Tag Archives: eMAS 7

Proton eMAS 7 tembus pasaran antarabangsa, Nepal destinasi pertama

Proton telah membuat debut dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) antarabangsa menerusi pelancaran Proton eMAS 7 di Nepal.

Menurut syarikat itu, pelancaran ini adalah susulan prestasi kukuh model tersebut di Malaysia sejak kemunculannya pada 16 Disember dan membantu membuka jalan kepada strategi antarabangsa yang lebih luas.

Untuk pasaran Nepal, eMAS 7 diedarkan oleh rakan pengedar rasmi Proton sedia ada iaitu Jagdamba Motors. Sama seperti di Malaysia, ia boleh didapati varian Prime dan Premium, masing-masing dijual pada harga NPR5,699,000 (RM183k) dan NPR6,799,000 (RM218k).

Terdapat enam warna untuk dipilih iaitu Platinum Silver, Turquoise Green, Slate Grey, Quarts Rose, Moyu Black, dan Lithium White. Untuk pengetahuan anda, warna Moyu Black tidak ditawarkan di Malaysia.

Selain penambahan warna hitam, spesifikasi eMAS 7 untuk pasaran Nepal sama dengan pasaran Malaysia. Varian Prime didatangkan dengan bateri Aegis Short Blade berkapasiti 49.52 kWj yang menjanjikan jarak gerak WLTP sejauh 345 km, manakala varian Premium yang dilengkapi dengan bateri 60.22 kWj menawarkan jarak 410 km.

Menurut Proton, eMAS 7 telah membuat kemunculannya di Nepal lebih awal daripada pelancaran menerusi siri jelajah yang berlangsung dari 21 Februari hingga 14 Mac, melintasi semua tujuh wilayah dengan 18 lokasi berhenti termasuk Janakpur, Birtamod dan Itahari.

Tambah syarikat itu lagi, kemasukannya ke negara itu adalah tepat pada masanya dan selaras dengan Visi Mobiliti Hijau Nepal. Sepanjang empat tahun lalu, kadar penembusan EV di Nepal meningkat dari 6% jumlah keseluruhan industri (TIV) pada 2021 kepada 73% pada 2024, iaitu peningkatan sembilan kali ganda dari 1,138 unit ke 10,794 unit.

Jagdamba Motors buat masa ini mempunyai tiga pengedar, dengan rancangan untuk memuktamadkan perjanjian dengan 12 pengedar di seluruh negara menjelang akhir 2025. Ia juga merancang untuk membangunkan infrastruktur pengecasan dan membina jaringan pusat servis yang mantap di seluruh negara.

“Nepal hanyalah permulaan. Rancangan sedang berjalan untuk memperkenalkan Proton e.MAS 7 ke pasaran antarabangsa lain bagi menyokong cita-cita pertumbuhan global jenama tersebut,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

“Pada masa akan datang, kami akan memperkenalkan model EV kami ke Trinidad & Tobago, Mauritius dan juga Singapura,” tambahnya.

Jualan Proton kembali meningkat, catat 11,232 unit pada Februari

Proton telah mengumumkan prestasi jualannya bagi bulan Februari 2025, di mana ia berjaya menjual 11,232 unit kenderaan. Jumlah ini merangkumi pasaran domestik dan eksport, serta kenderaan elektrik jenama Proton eMAS dan smart.

Angka berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 13.2% berbanding rekod Januari. Menurut syarikat itu, ia menganggarkan bahagian pasaran sebanyak 17.2% daripada ramalan jumlah volum industri (TIV) sebanyak 65,276 unit.

Tambah Proton lagi, tiga modelnya mendahului segmen masing-masing untuk jualan tahun hingga kini (YTD). S70 kekal sebagai sedan segmen-C terlaris di Malaysia dengan jualan sebanyak 2,340 unit untuk dua bulan pertama tahun ini.

X90 terus mendominasi jualan SUV segmen-D dengan 746 unit terjual pada bulan lalu, manakala angka jualan SUV segmen-B paling laris iaitu X50 pula mencecah 1,824 unit.

