Tag Archives: Defender 90

Land Rover Defender 90 kustom milik Lando Norris ada ketuhar piza!

MUNGKIN ramai yang menyangka pemandu Formula 1 seperti Lando Norris lebih suka memandu kereta berprestasi tinggi untuk menjalankan rutin harian.

Ini ada benarnya kerana pemandu muda itu memang memiliki koleksi supercar yang mengagumkan, namun untuk pembelian terbarunya, Norris memilih untuk mendapatkan sesuatu yang lebih relaks dan santai.

Apa yang dimaksudkan adalah sebuah Land Rover Defender 90 tanpa bumbung kustom yang dihasilkan oleh Retro Automotive dari UK.

Dibina menggunakan Defender keluaran tahun 2001, ia didatangkan dalam warna Nardo Grey dengan campuran efek pearlescent yang diinspirasikan dari supercar McLaren.

Warna unik itu dipadankan dengan aksen hitam berkilat dan rim aloi 18 inci berwarna hitam yang dibalut tayar BFGoodrich. Pada masa yang sama, dapra yang lebar membuatkan ia tampil lebih berotot.

Untuk ruang kabin, Norris memilih upholsteri kulit Muirhead Egyptian Blue untuk membaluti papan pemuka, serta tempat duduk depan dan belakang. Terdapat juga lencana bertulis “Lando Norris” pada beberapa bahagian termasuk stereng.

Dari segi kelengkapan, trak ini didatangkan dengan skrin sentuh Pioneer dengan Apple CarPlay, serta sistem audio Marshall Kilburn II namun apa yang lebih menarik adalah ketuhar piza mudah alih dari Ooni pada bahagian belakang.

Di bawah bonet Defender ini adalah enjin 3.9-liter V8 yang dipadankan dengan transmisi manual dan transfer box yang dibina semula oleh Hobsons Industries. Ia juga dilengkapi dengan sistem suspensi udara boleh laras dan sistem brek yang lebih besar.

Menurut Retro Automotive, Defender milik Norris ini mengambil masa kira-kira 1,000 jam untuk disiapkan. Harga tidak dinyatakan namun ia sudah pasti di luar kemampuan marhaen seperti penulis.

Kini anda boleh beli Land Rover Defender dengan bumbung convertible

JIKA anda ingin mendapatkan Land Rover Defender dengan bumbung yang boleh dibuka, anda sebenarnya boleh memilih opsyen ‘folding fabric roof’ dengan harga tambahan.

Walau bagaimanapun, ia tidak akan menjadikan Defender anda sebuah kereta convertible sebenar kerana secara asasnya, bumbung fabrik itu fungsinya tidak ubah seperti bumbung panoramik dan hanya sebahagiannya sahaja yang boleh dibuka.

Bagi pemilik Defender yang mahukan pengalaman memandu convertible yang sebenar, mereka boleh menghubungi Heritage Customs yang berpengkalan di Belanda kerana syarikat itu boleh memberikan SUV anda bumbung convertible jenis soft-top seperti dari kilang.

Menurut syarikat itu, pengubahsuaian ini tersedia untuk varian 90 sahaja. Seperti yang boleh dilihat, tiang C dan bumbung akan dipotong dan dikeluarkan, dan digantikan dengan bumbung fabrik yang dibuat dengan tangan, serta roll cage sebagai langkah keselamatan.

Bumbung berkenaan dioperasikan secara separa elektrik, bermakna ia boleh dibuka dan dilipat secara automatik namun pemandu perlu membuka selak secara manual. Ia boleh didapati dalam pelbagai warna.

Sebagai sebahagian daripada pakej ubah suai, Heritage Customs turut menyediakan pelbagai komponen kustom termasuk rim berukuran 20 atau 22 inci, pakej Magic Metal (kemasan ala logam pada bahagian luaran), tempat duduk sport, upholsteri kulit sepenuhnya dan pelbagai lagi.

Sudah tentu, projek convert seperti ini tidak murah. Ia bermula dari 82,500 euro (RM403,220), tidak termasuk barangan kustom yang lain serta harga Defender 90 itu sendiri. Di Malaysia, model tiga pintu itu dijual pada harga bermula dari RM838,000.

Land Rover Defender 90 kini di Malaysia – 2 varian, harga bermula RM838,800

HAMPIR setahun selepas melancarkan Land Rover Defender 110 baharu, Jaguar Land Rover Malaysia kini membawa masuk versi ‘short wheelbase’ pula iaitu Defender 90.

Harga jualan (termasuk SST 10 peratus dan tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans) bermula dari RM838,800 bagi varian P300 dan RM1,098,800 bagi P400 MHEV.

Ia disokong oleh program Land Rover Care yang merangkumi jaminan dan pakej servis percuma selama lima tahun dan khidmat bantuan tepi jalan untuk tiga tahun.

Untuk pasaran Malaysia, Defender 90 boleh didapati dalam lima warna serta 170 akesori individu, pilihan terbesar yang pernah dihasilkan bagi sebuah Land Rover.

Seperti Defender 110, varian Defender 90 P300 dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo empat silinder yang menghasilkan 300 PS dan 400 Nm, manakala varian P400 pula tampil dengan enjin mild-hybrid 3.0-liter enam silinder dengan output berjumlah 400 PS dan 550 Nm.

Kedua-dua enjin berkenaan merupakan enjin petrol dari keluarga Ingenium dan dipadankan dengan transmisi jenis automatik lapan kelajuan keluaran ZF.

Menurut JLR, Defender 90 mampu mengharungi air sedalam 900 mm. ‘Transfer box’ dwi kelajuan pula memberikan suntikan kelajuan dan kawalan tambahan untuk mengawal kuasa bagi menghadapi perjalanan mencabar seperti mendaki dan menuruni cerun curam.

Di samping itu, suspensi udara elektronik membolehkan pemandu melaraskan ketinggian kenderaan mengikut keperluan. Dengan ciri ini, suspensi boleh diturunkan sebanyak 40 mm daripada ketinggian normal atau dinaikkan sehingga 75 mm.

Bukan itu sahaja, bagi pemanduan off-road yang ekstrem, sistem suspensi tersebut juga menyediakan ketinggian tambahan sebanyak 70 mm.

Fungsi Dinamik Boleh Laras (Adaptive Dynamic) pula menggunakan data untuk mengoptimumkan kawalan dan keselesaan dengan serta-merta menerusi sistem peredam adaptif yang dapat menilai pergerakan badan kedneraan sehingga 500 kali sesaat.

Defender 90 menggunakan senibina Electronic Vehicle Architecture (EVA 2.0) yang menyokong sistem infohibur Pivi Pro dan kemas kini atas udara atau Software-Over-The-Air (SOTA).

EVA 2.0 terdiri daripada kamera digital terkini, sensor ultrasonik dan rangkaian dalam kereta yang pelbagai jenis teknologi bantuan pemandu. Ini termasuk kamera keliling 3D yang memberikan tahap keterlihatan 360-darjah, serta sensor Wade Sensing dan teknologi bonet lut sinar ClearSight.