FOXCONN yang merupakan kontraktor utama pengeluaran iPhone merancang membuka kilang pengeluaran cip di Malaysia, dengan rakan kongsi tempatan. Ini berikutan permintaan semikonduktor yang digunakan dalam kenderaan EV yang semakin meningkat.
Imej oleh: CNBC
Untuk menjayakannya, Foxconn Taiwan telah menandatangani memorandum persefahaman bersama Dagang NeXchange Berhad (DNex) Malaysia melalui anak syarikat.
Menurut Soya Cincau BM yang memetik Nikkei Asia, perkara ini sudah lama dirancang Foxconn. Sejak tahun 2021, Foxconn memiliki kira-kira 5 peratus pegangan saham dalam DNex dan mempunyai satu kerusi di lembaga syarikat itu.
Walau bagaimanapun, lokasi dan jumlah pelaburan masih belum diumumkan. Dianggarkan bahawa perbelanjaan modal untuk projek itu adalah antara USD3 bilion dan USD5 bilion.
Apabila siap kelak, kilang itu dijangka akan menghasilkan sekitar 40,000 wafer sebulan. Ia merangkumi cip 28-nanometer dan 40-nanometer.
Sebenarnya, Foxconn ingin menempatkan kilangnya di serata dunia berikutan Apple memberi cadangan supaya mereka mempertimbangkan untuk membawa keluar kapasiti pengeluaran ke negara lain.
Sebelum menandatangani memorandum bersama DNex, Foxconn ada mengumumkan rancangan untuk membina kemudahan cip di India.
Selain itu, Foxconn juga ada membeli kilang di bandar Hsinchu di utara Taiwan pada 2021 untuk membangunkan cip silikon karbida bagi kegunaan automotif.
Malaysia telah pun menjadi salah satu destinasi pilihan di Asia Tenggara, untuk syarikat-syarikat besar membangunkan kilang semikonduktor.
Selain Foxconn, Infineon Technologies juga telah melabur hampir RM9.5 bilion bagi menaik taraf kemudahan pengeluaran mereka yang terletak di Kulim. Kilang tersebut dijangka mula beroperasi dalam tahun 2024.
PERKEMBANGAN dunia automotif global tidak sunyi daripada beberapa peristiwa besar berlaku sepanjang tahun 2021.
Bermula daripada perkembangan teknologi sehingga isu ekonomi, kesemua peristiwa ini telah menjadi satu rentetan bersejarah yang tidak akan dilupakan.
Maka, bersempena kita bakal memasuki tahun 2022 tidak lama lagi, kami kongsikan imbasan semula lima berita automotif antarabangsa pilihan Engear sepanjang tahun ini.
Berita antarabangsa pertama pilihan Engear adalah mengenai satelit yang dibangunkan oleh syarikat automotif asal China iaitu Zhejiang Geely Holding Group.
Usaha Geely ini merupakan satu langkah proaktif daripada syarikat itu yang sentiasa berusaha memberikan teknologi serta perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.
Satelit dibangunkan Geely ini berfungsi dengan menghasilkan rangkaian navigasi berketepatan tinggi untuk membolehkan kenderaan dipandu secara sendiri!
Berdasarkan informasi diperoleh, Geely telah pun menghasilkan lebih 500 satelit setahun dan akan menambah bilangan produktiviti dari masa ke masa.
Terkenal sebagai syarikat pengeluar kenderaan pintar, reputasi Tesla sedikit tercalar tahun ini.
Ia susulan siasatan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) terhadap fungsi Advanced Driver-Assistance System (ADAS) keluaran Tesla.
Tesla disiasat sama ada telah mengiklankan ADAS sebagai sistem kenderaan pandu sendiri.
Hal ini kerana berlaku kemalangan jalan raya yang dikatakan berpunca daripada kegagalan sistem ADAS sekaligus menyebabkan kerugian kepada pemilik kenderaan.
Apa yang lebih membimbangkan apabila terdapat kemalangan sehingga menyebabkan kematian di AS.
