Tag Archives: Ducati Malaysia

PETRONAS Sprinta kini rakan strategik Ducati Official Club Malaysia

PETRONAS Sprinta kini merupakan rakan strategik kelab rasmi Ducati Malaysia (Ducati Official Club Malaysia atau DOCM) untuk tahun 2025.

Pengumuman tersebut dibuat bersempena dengan penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang ke-8 yang kini mempunyai ahli seramai 1,600 orang.

Kerjasama yang terjalin antara kedua-dua belah pihak itu dilihat akan meningkatkan lagi taraf DOCM selain mengukuhkan kedudukannya sebagai komuniti Ducati yang terkemuka di Malaysia dan Asia.

Menurut Zameer Zahur Hussain selaku Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) berkata, “Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan DOCM dan menjadi rakan utama mereka untuk tahun 2025.

“Matlamat kami adalah untuk meningkatkan kehadiran jenama kami dalam komuniti dua roda tempatan, dan menunjukkan kualiti unggul produk PETRONAS Sprinta.

“Melalui kerjasama ini, kami berhasrat untuk menyokong komuniti Ducati sambil memperkukuhkan penembusan produk buatan Malaysia kami di pasaran domestik.

Perhimpunan tahunan itu yang berlangsung di Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA itu turut menyaksikan sebanyak 301 buah motosikal daripada pelbagai model Ducati berjaya dihimpunkan.

 

Ducati Malaysia buka bilik pameran di Johor Bahru

Ducati Malaysia telah melancarkan pusat pengedaran terbarunya di Johor Bahru, sekali gus menandakan kehadiran semula Ducati ke Johor selepas 10 tahun.

Menurut Ducati Malaysia, pembukaan cawangan ini merupakan sebahagian daripada komitmennya untuk memperluaskan lagi kehadiran jenama Ducati di selatan Semenanjung Malaysia.

Pusat pengedaran baharu itu terletak secara strategik di No.9 Jalan Permas 9/17, Masai Johor, iaitu bersebelahan Aeon Permas Jaya.

Dengan pelaburan berjumlah RM3.5 juta, kemudahan berkeluasan 2,418 kaki persegi itu merangkumi bilik pameran yang boleh memuatkan sehingga 16 motosikal pada satu-satu masa, serta pusat servis yang canggih dan serba lengkap.

Menurut Ducati Malaysia, pusat servis itu berukuran 2,135 kaki persegi dan dilengkapi dengan empat ruang servis dengan kapasiti untuk menyelenggara sehingga 200 motosikal sebulan.

Selain itu, terdapat juga ruang khas yang mempamerkan barangan dan aksesori tulen Ducati, serta ruang berasingan untuk Scrambler Ducati yang lengkap dengan pakaian, aksesori dan ruang rehat tersendiri.

Ducati Malaysia berkata ia menetapkan sasaran untuk menjual 30 unit motosikal Ducati menjelang akhir tahun ini dan 100 unit pada 2025.

 

Buat masa ini, terdapat lebih 200 motosikal Ducati di Johor dan bilik pameran ini dijangka menjadi lokasi tumpuan Ducatisti di rantau ini.

Pusat pengedaran Ducati Johor dibuka setiap Isnin hingga Sabtu dari 10 pagi hingga 7 malam. Bilik pameran tetap beroperasi pada hari Ahad dari 10 pagi hingga 3 petang.

Ducati Hypermotard 698 Mono dilancarkan di Malaysia, dari RM71k

Ducati Malaysia memperluaskan penawarannya di negara ini dengan pelancaran Ducati Hypermotard 698 Mono baharu.

Jentera itu boleh didapati dalam varian asas Hypermotard 698 Mono yang berharga RM70,900 dan varian 698 Mono RVE pada harga RM77,900.

Kedua-duanya dipacu oleh enjin Superquadro Mono 659 cc silinder tunggal yang dibina berasaskan enjin Superquadro 1,285 cc dari 1299 Panigale.

