Tag Archives: EON

EON sumbang 62 kenderaan untuk mangsa insiden Putra Heights

Syarikat Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) menyumbang sebanyak 62 unit kenderaan untuk kegunaan mangsa insiden Putra Heights selama sebulan tanpa sebarang caj.

Sebanyak 40 buah kenderaan terdiri daripada sedan, SUV dan kenderaan pelbagai fungsi daripada jenama runcit EON seperti Proton, Mitsubishi dan Volkswagen, dan menerusi subsidiari sewa kenderaan EON, iaitu Avis Malaysia.

Selain itu, 22 unit kenderaan yang terdiri daripada trak pikap termasuklah empat unit kenderaan elektrik (EV) jenama smart turut disediakan untuk kegunaan agensi kerajaan dan organisasi yang menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, “Ramai keluarga yang bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, malah kehilangan pengangkutan utama disebabkan insiden kebakaran.

“Sebagai syarikat pengedar pelbagai jenama kenderaan terbesar di negara, EON rasa bersyukur kerana berada di posisi untuk memberikan sedikit kelegaan dalam tempoh yang sukar ini.

“Bagi pihak EON Group, saya ingin menyampaikan rasa simpati yang mendalam kepada semua mangsa yang terjejas. Kami mendoakan mereka yang mengalami kecederaan agar cepat sembuh, dan berharap semua yang terkesan mempunyai kekuatan, keberanian dan sokongan yang diperlukan untuk membina semula kehidupan.

Beliau yang juga ketua unit pengedaran automotif DRB-HICOM menambah, “buat masa ini, EON akan menyediakan kenderaan kepada mangsa yang terjejas dan NGO tanpa sebarang caj selama satu bulan. Bantuan ini mungkin akan dilanjutka bergantung kepada keperluan tertentu.”

Akkbar turut melahirkan rasa terima kasih kepada Pejabat Menteri Besar Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Perbandaran Subang Jaya kerana menyokong EON untuk inisiatif ini dan menyeru pelbagai pihak untuk bertindak segera dalam memastikan kesejahteraan masyarakat setempat susulan insiden malang tersebut.

EON perkukuh kedudukan dalam sektor automotif tempatan, tawar perkhidmatan menyeluruh

Beberapa puluh tahun yang lepas, kita lebih mengenali syarikat Edaran Otomobil Nasional Sdn Bhd (EON) sebagai sebuah syarikat pengedar kereta-kereta jenama Proton.

Namun, EON kini lebih daripada sekadar itu.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun EON yang ke-40, pihak pengamal media telah dijemput untuk menyertai EON & Sahabat Media Getaway 2024 dan mendengar sendiri daripada mulut Akkbar Danial selaku CEO EON mengenai perancangan mereka mengukuhkan lagi kedudukan dalam sektor automotif tempatan.

Berikut merupakan beberapa info menarik yang perlu anda tahu:

1. Selain daripada Proton, syarikat konglomerat itu kini mengendalikan beberapa buah jenama automotif yang besar, seperti Audi, Mitsubishi, smart, Volkswagen, dan jenama e.MAS yang bakal dilancarkan kelak.

2. EON juga turut mengendalikan beberapa jenama kenderaan komersial seperti Daihatsu dan Isuzu.

3. EON turut mengendalikan perkhidmatan sewa dan pajakan kenderaan AVIS, merangkumi kenderaan penumpang, perkhidmatan chauffeur, serta menyediakan armada kenderaan untuk sektor komersial.

Secara keseluruhan, AVIS mempunyai kira-kira 19 cawangan di seluruh Malaysia, dengan armada lebih 4,000 unit kenderaan.

4. EON-Petromin Sdn Bhd ditubuhkan pada tahun 2022 dengan fokus menyediakan perkhidmatan selepas jualan dan servis untuk pelbagai jenama kenderaan, terutama bagi pemilik kenderaan yang sudah tidak dilindungi jaminan pengeluar.

Untuk permulaan, EON-Petromin memfokuskan kepada kawasan Lembah Klang dan bakal dikembangkan ke wilayah Utara dan Selatan.

5. Untuk memudahkan urusan pengguna mendapatkan kereta idaman, EON menerusi divisyen pembiayaan melancarkan platform digital EON Capital semasa EON Autofest pada Mac yang lalu.

Dengan azam untuk menangani tiga kebimbangan utama yang disuarakan oleh pelanggan, EON Capital mahu menyediakan platform permohonan pembiayaan kenderaan yang pantas dan mudah, selamat, serta pembelian yang lebih berbaloi.

