Tag Archives: D-Max

Isuzu D-MAX 4×2 versi RWD ini mungkin paling sesuai untuk kenderaan syarikat anda, RM101k sahaja

BUKAN semua trak pikap memerlukan pacuan empat roda 4X4, jadi Isuzu menawarkan D-MAX 4X2 iaitu pacuan roda-belakang (RWD). Menurut Isuzu, hanya kira-kira 28 peratus pemilik trak pikap menggunakan fungsi 4X4 mereka.

Ia hadir dengan varian D-MAX Auto Plus 4X2 1.9L, bermakna trak pikap ini dikuasakan oleh enjin 1.9-liter RZ4E-TC yang menghasilkan 150hp dan 350Nm. Kotak gear masih kekal automatik 6-kelajuan.

Dengan menggugurkan transfer case, differential depan dan sistem pacuan sampingan, D-Max Auto Plus 4×2 1.9L hanya mempunyai berat 1,830kg, pengurangan 85kg berbanding model 4×4 biasa. Pengurangan komponen juga bermakna berkurangnya kos dan keperluan penyelenggaraan.

“Dalam waktu mencabar ini, Isuzu D-Max Auto Plus 4×2 1.9L baru memberikan kelegaan yang lain dalam menawarkan pakej lebih mampu milik, dengan kemampuan sama serta penampilan menarik,” ujar Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.

Walaupun menggunakan pacuan 4X2, D-MAX ini tetap mampu menggalas tugas berat disebabkan ia dilengkapi suspensi 3-leaf semi-elliptical spring di belakang selain double-wishbone di depan.

Ciri luaran pada D-MAX 4X2 termasuklah lampu Bi-LED dengan DRL LED, gril kelabu, rim 17-inci dengan tayar radial 255/65, pemijak sisi, dan alas ruang kargo belakang. Varian ini boleh dibezakan melalui pelekat “4X2 Auto Plus” di sisi badan.

D-MAX 4X2 juga mendapat kamera undur yang dipaparkan pada skrin multimedia 7-inci di kabin. Kelengkapan lain pada ruang kabin adalah kerusi fabrik dengan pelarasan 6-arah untuk pemandu serta stereng balutan kulit dengan butang kawalan pelbagai fungsi.

Di konsol tengah terletak pula sistem multimedia tujuh-inci dengan skrin sentuh. Ini menawarkan pilihan ketersambungan termasuk USB, Bluetooth, WiFi, MirrorLink, Miracast, Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, dan sistem ini menawarkan hiburan tanpa had melalui enam-pembesar suaranya.

Untuk keselamatan, Isuzu D-MAX 4X2 hadir dengan ciri standard seperti ABS, EBD, Brake Assist, ESC, Traction Control System, Hill Start Assist, dan Hill Descent Control.

Isuzu D-MAX 4X2 boleh didapati dengan lima pilihan warna: Splash White Solid, Mercury Silver Metallic, Onyx Black Mica, Sapphire Blue Mica dan Valencia Orange Metallic.

Trak pikap ini ijual pada harga RM100,999.20 (atas jalan tidak termasuk insurans) dan kini boleh ditempah dan penghantaran akan dilakukan awal bulan November 2021.

Isuzu D-MAX AT35 dari Arctic Trucks, gaya lebih garang dan rugged, untuk UK sahaja

Ford baru-baru ini memperkenalkan Ranger Splash di pasaran Amerika Syarikat (AS), dan tidak lama kemudian, Isuzu pula mendedahkan D-MAX lebih rugged, iaitu AT35. Trak yang lebih garang ini dibangunkan oleh Arctic Trucks.

Apa yang ada pada D-MAX versi AT35? Ia mendapat casis yang lebih kukuh, suspensi Bilstein Performance, pemijak tepi khas, dan rim 35-inci dengan tayar all-terrain. Kelengkapan tambahan ini sememangnya memberikan gaya lebih garang, dan ini dibantu dengan fender yang terkeluar.

Di bahagian dalam pula, Arctic Trucks memberikan perehat kepala, penutup pemijak sisi, karpet lantai dan kemasan kulit dari jenama itu. Ciri teknologi termasuklah Apple CarPlay dan Android Auto, Bluetooth, port HDMI, lapan pembesar suara, dan paparan infotainmen 9-inci.

Untuk keselamatan, Isuzu D-MAX AT35 dilengkapi ciri-ciri terkini seperti Traffic Sign Recognition, Emergency Lane Keeping, kamera undur, pengesan parkir, Forward Collision Warning, dan Autonomous Emergency Braking.

Versi AT35 hanya boleh didapati dengan enjin 1.9-liter turbodiesel yang berkuasa 16hp dan 360Nm tork. Enjin ini hadir dengan pilihan kotak gear manual dan automatik, kedua-duanya 6-kelajuan.

D-MAX AT35 akan dibina dengan kerjasama Arctic Trucks dan Isuzu UK. Ia akan mula dijual sekitar Februari 2022.