Dilengkapi dengan sistem desmodromic, enjin ini mampu menjana kuasa keseluruhan berjumlah 77.5 hp pada 9,750 rpm dan 64 Nm pada 8,000 rpm.

Apa yang lebih menarik, kuasanya boleh meningkat sehingga 84.5 hp jika menggunakan ekzos perlumbaan Termignoni.

Sistem suspensi terdiri daripada upside-down fork Marzocchi boleh laras sepenuhnya di hadapan dan lengan ayun berkembar dengan penyerap hentak Sachs di belakang.

Untuk roda, Hypermotard 698 Mono menggunakan rim aloi tempaan 17 inci yang dibalut tayar Pirelli Diablo Rosso IV bersaiz 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.

Kuasa membrek pula dibekalkan oleh cakera tunggal 330 mm dan angkup Brembo M4.32 di hadapan, dan cakera tunggal 245 mm dengan angkup piston tunggal di belakang.

Untuk sistem elektronik, motosikal ini didatangkan dengan teknologi yang diperoleh daripada barisan Panigale seperti Cornering ABS with Slide-by-Brake, Ducati Wheelie Control, Ducati Traction Control, Engine Brake Control dan empat mod tunggangan.

Varian RVE boleh dibezakan dengan varian asas menerusi grafik unik dan penambahan Ducati Quick Shift (DQS), yang ditawarkan sebagai opsyen pada varian asas.

Ducati DesertX Rally, Monster 30° Anniversario masuk pasaran Malaysia

DUCATI Malaysia telah mengumumkan ketibaan dua model menarik ke pasaran tempatan iaitu DesertX Rally dan Monster 30° Anniversario yang merupakan model edisi terhad.

DesertX Rally (RM160,900)

Sebagai varian tertinggi dalam bariannya, DesertX Rally tampil dengan pelbagai kelengkapan yang direka khusus untuk meningkatkan pengalaman tunggangan off-road.

Berikut adalah antara spesifikasi dan kelengkapan yang disertakan:

  • Sistem suspensi KYB berprestasi tinggi dan boleh laras sepenuhnya dengan teknologi katrij tertutup memberikan ketahanan dan prestasi tunggangan off-road yang lebih konsisten.
  • DesertX Rally dilengkapi dengan rim Takasago EXCEL tugas berat dengan hab billet aluminium dan jejari keluli karbon. Ia dikatakan 0.5 kg lebih ringan berbanding rim DesertX standard.
  • Sump guard karbon, serta brek belakang dan tuil gear yang diperbuat daripada billet aluminium mengurangkan berat dan pada masa yang sama menawarkan ketahanan.
  • Grafik tahan lasak yang diinspirasikan daripada livery yang digunakan oleh Antonie Meo dalam perlumbaan Erzbergrodeo.

 

Monster 30° Anniversario (RM115,900)

Terhad kepada 500 unit sahaja di seluruh dunia, Monster 30° Anniversario dihasilkan sempena ulang tahun ke-30 Monster.

Antara ciri utama jentera ini adalah:

  • Livery Tricolore “30° Anniversario” dengan penutup tempat duduk pembonceng dan plak nombor siri pengeluaran pada bar hendal. Turut disertakan adalah animasi unik pada panel instrumen.
  • Dikuasakan oleh enjin Testastretta 11° bersesaran 987 cc yang menjana 111 hp dan 93 Nm untuk tunggangan yang mengujakan.
  • Rim aluminium tempaan didatangkan secara standard.
  • Mempunyai kelengkapan elektronik terkini yang merangkumi ciri-ciri seperti Ducati Quick Shift (DQS), Cornering ABS, dan Traction Control untuk tunggangan yang selamat dan dinamik.
  • Fork boleh laras Öhlins NIX30, penyerap hentak belakang Öhlins dan peredam stereng Öhlins.
  • Ergonomik tempat duduk direka semula untuk keselesaan dan kawalan yang lebih tinggi, menjadikan motosikal ini sesuai untuk tunggangan di dalam dan luar bandar.