6. Selain daripada proses pendigitalan pembiayaan kenderaan, EON dalam masa yang sama menekankan proses pendigitalan platform yang biasa digunakan oleh pelanggan, seperti laman web rasmi, pusat pameran 3D, kedai jualan kenderaan dalam talian, permohonan insurans dan perkhidmatan selepas jualan.

7. Bergerak ke hadapan, EON mahu terus mengukuhkan kedudukannya dalam sektor pengedaran automotif dengan pembukaan pusat aksesori eksklusif serta pusat badan dan cat (B&P) berpusat untuk penjanaan hasil hiliran.

8. Pada masa hadapan, EON juga akan bekerjasama dengan syarikat perniagaan kenderaan terpakai seperti myTukar, Carsome dan syarikat OEM, selain menggunakan laman web EON sebagai platform perniagaan tukar-beli dan kenderaan terpakai.

9. Bagi melengkapkan lagi ekosistem pengalaman pemilikan dengan nilai yang lebih baik, EON telah melancarkan pembukaan EON Autospa pada 1 Mac 2024 yang lalu.

EON Autospa yang terletak di Glenmarie merupakan outlet Autospa yang pertama dibuka untuk memenuhi keperluan pelanggan EON dari pelbagai perniagaan runcit automotif seperti Audi, Mitsubishi, Proton dan smart.

Menerusi kerjasama dengan beberapa jenama ternama, pelanggan bukan sekadar boleh mendapatkan perkhidmatan cuci kereta, mereka juga boleh mendapatkan aksesori kenderaan seperti filem tingkap, tempat duduk balutan kulit, filem perlindungan cat serta kamera perakam papan pemuka.

Bilik pameran Proton EON di Banting dinaik taraf jadi pusat 3S

EDARAN Otomobil Nasional Berhad (EON), anak syarikat milik penuh DRB-Hicom, telah melancarkan pusat 3S Proton EON yang telah dinaik taraf di Banting.

Pusat itu, yang sebelum ini hanya beroperasi sebagai bilik pameran, kini menawarkan perkhidmatan jualan, servis dan alat ganti.

Dengan pelaburan bernilai RM6 juta untuk kerja ubah suai dan naik taraf, pusat 3S Proton EON Banting menawarkan pengalaman yang dipertingkatkan kepada pelanggan menerusi perkhidmatan jualan dan selepas jualan digital di dalam bilik pameran yang luas dan moden.

Ketua Pegawai Eksekutif EON yang juga merupakan Ketua Pengedaran Automotif DRB-Hicom, Akkbar Danial berkata,”Bilik pameran yang diubah suai ini akan membolehkan kami meningkatkan pengalaman pelanggan, manakala lokasi strategiknya akan menjadikannya sangat mudah untuk penduduk Banting dan kawasan sekitar mengakses pusat 3S kami.”

Bilik pameran berkenaan mempunyai keluasan 18,775 kaki persegi dan boleh memuatkan sehingga lapan buah kenderaan Proton pada satu-satu masa.

Selain itu, pusat baharu ini juga mempunyai pusat servis canggih berkeluasan 12,347 kaki persegi. Ia dilengkapi dengan 10 ruang servis dengan teknologi terkini untuk menyelenggara pebagai model Proton.

Pelanggan juga mendapat manfaat daripada usaha pendigitalan EON menerusi pengenalan platform Workforce Management (WFM) yang membolehkan mereka membuat janji temu servis secara dalam talian serta mendapatkan kemas kini servis pada masa nyata.

Mereka yang sedang mencari kereta baharu boleh membuat tempahan secara dalam talian di laman web www.eon.com.my.

Bilik pameran pusat 3S Proton EON Banting dibuka dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang dari Isnin hingga Sabtu dan dari 10 pagi hingga 4 petang pada Ahad dan cuti umum.

Pusat servisnya pula beroperasi dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang dari Isnin hingga Sabut, dan dari 8.30 pagi hingga 1 petang pada Sabtu. Ia ditutup setiap Ahad dan cuti umum.

Tuah wanita muda, beli Proton Saga 1.3 AT dapat bawa pulang S70 Flagship!

EON Berhad, sebuah syarikat subsidiari DRB-Hicom Berhad telah mengumumkan senarai pemenang cabutan bertuah peraduan EON & Sahabat Autofest 2024, serentak dengan sambutan rumah terbuka yang berlangsung di ibu pejabat EON di Glenmarie.

Pemenang hadiah utama, Siti Khairunadia Mohd Sharifuddin Paloh dari Johor Bahru berjaya membawa pulang sebuah Proton S70 Flagship.

