RED Bull Malaysia baru-baru ini mengumumkan penajaannya ke atas pasukan lumba Petronas Sprinta Yamaha sebagai sebahagian daripada usahanya untuk membangunkan bakat di peringkat akar umbi serta meraikan perlumbaan motor.
Kerjasama ini dirasmikan menerusi majlis menandatangani kontrak bersama tiga pasukan lumba Petronas Sprinta Yamaha iaitu Petronas Sprinta Yamaha 31 Racing, Petronas Sprinta Yamaha CKJ, dan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor.
Ketiga-tiga pasukan lumba tersebut akan bertanding dalam Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix Petronas MAM Malaysia 2024 dari 1 hingga 2 Jun di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.
Pasukan Petronas Sprinta Yamaha 31 telah menerima pelbagai anugerah sepanjang 28 tahun perlumbaan motosikal, termasuk gelaran Juara Keseluruhan Kategori Wira KBS dalam Kejuaraan Cub Prix Petronas MAM Malaysia selama empat tahun berturut-turut.
Petronas Sprinta Yamaha CKJ pula terdiri daripada skuad pelumba muda berbakat seperti Afif Amran dan Akid Aziz, yang telah merangkul pelbagai takhta Juara Keseluruhan pada Kejuaraan Cub Prix Petronas MAM Malaysia.
Ditubuhkan pada 1997 oleh bekas pelumba Yong Ying Hoe, pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor mengekalkan rekod bagi jumlah kejuaraan paling banyak yang diraih dalam kejuaraan Cub Prix.
Bagi meraikan kerjasama ini, Red Bull akan menganjurkan peraduan di mana dua pemenang bertuah berpeluang memiliki motosikal Yamaha Y15ZR edisi terhad yang ditandatangani eksklusif oleh pelumba terpilih dari tiga pasukan Petronas Sprinta Yamaha.
Selain itu, Red Bull turut memperkenalkan siri minuman baharu Red Bull Energy Sparkling yang didatangkan dalam dua perisa menarik iaitu Limau Bali dan Epal & Anggur Muscat.
Siri minuman baharu itu tersedia dalam tin 250 ml dan boleh didapati dari RM3.10 setin di pasar raya utama dan kedai serbaneka.