Idea penciptaan kereta terbang tidak lagi ‘dongeng’ apabila ia berjaya dihasilkan oleh sebuah syarikat automotif Anton Zajac dari Slovakia tahun ini.
Walaupun kenderaan terbabit hanyalah prototaip tetapi, ia dilihat sebagai satu kejayaan membanggakan bagi dunia automotif.
Menerusi ujian penerbangan kereta dinamakan sebagai AirCar itu, projek berkenaan berjalan sangat lancar apabila ia berjaya diterbangkan selama 35 minit.
Salah satu ciri menarik terdapat pada AirCar adalah reka bentuknya yang tidak ‘lari’ daripada ciri-ciri terdapat pada kebanyakan kereta lain.
Hal ini kerana kebanyakan prototaip kereta terbang sebelum ini lebih kelihatan seperti dron dan tidak mampu bergerak di jalan raya seperti kebanyakan kenderaan darat lain.
Industri automotif dunia berdepan satu situasi yang tidak dijangka apabila ‘diserang’ krisis kekurangan bekalan cip semikonduktor.
‘Bencana’ ini menyebabkan kebanyakan syarikat pengeluar kenderaan mengalami impak amat besar melibatkan operasi penghasilan kenderaan masing-masing.
Antara punca utama berlaku krisis ini adalah disebabkan pandemik Covid-19 yang menyebabkan banyak syarikat pengeluar cip semikonduktor terpaksa henti operasi seketika.
Malaysia antara negara terkesan dengan situasi ini melibatkan syarikat Proton dan Perodua sekaligus menyebabkan ramai pelanggan terpaksa menunggu kenderaan dibeli dalam satu jangka masa lama.
Persoalannya, adakah masalah ini akan dapat diselesaikan pada tahun depan? Sama-sama kita nantikan…
Demikian antara lima berita antarabangsa pilihan Engear untuk tahun 2021.
Terdapat banyak lagi berita atau peristiwa besar dunia automotif berlaku pada tahun ini. Jadi, kami serahkan kepada anda untuk senaraikan ia pada ruangan komen media sosial Engear.
UMW Holdings Bhd mencatatkan kerugian bersih RM47.9 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2021 daripada untung bersih RM83.87 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Hasil berkurangan kepada RM2.02 trilion daripada RM2.66 trilion berpunca jualan lebih rendah dalam segmen automotif, pembuatan dan kejuruteraan.
Hal ini berkaitan dengan operasi pengeluaran yang terhad ekoran kelonggaran sekatan pergerakan mulai 16 Ogos 2021 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Segmen automotif merekodkan hasil sebanyak RM1.59 trilion, 25.2 peratus lebih rendah daripada RM2.13 trilion yang dilaporkan pada suku yang sama.
“(Ia) ditambah pula dengan kekurangan cip semikonduktor yang berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, UMW yakin mampu menangani isu kekuragan cip semikonduktor dengan pelan strategik lebih baik di masa depan.
“Permintaan untuk produk automotif dijangka terus kukuh berikutan pelanjutan pengecualian cukai jualan.
“Walaupun kumpulan telah berjaya mengurangkan impak kekurangan cip semikonduktor bagi tahun ini, namun kumpulan akan terus bekerjasama rapat dengan prinsipal dan pembekal.
“Pengenalan model baharu, termasuk kenderaan elektrik hibrid, serta promosi jualan akhir tahun dijangka memacu jualan lebih kukuh,” katanya lagi.
UMW berkata, prospek bagi sub-segmen komponen dan pelincir kereta juga kian baik susulan gangguan rantaian bekalan yang semakin berkurangan.
Bagaimanapun, UMW tidak menolak persekitaran perniagaan kekal mencabar untuk baki tahun ini selain terus menguruskan kesan negatif Covid-19.
TOYOTA memaklumkan semua kilangnya di Jepun akan kembali beroperasi seperti biasa bermula Disember selepas berdepan masalah kekurang bekalan cip semikonduktor.
Memetik laporan media, langkah itu bakal menyaksikan penghasilan lebih 800,000 kenderaan baharu.
