Tag Archives: Defender Octa

Land Rover Defender Octa bakal sertai rali Dakar, W2RC

Atas kertas, Land Rover Defender Octa sememangnya cukup berkuasa dengan 635 PS dan 750 Nm. Namun adakah angka yang tinggi ini bermakna ia hebat dalam dunia sebenar?

Bagi menguji kemampuan sebenar Defender Octa, Land Rover telah mengumumkan bahawa ia akan menyertai rali Dakar dan FIA World Rally‑Raid Championship (W2RC) bermula tahun depan.

Menurut syarikat itu, mereka akan mempertandingkan dua unit Defender Octa dalam W2RC di bawah kategori Stock untuk kenderaan berasaskan produksi, dan tiga unit di dalam rali Dakar.

Bertanding di bawah kategori Stock bermakna Defender Octa akan mengekalkan enjin, transmisi, pacuan serta rekaan badan seperti model produksi.

Berlumba dengan trenkuasa standard mungkin kedengaran membosankan namun peraturan-peraturan baharu yang akan dilaksanakan menjelang 2026 bakal menjadikan kategori tersebut lebih berdaya saing.

Diperkenalkan pada Julai 2024, Defender Octa merupakan Defender paling laju pernah dihasilkan Land Rover. Ia dikuasakan oleh enjin 4.4-liter twin-turbo V8 BMW yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j 4.0 saat dengan bantuan transmisi automatik lapan kelajuan.

Selain itu, SUV ini juga menggunakan seni bina D7x berasaskan binaan monocoque aluminium yang dikatakan tiga kali lebih kuat berbanding rekaan body-on-frame tradisional.

Sistem suspensi pula terdiri daripada peredam separa-aktif yang bertindak untuk mengurangkan pitch dan body roll, serta memaksimumkan artikulasi suspensi bagi membolehkan ia mengharungi bentuk muka bumi yang lebih ekstrem.

Land Rover Defender Octa diperkenalkan sebagai varian paling lasak dan power

BARISAN Land Rover Defender 110 kini diperluaskan lagi dengan kehadiran varian baharu yang dikenali sebagai Defender Octa.

Menurut Land Rover, Octa merupakan Defender yang paling berkuasa pernah dihasilkan. Ia dikuasakan oleh enjin mild-hybrid 4.4-liter twin-turbo V8 dari BMW yang menghasilkan 635 PS dan 750 Nm.

Jumlah tork akan ditingkatkan kepada 800 Nm dengan Dynamic Launch Mode, membolehkan SUV ini memecut dari 0 hingga 100 km/j 4.0 saat dengan bantuan transmisi automatik lapan kelajuan.

Kelebihan Defender Octa tidak terhad kepada trenkuasa sahaja kerana casis turut diberi dipertingkatkan secara menyeluruh menerusi sistem yang digelar sebagai 6D Dynamics.

Menggunakan peredam separa-aktif, sistem itu bertindak untuk mengurangkan pitch dan body roll, serta memaksimumkan artikulasi suspensi bagi membolehkan ia mengharungi bentuk muka bumi yang lebih ekstrem.

Jika dibandingkan dengan varian lain, ketinggian Defender Octa turut dinaikkan sebanyak 28 mm, manakala trek roda dilebarkan sebanyak 68 mm.

Digabungkan dengan tayar berukuran 33 inci, ini secara tidak langsung menambah baik sudut pendekatan dan pelepasan, selain membolehkan Octa meredah air pada kedalaman sehingga satu meter.

Selain itu, model ini juga mempunyai wishbone yang lebih panjang dan tegar, cakera brek depan berukuran 400 mm dengan angkup Brembo, serta nisbah stereng paling pantas bagi mana-mana varian Defender untuk pengendalian yang lebih tepat.

Di samping mod Comfort dan Dynamic, Defender Octa didatangkan dengan mod pemanduan Octa yang ditala khas untuk pemanduan off-road pada kelajuan tinggi.

Sudah tentu, sistem Terrain Response dengan mod Sand, Mud and Ruts, Grass, Gravel, Snow dan Rock Crawl turut disertakan bersama-sama dengan ClearSight Ground View.

Penampilan luaran Defender Octa boleh dibezakan menerusi bampar yang dioptimumkan untuk off-road, gril unik untuk aliran udara yang lebih tinggi, dapra lebih lebar dan empat muncung ekzos.

Ia juga mempunyai perlindungan bawah badan termasuk perisai aluminium aloi pada bahagian bawah bampar depan, dan recovery point berwarna Phosphor Bronze pada bahagian depan dan belakang.

Bahagian dalaman pula menampilkan tempat duduk Performance dengan teknologi audio Body and Soul terintegrasi yang bukan sahaja membolehkan pemandu dan penumpang depan mendengar muzik, malah ‘merasai’ setiap rentak.

Tempahan untuk Defender Octa akan dibuka tidak lama lagi, dengan harga bermula dari £145,300 (RM869k) di United Kingdom.

Di Malaysia, Jaguar Land Rover Malaysia mengumumkan yang pendataran minat untuk Defender Octa kini dibuka di https://www.landrover.com.my/defender/defender-octa/overview.

Land Rover Defender Octa – varian paling power yang akan diperkenalkan tahun ini

BARISAN Land Rover Defender bakal diperluaskan tidak lama lagi dengan varian berprestasi tinggi baharu yang dikenali sebagai Defender Octa.

Menurut Land Rover, nama Octa diinspirasikan daripada bentuk oktahedron berlian, yang merupakan antara bahan paling keras yang wujud secara semulajadi.

Defender Octa bakal menduduki takhta sebagai Defender yang paling lasak dan paling berkuasa setakat ini dengan enjin V8 twin turbo mild-hybrid.

Perincian teknikal model ini masih belum diumumkan namun ura-ura mengatakan bahawa enjin berkenaan adalah enjin 4.4-liter yang digunakan oleh Range Rover SV baharu yang diperkenalkan pada tahun lalu.

Untuk model berkenaan, enjin yang dihasilkan oleh BMW itu mempunyai kuasa sebanyak 635 PS dan 750 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 3.6 saat dan mencapai kelajuan maksimum 290 km/j.

Defender Octa juga akan didatangkan dengan sistem suspensi udara 6D Dynamics. Ia mempunyai sistem kawalan pitch and roll tercanggih yang bertindak untuk mengekalkan kestabilan kenderaan ketika memecutan, membrek dan mengambil selekoh, sambil mengekalkan jarak pergerakan roda maksimum ketika pemanduan off-road.

Selain itu, berdasarkan gambar teaser rasmi yang disiarkan, model ini juga dilengkapi dengan sistem brek Brembo.

Dari segi penampilan, Defender Octa dengan varian-varian Defender yang lain menerusi lencana-lencana berbentuk berlian pada bahagian luaran. Di dalam, terdapat logo berlian bercahaya pada bahagian bawah stereng.

Model ini bakal diperkenalkan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini. Ia kini sedang menjalani fasa ujian yang dikatakan yang paling sukar dalam sejarah Defender, yang diadakan di beberapa lokasi di seluruh dunia termasuk Sweden, Dubai, Nurburgring dan Moab.