CONTINENTAL Tyre Malaysia mengumumkan pengembangan teknologi ContiSeal kepada set produk dan saiz rim yang lebih luas.
Continental menyasarkan untuk menggabungkan sepenuhnya teknologi ContiSeal menjelang Julai 2024 merentas model UltraContact UC7, PremiumContact C dan UltraContact UC6 SUV, dalam saiz antara 16 hingga 20 inci.
Diperkenalkan buat kali pertama pada 2003, teknologi ContiSeal membolehkan pengedapan segera sebanyak 80% daripada semua tusukan, dan 99.9% daripada tayar pancit sehingga diameter 5 mm apabila tusukan berlaku.
Melalui proses pemvulkanan, ketahanan dan keanjalan tayar ContiSeal dipertingkatkan, lantas mengurangkan bunyi rongga (cavity noise) sehingga 3dB melalui ruang jisim yang diminimumkan di dalam tayar.
Menurut syarikat itu, lapisan pengedap pada bahagian dalam tayar di kawasan bunga memastikan tayar mengekalkan integriti dan prestasinya walaupun dalam keadaan mencabar.
Oleh itu, walaupun ditusuk benda asing seperti paku, pengguna tidak perlu segera menukar tayar di tepi jalan, dan lubang tetap tertutup walaupun objek yang menusuk itu tercabut.
Sebagai bukti kepada kebolehpercayaan tayarnya, prestasi teknologi pengedap kendiri tidak terjejas oleh faktor persekitaran, dengan hayat perkhidmatan yang melebihi tayar itu sendiri, sekali gus memberikan perlindungan yang berterusan sepanjang jangka hayat tayar.
Berlawanan dengan tayar run flat, tayar ContiSeal berfungsi seperti tayar standard tanpa mengorbankan keselesaan dan tidak memerlukan pengubahsuaian kenderaan khusus. Ia juga mengekalkan integriti dan prestasi walaupun selepas pancit, sekali gus membolehkan pemanduan tanpa had dan boleh dibaiki jika perlu.
Walaupun ContiSeal menawarkan pembaikan segera, penyelenggaraan susulan akan memastikan keselamatan dan prestasi jangka panjang. Ramai pemandu mungkin tidak menyedari sebarang tusukan atau objek tajam menembusi tayar ContiSeal disebabkan keupayaan pengedap kendiri yang berkesan.
Tayar ContiSeal dijamin di bawah waranti pembuatan standard syarikat itu, di mana bayaran balik waranti pro rata akan diberikan sekiranya berlaku sebarang kecacatan prestasi pengedap untuk tusukan dalam lingkungan 5 mm di kawasan bunga.
Selain itu, setiap pembelian didatangkan dengan Total Confidence Plan (TCP), yang menyediakan penggantian tayar satu sama satu untuk kerosakan jalan yang tidak dijangka dalam tahun pertama, dengan tuntutan diuruskan dengan mudah melalui aplikasi Conti TCP.