Panigale Kingdom Mega Gathering  catat rekod dunia dengan 310 Ducati Panigale 

Penganjuran ‘Panigale Kingdom Mega Gathering’ 2024 bukan sahaja berjaya menempah nama dalam Malaysia Books of Record malah turut mencatat rekod dunia. 

Ini kerana perhimpunan terbesar motosikal Ducati Panigale itu Sabtu lalu berjaya mengumpulkan 310 motosikal Panigale bertempat di Ducati Kuala Lumpur. 

Perhimpunan lebih 300 motosikal Panigale itu juga yang paling banyak pernah dicatatkan bukan sahaja di Malaysia malah di serata dunia. 

“Panigale Kingdom Mega Gathering bukan setakat acara memecah rekod tetapi turut mencerminkan semangat Malaysia Boleh!,” jelas Ketua Pegawai Operasi Ducati Malaysia, Dennis Michael. 

Acara tersebut turut menyaksikan kesemua pemilik Ducati Panigale berkonvoi beramai-ramai sambil diiringi beberapa motosikal berkuasa tinggi dari Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Ducati ‘We Ride As One’ berjaya kumpul 300 pemilik Ducati di Malaysia

Program We Ride As One anjuran Ducati bagi tahun 2024 berlangsung meriah dengan lebih 300 pemilik Ducati berjaya dikumpulkan. 

Acara bermula di Ducati Sungai Buloh sebagai venue permulaan yang menyaksikan pemilik pelbagai motosikal Ducati termasuk Panigale, Mutlistrada, Hypermotard, Monster dan Ducati Scrambler berkumpul.

Peserta memulakan perjalanan dari Ducati Sungai Buloh ke Putrajaya Lake Club pada Sabtu dan menyelusuri laluan dan landskap yang indah. 

Seramai 300 motosikal terlebih berkonvoi ke tiga lokasi utama yang merangkumi Jambatan Seri Gemilang, Jambatan Seri Saujana sebelum berakhir di Kelab Tasik Putrajaya di mana kesemua Ducatisti berpeluang meramah mesra dan menikmati makan tengah hari. 

Ducati Malaysia umum Waranti Kilang 3 Tahun Ever Red

Berita baik bagi bakal pemilik motosikal Ducati yang dibeli selepas 1 Mac 2024 apabila Ducati Malaysia mengumumkan waranti kilang Ever Red tiga tahun. 

Pengumuman terbaru itu menyaksikan kesemua model Ducati termasuk Scrambler Ducati keluaran 2024 antaranya Panigale V4 dan Scrambler termaktub dalam waranti kilang tiga tahun tersebut. 

Menurut Ducati, waranti kilang tiga tahun ini adalah khas untuk pemilik Ducati di Malaysia. 

Antara ditawarkan menerusi waranti tiga tahun Ever Red ini termasuk perbatuan tanpa had dan pindah milik waranti sekiranya motosikal masih berada dalam lindungan waranti tiga tahun. 

Ducati Panigale V4 SP2 jentera litar terulung kini di Malaysia – RM300,865

SELAIN Diavel V4, Ducati Malaysia turut melancarkan jentera yang dibangunkan khusus untuk litar lumba yang masih boleh digunakan di jalan raya iaitu Panigale V4 SP2.

Dari segi penampilan, Panigale V4 SP2 boleh dikenal pasti menerusi livery Winter Test yang menggabungkan warna hitam matte, aksen gentian karbon pada winglet dan mudguard, serta aksen merah menyala dan warna bendera Itali.

Menjadikan superbike ini lebih istimewa adalah rim magnesium tempaan Marchesini yang digandingkan dengan tayar Pirelli Diablo Supercorsa untuk pengendalian yang mantap.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan nombor siri pengeluaran yang diukir menggunakan laser pada bahagian bar hendal.

Kuasa dibekalkan oleh enjin Desmosedici Stradale V4 1,103 cc yang menghasilkan 215.5 hp pada 13,000 rpm 123.6 Nm pada 9,500 rpm. Penggunaan klac kering STM EVO SBK memastikan kuasa disalurkan ke roda dengan lebih efektif.

