Tag Archives: Emkoo

WTCA, GAC Motor meterai MoU pemasangan model CKD di Malaysia

WTC Automotif (WTCA), sebuah anak syarikat Warisan TC Holdings Bhd, dan GAC Motor International baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memulakan kajian kebolehlaksanaan untuk dua projek pemasangan tempatan (CKD) baharu di Malaysia.

MoU berkenaan akan memudahkan kajian ke atas produksi CKD model Emkoo pemanduan sebelah kanan untuk pasaran Malaysia dan GS3 Emzoom pemanduan sebelah kiri untuk dieksport ke Vietnam.

Jika direalisasikan, usaha bersama ini akan mengukuhkan peranan penting Malaysia dan WTCA sebagai rakan kongsi strategik untuk strategi pertumbuhan serantau GAC melalui peluang pengeluaran dan pembuatan CKD setempat.

Sebagai rakan kongsi strategik GAC, WTCA bersedia memanfaatkan pengalaman automotif, keupayaan, dan ekosistem perindustrian Malaysia dengan GAC Motor International untuk menyampaikan penyelesaian mobiliti GAC untuk pasaran ASEAN.

Kajian kebolehlaksanaan itu dijangka akan disiapkan menjelang akhir Julai. Apabila siap, ia akan membuka jalan kepada pemformalan perjanjian muktamad, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab automotif untuk pasaran Asia Tenggara.

Tambahan pula, eksport GAC GS3 Emzoom ke pasaran Vietnam akan memainkan peranan penting dalam rancangan pengembangan serantau WTCA.

Melengkapkan strategi pertumbuhan serantau, GAC dan WTCA turut merasmikan kerjasama teknikal mereka melalui Perjanjian Kerjasama Teknikal CKD.

Perjanjian ini memberikan WTCA hak untuk memasang kenderaan GAC secara tempatan menggunakan kit dan komponen CKD yang dihasilkan mengikut spesifikasi teknikal global dan standard kualiti GAC yang ketat.

Selain itu, WTCA, melalui Perjanjian Pengedarannya, diamanahkan untuk memasarkan, mengedar dan menyelenggara kenderaan GAC.

Kerjasama dengan WTCA ini menandakan projek CKD pertama GAC di pasaran luar negara, melambangkan langkah penting ke arah memperkukuhkan kehadirannya di peringkat global.

Kerjasama teknikal antara GAC dan WTCA membuahkan hasil dengan bermulanya CKD Start of Production (SOP) untuk GS3 Emzoom di kilang WTCA di Segambut. Pencapaian ini dicapai dalam masa 13 bulan berikutan pengumuman projek.

Kini, pengeluaran CKD GS3 Emzoom telah beralih ke peringkat Pengeluaran Penuh (Full Production).

WTC Automotif bakal lancar GAC Emkoo, Aion Y Plus tahun ini

DI samping GS3 Emzoom, WTC Automotif (WTCA) turut mempertontonkan dua lagi model yang akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia tidak lama lagi iaitu GAC Emkoo dan GAC Aion Y Plus.

Emkoo merupakan SUV segmen C yang akan bersaing dengan Honda CR-V dan Proton X70, dan dikatakan akan dilancarkan pada tahun ini.

Sementara itu, GAC Aion Y Plus adalah model SUV elektrik yang dipasarkan di bawah sub-jenama milik GAC iaitu Aion. Menurut WTCA, model ini dijangka akan memasuki pasaran tempatan pada separuh pertama tahun ini.

Seperti yang boleh dilihat, Emkoo mempunyai reka bentuk yang berani dan agresif yang diserlahkan menerusi gril berbentuk V dan lampu LED ‘Eyes of Revelation’. Ruang dalamannya pula mengetengahkan konsep digital dan inovasi dengan kluster instrumen digital separa terapung.

Di China, model ini boleh didapati dengan enjin 1.5-liter turbo, 2.0-liter turbo dan hibrid. Spesifikasi untuk pasaran Malaysia masih belum diketahui namun ada ura-ura yang mengatakan ia akan didatangkan dengan enjin 1.5-liter turbo yang menghasilkan 177 PS dan 270 Nm iaitu sama seperti GS3 Emzoom.

Aion Y Plus dibina menggunakan platform GAC Aion Electric Platform (AEP2.0) yang dikatakan menelan belanja sebanyak RM2 bilion dan mengambil masa kira-kira 30 bulan untuk dibangunkan.

Menurut syarikat itu, platform tersebut mempunyai ukuran tapak roda terpanjang dalam segmennya iaitu 2,750 mm dan lantai yang rata untuk penumpang belakang.

Bukan itu sahaja, kerusi hadapannya boleh dilipat rata menjadi katil berkembar dengan ukuran lebar 1.8 meter. Penumpang belakang pula boleh menikmati ruang kaki sepanjang 1,022 mm yang dikatakan paling luas dalam industri.

Dari segi trenkuasa, Aion Y Plus dilengkapi dengan bateri Magazine berkapasiti 63.2 kWj yang menawarkan jarak pandu sejauh 490 km (NEDC) atau 430 km (WLTP) dengan satu cas penuh.