Tag Archives: DMC

Anda boleh tukar DeLorean DMC-12 klasik ini jadi EV dengan kit dari Electrogenic

WALAUPUN DeLorean DMC-12 nampak hebat dan cool dalam trilogi filem Back to the Future, ramai penonton dan peminat tidak mengetahui kereta sebenar dengan badan stainless-steel itu sebenarnya tidak laju.

Kereta itu dipacu oleh enjin V6 di belakang pemandu yang menghasilkan 130hp, dan mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam 9.5 saat (ujian pada 1981). Kini, Electrogenic – firma dari UK – ada penyelesaian untuk melajukan lagi DeLorean dengan kit EV bolt-on mereka.

Tangki minyak diganti dengan pek bateri 42kWh. Kemudian ruang enjin diisi dengan motor elektrik, inverter, pengecas, dan sistem penyejuk yang muat dengan baik sekali.

Pakej elektrik ini diberikan kemasan stainless-steel sama dengan badan kereta, bersama tulisan Electrogenic dengan font yang sama dengan DeLorean. Kit ini turut dilengkapi dengan driveshaft kustom dan unit kawalan berserta mod pemanduan (Sport, Eco, dan Town).

Electrogenic berkata motor elektrik pada DeLorean ini menghasilkan 215hp iaitu 85hp lebih dari enjin asal.

Dengan pertukaran kepada EV, Electrogenic berkata ia membolehkan DeLorean memecut dari pegun ke 96km/j kurang dari lima saat. Jarak pemanduan adalah sehingga 240km.

Untuk pengecasan, ia boleh menggunakan pengecas jenis CCS untuk DC, tetapi Electrogenic tidak mendedahkan kadar pengecasan maksima dan masa yang diperlukan.

Harga juga tidak dinyatakan, tetapi kit EV ni menurut Electrogenic adalah plug-and-play terus kepada mounting enjin asal. Tiada pemotongan, gerudi, atau tempaan diperlukan.

Apa pun, DeLorean versi elektrik in pastinya akan membuatkan Doc Brown menyahut, “Great Scott!”.

DMC 190e AMG Evolution Extrem 2024, alternatif restomod yang lebih murah berbanding HWA EVO

Selepas pihak HWA mengumumkan projek restomod EVO, tiba giliran sebuah lagi pihak yang mahu menawarkan konsep yang sama, namun pada harga yang lebih marhaen.

DMC Exotic Car Tuning Limited yang berpangkalan di Jerman mengumumkan penawaran kit badan lebar Mercedes Benz W201 AMG 190e 2.5-16 Wide Body Kit yang sememangnya diinspirasikan daripada jentera ikon 90-an itu.

 

 

Untuk tidak membazirkan mana-mana casis Evo II yang sangat terhad itu, pihak DMC menawarkan kit badan lebar ini bukan sahaja untuk casis W201, malah boleh juga dipasang pada sebuah lagi casis klasik W124.

Menariknya pihak DMC menawarkan harga yang jauh lebih murah, iaitu sekitar US$299,990 (RM1.4 juta) termasuk dengan kos untuk casis kereta penderma.

Namun jika anda sudah mempunyai casis W201/W204, anda hanya perlu membeli pakej kit badan secara keseluruhan bernilai US$39,990 sahaja (RM188,633), atau membelinya secara berasingan seperti berikut:

Kit badan lebar – US$19,990 (RM94,263)
Unit lampu depan belakang – US$1,990 (RM9,387)
Set rim Gullideckel – US$9,990 (RM47,123)

 

 

Pakej kit badan lebar yang dimaksudkan itu tadi merangkumi bampar depan dan belakang, lip hadapan, panel sisi, serta kombo spoiler belakang yang sangat ikonik itu.

Untuk pakej kemasan dalaman, anda perlu menambah wang sebanyak US$29,990 (RM141,463).

Selain daripada itu, pakej kit badan lebar DMC ini tidak akan dihasilkan dalam unit terhad, dan boleh disesuaikan dengan mana-mana kereta W201/W124 versi pemanduan sebelah kiri (LHD) atau kanan (RHD).

Berbanding projek restomod HWA EVO yang bernilai sehingga RM3.6 juta itu, pihak DMC hanya menawarkan pakej kit badan lebar sahaja, tidak termasuk dengan kos untuk naik taraf enjin standard kilang W201/W124.

 

 

Maserati MC20 lebih berbisa dengan kit DMC

PERKARA terakhir yang diperlukan oleh Maserati MC20 adalah modifikasi namun ini tidak menghalang syarikat talaan dari Jerman iaitu DMC daripada membangunkan kit naik taraf untuk supercar Itali itu.

Kit berkenaan merangkumi kit badan yang lebih menonjol serta naik taraf trenkuasa yang menyaksikan enjin Nettuno itu menghasilkan kuasa dan tork yang lebih tinggi.

Bermula dengan aspek visual, kit DMC ini menyertakan splitter depan, lubang udara ala GT3 pada fender depan, gril radiator yang diperbuat daripada gentian karbon, skirt sisi dan diffuser belakang. Turut disertakan adalah spoiler tetap dan lubang inlet dan outlet pada penutup kompartmen enjin.

Sebagai pelengkap, MC20 yang ditampilkan ini turut diberikan set rim aluminium tempaan berukuran 20 inci di depan dan 21 inci di belakang. Ia didatangkan dalam warna hitam, sepadan dengan komponen-komponen tambahan tersebut.

Dalam versi standard, enjin 3.0-liter twin-turbo V6 yang dibangunkan oleh Maserati itu menjana 630 PS dan 730 Nm. Terima kasih kepada ECU, penapis udara dan sistem ekzos baharu, enjin tersebut kini menghamburkan 714 PS dan 875 Nm, menunjukkan peningkatan sebanyak 84 PS dan 145 Nm.

Masa pecutan 0-100 km/j dan kelajuan maksimum tidak dinyatakan, namun dengan peningkatan kuasa yang signifikan ini, ia sudah pasti lebih laju berbanding versi standard.

Selain itu, DMC turut menyediakan naik taraf sistem suspensi sport yang mengurangkan ketinggian MC20 sebanyak 30 mm.