Untuk eMAS 7 pula, Proton berkata populariti EV itu sedang melonjak dengan lebih 4,500 tempahan diterima sejak pelancarannya. Bulan Februari menyaksikan 580 unit eMAS 7 diserahkan kepada pelanggan, menjadikan jumlah keseluruhan penghantaran kini melebihi 1,000 unit.

Selain daripada jualan domestik, eMAS 7 juga bersedia untuk mencipta pengaruh di pasaran eksport. Sebanyak 50 unit telah dieksport ke Nepal pada bulan Februari sebagai persiapan untuk pelancaran akan datang, sementara sejumlah kecil unit turut dihantar ke Singapura dan Trinidad & Tobago untuk tujuan penilaian.

Seiring dengan peningkatan jualan, bulan Februari juga membawa perkembangan baru kepada operasi eksport Proton menerusi pengeluaran Proton Saga CKD pemanduan kiri (LHD) di kilang Ezz Elarab Elsewedy Automotive Factories (ESAF) di Mesir. Kemudahan baru ini dibina dengan pelaburan sebanyak USD50 juta, dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 40,000 kenderaan.

“Jualan Proton telah menunjukkan pemulihan pada bulan Februari setelah permulaan tahun 2025 yang
kurang memberangsangkan. Masih ada sedikit ketidakpastian tentang kemampuan pembeli tetapi buat masa
sekarang, jumlah jualan kami sedang menambah.

“Maka, Proton secara keseluruhan terus fokus untuk meningkatkan volum jualan bagi rangkaian produk ICE kami, dan pada masa yang sama, menetapkan rentak di pasaran EV. Dengan Proton eMAS 7 yang telah terbukti berjaya di peringkat awal, cabaran kami kini adalah untuk memastikan ia terus menjadi tumpuan sambil merancang dengan agresif untuk pengenalan model-model kami yang lain pada akhir tahun ini,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

Baru dua bulan dilancarkan, penyerahan Proton eMAS 7 cecah 1,000 unit

Pro-Net telah mengumumkan bahawa setakat ini, ia telah menyerahkan 1,000 unit Proton eMAS 7. EV itu dilancarkan secara rasmi pada 16 Disember 2024.

Anak syarikat milik Proton itu berkata, sambutan luar biasa ini membuktikan keyakinan rakyat Malaysia terhadap visi Proton ke arah menuju mobiliti lestari.

“Kejayaan e.MAS 7 mencerminkan komitmen kami dalam menawarkan solusi EV yang menarik dan selari dengan keperluan pengguna di Malaysia.

“Matlamat kami bukan sekadar menjual kereta, tetapi membangunkan ekosistem lengkap yang memastikan peralihan ke mobiliti elektrik berjalan lancar dan penuh keyakinan,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net.

Hasil kajian menunjukkan bahawa 58% pembeli bersetuju eMAS 7 sebagai pilihan yang berbaloi dengan harganya, manakala 51% menghargai ruangnya yang luas dan kesesuaiannya untuk kegunaan harian.

Selain itu, 38% tertarik dengan ciri keselamatan canggih termasuk ADAS Tahap 2 dan pemanduan semi-autonomi, sementara 39% menyatakan bahawa Peta Pengecasan Langsung menjadi faktor utama dalam proses membuat keputusan mereka.

Menurut Pro-Net, mereka telah menerima lebih daripada 4,500 tempahan. Syarikat itu yakin akan mendapat 6,000 tempahan tidak lama lagi terutamanya dengan lanjutan pakej Power Pack yang menawarkan harga eksklusif.

Tamhah syarikat itu lagi, eMAS 7 telah menguasai 25% bahagian pasaran EV tempatan. Ia juga muncul sebagai EV paling laris di Malaysia bagi Januari 2025.

Proton eMAS 7 model EV paling laris di Malaysia bagi Januari 2025

Dilancarkan pada Disember tahun lalu, EV nasional pertama iaitu Proton eMAS 7 mendapat sambutan hangat dengan 421 unit diserahkan kepada pelanggan dalam bulan pertama operasinya.

Menurut Proton, pencapaian ini meletakkan model tersebut sebagai EV paling laris di Malaysia dengan penguasaan 25% pasaran EV keseluruhan bagi bulan Januari.

