Tag Archives: ckd

Toyota Corolla Cross Hybrid dilancar: RM137k, kecekapan 23.3km/L, jaminan bateri 8-tahun

UMW Toyota Motor akhirnya melancarkan Corolla Cross Hybrid hari ini. SUV hibrid ini dipasang secara CKD di kilang Toyota di Shah Alam dan telah mula dibuka tempahannya pada November lepas.

Toyota Corolla Cross ditawarkan pada harga RM136,550 seperti yang dijangka sebelum ini. Harga ini adalah termasuk jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan serta jaminan 8-tahun untuk bateri, inverter dan Unit Kawalan Pengurusan Kuasa. Anda juga boleh melanjutkan jaminan bateri ini ke 10-tahun dengan kos tambahan.

Toyota Corolla Cross Hybrid akan dipacu oleh padanan enjin 2ZR-FXE 1.8-liter 4-silinder kitaran Atkinson bersama sebuah motor elektrik.

Enjin tradisional itu sahaja menjana 98hp dan 142Nm tork, manakala motor elektrik menyumbang tambahan 72hp dan 163Nm tork. Ini memberikan output total SUV ini sebanyak 122hp.

Kuasa disalurkan ke roda depan melalui transmisi e-CVT, dan kuasa dari motor elektrik dibekalkan oleh bateri nikel-metal hydride berkapasiti 6.5Ah. Menurut Toyota, SUV ini mampu mencapai kecekapan penggunaan bahan api sehingga 23.3km per liter.

Toyota Corolla Cross Hybrid ini dapat dikenalpasti dengan beberapa elemen berwarna biru di sekitar badannya selain emblem ‘HYBRID’ di pintu but belakang.

Kelengkapan lain adalah lampu depan Bi-LED dengan kemasan biru, gril berwarna Gun Metallic, cermin sisi berkuasa, dan antena sirip jerung.

Di dalam, Corolla Cross Hybrid dilengkapi suis mod pemanduan (Eco, Sport dan EV), paparan MID 7-inci, sistem pendingin hawa automatik dwi-zon, tempat duduk balutan kulit, paparan infotainmen 9-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, perakam video digital, serta Vehicle Telematics System.

SUV ini juga didatangkan dengan Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi ciri seperti Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA) dengan bantuan stereng, Dynamic Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist (LTA) dan Automatic High Beam (AHB).

Proton mahu pulun habis sehingga hujung tahun, Pakistan bakal terima stok baharu X70 dan Saga

SETELAH hampir tiga bulan mengharungi keadaan pasaran yang amat sukar disebabkan pencegahan penularan Covid-19, Proton kini mensasarkan untuk mengakhiri tahun 2021 dengan impak yang nyata.

Ini berikutan aktiviti pengeluaran, jualan dan eksport kembali beroperasi yang dijangkakan akan meningkatan hasil jualan bermula bulan September.

Dari bulan Jun hingga Ogos 2021, Proton berjaya memperolehi jumlah jualan sebanyak 5,354 unit yang merangkumi campuran pendaftaran dalam talian dan eksport.

Produksi terhad telah dijalankan di kilang Tanjung Malim selepas pegumuman negeri Perak sebagai negeri Fasa 2 pada 5 Julai, tetapi ini hanya untuk seketika akibat kekurangan bekalan dari pembekal di Selangor.

Sehingga penghujung Ogos, jumlah jualan adalah sebanyak 63,637 unit, iaitu satu peningkatan sebanyak 1.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Tahun 2021 amat mencabar bagi industri automotif kerana perintah kawalan pergerakan, kekurangan bekalan cip dan beberapa isu lain yang merencatkan perkembangan jualan, namun kita yakin jualan industri akan meningkat secara keseluruhan dalam tempoh empat bulan terakhir tahun ini,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Dengan kedua-dua kilang kini beroperasi, Proton juga boleh memulakan kembali aktiviti eksport ke pasaran luar negara.

Sebagai contoh, Pakistan akan menerima tiga penghantaran Proton X70 sebanyak 108 unit pada bulan September termasuk pek CKD untuk model Saga. Operasi CKD sedan segmen-A itu akan bermula di sana pada akhir Oktober.

Salah satu kunci kepada kebolehupayaan syarikat untuk membuka semula kilang adalah atas kejayaan pelan vaksinasi PIKAS.

Data terkini menunjukkan lebih 93 peratus daripada warga kerja Proton telah divaksinasi sepenuhnya manakala lebih 75 peratus pekerja dari pembekal dan wakil jualan juga talah mendapat vaksin penuh.

Oleh itu, keseluruhan ekosistem PROTON hampir dibenarkan untuk beroperasi dengan kapasiti 100 peratus berdasarkan SOP semasa untuk pembukaan kilang dan premis perniagaan.

Porsche akan mula operasi CKD di Malaysia tahun depan, pertama di luar Eropah!

BERITA tergempar! Porsche secara rasmi mengumumkan bahawa mereka akan memulakan operasi CKD (pemasangan tempatan) di Malaysia. Kilang ini difahamkan akan menjadi yang pertama di luar Jerman!

Menurut Porsche, langkah ini dalam mengukuhkan kehadiran mereka di pasaran-pasaran membangun di rantau Asia Tenggara yang memperlihatkan perkembangan meyakinkan.

Operasi CKD ini akan dijalankan oleh rakan niaga Porsche di sini iaitu Sime Darby, yang merupakan pengimport dan pengedar rasmi jenama itu di Malaysia (Sime Darby Auto Performance atau SDAP).

Pada masa ini, jenama-jenama CKD di bawah Sime Darby Motors adalah BMW, MINI, Mazda dan Hyundai yang mempunyai kompleks fasiliti di Kulim, Kedah.

Buat masa ini, Porsche tidak mendedahkan secara spesifik model mana dahulu yang akan dipasang di sini, tetapi mereka berkata, “kenderaan itu akan disesuaikan khas dengan piawaian tempatan dan akan didapati di Malaysia sahaja.”

Menurut hemat kami, SUV akan menjadi model pertama untuk operasi CKD ini, mungkin Cayenne atau Macan. Walaubagaimanapun, pasti lebih menarik jika ada pemasangan model sports seperti 911 atau 718 Boxster/Cayman.

“Kami bertuah kerana dengan perancangan yang teliti, kilang-kilang sedia ada kami lebih dari mampu untuk memenuhi kehendak semasa dan masa depan kereta-kereta kami,” kata Albrecht Reimold, ahli lembaga eksekutif pengeluaran dan logistik di Porsche.

Sementara itu, Detlev von Platen, ahli lembaga eksekutif bahagian jualan dan pemasaran Porsche berkata, “Malaysia dan keseluruhan ASEAN ialah satu rantau dengan potensi besar dan kami tidak sabar untuk menyerahkan model CKD pertama kepada pelanggan kami tahun depan.”