Tag Archives: EEV

Kereta mampu milik, jimat bahan api jadi sasaran pembeli pada 2025

Jumlah keseluruhan industri (TIV) pasaran automotif Malaysia dijangka mencecah paras 805,000 unit pada 2025, sedikit peningkatan daripada anggaran 800,000 unit pada tahun ini.

Menurut penganalisis Kenanga Investment Bank Bhd, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz, jangkaan itu disokong oleh beberapa faktor utama termasuk dorongan dari segi jumlah segmen mampu milik seperti baki pesanan sihat kenderaan Perodua yang kekal melebihi 90,000 unit.

Selain itu, pelancaran baharu yang menarik, serta trend peralihan ke model lebih murah oleh pembeli segmen pertengahan terutamanya ke arah kenderaan yang cekap bahan api seperti kereta hibrid, kenderaan elektrik bateri (BEV) dan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Selain itu, peningkatan bahagian pasaran kenderaan jenama China melalui program pemindahan pengeluaran tempatan, seperti jenama Jaecoo dan Chery dari kilang pemasangan Chery di Shah Alam, serta jenama GWM dan BAIC dari kilang pemasangan EP Manufacturing Bhd (EPMB) di Melaka turut menjadi penyumbang.

Wan Mustaqim berkata, permintaan terhadap pasaran kereta dalam segmen mampu milik adalah seperti biasa kerana pelanggan sasarannya, iaitu kumpulan B40 dan lapisan bawah kumpulan M40, tidak akan terkesan dengan rasionalisasi subsidi bahan api yang bakal dilaksanakan, selain berpotensi mendapat manfaat daripada pengenalan model gaji progresif.

Menurutnya, Kenanga Investment Bank juga menjangkakan penangguhan sekali lagi peraturan duti eksais baharu, yang boleh menyebabkan harga kenderaan yang dipasang secara tempatan (CKD) meningkat sebanyak lapan hingga 20%.

Katanya, pengumuman rasmi mengenai penangguhan mungkin akan dibuat bagi mengelakkan kenaikan mendadak inflasi, memandangkan rasionalisasi subsidi bahan api RON95 dijangka dilaksana pada Jun 2025.

GVT, Yutong jalin kerjasama untuk operasi CKD bas EEV, EV

GVT, yang merupakan subsidiari syarikat kumpulan GoAuto telah menandatangani perjanjian bersama Yutong Bus untuk pemasangan secara tempatan (CKD) serta pengedaran bas cekap tenaga (EEV) dan elektrik (EV) di Malaysia.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Wan Ahmad Wan Omar, Pengarah Eksekutif GVT dan Michael Lu, Pengurus Wilayah, Asia Pasifik, Yutong.

Susulan perjanjian yang telah ditandatangani pada Februari 2023 yang lalu, GVT kini menambah model bas EV dan EEV dari rangkaian Yutong dengan jumlah keseluruhan sebanyak 14 model. Syarikat itu juga telah menerima pesanan sebanyak 40 unit bas EEV.

Operasi CKD bas EV dan EEV Yutong akan dijalankan di kilang pemasangan NexV Manufacturing yang terletak di Chembong, Negeri Sembilan. Ia dijangka dapat memberi penjimatan selama tiga bulan berbanding tempoh pemasangan secara tempatan yang ada sekarang yang mengambil masa empat hingga enam bulan.

Bas keluaran Yutong adalah mesra OKU dengan tempat khas yang disediakan untuk kerusi roda. Laluan masuknya serendah 230 hingga 300 cm memudahkan para penumpang untuk keluar dan masuk dari bas tersebut.

Rangkaian bas ini juga didatangkan dengan sistem stereng Bosch dan port USB untuk pemandu dan juga penumpang. Ia dikatakan boleh memecut dari 0 hingga 30 km/j dalam masa 10 saat.

Selain itu, rangkaian bas itu menggunakan bateri daripada CATL yang disejukkan dengan sistem penyejukan nitrogen yang dibangunkan oleh Yutong.

Ia juga mempunyai sistem Yutong Electric & Battery Safety Standard (YESS), sistem pemacu elektrik pintar RECTRL dan pelbagai ciri keselamatan lain seperti sistem kamera 360 darjah, sistem brek elektronik, sistem brek antikunci dan kawalan anti gelincir.