KERAJAAN bersetuju memberikan kemudahan tol percuma kepada semua pengguna lebuh raya selama dua hari bermula esok, sempena cuti sambutan Deepavali.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi, berkata pelaksanaan pemberian tol percuma itu akan bermula jam 12.01 tengah malam ini hingga Ahad, berakhir jam 11.59 malam.
“Pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kelas kenderaan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.
“Inisiatif ini dilaksanakan bagi meraikan semua rakyat Malaysia, terutama masyarakat kaum India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali.
“Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
SAMBUTAN Deepavali bakal menjelang beberapa hari lagi dan dengan cuti tambahan persekolahan bermula Jumaat (21 Oktober) hingga Rabu (26 Oktober) ini, lebuh raya utama di seluruh negara pastinya akan menjadi sesak.
Oleh itu, bagi mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di lebuh raya sepanjang tempoh tersebut, PLUS Malaysia Berhad telah mengeluarkan cadangan waktu perjalanan (TTA).
TTA tersebut mencadangkan agar pelanggan lebuhraya dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor supaya memasuki lebuhraya sebelum jam 10 pagi.
Pelanggan lebuhraya dari negeri-negeri tersebut yang bergerak pulang ke Lembah Klang bermula 24 Oktober hingga 26 Oktober pula disarankan supaya memasuki lebuhraya sebelum jam 10 pagi.
Untuk perjalanan yang lebih selesa, PLUS dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan turut mengaktifkan Ujian Awam SmartLane di laluan Bukit Tambun-Plaza Tol Juru dan Sungai Petani Selatan-Hentian Sebelah Tikam Batu.
“Kami menjangkakan sebanyak 1.9 juta kenderaan akan menggunakan semua rangkaian lebuhraya kami setiap hari semasa cuti perayaan Deepavali bermula 21 Oktober ini berbanding 1.7 juta kenderaan sehari pada hari biasa,” Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.
Menurut PLUS, TTA direka untuk mengelakkan pelanggan yang menuju ke destinasi yang lebih jauh daripada ‘bertembung’ dengan kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi yang lebih dekat.
PLUS juga akan memastikan tiada penutupan lorong atau kerja-kerja penyelenggaraan serta naik taraf atau pembinaan dilaksanakan di lebuh raya kendaliannya di antara 21 hingga 25 Oktober ini.
Tambah Datuk Zakaria lagi, seramai 512 anggota PLUSRonda akan ditempatkan di lebuh raya untuk membuat rondaan dan membantu orang ramai pada musim cuti perayaan ini.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan mempunyai baki yang mencukupi dalam kad Touch ‘n Go, atau e-Wallet untuk transaksi tol. Selain menggunakan aplikasi Google Maps atau Waze, mereka juga boleh memuat turun aplikasi PLUS untuk merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya.