Tag Archives: enjin pembakaran dalaman

Toyota Gazoo Racing komited kekalkan penawaran enjin konvensional, transmisi manual

Kereta berprestasi tinggi, enjin pembakaran dalaman, dan transmisi manual.

Ini merupakan resipi yang akan cuba dikekalkan oleh Toyota Gazoo Racing untuk tempoh masa yang lebih lama, bermakna satu berita yang cukup baik untuk golongan peminatnya di seluruh dunia.

Dalam satu laporan oleh CarSales AU, eksekutif Toyota Australia Sean Hanley berkata, “enjin pembakaran dalaman dan transmisi manual akan terus dikekalkan untuk jangka masa yang panjang”.

Pendekatan ini tidaklah bermakna Toyota mengenepikan terus teknologi moden untuk model pantas Gazoo Racing.

Toyota sebelum ini meneroka kemungkinan untuk menggantikan petrol dengan hidrogen untuk enjin pembakaran dalaman, malah turut diuji secara terperinci menerusi penglibatan di dalam perlumbaan besar.

Buat masa ini, Toyota sudah mempunyai empat buah model berprestasi tinggi (GR Yaris, GR Supra, GR86 dan GR Corolla) di mana keluarga jentera pantas itu bakal disertai oleh barisan model baharu sperti GR GT3, Celica dan juga MR2 berdasarkan pelbagai info yang diperoleh.

Terdapat juga laporan di mana Toyota sedang bekerjasama dengan Mazda untuk membangunkan kereta sports dengan enjin enam silinder sebaris – adakah ini pengganti kepada GR Supra sedia ada?

Apa pun yang bakal ditawarkan kelak oleh Toyota, Hanley mahu sub-jenama Gazoo Racing akan datang lebih dikenali kerana “bunyi, bau dan rasa daripada enjin pembakaran dalaman”.

Enjin inline-4 baharu Toyota hasilkan runut bunyi sporti

Pada penghujung bulan Mei, gergasi automotif Jepun Toyota mengumumkan pembangunan keluarga enjin empat silinder sebaris berkapasiti 1.5 dan 2.0 liter sebagai satu cara untuk mencapai sasaran neutral karbon.

Menurut Toyota, enjin baharu itu direka lebih kompak dan ringan, namun dalam masa yang sama mampu menghamburkan kuasa yang lebih tinggi dan menawarkan penjimatan bahan api yang lebih baik.

Berdasarkan video terbaharu yang dimuat naik menerusi saluran YouTube Toyota Times, enjin baharu itu bakal dimuatkan pada sebuah model baharu yang mungkin dibangunkan oleh Lexus.

 

 

Rekaan luaran model baharu tersebut sengaja dikaburkan, namun dari susun atur ruang kabin kita dapat melihat rekaan sedan empat pintu yang mungkin merujuk kepada Lexus IS generasi baharu.

Bunyi sebenar enjin baharu Toyota yang sporti ini juga boleh didengari dengan jelas saat pemandu uji Takashi Uehara membuat penukaran gear menggunakan paddle shifter.

Wartawan Toyota Times Yuta Tomikawa yang duduk di tempat penumpang berasa agak teruja kerana sedan baharu itu tidak menghasilkan gegaran yang nyata walaupun dipandu pada kelajuan yang tinggi.

Menurut Uehara, faktor saiz enjin yang lebih kompak membolehkan nadi baharu Toyota itu dipasang lebih jauh ke belakang.

 

 

Berikutan titik graviti yang lebih rendah, ia dilihat dapat membantu mengawal dan mengurangkan tahap gegaran yang dirasai pada ruang kabin, seperti yang telah diperlihatkan sebelum ini pada ruang enjin Toyota Prius.

Menurut Toyota, enjin 1.5 liter turbo itu direka 20 peratus lebih kecil dari segi saiz berbanding enjin 2.5 liter NA sedia ada,  15 peratus lebih rendah dan tahap kecekapan dipertingkatkan sebanyak 30 peratus.

Sementara enjin 2.0 liter turbo pula akan menjadi 10 peratus lebih kecil dan ringan berbanding enjin 2.4 liter sedia ada, lebih kuasa kuda dan penjimatan bahan api sebanyak 30 peratus.

 

 

Dengan beberapa manfaat yang disebutkan tadi, enjin baharu itu juga dilihat berpotensi untuk dimuatkan pada kereta sports berprestasi tinggi, seperti Toyota GR86 generasi baharu, atau mungkin sekali pada Toyota Celica dan MR2 yang kini dikatakan sedang dalam pembangunan.

