Honda Malaysia mensasarkan untuk menjual 83,000 unit pada 2025 dengan pegangan pasaran sebanyak 10.6%.
Menurut syarikat itu, sasaran tahun ini, yang mengatasi jualan 81,600 unit yang direkodkan tahun lalu sebanyak 1,400 unit, dipacu oleh pelancaran tiga model baharu, termasuk Civic facelift pada Januari.
Honda Malaysia berkata dengan permintaan kukuh yang berterusan, ia yakin akan mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu pasaran kenderaan penumpang bukan nasional untuk tahun ke-12 berturut-turut.
Syarikat itu juga yakin bahawa teknologi enjin pembakaran dalaman dan e:HEV akan kekal relevan dalam pasaran, dengan manfaat daripada ketersediaan infrastruktur, keutamaan pengguna dan kemajuan teknologi.
Tahun lalu, model e:HEV mendapat maklum balas positif daripada pasaran, menyumbang hampir 30% daripada jumlah jualan kenderaan hibrid di Malaysia.
Selaras dengan hala tuju perniagaan bagi 2025, Pengarah Urusan dan Ketua Pengarah Urusan Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata syarikat itu akan melancarkan kenderaan elektrik bateri (BEV) pertamanya iaitu e:N1.
“Model ini menunjukkan ciri BEV termaju Honda, dan pada masa yang sama juga juga memperkenalkan teknologi EV awal syarikat kepada pasaran Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, pelancaran e:N1 akan membuka jalan kepada pelan Honda Malaysia untuk memperkenalkan tiga model BEV dalam tempoh tiga tahun menjelang 2027.
Selain memperkayakan penawaran produk, Honda Malaysia berkata ia akan menambah baik perkhidmatan jualan dan selepas jualannya. Syarikat itu kini mempunyai 104 pusat pengedaran di seluruh negara.