Wanita berusia 21 tahun itu membeli sebuah Proton Saga 1.3 Automatic Standard sepanjang tempoh tiga hari Autofest berlangsung yang diadakan dari 1 hingga 3 Mac 2024, dan membiayai pembeliannya menerusi platform digital EON.

 

Empat lagi pemenang cabutan bertuah masing-masing membawa pulang hadiah berupa Dyson Vacuum Cleaner dan iPad, dengan nilai hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000.

Dalam ucapannya, Akkbar Danial mengumumkan sepanjang EON & Sahabat Autofest 2024 berlangsung, pihaknya telah berjaya mencatatkan jualan melebihi 650 unit, atau 30 peratus lebih tinggi berbanding sasaran awal.

Acara EON & Sahabat Autofest 2024 menghimpunkan pelbagai jenama motosikal dan kereta di bawah satu bumbung, seperti Proton, Mitsubishi, Audi, Volkswagen, smart, Isuzu, Daihatsu, Honda, Modenas dan Kawasaki.

 

EON & Sahabat Autofest 2024 tawar jualan pelbagai jenama kereta, 1-3 Mac 2024

EON & Sahabat Autofest 2024 dirasmikan hari ini, berlangsung di ibu pejabat EON di Glenmarie.

Acara jualan itu adalah bersempena dengan ulang tahun EON yang ke-40 tahun ini, dan akan diadakan bermula hari ini, Jumaat, 1 Mac hingga hujung minggu ini, 3 Mac 2024. Ia dibuka dari 10 pagi hingga 6 petang.

CEO EON, Akkbar Danial berkata: “Kami telah menyerahkan kereta kepada rakyat Malaysia selama empat dekad. Sepanjang tempoh itu, kami telah berevolusi dari pengedar eksklusif Proton sehingga hari ini – pengedar pelbagai jenama terbesar di Malaysia, bawah satu bumbung.”

“EON & Sahabat Autofest 2024 dengan pelbagai diskaun dan pakej menarik adalah cara kami mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan dan penyokong kami,” katanya.

Di acara Autofest ini, anda akan disajikan dengan pameran dan jualan jenama-jenama di bawah EON seperti Proton, Volkswagen, Mitsubishi, smart, Audi, Isuzu, Honda, Daihatsu, dan Kawasaki (Modenas).

Anda juga berpeluang memandu uji dan tunggang uji model-model terpilih, kemudian jika berkenan, boleh terus buat tempahan.

Wakil-wakil seperti Avis, Petromin, Pos Malaysia, Puspakom, dan DRB-Hicom University of Automobile Malaysia juga ada membuat pameran.

Semasa hari pelancaran pagi tadi, EON memperkenalkan platform pembiayaan digital mereka, iaitu EON Capital. Ia menawarkan kelulusan pinjaman dan pembiayaan dengan pantas dari pihak bank.

Tidak dilupakan, bagi anda yang membuat tempahan dan memohon pembiayaan melalui platform digital EON semasa hari carnival sehingga 3 Mac ini, akan berpeluang memenangi pelbagai hadiah berjumlah RM100,000. Hadiah utama adalah sebuah Proton S70 baharu.

Pelbagai jualan dan pameran lagi turut diadakan seperti Bazaar Raya, makanan, penampilan selebriti, dan zon kanak-kanak.

EON rasmi pembukaan pengedar 3S smart pertama di Malaysia

EDARAN Otomobil Nasional Berhad (EON) membuka lembaran baharu dengan perasmian pembukaan wakil pengedar 3S smart pertama di Glenmarie, hari ini. Ini juga menandakan kehadiran EON dalam pasaran kenderaan elektrik (EV).

Dengan keluasan 4,362 kaki persegi, bilik pameran ini mampu memuatkan tiga kereta di ruang pameran utama dan satu unit untuk ruang penyerahan.

Selain itu untuk keselesaan pengunjung dan pelanggan, ia turut dilengkapi dengan ruang menunggu khas lengkap dengan kafe, ruang perbincangan, bilik permainan kanak-kanak, dan WiFi percuma.

Untuk bahagian selepas jualan, ruang seluas 3,716 kaki persegi mempunyai empat tempat servis, termasuk dua daripadanya untuk servis dan baik pulih, satu untuk penjajaran tayar, dan satu untuk servis bervoltan tinggi.

Terdapat juga lapan ruang parkir pelanggan, dua pengecas AC (22kW) dan satu parkir pengecas DC (60kW).