Ia tidak akan masuk ke Malaysia, tetapi mungkin pemilik D-MAX di sini boleh menggunakan resepi sama untuk mendapatkan hasil rupa garang seperti AT35 ini?

Isuzu MU-X generasi kedua dilancar di Australia, harga dari RM150k

ISUZU baru-baru ini telah melancarkan MU-X generasi kedua ke pasaran Australia, di mana ia  akan bersaing dengan model-model seperti Ford Everest, Mitsubishi Pajero Sport dan juga Toyota Fortuner.

Dibangunkan menggunakan casis ladder frame yang sama dengan trak pikap D-Max, SUV itu boleh didapati dalam tiga varian (LS-M, LS-U dan LS-T), dengan pilihan pacuan 4X2 atau 4X4.

Harganya bermula dari AUD47,900 (RM149,634) untuk varian paling rendah iaitu LS-M 4X2 hinggalah AUD65,900 (RM205,685) untuk varian LS-T 4X4.

Satu-satunya enjin yang ditawarkan untuk MU-X di negara ‘Down Under’ itu adalah enjin turbodiesel 3.0-liter empat silinder 4JJ3-TXC yang mempunyai output keseluruhan 188hp dan 450Nm. Enjin itu digandingkan dengan transmisi automatik 6-kelajuan keluaran Aisin.

Output tersebut adalah 13hp dan 20Nm lebih tinggi berbanding enjin 4JJ1-TC HI yang digunakan pada model generasi sebelum ini. Hamburan tork pada julat pertengahan juga dikatakan lebih baik.

Bukan itu sahaja, kapasiti tangki bahan api turut dipertingkatkan sebanyak 23 peratus kepada 80 liter bagi mendapatkan jarak perjalanan yang lebih jauh.

Selain itu, kelebihan utama MU-X baharu adalah kemampuannya untuk menunda beban sehingga 3,500 kg, yang dikatakan tertinggi dalam kelasnya.

Untuk memudahkan lagi kerja, pelanggan boleh mendapatkan pelbagai aksesori tunda dari Isuzu seperti tow bar kit, cermin tunda ClearView dengan ciri Blind Spot Monitoring dan lampu LED, serta Weight Distribution Hitch (WDH).

Dari segi prestasi off-road, semua varian 4X4 didatangkan dengan tombol 4X4 Terrain Command yang membolehkan pemandu menukar antara pacuan 2WD-High Range, 4WD-High Range dan 4WD-Low Range dengan mudah.

Turut disertakan adalah locking rear differential elektromagnetik dan mod Rough Terrain yang diprogramkan khas untuk pemanduan di atas permukaan muka bumi yang licin dan mencabar.

Walaupun berkongsi platform dengan trak pikap, MU-X tidak lekang dengan ciri-ciri kemudahan yang mewah seperti lampu Bi-LED dengan fungsi auto-levelling dan Automatic High Beam, DRL LED dan rim aloi berukuran 20 inci.

Ruang dalaman juga tidak kurang hebatnya, dengan pilihan upholsteri fabrik gred tinggi atau kulit, stereng dengan balutan kulit lembut, paparan multi-info (MID) 4.2 inci pada panel instrumen serta skrin infohibur sembilan inci lengkap dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Isuzu turut memberikan keutamaan kepada sistem keselamatan dengan menyertakan Intelligent Driver Assistance System (IDAS) secara standard pada semua varian. Ia merangkumi Adaptive Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, Autonomous Emergency Braking, Blind Spot Monitoring, Lane Departure Prevention, Trailer Sway Control dan Misacceleration Mitigation.

Tidak cukup dengan itu, MU-X juga dilengkapi dengan lapan beg udara, cermin pandang belakang dengan ciri malap automatik (auto dimming) dan kamera undur.

D-Max generasi ketiga kebanggaan Isuzu, tampil lebih memukau

KENDERAAN pacuan empat roda (4×4) Isuzu D-Max telah berada dalam pasaran tempatan!

Generasi ketiga ini hadir lebih kental dan sporty sekaligus melonjakkan lagi imej tegap sebuah trak pikap.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia Koji Nakamura berkata, pihaknya telah melakukan pelbagai kajian dalam penghasilan D-Max generasi ketiga ini.

Jelasnya, ia bukan sahaja memberi keselesaan kepada pengguna malah memiliki teknologi tinggi bagi sebuah kenderaan pikap.

“Mereka (jurutera) menghabiskan banyak masa untuk membangunkannya (D-Max) dan telah menjalankan lebih empat juta kilometer ujian ke atasnya.

“Ia bagi memastikan mampu mencapai tahap terbaik yang pernah dicapai oleh model Isuzu D-Max.

“Ciri berteknologi tinggi bertujuan melengkapi keperluan pengguna yang sentiasa inginkan tahap keselesaan,” katanya.

Rekaan dalaman yang mewah sesuai untuk individu yang gemarkan sentuhan premium. - Foto oleh Isuzu Malaysia

D-Max: Selamat, lasak dan canggih

Terdapat beberapa varian Isuzu D-Max baharu termasuk X-Terrain.