Untuk suspensi, Panigale V4 SP2 menggunakan gabungan fork Öhlins NPX25/30 dan penyerap hentak Öhlins Smart EC 2.0 yang kedua-duanya boleh dikawal secara elektronik.

Untuk sistem brek pula, terdapat master cylinder Brembo MCS yang membolehkan penunggang melaraskan feel brek mengikut cuaca dan kondisi tunggangan.

Akhir sekali, sistem elektronik terdiri daripada ciri-ciri seperti Riding Modes, Power Modes, Cornering ABS EVO, Traction Control EVO 3, Wheelie Control EVO, Slide Control dan Engine Brake Control EVO.

Tidak cukup dengan itu, jentera ini turut dilengkapi dengan Power Launch, Quickshift EVO 2, lampu LED dengan DRL dan bateri litium ion.

Harga jualan (OTR tidak termasuk insurans) Panigale V4 SP2 bermula dari RM300,865.

Ducati tawar rebat tunai sehingga RM8,000 sempena Merdeka

SEMPENA sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia tidak lama lagi, Ducati Malaysia kini mengadakan promosi ‘Massive Deals for Merdeka’ di mana pelanggan boleh menikmati pelbagai tawaran menarik untuk motosikal dan barangan rasmi jenama itu.

Bagi mereka yang ingin membeli motosikal Ducati yang baharu, inilah masanya kerana Ducati Malaysia menawarkan rebat tunai sehingga RM8,000 untuk model terpilih. Tawaran ini sah hingga 30 September 2023.

Bukan itu sahaja, pelanggan dan peminat Ducati juga boleh menunggang uji motosikal Ducati untuk merasai sendiri kehebatan jentera Itali itu sepanjang tempoh kempen ini diadakan.

Di samping rebat tunai, Ducati Malaysia turut menawarkan promosi diskaun sehingga 35 peratus ke atas pakaian dan barangan rasmi Ducati, servis Desmo, aksesori dan alat ganti.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ‘Massive Deals for Merdeka’ dan rangkaian model Ducati, layari laman web rasmi Ducati Malaysia atau kunjungi bilik pameran bertauliah Ducati di Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Sungai Buloh dan Pulau Pinang.

Ducati Scrambler generasi kedua dilancarkan di Malaysia – 3 versi, harga dari RM64k

DIPERKENALKAN di peringkat global pada penghujung tahun lalu, Ducati Scrambler generasi kedua kini memasuki pasaran Malaysia dengan tiga varian untuk dipilih iaitu Icon, Full Throttle dan Nightshift.

Harga jualan (OTR tidak termasuk insurans) bermula dari RM63,865 untuk versi asas Icon, dan RM70,865 untuk Full Throttle dan Nightshift.

Ketiga-tiga versi dikuasakan oleh enjin Desmodue silinder L berkembar 803 cc yang menghasilkan 73 hp pada 8,250 rpm dan 65.2 Nm pada 7,000 rpm. Menurut Ducati, enjin ini 2.5 kg lebih ringan berbanding enjin terdahulu.

Selain itu, penambahbaikan pada casis dan kerangka trellis menjadikan Scrambler generasi baharu ini 4 kg lebih ringan berbanding sebelum ini.

Di samping enjin, ketiga-tiga versi turut berkongsi sistem suspensi yang sama yang merangkumi fork terbalik Kayaba 41 mm dan penyerap hentak monoshock, juga dari Kayaba.

Sistem brek pula merangkumi cakera tunggal 330 mm dengan angkup empat piston pada bahagian hadapan dan cakera 245 mm dengan angkup satu piston pada bahagian belakang.

Ciri-ciri lain yang disertakan secara standard termasuk Cornering ABS, Power Mode, Riding Mode (Road dan Sport), Traction Control, Ride-by-Wire dan lampu LED berserta daytime running light LED.

Turut tersedia secara standard adalah paparan TFT berukuran 4.3 inci dengan penampilan moden klasik. Sistem multimedia ditawarkan sebagai aksesori tambahan.

Versi Full Throttle mendapat beberapa ciri tambahan berupa bar hendal yang lebih rendah, lampu isyarat LED jenis high performance, Quickshifter, ekzos Termignoni, panel sisi dengan nombor serta rekaan mudguard dan ekor yang lebih sporty.

Sementara itu, versi Nightshift menerima kelengkapan yang sama dengan Full Throttle, cuma ia mempunyai cermin sisi jenis bar-end, bar hendal rata, pelana berwarna coklat dan rim jenis spoked.

Untuk pilihan warna, Scrambler Icon ditawarkan dalam tiga warna asas iaitu kuning, hitam dan merah, bersama enam pilihan warna untuk panel. Versi Full Throttle pula boleh didapati dalam warna merah/hitam manakala Nightshift dalam warna Nebula Blue.

Ducati DesertX mendarat di Malaysia – RM112,900

SEGMEN motosikal kembara bagi pasaran Malaysia kini semakin hangat dengan kehadiran satu lagi pesaing yang menarik iaitu Ducati DesertX. Antara pesaing jentera dari Itali ini termasuklah BMW F 850 GS Adventure, Triumph Tiger 900 Rally Pro dan KTM 890 Adventure R.

Menurut Ducati, reka bentuk DesertX yang dihasilkan oleh Ducati Centro Stile melambangkan interpretasi kontemporari motosikal-motosikal enduro era 80-an. Bagaimanapun, segala komponen dan teknologi yang ada padanya adalah yang terkini.

Sebagai contoh, DesertX mempunyai kerangka trellis keluli yang dipadankan dengan sistem suspensi boleh laras keluaran Kayaba yang terdiri daripada fork terbalik 46 mm di depan dan penyerap hentak tunggal di belakang.

Fork tersebut menawarkan jarak pergerakan (travel) sebanyak 230 mm manakala penyerap hentak belakang pula 220 mm. Bukan itu sahaja, jarak lega tanah sebanyak 250 mm menjadikan jentera ini sesuai untuk tunggangan off-road yang ekstrem.

DesertX didatangkan dengan rim 21 inci di depan dan 18 inci di belakang, serta tayar jenis Pirelli Scorpion Rally STR bersaiz 90/90-21 dan 150/70 R18.

Untuk sistem brek depan, Ducati melengkapkan model ini dengan angkup radial monobloc Brembo M50 dengan empat omboh 30 mm dan dua cakera berukuran 320 mm. Sementara itu di belakang terdapat angkup omboh berkembar Brembo yang ditugaskan untuk mengapit cakera tunggal 265 mm.

Kuasa dibekalkan oleh enjin silinder V berkembar Testastretta 11° Desmodromic bersesaran 937 cc yang menghasilkan 110 hp pada 9,250 rpm dan 92 Nm pada 6,500 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dari Multistrada V2.

Bagaimanapun, transmisi tersebut mempunyai nisbah gear 1 hingga 5 yang lebih pendek bagi memberikan kuasa pecutan untuk tunggangan off-road. Nisbah gear 6 pula lebih panjang untuk tunggangan di lebuh raya sambil mengekalkan rpm pada tahap rendah untuk menjaga penggunaan bahan api.

DesertX mempunyai enam mod tunggangan (Sport, Touring, Urban, Wet, Enduro dan Rally) dan empat mod kuasa (Full, High, Medium dan Low).

Turut disertakan adalah ciri-ciri seperti Engine Brake Control (EBC), Ducati Traction Control (DTC), Ducati Wheelie Control (DWC), Ducati Quick Shift (DQS) Up & Down dan juga ABS Cornering.

Ducati DesertX dijual pada harga asas RM112,900. Sempena pelancaran ini, Ducati Malaysia menawarkan pakej eksklusif yang merangkumi diskaun 40% ke atas pakej aksesori DesertX dan 35% ke atas pakej pakaian DesertX.