“Dalam masa sebulan sahaja, Proton eMAS 7 telah memimpin jualan EV, membuktikan bahawa rakyat Malaysia sedia beralih kepada kenderaan elektrik sekiranya produk dan harga yang ditawarkan menarik,” kata Zhang Qiang, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Tempahan semasa eMAS 7 telah melebihi 4,000 unit, menyebabkan Proton menambah lagi 3,000 unit pakej Power Pack yang ditawarkan semasa pelancaran.

Menurut syarikat itu lagi, lebih 80% daripada tempahan yang diterima adalah bagi model Premium dan angka ini dijangkakan akan terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang seiring dengan ketibaan lebih banyak unit dan pembukaan cawangan-cawangan baru.

Dalam pada itu, Proton turut mengumumkan prestasi jualannya bagi Januari 2025, di mana syarikat itu menjual 9,914 unit kenderaan bagi pasaran domestik dan eksport, termasuk EV jenama eMAS dan smart.

Ini berbanding dengan 12,882 unit (kereta ICE sahaja) yang dicatatkan pada Januari 2024. Berdasarkan anggaran TIV, bahagian pasaran diramalkan 19.7%, meningkat daripada 18.7% pada tahun lepas.

Beli Proton eMAS 7 jika anda tidak kisah tentang jarak – Pandu Uji

Pada September tahun lalu, penulis berpeluang memandu kembar kepada Proton eMAS 7 iaitu Geely Galaxy E5.

Sesi pandu uji tersebut tidak dibuat di litar ujian Proton Centre of Excellence (COE), sebaliknya ia dilakukan di jalan raya sekitar Puncak Alam untuk pengalaman yang lebih realistik.

Apa yang penulis katakan, sistem suspensi Galaxy E5 memang tidak sesuai untuk keadaan jalan raya di negara kita. Ia terlalu lembut dan mempunyai kecenderungan untuk melantun dan membuai di jalan-jalan beralun.

Talaan ini mungkin menjadi pilihan pelanggan di China namun untuk Malaysia, Proton perlu memanfaatkan kepakaran mereka bagi memastikan yang eMAS 7 sesuai untuk keadaan jalan negara kita yang lebih ‘mencabar’.

Jadi sebab itulah penulis agak teruja apabila dijemput untuk memandu uji eMAS 7 dari Shah Alam ke Melaka. Selain tidak sabar merasai sendiri sentuhan magis Proton, ini sebenarnya kali pertama penulis berpeluang memandu EV nasional pertama ini.

Reka bentuk luaran

Rasanya ramai yang sudah tahu yang penampilan luaran eMAS 7 tidak banyak berubah jika dibandingkan dengan Galaxy E5. Kedua-duanya berkongsi rekaan lampu depan dan belakang, lampu DRL berbentuk L, dan bampar yang sama.

Sudah tentu, bampar depan Proton menampilkan logo Proton eMAS (yang sebenarnya sedikit berbeza berbanding logo Proton), manakala tulisan ‘PROTON’ di bawah lampu belakang dan logo ‘eMAS 7’ pada tailgate mengukuhkan identiti EV itu pada bahagian belakang.

Penulis tidak sebarang masalah dengan ini kerana eMAS 7 kelihatan segak dan tegap di depan mata. Lampu depan yang langsing dan lampu belakang yang lebar membuatkan ia nampak lebih mahal daripada harga sebenarnya.

Ruang dalaman

Tidak mengejutkan yang susun atur bahagian dalaman eMAS 7 sangat mirip dengan Galaxy E5. Walau bagaimanapun, Proton memilih untuk menggunakan skema warna gelap berbanding warna putih seperti yang terdapat pada kembarnya.

Ya, warna cerah membuatkan ruang kabin terasa lebih lapang namun penggunaan warna gelap memberikan eMAS 7 mood yang lebih sofistikated. Bukan itu sahaja, warna ini juga lebih popular dalam kalangan pembeli di Malaysia memandangkan ia lebih mudah untuk dijaga.

Tetapi dari segi kualiti material, tidak ada perbezaan yang ketara. Upholsteri kulit yang membaluti sebahagian besar papan pemuka, kerusi dan stereng terasa begitu lembut pada sentuhan.

Cuma penulis agak kecewa yang perehat kaki pada kerusi penumpang hadapan tidak disertakan mungkin atas sebab pengurangan kos.

Kelengkapan

Namun selain itu, eMAS 7 dapat apa yang ditawarkan pada Galaxy E5. Ini termasuk skrin sentuh 15.4 inci, panel instrument 10.2 inci untuk pemandu dan sistem audio Wanos dengan 16 pembesar suara dari Flyme Sound.

Angka tersebut termasuk pembesar suara pada perehat kepala kerusi pemandu, yang berfungsi untuk menghalakan arahan dari sistem navigasi terus ke telinga pemandu.

Walau bagaimanapun, sistem Apple CarPlay dan Android Auto masih belum tersedia. Ia dijangka akan ditawarkan pada tahun ini menerusi kemas kini udara (OTA).

Tidak mengapa kerana navigasi terbina dalam eMAS 7 mudah digunakan, walaupun penampilan keseluruhannya masih boleh diperbaiki.

Bagi penulis, apa yang menarik mengenai sistem tersebut adalah ia boleh digunakan untuk mencari stesen pengecas yang berada berdekatan dengan anda.

Menurut Proton, sistem ini boleh mengesan lebih 1,700 titik pengecasan di seluruh negara menerusi kerjasama dengan pengendali titik pengecasan termasuk Gentari, JomCharge, chargEV, and DC Handal, Carput Zap dan ChargeSini.

Sistem ini sangat terperinci kerana ia akan memaparkan pelbagai informasi mengenai stesen pengecasan yang dipilih seperti pengendali, jenis, bilangan dan kapasiti pengecas yang tersedia, kadar dan pelbagai lagi.

Prestasi

Kedua-dua varian eMAS 7 iaitu Prime dan Premium didatangkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menjana 218 PS (160 kW) dan 320 Nm.

Perbezaan di antara kedua varian berkenaan terletak pada kapasiti bateri iaitu 49.52 kWj untuk Prime dan 60.22 Premium. Prime menawarkan jarak pandu WLTP sejauh 375 km manakala Premium pula 65 km lebih jauh.

Memandu dari Shah Alam ke Melaka, kerisauan jarak bukanlah satu masalah kerana jaraknya sekitar 160 km sahaja, tidak sampai separuh daripada jarak yang ditawarkan oleh varian Premium.

Namun untuk mengetahui sejauh mana kecekapan trenkuasa ‘12-dalam-1’ ini, penulis memandu dengan santai pada kelajuan sekitar 90 hingga 100 km/j. Setibanya di destinasi, penggunaan tenaga elektrik menunjukkan bacaan sekitar 10 hingga 11 kWj bagi setiap 100 km, bermakna penulis menggunakan kurang 30% tenaga bateri untuk perjalanan ini.

Pengendalian

Penglibatan Proton dalam projek eMAS 7/Galaxy E5 ini dapat dirasakan dengan jelas menerusi prestasi sistem suspensi eMAS 7 di dunia sebenar.

Perbezaan antara kedua model ini boleh dikatakan agak ketara, di mana eMAS 7 mendemonstrasikan ride and handling yang lebih mantap.

Peredam yang ditala semula membuatkan ia terasa lebih stabil dan tenang pada kelajuan tinggi namun pada masa yang sama, keselesaan pada kelajuan rendah juga dikekalkan.

Feel stereng boleh dikatakan agak baik untuk sebuah EV manakala kadar NVH juga patut dipuji kerana bunyi dari luar dihalang dengan baik. Bunyi dari tayar tidak ketara walaupun varian ini memakai rim 19 inci.

Konklusi

Penulis secara peribadi agak tertarik dengan eMAS 7. Pada harga dari RM109,800 hingga RM129,800, ia memberikan nilai untuk wang yang baik untuk mereka yang ingin menerokai dunia EV.

Tidak dinafikan, jarak gerak yang agak pendek agak merisaukan untuk mereka yang kerap melakukan perjalanan jauh namun jika anda bukan dari golongan ini, eMAS 7 wajar dipertimbangkan.

Spesifikasi Proton eMAS 7 Premium

Harga: RM129,800
Kuasa: 218 PS (160 kW)
Tork: 320 Nm
Bateri: 60.22 kWj
Jarak gerak: 410 km (WLTP)

Pro-Net tawar diskaun pengecasan 30% kepada pemilik Proton e.MAS 7, smart

Bagi menyambut Tahun Baru Cina dan meraikan penghantaran Proton e.MAS 7 yang pertama kepada pelanggan, Pro-Net menawarkan diskaun sebanyak 30% untuk caj pengecasan awam.

Dari 25 Januari hingga 3 Februari 2025, pemilik Proton e.MAS dan smart boleh menikmati tawaran istimewa ini di lebih daripada 80% stesen pengecasan awam.

Pemilik hanya perlu menggunakan aplikasi Proton e.MAS atau Hello smart untuk memulakan sesi pengecasan dan potongan diskaun akan diberikan secara automatik.

Proton e.MAS ingin menjadikan pemilikan EV sesuatu yang mudah dan menyeronokkan menerusi ciri pintar seperti kesediaan stesen pengecasan secara langsung dan perancangan laluan berdasarkan tahap bateri kereta.

Hal ini menjadikan pengembangan yang signifikan dalam peta pengecasan kerana rangkaian pengecasan yang dikendalikan oleh Shell Recharge termasuk Stesen Pengecasan Berprestasi Tinggi sepanjang lebuh raya utama, dengan kebanyakan stesen mampu menyediakan kuasa pengecasan 180kW.

Selain itu, perkongsian dengan Shell Recharge telah menambah lebih banyak poin pengecasan di sepanjang lebuh raya dan kawasan tumpuan bandar, termasuk pengecasan pantas. Penambahan ini mengikuti integrasi terkini Rangkaian ChargeSini, di mana ia juga merupakan yang pertama di Malaysia dan boleh diakses melalui rangkain perayauan.

Rangkaian pengecasan yang boleh diakses melalui aplikasi Proton e.MAS dan Hello smart termasuk Gentari, Jomcharge, chargEV, DC Handal, CarputZap, dan ChargeSini.

Proton eMAS 7 akan dilancarkan di Singapura pada awal 2025

Proton eMAS 7, yang baru sahaja dilancarkan beberapa hari lalu, akan memasuki pasaran Singapura menerusi VinCar Group selaku pengedar rasmi.

Dalam satu hantaran di Facebook, VinCar Pte Ltd mengesahkan bahawa eMAS 7 akan dilancarkan di negara republik itu pada awal 2025.

Syarikat itu juga berkata ia akan membuka sebuah bilik pameran bertaraf flagship yang terletak di Leng Kee Automotive Belt.

Untuk pasaran Malaysia, eMAS 7 ditawarkan dalam dua varian iaitu Prime dan Premium. Kedua-duanya dipacu oleh motor elektrik “12 dalam 1” pada gandar depan yang menghasilkan 218 PS (160 kW) dan 320 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 175 km/j.

Perbezaan utama antara Prime dan Premium terletak pada kapasiti bateri. Varian Prime didatangkan dengan bateri berkapasiti 49.52 kWj yang menjanjikan jarak pandu sejauh 345 km dengan satu cas penuh, manakala varian Premium dengan bateri 60.22 kWj boleh dipandu sejauh 410 km.

eMAS 7 menggunakan bateri LFP Aegis short blade yang dikatakan mempunyai ketumpatan tenaga lebih tinggi, lebih selamat dan tahan lebih lama.

Bateri tersebut menyokong pengecasan pantas DC dengan kapasiti sehingga 80 kW untuk Prime dan 100 kW untuk Premium – kedua-duanya memerlukan 20 minit untuk pengecasan dari 30% hingga 80%.

Harga jualan eMAS 7 bermula dari RM109,800 untuk Prime dan RM123,800 untuk Premium. Namun sempena pelancarannya, Proton menawarkan rebat RM4,000 untuk 3,000 pelanggan pertama.