Tag Archives: Creta

Hyundai Exter dengan saiz Ativa dilancar untuk India, RM32k sahaja

CROSSOVER paling kecil Hyundai yang ada di pasaran Malaysia ialah Kona yang hadir dengan enjin 2.0 naturally-aspirated, 1.6 turbo, dan EV. Tetapi di India, terdapat model SUV yang lebih kecil iaitu Exter.

Ia menampilkan rekaan kompak dan berkotak berserta imej rugged dengan cladding plastik di sekeliling badan dan skid plate depan. Warna utamanya ialah Ranger Khaki yang disulami dengan kemasan hitam di atas termasuklah rel bumbung.

Crossover terbaharu Hyundai ini mempunyai panjang kurang empat meter, dan diposisikan di bawah Venue yang juga dijual di India.

Dari beberapa imej yang tersiar, dapat dilihat Hyundai Exter dilengkapi dengan lampu DRL LED berbentuk-H, dan lampu utama petak yang mengapit gril di tengah. Yang agak janggal ialah, namanya dieja di bampar depan, di bawah kemasan hitam yang menghubungkan dua DRL.

Kita belum dapat melihat rupa belakang Exter buat masa ini, tetapi yang jelas ia mempunyai tiang belakang bertekstur. Crossover segmen-A ini juga mendapat ruang tingkap yang besar dan rim aloi dwi-tona.

Untuk enjin, Hyundai India berkata Exter 2023 akan didatangkan dengan unit 1.2-liter petrol yang digandingkan dengan kotak gear manual 5-kelajuan atau AMT. Terdapat juga 1.2-liter yang boleh diisi dengan CNG (gas asli termampat), juga dengan manual 5-kelajuan.

Jualan dijangka bermula pertengahan tahun ini, dengan pilihan varian EX, S, SX, SX(O) , dan SX(O) Connect. Harga pula sekitar 600,000 Rupee (RM32,523), menjadikannya kira-kira 20 peratus dari harga Kona dan Creta di sini.

Hyundai Creta dilancarkan di Malaysia – RM149,888

PESAING terbaru dalam pasaran SUV segmen B iaitu Hyundai Creta telah pun dilancarkan di Malaysia oleh Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) selaku pengedar rasmi jenama itu.

Untuk pasaran tempatan, Creta ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu Plus, dengan harga bermula dari RM149,888. Apa yang menarik, 150 pembeli pertama akan mendapat pakej waranti lanjutan selama 5 tahun/300,000 km dan pakej servis percuma selama 3 tahun/50,000 km.

Saiz Creta sedikit lebih besar jika dibandingkan dengan satu lagi SUV segmen B dalam barisan HSDM iaitu Kona. Ia mempunyai ukuran panjang 4,315 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,630 mm dan tapak roda 2,610 mm.

Model ini menampilkan ‘wajah’ Parametric Jewel seperti Tucson, di mana lampu nyalaan siang LED digabungkan dengan gril. Lampu projektor LED pula diletakkan pada bahagian kiri dan kanan bampar.

 

Varian Plus didatangkan dengan rim 17 inci, serta lima pilihan warna iaitu Dragon Red Pearl, Galaxy Blue Pearl, Titan Grey Metallic, Midnight Black Pearl dan Creamy White Pearl.

Masuk ke dalam, anda akan menemui upholsteri fabrik serba hitam pada tempat duduk dan kemasan kulit pada stereng dan tombol gear.

Kelengkapan yang disertakan termasuklah kluster instrumen TFT LCD berukuran 10.25 inci, skrin sentuh sistem infohibur 8 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, ciri pengecaman suara, pendingin hawa automatik dengan corong belakang, Keyless Entry dan brek parkir elektronik dengan Auto Hold.

Creta menampilkan ruang but sebesar 416 liter, atau 1,384 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan.

Untuk trenkuasa pula, ia hadir dengan enjin petrol Smartstream G 1.5-liter empat silinder yang menghasilkan 115 PS pada 6,300 rpm dan 144 Nm tork pada 4,500 rpm. Ia dipadankan dengan Intelligent Variable Transmission (IVT) yang memacu roda hadapan.

Pemandu boleh memilih daripada empat mod pemanduan yang disediakan (Eco, Normal, Sport dan Smart) dengan menggunakan tombol pada konsol tengah.

Dari segi keselamatan, Creta mempunyai enam beg udara serta sistem Hyundai SmartSense yang merangkumi Forward and Blind Spot Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Lane Following Assist, Leading Vehicle Departure Alert, Rear Cross Traffic Collision-Avoidance Assist, Safe Exit Warning dan High Beam Assist.

Hyundai Creta facelift kini boleh ditempah, bakal bersaing dengan X50, HR-V

NAMPAKNYA pasaran SUV segmen B di Malaysia akan menerima satu lagi pesaing iaitu Hyundai Creta facelift. Menurut Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM), model itu kini dibuka untuk tempahan di semua wakil pengedar Hyundai di seluruh negara serta menerusi platform tempahan dalam talian Cl!cktoBuy.

Bagaimanapun, maklumat mengenai varian yang ditawarkan, harga serta tarikh pelancaran masih belum diumumkan.

Dari segi rekaan, Creta tampil dengan gril Parametric Jewel seperti yang terdapat pada Tucson. Lampu nyalaan siang (DRL) LED ‘disembunyikan’ di gril tersebut, manakala lampu utama LED dipisahkan dan diletakkan pada bahagian kiri dan kanan bampar.

Dibina menggunakan platform yang sama dengan Kia Seltos, Creta mempunyai ukuran panjang 4,315 mm, lebar 1,790 mm dan tinggi 1,630 mm, menjadikan ia sedikit lebih kecil jika dibandingkan dengan Proton X50 dan Honda HR-V.

Sementara itu, ukuran tapak roda Creta adalah 2,610 mm, sama dengan HR-V dan 10 mm lebih panjang berbanding tapak roda X50.

Di dalam, Creta bakal hadir dengan kluster TFT LCD berukuran 10.25 inci, skrin sentuh sistem infohibur lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, serta tidak kurang daripada empat mod pemanduan.

Sistem keselamatan pula terdiri daripada enam beg udara serta teknologi Hyundai SmartSense yang merangkumi ciri-ciri seperti Forward and Blind Spot Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Lane Following Assist, Leading Vehicle Departure Alert, Rear Cross Traffic Collision-Avoidance Assist, Safe Exit Warning dan High Beam Assist.

Semua ini menyumbang kepada penarafan lima bintang oleh Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

Untuk trenkuasa pula, Creta dijangka tampil dengan enjin 1.5-liter NA dan Intelligent Variable Transmission (iVT) seperti yang ditawarkan di Thailand dan Indonesia. Enjin tersebut mempunyai 115 PS pada 6,300 rpm dan 144 Nm pada 4,500 rpm.