Tag Archives: emas

Proton e.MAS mahu cari lebih ramai wakil pengedar, mohon di sini

BEBERAPA minggu lepas, Proton mengumumkan pelantikan 17 pengedar rasmi e.MAS yang pertama semasa pelancaran jenama itu pada 12 Jun lepas.

Sehingga kini, jumlah tersebut telah bertambah kepada 18 pengedar di seluruh Malaysia.

Penubuhan 18 cawangan Proton e.Mas yang diwakili oleh 16 pengedar, menunjukkan langkah penting dalam menerajui pengembangan rangkaian yang besar dan meluas.

Tujuh belas daripada cawangan ini ditempatkan secara strategik di seluruh Semenanjung Malaysia: 3 di Kuala Lumpur, 4 di Selangor, 2 di Johor, 3 di Perak, 2 di Pulau Pinang, 1 di Kedah, 1 di Kelantan, dan 1 di Pahang. Satu cawangan di Malaysia Timur iaitu terletak di Sabah.

Cawangan-cawangan ini beroperasi di bawah model rangkaian komprehensif, dari pusat 1S hingga ke pusat 3S untuk memastikan para pelanggan menerima perkhidmatan yang menyeluruh dari setiap aspek.

Pembangunan ini menunjukkan dedikasi PRO-NET untuk memulakan ekosistem yang serba lengkap dan komprehensif dalam memastikan kesiapsediaan kepada bakal pemilik Proton e.MAS.

PRO-NET ingin menyasarkan untuk mencapai 30 cawangan pengedar menjelang 2025, dengan pelan pembesaran yang fleksibel berdasarkan permintaan yang tinggi.

PRO-NET mencari rakan kongsi yang berminat dan komited dalam menyertai rangkaian pengedar Proton e.MAS yang terletak di kawasan-kawasan ini:

  • Alor Setar
  • Kuala Terengganu
  • Selangor
  • Kuala Lumpur
  • Seremban
  • Melaka
  • Johor Bahru
  • Batu Pahat
  • Muar
  • Kuching
  • Sibu
  • Bintulu
  • Miri
  • Sandakan, dan
  • Tawau

Jika anda berminat menjadi sebahagian daripada perjalanan menuju masa depan yang lestari, emelkan kepada: Zhaole@proton.com / affendyk@proton.com

Proton EMAS sebuah konsep dengan enjin 1.2-liter dan bateri 16.5kWh, pernah dipamer di Geneva Motor Show 2010

SEMALAM Proton melancarkan e.MAS iaitu sub-jenama mereka untuk kenderaan-kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) yang akan mula memasuki pasaran hujung tahun ini.

Sebagai generasi yang sempat merasa zaman Friendster dan Myspace, ini mengingatkan penulis kepada konsep Proton EMAS dari lebih sedekad lalu.

Proton EMAS ialah konsep yang mendapat sentuhan rekaan dari firma Italdesign Giugiaro. Nama EMAS membawa maksud Eco Mobility Advance Solution. Ia juga sudah tentu bermaksud emas atau “gold” dalam Bahasa Inggeris.

Eco Mobility Advance Solution juga dari segi teknikal bermakna EMAS direka untuk solusi kenderaan jimat tenaga.

 

Maka sebab itu ia mempunyai enjin 1.2-liter 3-silinder yang menjana 20hp pada 1,500rpm dan 47hp pada 3,500rpm. Tork pula ialah 107Nm pada 2,500rpm.

Enjin yang hanya seberat 56kg ini digandingkan dengan pek bateri 16.5kWh dan sel bateri 370 volt. Ini menjadikan Proton EMAS sebuah hibrid range extender.

EMAS mampu memecut dari 0 ke 96km/j dalam 14 saat dan mencapai kelajuan maksima 169km/j. Ia mampu dipandu sejauh 563km setiap tangki.

