Tag Archives: east coast railway link

Perodua jalin kerjasama dengan MRL, Kuantan Port untuk teroka perkhidmatan pengangkutan ECRL

PERODUA hari ini menandatangani satu memorandum persafahaman (MoU) dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan Kuantan Port Consortium bagi meneroka potensi perkhidmatan pengangkutan East Coast Rail Link (ECRL) yang akan beroperasi pada Januari 2027.

MoU ini juga dikatakan bagi menggalakkan pelbagai industri di negara ini untuk beralih dari pengangkutan kargo jalan raya kepada rel. Ini kerana jalinan ECRL sepanjang 665km akan memudahkan pengangkutan antara pantai barat dan pantai timur Semenanjung Malaysia.

Perodua khasnya akan meneroka potensi membawa produk-produknya ke pantai timur Semenanjung Malaysia bagi memenuhi keperluan kenderaan kompak itu yang meningkat untuk sokongan lojistik.

“MoU ini mempunyai makna yang signifikan untuk MRL kerana kami membuka nilai ECRL, bukan hanya sebagai pengangkutan untuk orang awam tetapi juga sebagai perkhidmatan logistik yang cekap untuk perniagaan tempatan dan antarabangsa,” kata CEO MRL, Dato’ Sri Darwis Abdul Razak.

Tambahnya, “ECRL berfungsi sebagai penyedia untuk meningkatkan jaringan rantau ini dan pembangunan ekonomi, dengan menghubungkan Kuantan Port kepada Northport dan Westport di Pelabuhan Klang.

“Jaringan ‘last-mile’ ini penting dan akan memudahkan pergerakan barangan antara pelabuhan-pelabuhan.”

Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad pula berkata: “Kami sedang melihat untuk mempelbagaikan cara kami menghantar produk kami, dan ECRL merupakan satu pilihan realisitik.

“MoU ini akan membolehkan kami meneroka dengan lebih terperinci semua peluang untuk kedua-dua pihak,” kata Zainal.

MoU hari ini juga disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook.

MRL ialah pemilik perojek ECRL sepanjang 665km yang akan melalui pantai timur dari Kelantan, Terengganu, dan Pahang sebelum dihubungkan dengan Lembah Klang di pantai barat.

Perkembangan ECRL di empat negeri capai 62.4 peratus, dijangka siap sepenuhnya Disember 2027

PERKEMBANGAN keseluruhan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor telah mencapai 62.4 peratus setakat bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata pembinaan projek mega itu di Kelantan disifatkan paling mudah termasuk dalam urusan pengambilan tanah.

“Sehingga kini segala urusan pengambilan tanah di Kelantan selesai sepenuhnya dan kerja-kerja pembinaan di negeri itu telah mencapai kemajuan 75.8 peratus setakat ini dengan keseluruhan jajaran sepanjang 43km,” katanya.

“Jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor dijangka siap mengikut jadual iaitu pada Disember 2026 dan akan mula beroperasi pada Januari 2027.

“Jajaran ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula dijangka siap pada Disember 2027,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Darwis berkata pembinaan projek ECRL sepanjang 665km itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM50.27 bilion.

Katanya, jajaran ECRL turut membabitkan pembinaan 41 terowong sepanjang lebih 62km serta pembinaan jejambat sejauh 150km.

Berkenaan harga tiket, katanya perkara itu belum dibincangkan setakat ini.

“Harga tiket akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan dan saya yakin harga yang akan dikenakan adalah berpatutan,” katanya.