jam tangan Bugatti Carbone gentian karbon pertama di dunia, edisi terhad, mampu baca prestasi kereta

PENGELUAR hypercar, Bugatti juga menghasilkan jam tangan eskklusif untuk dipadankan dengan kereta-kereta mereka. Model terbaharu diperkenalkan ialah jam tangan pintar (smartwatch) Carbone Limited Edition.

Jam ini merupakan yang pertama di dunia yang dibina dari gentian karbon sepenuhnya (untuk perumahnya, bukan komponen digital). Dan hanya 2,500 utas akan dihasilkan di seluruh dunia.

Ia dihasilkan dari sebongkah gentian karbon sebelum dipotong menggunakan mesin CNC. Hasilnya ialah jam yang ringan dan rugged – mirip bahan-bahan pada Bugatti Chiron.

Jam ini seberat 94 gram – mungkin agak berat untuk sebuah jam tangan – tetapi ia menyamai satu lagi jam iaitu Bugatti Ceramique Edition One yang diperbuat dari zirconium.

Jam Carbone Limited Edition ini mampu ‘hidup’ selama sehingga 15 hari dengan satu caj penuh, bergantung kepada penggunaan.

Smartwatch gentian karbon pertama di dunia ini turut menampilkan aplikasi yang memantau tahap kesihatan pemakainya semasa tidur, berehat, membuat aktiviti, bersenam, atau di litar.

Untuk fungsi litar bukanlah bagi pemakainya, tetapi khusus untuk memantau prestasi kereta Bugatti. Ia mampu membaca dan memaparkan maklumat seperti catatan masa, kelajuan, dan pecutan, kesemuanya menggunakan GPS khas untuk bacaan berketepatan tinggi.

Bukan itu sahaja, jam ini juga boleh dibawa menyelam sehingga kedalaman 330 kaki (100 meter). Agak mengagumkan untuk peranti dengan 390×390 pixel, skrin sesentuh AMOLED Sapphire dengan 16.7 juta warna.

Terdapat 29 pilihan warna ditawarkan, dan kesemuanya menggunakan sistem operasi iOS 13.0 atau Android 7.0 ke atas. Setiap utas jam tangan mewah ini juga hadir dengan jaminan lima tahun, juga pertama seumpamanya.

Harga bumbung Bugatti Chiron lebih mahal dari sebuah Toyota Supra baharu!

MEMILIKI sebuah Bugatti mungkin salah satu benda paling mewah yang boleh kita miliki. Kos penyelenggaraan tahunan biasa, sebagai contoh penukaran minyak enjin boleh mencecah USD25,000 (RM109,000).

Dan ini hanya jumlah kecil yang anda belanjakan setiap tahun bagi memastikan hypercar Perancis ini dalam keadaan tiptop. Kos-kos ini boleh melangit lagi jika berlaku kerosakan pada badannya.

Bayangkan anda tercalarkan bumbung Bugatti Chiron milik anda, dan anda tak mahu ke bengkel rasmi untuk ‘berjimat’ sedikit.

Satu pilihan ialah cat semula panel itu. Tetapi jika calarnya terlalu dalam, tiada pilihan lain selain menggantikannya. Dan kini terdapat ‘bengkel luar’ yang membekalkan bumbung Chiron jika anda mahu menggantikan unit yang tercalar tadi.

TheSupercarBlog berkongsi tentang suatu iklan di Instagram oleh SGR Automotive yang memaparkan bumbung Bugatti Chiron. Menurut penjualnya, bumbung itu merupakan unit OEM dan dalam keadaan sempurna.

Foto-foto menunjukkan bumbung yang memang masih cantik, berwarna biru tanpa sebarang kecacatan pada cat atau struktur gentian karbonnya.

Harus diingat juga bahawa untuk Chiron, bumbungnya lebih dari sekadar panel biasa untuk menutupi ruang kabin. Sebaliknya, ia berperanan penting sebagai struktur monocoque yang memberi kekuatan kepada keseluruhan kenderaan.

Senang cerita, sebarang kecacatan pada bumbung ini walaupun kecil, akan memberi kesan kepada pemanduan dan pengendalian Chiron.

Berapa harganya? SGR Automotive meletakkan harga USD55,000 (RM241,370) untuk panel bumbung itu. Ya, harga bumbung ini cukup untuk membeli sebuah Toyota Supra 2022 di Amerika Syarikat (harga Supra bermula pada kira-kira RM191,000).

Jika di Malaysia, bumbung Bugatti Chiron ini bersamaan harga sebuah BMW 320i, Volkswagen Golf GTi atau Volvo XC40 T5.

Berbaloi? Mestilah berbaloi. Lagipun kalau dah mampu memilik Bugatti Chiron, berapa lah sangat RM100k atau RM200k tu kan?