Tag Archives: EPMB

EPMB rai pengeluaran yang ke-1000, rancang pasang beberapa model GWM, BAIC tahun depan

Syarikat EP Manufacturing Berhad (EPMB) baru-baru ini meraikan pencapaian penting menerusi pengeluaran kenderaan yang ke-1000 di kilang pemasangan Pegoh, Melaka.

Menurut Encik Hamidon Abdullah selaku Pengerusi Eksekutif EPMB berkata, “Hari ini menandakan permulaan era baharu bagi EPMB, mengimbas kembali cabaran semasa pandemik COVID-19, kami tetap tabah dan kembali membina asas rancangan yang kukuh untuk masa depan.

“Fasa 1 kilang pemasangan kenderaan di Pegoh, Melaka adalah bukti visi kami. Kerjasama dengan GWM telah mencapai kejayaan besar, dan momentum ini akan diteruskan dengan persiapan untuk memasang model-model GWM yang lain.

“Kami menjangkakan kapasiti Fasa 1 akan digunakan sepenuhnya menjelang akhir 2025. Untuk Fasa 2, kapasiti pengeluaran akan dipertingkatkan dengan tambahan 30,000 unit setahun, sementara Fasa 3 pula akan memberikan tumpuan kepada pembuatan badan kenderaan dan proses pengecatan.”

Difahamkan, EPMB merancang untuk memasang beberapa model GWM termasuklah Jolion HEV (Q2 2025) dan Wey 80 (Q4 2025), serta dua model BAIC iaitu Beijing X55 dan BJ40 (Q1 2025).

Kilang yang terletak di Alor Gajah itu mempunyai kapasiti pengeluaran 15,000 unit setahun, dan mempunyai kekuatan tenaga pekerja seramai 160 orang.

EPMB turut memberikan keutamaan kepada lokalisasi komponen kenderaan untuk memperkukuh industri automotif tempatan.

Menerusi fasiliti di Kulim, Tanjung Malim, Batang Kali, Shah Alam dan Melaka, EPMB memulakan lokalisasi komponen penting untuk kenderaan GWM termasuklah tempat duduk, rangka depan stereng, gandar belakang, sistem suspensi, brek, panel instrumen, konsol tengah serta trim panel pintu.

EPMB akan pasang, edar EV bersaiz mini Lingbox untuk pasaran Malaysia, Indonesia

EP Manufacturing Bhd (EPMB) mengumumkan mereka telah memperoleh hak eksklusif untuk memasang dan mengedar kereta elektrik yang dibangunkan oleh Lingbao untuk pasaran Malaysia dan Indonesia.

Dalam satu kenyataan, pengeluar alat ganti automotif itu berkata perjanjian selama lima tahun itu juga memberikan pilihan kepada mereka sama ada untuk menggunakan jenamanya sendiri untuk kenderaan elektrik (EV) itu.

Pada 27 Disember lalu, EPMB melalui anak syarikatnya EP 4Wheeler Sdn Bhd menandatangani perjanjian pengedar eksklusif dengan Hubei Dongfeng Power Auto Trade Co Ltd dan Xiamen Tsingyan Hylong Motor Technology Co Ltd untuk memasang kereta Lingbox pemanduan kanan.

EPMB diberi hak untuk mengedarkan kereta di bawah nama jenama sendiri atau jenama Lingbox Auto atau Qingyan Hailong. Perjanjian itu berkuat kuasa dari 1 Januari 2023 dan tamat tempoh pada 31 Disember 2027 dan akan diperbaharui selama lima tahun lagi, tertakluk terma dan syarat.

Lingbox merupakan salah satu model di bawah jenama Lingbao, yang dimiliki oleh Jiangsu Jemmell New Energy Vehicle Co Ltd yang berpangkalan di China. Ia tersenarai dalam 10 teratas EV bersaiz mini terlaris di China dan menurut EPMB, ia dijangka menjadi salah satu EV paling mampu milik di Malaysia dengan harga bawah RM100,000.

Jika anda masih ingat, pada Jun lalu EPMB memperoleh hak eksklusif untuk menjual dan mengedar skuter elektrik Blueshark di Malaysia.