Tag Archives: Denza D9

Denza D9 – 200 unit pertama diserahkan kepada pelanggan di Malaysia

Denza, sub-jenama premium BYD, telah menyerahkan 200 unit pertama Denza D9 dalam acara ‘Denza and BYD Electrifying Experience’ yang diadakan di Plaza Arkadia, Desa Parkcity pada hujung minggu lalu.

Acara tersebut menyambut pelanggan awal yang membeli MPV elektrik premium itu semasa fasa pelancarannya pada bulan lalu.

Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia berkata penyerahan 200 unit pertama Denza D9 itu menandakan satu peristiwa penting buat Denza di Malaysia.

“Sambutan luar biasa ini mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrik premium dan menegaskan dedikasi kami terhadap inovasi, ketukangan, dan pengalaman pelanggan.

“Kami komited untuk membentuk masa depan EV mewah dan tidak sabar untuk menyerahkan lebih banyak kenderaan yang luar biasa kepada pelanggan kami di Malaysia,” katanya.

Dilancarkan pada 20 Februari, D9 dijual pada harga bermula dari RM259,000 untuk varian Advanced FWD dan RM309,000 untuk Premium AWD.

Varian Advanced FWD dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menjana 308 hp dan 360 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 9.5 saat.

Sementara itu, Premium AWD pula mempunyai dua motor elektrik yang memberikan 369 hp dan 470 Nm, sekali gus mengurangkan masa pecutan 0-100 km/j kepada 6.9 saat.

Kedua-dua varian mendapat bateri Blade LFP berkapasiti 103 kWj yang menawarkan jarak gerak (kitaran NEDC) sejauh 600 km bagi Advanced FWD dan 580 km bagi Premium AWD.

Mereka yang membeli D9 di acara tersebut atau di mana-mana cawangan Denza Malaysia sebelum 16 Mac menerima pakej pelancaran eksklusif yang merangkumi wall box percuma berserta kad pemasangan dan pakej servis percuma selama enam tahun.

Harmony Auto buka bilik pameran pertama Denza di Kuala Lumpur

Kumpulan pengedar terkemuka Harmony Auto kini membuka bilik pameran Denza yang pertama di Menara Atlan, Kuala Lumpur.

Bilik pameran yang terletak strategik di kawasan segitiga emas Kuala Lumpur itu menawarkan akses mudah kepada pelanggan untuk melihat dengan lebih dekat model Denza D9 yang baharu sahaja dilancarkan.

Dengan pelan lantai seluas 5,500 kaki persegi yang mampu memuatkan sehingga enam kenderaan, bilik pameran ini turut menampilkan estetika minimalis moden yang bersih dengan kemasan kontemporari.

Penggunaan bahan berkualiti tinggi, ciri pencahayaan mewah serta penggunaan paparan digital interaktif dilihat dapat memberikan pengalaman yang serba premium kepada para pelanggan.

Selain ruang pameran, terdapat juga kemudahan seperti bar kopi serta kaunter jualan barangan cenderahati.

Bilik pameran Denza ini dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 9.00 malam.

Pihak Harmony Auto juga merancang untuk membuka pusat 3S Denza di Skudai, Johor tidak lama lagi.

Denza D9 buat kemunculan di Geneva Motor Show

ACARA Geneva Motor Show 2024 menyaksikan kemunculan Denza D9, sekali gus menandakan kemasukan sub-jenama itu ke dalam pasaran Eropah.

Untuk pengetahuan, Denza merupakan satu usaha sama antara BYD dan Mercedes-Benz. Pengaruh pengeluar kenderaan mewah dari Jerman itu boleh dilihat menerusi rekaan luaran dan dalaman mewah D9.

Spesifikasi untuk pasaran Eropah masih belum didedahkan namun ia dijangka tidak jauh berbeza dengan versi pasaran China, di mana ia ditawarkan dalam versi plug-in hybrid dan elektrik.

Versi PHEV menampilkan enjin petrol 1.5-liter yang menghasilkan 137 hp/231 Nm, dan motor elektrik tunggal dengan 228 hp/340 Nm pada gandar hadapan. Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan 296 hp/571 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 9.5 saat.

Dengan penambahan motor elektrik gandar belakang, model AWD pula mempunyai kuasa sebanyak 401 hp/681 Nm dan pecutan 0-100 km/j yang lebih pantas iaitu 7.9 saat.

D9 versi elektrik pula dijana oleh motor elektrik gandar hadapan yang menghasilkan 308 hp dan 360 Nm. Versi ini memerlukan 9.5 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j.

Pelanggan juga boleh mendapatkan model AWD yang mempunyai 369 hp dan 470 Nm. Output yang tinggi itu mengurangkan masa pecutan 0-100 km/j kepada 6.9 saat sahaja.

Kedua-dua varian menggunakan bateri LFP Blade berkapasiti 103.4 kWj yang memberikan jarak pandu sekitar 600 km untuk model AWD dan 620 km untuk FWD. Angka adalah berdasarkan kitaran CLTC.

Seperti kebanyakan MPV mewah yang ada dalam pasaran sekarang, D9 mempunyai bentuk berkotak, pintu gelongsor elektrik dan gril yang besar – dengan rekaan berbeza untuk membezakan antara versi PHEV dan EV.

Ukurannya juga tidak jauh berbeza dengan pesaing-pesaing terdekatnya iaitu panjang 5,250 mm, lebar 1,960 mm, tinggi 1,920 mm dan tapak roda 3,110 mm.

Dimensi yang besar itu (lebih besar daripada LM) memberikan D9 ruang dalaman yang luas, dengan hampir segenap ruang dibalut upholsteri kulit mewah.

D9 menggunakan konfigurasi 2-2-3 yang menampilkan kerusi kapten yang boleh digelongsor di barisan kedua. Banyak ciri mewah dimuatkan dalam ruang ini, antaranya termasuk sistem infohibur untuk penumpang belakang, panel kawalan untuk tempat duduk barisan kedua, peti sejuk dan sistem audio Dynaudio.

Menurut laporan, D9 akan dijual di pasaran Eropah bermula akhir tahun ini.