Akkbar Danial, Ketua Pengedaran Automotif DRB-Hicom berkata: “Kami menjangkakan pembukaan wakil pengedar 3S smart ini akan memainkan peranan penting dalam memenuhi permintaan smart #1 yang meningkat, dan memberikan impak signifikan dalam pasaran EV tempatan.”

EON telah melaburkan hampir RM4 juta untuk bilik pameran smart Glenmarie ini. Ia dibuka dari Isnin hingga Sabtu pada 8:30 pagi hingga 5:30 petang, dan bagi Ahad serta cuti umum, dibuka dari 10:00 pagi hingga 4:00 petang.

Untuk maklumat lanjut, layari www.eon.com.my.

EON Berhad dilantik sebagai pengedar rasmi smart Malaysia

Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (PRO-NET) hari ini mengumumkan pelantikan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) sebagai pengedar rasmi kenderaan smart di Malaysia.

Ini menjadikan EON, yang merupakan cabang pemasaran automotif DRB-HICOM, sebagai pengedar sah smart kedua di negara ini selepas Hap Seng Smart.

Menurut PRO-NET, pelantikan EON sebagai sebahagian daripada keluarga smart Malaysia telah menambah jumlah pengedar elit bagi kenderaan jenama smart. Ini akan disusuli dengan lima lagi pengedar baru yang bakal diumumkan kelak.

Kerjasama ini juga akan meningkatkan kesedaran dan keterlihatan jenama EV itu di kalangan pembeli kereta di Malaysia menjelang pelancaran smart #1 pada suku keempat tahun ini.

Pelantikan EON yang merupakan pengedar pelbagai jenama mencerminkan komitmen PRO-NET untuk menembusi pasaran EV yang semakin rancak di Malaysia.

Perkongsian ini mempamerkan satu lagi pencapaian bersejarah bagi Proton dan kumpulan anak syarikatnya sejak hampir empat dekad lalu, di mana syarikat itu dan EON mempelopori evolusi industri automotif Malaysia apabila EON dilantik sebagai pengedar kereta Proton eksklusif dan yang pertama.

“PRO-NET yakin dengan pengetahuan dan pegalaman luas EON ditambah dengan capaian pelanggan DRB-HICOM yang sangat luas akan mewujudkan sinergi ideal yang mampu mendorong wawasan smart Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.

Akkbar Danial, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengedaran Automotif DRB-HICOM berkata,”EON komited untuk menyumbang ke arah kejayaan perkongsian baharu ini. Kami diterajui oleh pasukan dinamik yang mempunyai pengalaman yang luas. Ia memberi kelebihan kepada kami untuk mewujudkan sinergi dengan smart Malaysia bagi memenuhi permintaan untuk smart #1 dalam usaha menghasilkan impak ketara kepada pasaran tempatan.”

DRB-HICOM, Petromin jalin kerjasama tawar perkhidmatan selepas jualan pantas

DRB-HICOM Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) akan meluaskan kehadirannya dalam pasaran perkhidmatan selepas jualan melalui usaha sama dengan jenama servis pantas kelima terbesar di dunia, Petromin Express, anak syarikat Petromin Corporation.

Usaha sama dalam bidang servis kenderaan pantas ini dicadangkan dikongsi 51:49 antara Petromin dan EON. Ia bertujuan untuk menggabungkan keupayaan dan penglibatan EON dan DRB-HICOM dalam rantaian nilai automotif dengan kepakaran operasi dan rekod prestasi Petromin dalam model francais selepas jualan pantas.

Menerusi usaha sama ini, Petromin dan EON berpeluang merebut peluang segmen selepas jualan yang pesat berkembang sejajar dengan objektif strategik kedua-dua pihak. Pasaran selepas jualan automotif Malaysia telah menjana perolehan kira-kira RM42b pada 2021.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar percaya usaha sama itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Outlet Petromin Express

“Kerjasama Petromin dengan DRB-HICOM akan membolehkan ia memasuki pasaran perkhidmatan selepas jualan Malaysia yang menguntungkan hasil dari kerjasama dengan jenama korporat yang terkenal dan dipercayai dalam sektor automotif.”

Syarikat usaha sama ini mensasarkan untuk memulakan operasi perintis pada Januari 2023, dengan empat cawangan dalam tempoh 18 bulan projek perintis dilaksanakan.

Berpandukan kepada model cawangan Petromin Express, yang sangat berjaya di Arab Saudi, syarikat usaha sama ini akan menawarkan perkhidmatan selepas jualan pantas dengan masa membaik pulih yang cepat untuk kenderaan lepas jaminan yang berumur antara 5 dan 10 tahun.