Tag Archives: colin mcrae

Subaru Impreza WRX STI 22B unit 000/400 akan dilelong, bermula RM2.37 juta sahaja

SATU cebisan sejarah automotif moden yang cukup bermakna dan penting akan dilelong dalam satu acara tidak lama lagi. Cebisan sejarah yang dimaksudkan ialah Subaru Impreza WRX STI 22B 1998 yang pernah menjadi milik mendiang Colin McRae.

Buat adik-adik generasi Tiktok, AI, dan sunatlaser, Colin McRae ialah seorang pemandu lagenda rali kelahiran British dan pernah menjadi warga British pertama memenangi World Rally Championship (WRC). Beliau juga membawa Subaru menjadi juara pengeluar WRC bagi 1995, 1996, dan 1997.

Baik, berkenaan Subaru Impreza 22B ini pula, ia merupakan satu dari tiga prototaip yang pernah dihasilkan, dari 425 unit pengeluaran kesemuanya. Tetapi unit yang akan dilelong ini merupakan yang terawal, dengan plak 000/400!

Impreza 22B hanya hadir dalam bentuk badan coupe 2-pintu, tidak seperti Impreza biasa dengan 4-pintu. Ia dikeluarkan sempena meraikan ulang tahun ke-40 Subaru dan juga kejuaraan ketiga berturut-turut mereka dalam WRC.

Colin McRae dan pembantunya Nicky Grist diberikan prototaip 22B ini dengan nombor binaan serupa 000/400.

22B milik McRae menggunakan nombor pendaftaran S447YOX, manakala 22B milik Grist menggunakan nombor S446YOX.

Di bawah hud dengan skop udara itu ialah enjin 2.2-liter 4-silinder bentangan Boxer yang menghasilkan 280PS dan sekitar 363Nm tork. Ia dipadankan dengan transmisi manual 5-kelajuan dan klac plat berkembar serta pacuan semua roda.

Unit Subaru Impreza 22B ini akan dilelong dalam acara Silverstone Auctions pada 26 Ogos depan. Harga ditawarkan adalah antara £400,000 hingga  £500,000 (antara RM2.37 juta hingga RM3 juta). Anda boleh lihat jentera yang akan dilelong itu di sini.

Jentera Ford Focus WRC Colin McRae yang ikonik ini akan dilelong, harga anggaran RM1.9 juta!

PEMINAT sukan rali sudah pastinya tidak perlu diperkenalkan lagi dengan mendiang Colin McRae yang pernah memegang rekod kemenangan terbanyak dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) dengan 25 kemenangan.

Tidak dinafikan, namanya mungkin lebih sinonim dengan Subaru yang membantu beliau merangkul kejuaraan dunia pertamanya pada 1995, namun tahukah anda bahawa McRae juga pernah bersama Ford?

Bagi saingan musim 1999, McRae menukar angin dengan menyertai pasukan Ford World Rally Team yang dioperasikan oleh M-Sport. Jentera Ford Focus WRC (Y4 FMC) yang dilelong oleh Silverstone Auctions ini membantu McRae memenangi banyak perlumbaan, termasuk yang paling sukar ketika itu iaitu The Safari Rally di Kenya.

Malah, pelumba kelahiran Scotland itu pernah hampir merangkul gelaran dunianya yang kedua dengan kereta ini namun terlepas disebabkan kemalangan teruk di peringkat keempat kejohanan Rally Great Britain.

Kesan daripada kejadian itu, kejuaraan dunia bagi musim 2001 menjadi milik Richard Burns yang mendahului McRae dengan perbezaan hanya dua mata.

Walaupun mengalami kerosakan yang teruk, Y4 FMC berjaya dibaik pulih oleh pasukan M-Sport dan digunakan semula oleh McRae dalam beberapa pusingan Kejohanan Rali Dunia pada musim berikutnya.

Bagaimanapun, hayatnya tidak lama apabila ia dijual kepada pasukan lain untuk bersaing dalam siri kejohanan rali British Trials and Rally Drivers Association (BTRDA) selama beberapa tahun.

Selepas dibersarakan dari bertanding, Y4 FMC direstorasi semula kepada livery dan spesifikasi asal musim 2001. Ia masih membuat kemunculan-kemunculan awam namun bukan di atas litar berpasir seperti di zaman kegemilangannya, sebaliknya di acara pertunjukan seperti Goodwood Festival of Speed.

Menurut Silverstone Auctions, Focus WRC Y4 FMC ini masih boleh dipandu dan mudah untuk dikendalikan, walaupun pada hakikatnya ia merupakan sebuah kereta rali sebenar dengan pacuan empat roda, transmisi berjujukan dan sistem suspensi dan brek mengikut spesifikasi WRC.

Syarikat itu menjangkakan bidaan antara £300,000 hingga £350,000 (RM1.7 juta hingga RM1.9 juta). Pembeli bukan sahaja mendapat sesuatu yang boleh disifatkan sebagai koleksi berharga, malah juga fail lengkap yang mengandungi sejarahnya sebelum dan selepas WRC, artikel akhbar, FIA Passport Technique, kertas-kertas homologasi dan juga maklumat terperinci mengenai modifikasi dan cara pemanduan oleh M-Sport.