Tag Archives: direct lending

Direct Lending, Tan Chong perkenal pelan ansuran servis kereta patuh syariah

Direct Lending telah mengumumkan kerjasama bersama Tan Chong Motor Holdings Berhad bagi memperkenalkan pelan ansuran servis kereta sepenuhnya digital yang patuh Shariah, di pusat perkhidmatan Nissan seluruh Malaysia.

Menurut Tan Chong, kerjasama ini sejajar dengan komitmen mereka untuk memberikan pemilik kereta Nissan pengalaman yang lancar di pusat perkhidmatan mereka.

Menerusi kerjasama ini, pelanggan Tan Chong kini boleh membuat semakan kelayakan kewangan dan pengesahan dokumen secara dalam talian dan mendapatkan pembiayaan segera berbanding pembiayaan kewangan tradisional.

Ini akan membolehkan pelanggan meningkatkan fleksibiliti dalam menguruskan perbelanjaan servis dan penyelenggaraan kereta mereka dengan tempoh pembayaran balik sehingga 12 bulan.

Pemohon boleh mendapatkan pembiayaan segera dalam tiga langkah mudah iaitu mengisi butiran, menghantar kad pengenalan berserta penyata bank bagi tiga bulan terkini dan mengakhiri proses dengan membuat pembayaran pertama, menetapkan kadar pembayaran bulanan dan menandatangani perjanjian pembiayaan. Keseluruhan proses ini dijalankan secara digital melalui telefon pintar.

Sebagai permulaan, perkhidmatan Direct Lending boleh didapati di 10 pusat perkhidmatan Nissan Tan Chong yang terpilih. Kemudahan ini akhirnya akan dikembangkan di semua pusat perkhidmatan Nissan Tan Chong seluruh negara.

Hui Yik Seong, Pengasas Direct Lending berkata, “Kami amat berbesar hati kerana dapat menawarkan sebuah pelan ansuran yang mematuhi prinsip Shariah, yang memberi manfaat kepada semua orang, termasuk pelanggan Tan Chong Motor Holdings Berhad.”

“Keselamatan pelanggan merupakan keutamaan kami. Dengan menjalin kerjasama dengan Direct Lending, kami dapat memastikan bahawa pelanggan kami mempunyai fleksibiliti kewangan untuk menyelenggara kenderaan mereka supaya berada dalam keadaan optimal, seterusnya menyumbang kepada pemanduan yang lebih selamat,” kata Daniel Ho Wai Ming, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Chong.

Pelan ansuran servis kereta Direct Lending merupakan kemudahan pembiayaan patuh Shariah yang disokong sepenuhnya oleh Amanie Advisors, sebuah firma Penasihat Kewangan Islam global yang terkemuka, memastikan kebolehcapaiannya untuk semua. Setakat tahun 2023, syarikat itu telah melakukan lebih daripada 130,000 penilaian berhubung kelayakan pembiayaan kewangan.

Direct Lending dan Petronas AutoExpert perkenal pelan ansuran servis kereta patuh syariah

DIRECT Lending, platform pinjaman digital terkemuka Malaysia hari ini mengumumkan kerjasama dengan Petronas AutoExpert, salah satu jenama penyedia servis kereta yang diiktiraf di negara ini.

Kerjasama tersebut untuk memberikan solusi kepada pemilik kereta dengan menawarkan pelan ansuran servis kereta sepenuhnya, digital, dan patuh Syariah.

Melalui kerjasama ini, Petronas AutoExpert telah menggunakan model ‘Buy Now Pay Later’ (BNPL), sejajar dengan dedikasinya untuk menjadikan perkhidmatan servis kereta lebih ringkas dan mudah diakses, serta berharap agar ianya dapat mengurangi beban kepada pengguna.

Tersedia di mana-mana 55 pusat Petronas AutoExpert di seluruh negara, pemilik kereta dapat melakukan pembayaran mereka dalam tempoh maksimum sehingga 12 bulan, manakala pusat Petronas AutoExpert akan menerima bil invois secara penuh terlebih dahulu – yang mana ini secara tidak langsung mempromosikan aliran tunai yang sihat dan berpotensi meningkatkan jualan.

Dengan hanya tiga langkah mudah, pemohon boleh mendapatkan pembiayaan dengan pantas dengan mengisi butiran mereka, menyerahkan kad pengenalan bersama penyata bank tiga bulan terkini, dan mengakhiri proses tersebut dengan membuat pembayaran pertama, menyediakan pembayaran bulanan dan menandatangani perjanjian pembiayaan – semuanya dilakukan melalui teknologi telefon pintar.

Para pelanggan Petronas AutoExpert boleh memohon pelan ansuran ini melalui imbasan kod QR yang disediakan di pusat Petronas AutoExpert yang terlibat.

Mohd Zameer Zahur Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd berkata, “Pengguna disaran untuk mengambil peluang dengan pembayaran ansuran Direct Lending di semua cawangan Petronas AutoExpert.

“Ini ternyata dapat mengurangi beban perbelanjaan dengan lebih efisien terutama di dalam penjagaan kenderaan keluarga.”

BNPL selaras dengan syariah

Pada masa kini, ramai pemilik kereta sering mengurangkan perbelanjaan penyelenggaraan, kebanyakannya disebabkan oleh kekurangan wang tunai, dan bukan semua perkhidmatan dan jenama kereta di pasaran Malaysia menyediakan penyelesaian BNPL yang fleksibel dan mudah.

Menurut Kajian Kestabilan Kewangan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Malaysia telah menyaksikan pertumbuhan model BNPL yang stabil pada 2022, dengan 44 peratus pengguna yang berumur antara 18 dan 30.

Walau bagaimanapun, tidak semua perkhidmatan BNPL mematuhi syariah atas tiga sebab: kewujudan kadar faedah, penglibatan barangan larangan dan ketidakseimbangan dalam terma dan syarat yang tidak mematuhi standard kebenaran Islam.

Hui Yik Seong, Pengasas Direct Lending berkata, “Kami berbesar hati untuk menawarkan pelan ansuran yang mematuhi prinsip syariah, memberi manfaat kepada semua, termasuk pelanggan.

“Kerjasama ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan penyelenggaraan kenderaan — komponen yang haus atau rosak boleh memudaratkan prestasi kereta, merisikokan pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya.

“Kami berharap  pembiayaan yang lebih inklusif dan mesra pengguna untuk rakyat Malaysia ini, dapat memudahkan perjalanan pemilikan kenderaan mereka secara keseluruhan.”

Pelan ansuran servis kereta Direct Lending ialah kemudahan pembiayaan patuh syariah yang disokong sepenuhnya oleh Amanie Advisors, firma Penasihat Kewangan Islam global yang terkemuka, memastikan aksesnya kepada semua.

Sehingga 2023, syarikat ini telah menjalankan lebih daripada 130,000 penilaian kelayakan pinjaman.