Sebelum ini, Toyota mengurangkan pengeluaran kenderaannya di seluruh dunia sehingga 15 peratus ekoran masalah kekurangan bekalan cip semikonduktor.
Amerika Utara antara benua terjejas teruk akibat masalah kekurangan bekalan cip semikonduktor yang mana hanya 170,000 unit dihasilkan Toyota sepanjang September.
Sementara itu, Toyota juga menghentikan produksi di tiga kilang pengeluarannya di Thailand akibat kekurangan bekalan komponen.
Bagaimanapun, Toyota memberi jaminan akan terus mengukuhkan rantaian bekalan agar dapat memenuhi permintaan pelanggan.
KEGAGALAN kilang pembuatan cip semikonduktor beroperasi kerana pandemik Covid-19 di negara ini telah menjejaskan industri pembuatan kenderaan secara global.
Memetik laporan The Edge, antara yang terkesan dengan masalah ini termasuk syarikat Ford di Jerman.
Selain itu, turut menerima tempias adalah syarikat Toyota dan Nissan yang terpaksa memperlahankan pengeluaran kenderaan.
Lebih mengejutkan, syarikat Nio dan Tesla tidak ketinggalan berdepan nasib sama susulan masalah kekurangan bekalan cip semikonduktor.
Cip semikonduktor antara komponen penting dalam pembuatan kereta. – Foto ihsan Unsplash
Terdahulu, Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia Wong Siew Hai berkata, majoriti pengeluar semi konduktor telah mengecilkan pesanan sejak tahun lalu.
Ini kerana kebanyakan syarikat menjangkakan permintaan lebih rendah dalam kalangan pengeluar kenderaan seterusnya mula memberi fokus kepada industri pembuatan elektronik.
“Kini pemain industri automotif mula ingin mendapatkan semula kapasiti cip semikondutor. Bagaimanapun, sudah tidak ada kapasiti untuk mereka,” katanya.
Isu kekurangan bekalan cip semikonduktor dijangka dapat diselesaikan menjelang akhir tahun 2021.
Ia susulan program vaksinasi yang dijalankan secara meluas sekaligus memberi ruang untuk syarikat pengeluar cip semikonduktor beroperasi semula.
“Situasi akan semakin baik. Kekangan dihadapi sejak Jun dan awal Julai mula menurun selain kami dibenarkan beroperasi pada peratusan lebih tinggi,” katanya lagi.
Untuk rekod, terdapat lebih 50 buah syarikat yang berkaitan dengan penghasilan cip semikonduktor di negara ini termasuk STMicroelectronics dan Infineon.
FIRMA Moody’s Analytics menjangkakan ‘krisis’ bekalan cip semikonduktor global terus melanda industri tertentu sehingga tahun depan.
Kekurangan berpunca oleh banyak faktor termasuk cabaran penghasilan cip selain permintaan daripada pelbagai sektor industri.
“Proses pembuatan setiap generasi cip sangat rumit. Ini bermaksud menghasilkan bekalan baharu untuk mana-mana generasi cip adalah sesuatu yang mencabar.
“Oleh kerana cip dari generasi yang berlainan dihasilkan secara berbeza, tumpuan kepada cip tertentu mungkin hanya dapat mengurangkan kekurangan bagi pengguna cip berkenaan.
“(Bagaimanapun) tidak semestinya dapat mengatasi kekurangan untuk pasaran secara keseluruhan,” jelas Moody’s Analytics.
Cip semikonduktor banyak digunakan dalam proses pembuatan kenderaan khusus bagi kereta.
Ribuan cip digunakan bagi membina sebuah kereta dan ini menyebabkan komponen itu mendapat permintaan tinggi.
Sebelum, terdapat rungutan daripada pengeluar kenderaan dan pengguna mengenai masalah kekurangan bekalan cip.
Ia menyebabkan berlaku kelewatan pengeluaran kenderaan sekaligus mewujudkan rungutan dalam kalangan pengguna.
Situasi lebih memburuk apabila seluruh dunia berdepan pandemik Covid-19 yang menyebabkan kelembapan ekonomi.