Tag Archives: conor mcgregor

5 berita paling viral Engear sepanjang 2021

TAHUN 2021 kian menutup tirainya dalam hanya beberapa hari sahaja lagi, dan pelbagai isu berlaku di dalam dan luar negara dalam bidang automotif.

Awal tahun menyaksikan kita melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kemudian pertengahan tahun setiuasi semakin baik dan sektor ekonomi kembali seperti sedia kala secara berperingkat mulai September.

Walaubagaimanapun, penghujung 2021 menjadi kenangan pahit buat rakyat Malaysia di beberapa negeri dengan banjir yang agak teruk melanda. Yang penting, kita dapat menyaksikan rakyat Malaysia bersatu hati bersama membantu mereka yang terjejas.

Dalam minggu terakhir 2021 ini, kami akan siarkan beberapa artikel seperti pelancaran kereta pilihan, pandu uji pilihan, dan motosikal mantap sepanjang tahun.

Harus diketahui juga walaupun Engear sudah beberapa tahun di Youtube, kami masih ‘adik-adik’ di laman web kerana Engear.tv baru sahaja berusia kira-kira setahun.

Jadi dengan pengalaman muda kami, untuk kali ini, kami senaraikan lima berita paling viral (tular) sepanjang 2021.

5. Conor McGregor dapat ‘mainan’ baharu bot laju mewah Lamborghini

Di tempat kelima, berita berkenaan ikon UFC terkenal, Conor McGregor yang membeli bot laju mewah Lamborghini bernilai USD3.6 juta (RM15 juta).

Dengan pendapatan mencecah ratusan juta dolar setahun, tak hairanlah seleranya pun begitu tinggi, bukan? Dikatakan bot laju mewah Lamborghini ini merupakan pembelian termahalnya selain jam tangan, kereta mewah dan sebagainya.

4. PLUS beri penjelasan isu RFID dan pemansuhan Touch ‘n Go serta SmartTag

Berita ini agak baharu, dimana PLUS mengumumkan mereka akan mula menyediakan lorong RFID di semua lebuh raya Utara Selatan laluan Skudai-Juru bermula 15 Januari 2022.

Jadi timbul persoalan di kalangan netizen dan orang awam bahawa adakah Touch ‘n Go dan SmartTag akan dimansuhkan terus menjelang tarikh itu.

3. Sultan Johor tiba dengan Genesis G90 Limousine

Gambar oleh: HRH Crown Prince of Johor

Pada Ogos lepas, DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar menjadi tumpuan peminat kereta tempatan apabila baginda tiba dengan Genesis G90 Limousine baharu.

Baginda hadir dengan limousine mewah itu semasa perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Ke-4 Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor.

2. McLaren Speedtail dilihat di Singapura, milik Tunku Idris?

Satu lagi berita berkaitan kerabat diraja Johor, sebuah McLaren Speedtail yang sangat eksklusif dilihat di Singapura dan dikatakan ianya milik Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Berdasarkan makluman dari netizen, Speedtail berkenaan berada di McLaren Singapore untuk penyelenggaraan.

Ia mula tular apabila akaun Instagram @agentmlifestyle memuatnaik  beberapa gambar hypercar itu sedang dinaikkan ke atas sebuah trak.

1. Rupa konsep Proton Saga Knight didedahkan

Seperti biasa, berita berkaitan kereta nasional seperti Proton atau Perodua akan menjadi perhatian, masing-masing ingin menyampaikan komen.

Tetapi di tempat pertama berita paling viral di Engear bukanlah kereta Proton sebenar, sebaliknya sebuah lakaran konsep tiga dimensi (3D).

Ia dilakar oleh Saharudin Busri yang merupakan Ketua Rekabentuk Industri di MIMOS berhad untuk webinar rekabentuk anjuran Persatuan Pereka Perindustrian Malaysia (PEREKA).

Terdapat juga beberapa berita lain yang menjadi perhatian pembaca Engear, antaranya adalah kos penjagaan Proton X50, pembukaan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) laluan Bentong-Lebu.

Selain itu, artikel Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang datang berjumpa dengan Datuk Azizulhasni juga digemari pembaca. Ia menjadi perhatian kerana baginda TMJ dilihat memandu Ford GT.

Berita pertahanan juga agak popular kerana ianya menjadi isu negara. Salah-satunya adalah laporan helikopter AW139 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang hampir sedia beroperasi, dilaporkan sedang diuji berdekatan kilangnya di Itali.

Untuk artikel video pula, senarai aksesori kereta yang haram dibeli menjadi antara kegemaran penonton.

Nantikan video penutup 2021 yang lain pula esok!

Tecnomar for Lamborghini 63 ‘mainan’ terbaharu Conor McGregor, enjin 48-liter berkuasa 4,000hp

DENGAN pendapatan mencecah ratusan juta dolar setahun, tidak hairanlah jika ikon UFC terkenal Conor McGregor gemar menunjuk-nunjuk barangan mewah miliknya seperti jam tangan, kereta, dan sebagainya.

Bagaimanapun, pembelian terbarunya ini adalah antara yang paling mahal pernah dilakukan oleh atlet seni bela diri campuran itu – ia merupakan sebuah bot laju Tecnomar for Lamborghini 63 yang bernilai USD3.6 juta (RM15 juta).

“Kapal layar Lamborghini saya sudah sedia,” kata atlet berusia 33 tahun itu menerusi satu kiriman di akaun Instagram miliknya.

Dibangunkan dengan kerjasama Lamborghini dan The Italian Sea Group, Tecnomar for Lamborghini 63 menampilkan rekaan yang diinspirasikan daripada model flagship Lamborghini iaitu Sian.

Jika Sian dikuasakan oleh enjin V12 hibrid, bot laju ini pula didatangkan dengan sepasang enjin twin-turbo diesel MAN, masing-masing berkapasiti 24-liter dan mampu menjana sehingga 2,000 hp.

Dengan kuasa keseluruhan mencecah 3,945 hp (2,942 kW), ia mampu mencapai kelajuan 60 knot atau bersamaan dengan 111 km/j, menjadikannya antara yang terpantas dalam kelasnya.

Nombor ‘63’ pada namanya bukan sahaja merujuk kepada tahun jenama Lamborghini diasaskan, malah juga ukuran panjang keseluruhan bot ini iaitu 63 kaki (20.42 meter). Sementara itu, ukuran lebarnya pula adalah 17.7 kaki atau bersamaan 5.4 meter.

Unit milik McGregor ini didatangkan dalam warna hijau Verde Green, manakala ruang kokpitnya menampilkan tempat duduk daripada Huracan Evo, serta stereng daripada Aventador.

Panel instrumennya turut diinspirasikan oleh model tersebut namun ia didatangkan dalam saiz yang lebih besar.

Menurut laporan, McGregor memesan bot tersebut pada Oktober tahun lalu di ibu pejabat Tecnomar di Itali.

Daripada 63 unit yang dihasilkan, beliau mendapat unit bernombor 12 bersempena dengan syarikat wiski Proper No. Twelve yang diasaskan olehnya pada 2018. Bagaimanapun, syarikat tersebut telah dijual pada April lalu pada harga USD150 juta (RM622 juta).

Bot ini hanyalah satu lagi tambahan terbaru ke dalam koleksi ‘permainan’ mewah McGregor.

Menerusi kiriman-kiriman sebelum ini, beliau pernah menunjukkan pelbagai jenis kereta miliknya seperti Lamborghini Aventador Roadster, Urus, McLaren 650S, Rolls-Royce Ghost, Phantom Drophead Coupe, Bentley Continental GT, BMW i8 dan banyak lagi.