Isuzu D-Max flagship terbaharu ini menggunakan enjin 3.0 liter yang memberikan prestasi serta maklum balas lebih baik.

Enjin baharu ini menjana 190 PS, membolehkan X-Terrain dipandu bersahaja dengan prestasi menggagumkan.

Setakat ini, terdapat dua warna ditawarkan iaitu Valencia Orange atau Sapphire Blue.

Selain itu, X-Terrain juga didatangkan dengan ciri-ciri menarik seperti berikut:

  • Penghidup enjin jarak jarak jauh
  • Kunci differential belakang
  • Sistem pengilap basah
  • Kerusi balutan kulit coklat dengan larasan lapan hala dan sokongan lumbar
  • Skrin sentuh infotainmen 9-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay
  • Advanced Driver Assist Systems (ADAS)
  • Brek kecemasan autonomous (AEB)
  • Amaran penukaran lorong (LDW)
  • Kawalan melayar adaptif (ACC)
  • Lampu tinggi automatik (AHB)
  • Peninjau titik buta (BSM)
  • Amaran lintasan trafik belakang (RCTA)
  • Penghad kelajuan manual (MSL)
  • Brek multi-perlanggaran
Valencia Orange antara warna pilihan bagi Isuzu D-Max generasi ketiga. - Foto oleh Isuzu Malaysia

Varian D-Max

Terdapat dua varian Premium 1.9-liter 4×4 Auto dan 3.0-liter 4×4 Auto.

Varian Premium ideal bagi mereka menginginkan kelengkapan keselamatan baharu dan keselesaan perjalanan jarak jauh.

Namun, pelanggan yang mempunyai kekangan perbelanjaan usah risau! Isuzu turut menawarkan varian Standard yang dilengkapi enjin 1.9-liter.

Sementara itu, turut ditawarkan adalah dua model Single Cab dengan pilihan enjin 1.9-liter atau 3.0-liter.

Trak pelbagai kegunaan ini juga menawarkan kemampuan mengangkut beban yang luas dan fleksibel.

Pada masa sama ia turut dilengkapi ciri keselamatan penting dengan menerima penarafan lima-bintang bagi ASEAN NCAP.

Semua model Isuzu D-Max menikmati jaminan lima tahun atau 150,000 km sementara X-Terrain pula diberikan jaminan tujuh tahun tanpa had perbatuan.

Harga bagi Isuzu D-Max baharu bagi pendaftaran persendirian tidak termasuk insurans di Semenanjung Malaysia bermula RM88,599.20 sehingga RM141,938.40.

Sasar jual enam ribu unit D-Max 2021, Isuzu kaji pikap berkuasa elektrik

SYARIKAT Isuzu tidak menolak bakal menghasilkan kenderaan pikap berkuasa elektrik.

Bagaimanapun, perkara itu masih dalam perancangan dan tidak akan direalisasikan dalam tempoh terdekat ini.

Pengarah Teknikal dan Ketua Jurutera Isuzu Chifumi Saito berkata, usaha menghasilkan kenderaan berkuasa elektrik masih dalam peringkat kajian selain mengambil kira permintaan pasaran.

“Isuzu mempunyai dua haluan yang sentiasa menjadi arah tuju ke arah penghasilan kenderaan.

“Pertama untuk menghasilkan kenderaan berkuasa diesel seperti mana permintaan dari pasaran antarabangsa juga tidak lupa di pasaran negara membangun misalnya ada permintaan trak pikap menggunakan kuasa kuasa elektrik.

“Isuzu tidak menolak wujud usaha memajukan industri automotif dengan teknologi kuasa diesel dan elektrik di masa depan,” katanya dalam satu sidang media pelancaran model trak pikap D-Max 2021 yang dilakukan secara maya, baru-baru ini.

Sementara itu, Saito menjelaskan Isuzu sentiasa menitikberatkan kelestarian alam sekitar dalam penghasilan produk mereka.

Sedar akan permintaan tinggi terhadap trak pikap menggunakan bahan bakar diesel, syarikat itu bagaimanapun tidak ketinggalan melakukan kajian bagi menjaga kelestarian alam sekitar.

Terdahulu, Saito memberi penerangan terperinci mengenai modul trak pikap terbaharu keluaran Isuzu, D-Max generasi ketiga.

Model yang juga dikenali sebagai D-Max 2021 menerima beberapa penambahbaikan terutama membabitkan kawalan pemanduan.

Menggunakan enjin diesel 1.9 dan 3.0 liter, D-Max 2021 mempunyai kuasa tujahan yang disifatkan sebagai antara terbaik dalam segmennya.

Selain itu, D-Max 2021 dilengkapi sistem keselamatan tinggi yang memenuhi tahap penarafan dan piawaian di pasaran eropah, asia dan Australia.

Antara ciri keselamatan terdapat pada D-Max 2021 termasuk tanda amaran jika kenderaan berada dalam keadaan bahaya.

Berdasarkan tren pengguna negara ini, Isuzu menjangkakan mampu mencapai sasaran jualan lebih 6,000 unit model D-Max baharu, tahun ini.