Adakah anda teruja dengan perkembangan terbaharu dari Negara Matahari Terbit ini? Masih lagi percaya dengan khabar angin enjin pembakaran dalaman akan pupus?

Nissan tidak sehaluan dengan rakan pengeluar Jepun lain, henti bangunkan enjin ICE

Minggu lalu, Toyota telah mengumumkan kerjasama dengan dua lagi rakan pengeluar iaitu Subaru dan Mazda untuk menubuhkan satu pakatan baharu bagi membangunkan enijn pembakaran dalaman (ICE) generasi baharu.

Setiap pengeluar masing-masing akan bertanggungjawab membangunkan enjin tersendiri, seperti contoh Toyota dengan enjin inline-4, Subaru dengan enjin boxer manakala Mazda dengan nadi rotari.

Hasrat untuk memperkasakan peranan ICE demi mencapai neutraliti karbon nampaknya tidak dikongsi oleh Nissan, di mana pengeluar itu membuat keputusan untuk berhenti melabur membangunkan enjin pembakaran dalaman baharu.

 

 

Dalam satu temubual bersama penerbitan Drive AU, Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Perancangan bagi wilayah Afrika, Timur Tengah, India, Eropah dan Oceania (AMIEO), Francois Bailly mendedahkan, “Masa depan kami ialah EV. Kami tidak akan melabur untuk menghasilkan enjin ICE baharu, itu sudah pasti.”

Beliau menambah, peralihan daripada kenderaan berenjin konvensional kepada model elektrik penuh akan dilakukan menerusi teknologi e-Power.

“(Rangkaian kuasa) e-Power merupakan batu loncatan untuk mencapai ke arah itu, dan setiap pasaran akan bergerak mengikut rentak masing-masing.”

 

 

Teknologi e-Power Nissan merupakan sebuah sistem hibrid di mana enjin ICE tidak digunakan untuk menggerakkan roda secara terus.

Sebaliknya, ia digunakan sebagai unit penjana kuasa untuk motor elektrik dan mengecas pek bateri, sama seperti apa yang diperlihatkan oleh Mazda menerusi model MX-30 e-Skyactiv R-EV.

Geely, Renault tubuh Horse Powertrain Ltd, bekal enjin ICE kepada Mitsu, Nissan, Volvo & Proton!

Geely dan Renault telah memuktamadkan penubuhan syarikat kerjasama baharu yang dinamakan sebagai Horse Powertrain Limited yang akan menumpukan perhatian kepada penghasilan enjin pembakaran dalaman (ICE) generasi baharu.

Syarikat usahasama dengan pemilikan 50:50 itu beribu pejabat di London, di mana mereka merancang untuk menghasilkan sehingga lima juta unit enjin dalam tempoh setahun.

 

 

Ini kerana, Renault dan Geely masih lagi percaya teknologi ICE masih lagi diperlukan untuk mengurangkan pelepasan karbon di atas muka bumi.

Mereka juga menjangkakan lebih separuh kenderaan yang diproduksikan akan bergantung kepada teknologi tersebut menjelang 2040.

Selain daripada membangunkan komponen penting seperti enjin, transmisi, sistem hibrid dan pek bateri, Horse Powertrain juga akan melihat keperluan penggunaan bahan api alternatif termasuklah ethanol, methanol dan hidrogen.

 

 

Menariknya, enjin-enjin yang dibangunkan oleh Horse Powertrain akan dibekalkan kepada syarikat-syarikat automotif utama dunia termasuklah Renault, Geely, Mitsubishi, Nissan, Volvo dan juga syarikat automotif tempatan Proton!

Difahamkan, Horse Powertrain mempunyai 17 fasiliti kilang di seluruh dunia, lima pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), dan kekuatan tenaga pekerja seramai 15,000 orang.

 

Ketua eksekutif Renault, Luca de Meo berkata, “hari ini menandakan satu langkah penting dalam menghadapi cabaran terbesar yang dihadapi oleh industri automotif: penyahkarbonan pengangkutan jalan raya.

“Menjalinkan kerjasama dengan syarikat terkemuka seperti Geely untuk mencipta pemain baharu dengan keupayaan dan kepakaran membangunkan enjin pembakaran dalaman emisi ultra-rendah dan teknologi hibrid ekonomi tinggi merupakan kunci untuk masa hadapan.

Pengerusi Geely, Eric Li menambah, “Untuk industri mencapai emisi sifar bersih untuk dekad berikutnya, sinergi global, pelbagai teknologi dan perkongsian kepakaran merupakan perkara penting. Inilah sebabnya kami gembira kerjasama dengan Kumpulan Renault kini mencapai realiti komersial pada hari ini.

 

Toyota, Mazda, Subaru tubuh pakatan bangunkan enjin inline-4, rotari, boxer baharu

Tiga gergasi utama Jepun, iaitu Toyota, Mazda dan Subaru mengumumkan satu pakatan baharu dalam usaha untuk mengekalkan peranan enjin pembakaran dalaman (ICE) bagi mencapai sasaran neutral karbon.

Menariknya, pakatan terbaru itu tidak akan menghasilkan satu siri enjin tunggal yang boleh dikongsi, sebaliknya setiap satu pengeluar akan memfokuskan kepada teknologi yang unik untuk setiap pihak.

 

 

Ini bermakna, Toyota akan terus kekal memperbaharui teknologi enjin empat silinder sebaris, Mazda pula akan membangunkan rangkaian kuasa rotari, sementara Subaru pula dengan enjin boxer ikonik mereka.

Selain daripada membangunkan unit hibrid generasi baharu untuk mencapai neutraliti karbon, ketiga-tiga syarikat itu juga akan memfokuskan kepada penyelesaian alternatif termasuklah bahan api sintetik (e-fuel), bahan api bio, dan cecair hidrogen yang sedang diuji oleh Toyota dalam lapangan perlumbaan – sama seperti apa yang diunjurkan oleh Toyota menerusi strategi berbilang jalan (multi-pathway) sebelum ini.

 

 

Yang pasti, enjin pembakaran dalaman generasi baharu yang akan dibangunkan itu mempunyai tahap kecekapan yang tinggi, prestasi yang lebih berkuasa, serta mampu memenuhi undang-undang pelepasan emisi yang semakin ketat untuk beberapa pasaran di seluruh dunia.

Saiz unit rangkaian kuasa baharu itu juga akan menjadi lebih kecil dan kompak bagi membenarkan model kenderaan masa hadapan mempunyai rekaan hud yang rendah, sekaligus menawarkan tahap aerodinamik yang lebih baik.

Dalam pada itu, ketiga-tiga pihak turut memperlihatkan konsep kenderaan dan enjin yang bakal direalisasikan pada masa akan datang.

 

Toyota memperlihatkan sebuah model prototaip Prius dilengkapi dengan enjin empat silinder 1.5 liter yang sedang dalam proses pembangunan, serta sebuah lagi enjin inline-4 bersesaran 2.0 liter.

 

Subaru mempamerkan sebuah Crosstrek (sebelum ini dikenali sebagai XV) yang sarat dengan pelekat samaran dan dilengkapi dengan unit rangkaian kuasa hibrid generasi berikutnya.

 

Mazda pula mempamerkan sistem hibrid rotari yang telah diperkenalkan sebelum ini menerusi model MX-30 R-EV, di mana enjin rotari tersebut hanya digunakan sebagai unit penjana kuasa (atau penambah jarak) ke atas sistem EV sedia ada.

 

BYD, Geely mahu realisasikan PHEV ultra cekap, jarak gerak cecah 2,000 km!

Dua gergasi automotif China, BYD dan Geely dilaporkan mahu berlumba-lumba untuk menghasilkan model plug-in hybrid (PHEV) dengan jarak gerak cecah 2,000 km dalam masa terdekat.

 

 

Menurut BYD, kereta PHEV dengan jarak gerak yang sangat jauh itu akan dibangun menggunakan teknologi sedia ada, dan bakal dilancarkan pada tahun 2025.

Sebagai perbandingan, kereta PHEV BYD Song Plus DM-i yang wujud dalam pasaran mampu menawarkan jarak gerak sejauh 1,151 km (data CLTC), terima kasih kepada gandingan enjin 1.5 liter, motor elektrik, transmisi CVT, tangki bahan api 60 liter dan pek bateri berkapasiti 18.32 kWh.

Sementara itu, Geely juga mendakwa model PHEV dengan jarak gerak 2,000 km itu akan dibina menggunakan unit rangkaian kuasa yang sudah wujud pada model Galaxy L6.

 

Sedan PHEV berkuasa 358 hp tersebut menampilkan enjin 1.5 liter yang dipadankan dengan motor elektrik, pek bateri lithium-ion 19.1 kWh, serta transmisi dual-hybrid tiga kelajuan.

Dalam mod EV, Galaxy L6 mampu bergerak sejauh 124 km, dan jika digandingkan dengan tangki bahan api sebesar 60 liter, sedan ini mampu beregerak sejauh 1,370 km secara keseluruhannya.

Perkembangan terbaharu ini memperlihatkan peranan penting yang dimainkan oleh enjin pembakaran dalaman (ICE) untuk menggerakkan umat manusia, dan pengeluar kini mula sedar EV bukanlah satu-satunya cara untuk terus kekal relevan.

Ini ialah Volvo XC90 diesel terakhir di dunia

Tidak seperti pengeluar automotif lain yang ragu-ragu dengan masa depan, Volvo menunaikan janji mereka tahun lepas dengan mengumumkan penamatan produksi kenderaan berenjin diesel baru-baru ini.

Model terakhir yang dilengkapi dengan enjin diesel itu ialah sebuah Volvo XC90 2.0L turbo berwarna biru yang dipasang di kilang Torslanda, Sweeden.

 

 

Difahamkan, sejak daripada tahun 1991 Volvo telah pun menghasilkan lebih daripada sembilan juta unit kenderaan berenjin diesel, di mana angka tersebut tidak termasuk rekod unit yang dipasang antara tahun 1979 hingga 1991.

Unit terakhir Volvo XC90 diesel itu tidak akan diserahkan kepada pelanggan, sebaliknya ia akan menjadi bahan pameran di muzium World of Volvo yang terletak di Gothenburg.

Di Eropah, majoriti kenderaan Volvo yang terjual di sana terdiri daripada model diesel, bahkan 95 peratus daripada jualan XC90 tahun 2008 adalah model diesel!

 

 

“Untuk jangka panjang, enjin diesel kami sangat terkenal dengan kebolehpercayaan dan kecekapan, dan ia merupakan satu pencapaian yang bermakna untuk kami dalam tempoh beberapa dekad.

“Jelas sekali, kejayaan kenderaan diesel kami memainkan peranan penting dalam evolusi kami menjadi jenama premium,” menurut Volvo.

Menjelang tahun 2030, Volvo akan menjadi sebuah jenama kenderaan elektrik sepenuhnya di mana kebanyakan kilang pemasangan kini sedang diubahsuai untuk menampung pengeluaran EV dan rangkaian kuasa bateri.

 

Trend EV kian perlahan, Mercedes terus kekal hasilkan enjin pembakaran dalaman

Jenama mewah Mercedes-Benz nampaknya terpaksa akur dengan trend permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV) yang bergerak lebih perlahan berbanding jangkaan asal.

Keadaan ini menyebabkan Mercedes-Benz terpaksa menangguhkan dulu perancangan untuk menjadi jenama EV sepenuh masa menjelang 2030.

Bukan itu sahaja, Mercedes-Benz turut mengurangkan sehingga 50 peratus model EV yang bakal diperkenalkan menjelang akhir dekad ini, dan meneruskan penjualan model-model berenjin pembakaran dalaman (ICE) sehingga dekad seterusnya.

 

 

Dalam satu kenyataan, Mercedes-Benz mendedahkan aspek seperti gangguan rantaian bekalan dan ketersediaan komponen kritikal kekal menjadi faktor risiko yang ketara buat jenama itu untuk meneruskan pelan EV mereka.

 

Untuk tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, Mercedes-Benz merupakan antara jenama automotif mewah yang mampu menawarkan barisan produk EV yang meluas, bermula dari sekecil EQA, EQB, model sedan EQE dan EQS, SUV EQE dan EQS, serta tidak ketinggalan barisan model EV AMG.

 

 

Generasi baharu EV Mercedes akan dibina berdasarkan platform Modular Mercedes Architecture (MMA) yang direka bukan sahaja untuk EV, malah sesuai untuk kereta berenjin pembakaran dalaman.

CLA generasi baharu merupakan model produksi pertama yang lahir daripada platform MMA ini, dan diikuti dengan model generasi baharu GLA dan GLB.

Mercedes-Benz juga dilapor sedang membangunkan enjin M252 untuk dijadikan sebagai unit penambah jarak bagi model EV akan datang termasuklah CLA EV serta model-model Entry Luxury yang lain.