Rekaan EMAS berasaskan pelantar Toyota iQ termasuk suspensi dan stereng, tetapi bahagian lain-lain smeuanya adalah baharu dari Proton. Ia mempunyai suspensi MacPherson di depan, dengan torsion beam di belakang.

Proton mendedahkan konsep EMAS buat pertama kali kepada umum di acara Geneva Motor Show 2010, salah satu pameran automotif paling berprestij di dunia.

Proton EMAS juga hadir dengan beberapa varian. Standard EMAS ialah versi 5-pintu dengan empat tempat duduk, kemudian EMAS3 ialah 3-pintu dengan konfigurasi 3+1 tempat duduk.

Terdapat juga EMAS Country dengan gaya SUV dan suspensi lebih tinggi. Jika anda perasan, EMAS Country ini nampak mirip seperti Iriz Active, bukan? Penulis percaya Iriz Active mengambil dan meneruskan inspirasi dari EMAS Country.

Penulis masih ingat membaca dan melihat konsep EMAS ini semasa zaman belajar di universiti dan sangat berharap ia menjadi model realiti yang dijual kepada umum. Mungkin EMAS boleh menjadi pesaing kepada Myvi?

Di Geneva Motor Show, Pengarah Urusan Proton waktu itu, Dato Syed Zainal berkata: “Matlamatnya ialah untuk menghasilkan kereta global untuk pasaran dunia.”

Menurutnya, hanya tinggal antara 17 hingga 24 bulan sahaja sebelum memasuki produksi, bermakna ia sepatutnya mula dikeluarkan pada 2012 atau 2013.

Tetapi Proton EMAS tidak pernah menjadi realiti.

Adakah anda pernah tahu mengenai Proton EMAS ini? Penulis yakin generasi Tiktok tidak pernah mengetahuinya.

Sumber gambar: Paultan.org

Koenigsegg Jesko tampil dengan badan gentian karbon, trim emas 24 karat

KOENIGSEGG Jesko diperkenalkan pada 2019 sebagai pengganti kepada Agera. Megacar Sweden ini dinamakan sempena nama Jesko von Koenigsegg, bapa kepada pengasas dan CEO, Christian von Koenigsegg.

Menurut Koenigsegg, pengeluaran Jesko dihadkan kepada 125 unit sahaja. Dalam satu hantaran di Instagram baru-baru ini, syarikat itu telah mendedahkan unit terbaru yang dihasilkan.

Pemilik Jesko ini dikatakan mendapat inspirasinya daripada sebuah Agera RS ‘Pheonix’ yang dibina khas untuk mogul hartanah terkenal Amerika Syarikat iaitu Manny Khoshbin.

Seperti Pheonix, setiap panel badan Jesko ini diperbuat daripada gentian karbon diselaputi lapisan clear coat untuk efek berkilat, dengan trim emas 24 karat pada beberapa bahagian termasuk canard depan, lengan cermin sisi, bonet dan bampar depan, sirip skirt sisi dan endplate spoiler.

Bukan itu sahaja, logo Koenigsegg dan bumbung turut dihiasi dengan trim emas, menandakan ia bukanlah sebuah Jesko biasa-biasa.

Jentera ini merupakan varian Attack yang ditala khusus untuk prestasi di litar lumba, seperti yang boleh dilihat pada komponen-komponen aerodinamik yang ditambah untuk meningkatkan downforce termasuk splitter depan, serta diffuser dan spoiler yang lebih agresif.

Di samping Attack, Jesko juga boleh didapati dalam varian Absolut yang secara teorinya boleh mencapai kelajuan maksimum melebihi 480 km/j. Varian ini tidak mempunyai spoiler.

Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin twin turbo 5.0 liter V8 yang boleh menghasilkan kuasa mencecah 1,280 hp dengan petrol biasa atau 1,600 hp dengan bahan api E85.

Dengan transmisi multi clutch sembilan kelajuan yang memacu roda belakang, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam kurang 2.5 saat.