Sukan berprestij Formula Satu nampaknya telah berjaya menarik minat golongan pengikut baharu (terutama di Amerika Syarikat) selepas siri dokumentari Drive to Survive ditayangkan di Netflix sejak tahun 2019.
Terkini, Netflix dilapor bakal menerbitkan siri dokumentari mini enam episod berkisarkan kisah hidup juara F1 dari Brazil, Ayrton Senna yang bakal ditayangkan pada tahun ini.
Berdasarkan trailer acah yang disiarkan, dokumentari Senna itu bakal mengisahkan kerjaya Ayrton Senna sebagai pelumba F1, kehidupan serta hubungan dalam dunia sebenar.
Trailer itu turut memaparkan kesukaran yang dialami oleh Ayrton Senna dalam usaha untuk membawa pulang kejayaan semasa GP Brazil pada tahun 1991, selain mengimbas kembali sejarah penglibatan beliau dalam dunia perlumbaan sejak usia muda.
Dokumentari Senna ini bakal dibintangi oleh Gabriel Leone sebagai Senna, Pâmela Tomé (teman wanita Senna), serta beberapa bintang antarabangsa yang bakal membawakan watak penting seperti Niki Lauda, James Hunt dan Osamu Goto.
Untuk makluman, Ayrton Senna juga merupakan antara individu yang bertanggungjawab dalam menyempurnakan karakteristik pemanduan kereta sports berenjin tengah Honda NSX generasi pertama.