Tag Archives: eq

Mercedes adakan peruntukan besar untuk enjin pembakaran semula

SELEPAS menyedari matlamat elektrifikasi mereka mungkin terlalu tinggi, Mercedes kini memperuntukkan sejumlah besar bajet mereka untuk enjin-enjin pembakaran.

Menurut satu temu bual dengan media Jerman Wirtschaftswoche, CEO Mercedes, Ola Källenius berkata teknologi ICE (enjin pembakaran dalaman) “akan bertahan sehingga selepas 2030”. Bagi memastikan enjin-enjin ini terus mematuhi piawaian yang semakin ketat, pelaburan besar diperlukan.

Källenius berkata S-Class dan faceliftnya dijangka pada 2026 nanti: “Kami telah melabur jauh lebih banyak untuk kemas kini model S-Class dengan enjin pembakaran lebih dari apa yang kami biasa buat untuk facelift.”

Matlamat Mercedes ialah untuk memastikan enjin konensional mereka “pada tahap tertinggi teknologi”. Tanpa berbelanja besar untuk enjin petrol dan diesel, jenama mewah itu “akan menghentikan dengan mengejut jualan enjin pembakaran menjelang 2027 atau 2028”.

Mercedes menyedari mereka perlu menerima hakikat peralihan kepada EV tidak berjalan seperti yang dirancang. Tiga tahun lalu, mereka berkata kenderaan PHEV dan EV akan mewakili kira-kira 50 peratus jualan tahunan menjelang 2025.

Walaubagaimanapun, ia nampaknya tidak akan berlaku. Pada satu tahap, Mercedes pernah berkata mereka akan menjadi elektrik sepenuhnya menjelang 2030 di beberapa negara “bila keadaan pasaran mengizinkan”.

Kini, matlamat baharu mereka ialah supaya PHEV dan EV mewakili separuh dari jualan menjelang hujung dekad ini (2030). Tetapi menurut Källenius, objektif untuk neutral karbon menjelang 2040 belum berubah.

Mercedes akan berhenti guna nama EQ bagi model EV, kembali cara lama

MERCEDES dilaporkan bakal menghentikan penggunaan nama ‘EQ’ bagi model-model EV (elektrik sepenuhnya) yang akan datang. Menurut laporan AutoExpress, langkah itu akan dibuat selepas semua EV generasi pertama masa kini tamat hayatnya.

Pengeluar Jerman itu akan kembali menggunakan struktur penamaan tradisional seperti model-model bukan EV mereka.

Pada masa ini, hampir semua model EV Mercedes mempunyai ‘EQ’ pada nama mereka, dari EQA hinggalah EQS.

Hanya satu pengecualian dibuat, iaitu untuk G-Class yang dilancarkan di Beijing bulan lepas. Ia tidak dipanggil EQG seperti yang dijangka, sebaliknya ia dinamakan G580 dengan EQ Technology. Ini menandakan hala tuju baharu penamaan model EV jenama itu.

“EQ ialah permulaan teknikal, Mercedes-Benz akan datang tidak akan menjadi EQ,” kata pengurus produk Mercedes, Tobi Mantele.

“EQ ialah pelantar teknikal untuk kami. Sebaik sahaja anda pergi ke arah elektrifikasi sepenuhnya, anda tidak mahu menggugurkan suatu jenama seperti S-Class contohnya,” tambah seorang lagi jurucakap Mercedes.

Hala tuju ini juga menunjukkan Mercedes mahu menormalisasikan EV sebagai barisan model biasa dan akan menggunakan penamaan seperti model petrol dan diesel.

Dalam pada masa yang sama, Mercedes tidak akan menawarkan EV semata-mata, tetapi elektrifikasi mereka juga akan merangkumi model plug-in hybrid (PHEV).

“Kami tidak mahu menyingkirkan sepenuhnya peluang dengan platform-platform ICE kami sedia ada. Kami mempunyai PHEV dengan prestasi terbaik dalam rangkaian, dan kami akan mengemaskininya,” kata jurucakap itu.

Mercedes EQS SUV tiba di Malaysia – Boleh jalan sejauh 615km, harga bermula RM700k sahaja

BILA sebut tentang kereta elektrik (EV), ramai yang tamak mahukan jarak pemanduan jauh, tidak cukup dengan 400km yang biasa ditawarkan. Nah, ini salah satu EV dengan jarak pemanduan lebih 615km, iaitu Mercedes EQS SUV, baru dilancarkan di Malaysia.

EQS merupakan model mewah dalam rangkaian EQ atau model elektrik Mercedes, dan kini hadir dalam bentuk badan SUV. Buat masa ini, ia ditawarkan dalam varian EQS580 4Matic, dengan harga RM699,888. Apa yang anda dapat untuk SUV EV ultra-mewah ini?

Kita tolak ke tepi dahulu bab spesifikasi dan pengecasan semua, EQS SUV adalah berkenaan aspek mewah, bak kata Mercedes. Kenderaan EV yang anda boleh gunakan untuk berjalan jauh, dengan keselesaan bak kereta menteri.

Dari segi rekaan, EQS SUV mendapat gril bertutup hitam berkilat dengan kemasan bintang yang tampak cukup mewah dan futuristik. Terdapat juga lampu LED Digital Light dengan light bar di depan dan belakang.

EQS580 dikemaskan lagi dengan kit AMG Line yang memberikannya bampar depan dan belakang lebih agresif, kemasukan udara lebih besar, dan rim AMG bersaiz 22-inci.

EQS SUV ini juga dilengkapi dengan suspensi udara Airmatic yang boleh dinaikkan sehingga 25mm sehingga 80km/j. Tetapi dalam mod Comfort dan Sport, ia boleh direndahkan sebanyak 10mm dan 15mm untuk mengurangkan rintangan udara. Sistem stereng belakang juga standard untuk EQS ini.

Di bahagian dalam pula, Mercedes EQS580 SUV mendapat papan pemuka yang sama dengan model sedan, iaitu MBUX Hyperscreen selebar 141cm. Ia terdiri dari tiga skrin iaitu paparan instrument 12.3-inci, paparan tengah 17.7-inci, dan skrin untuk penumpang depan 12.3-inci.

Kemasan sudah pasti cukup mewah dengan Electric Art, balutan kulit Nappa, dan paling kami suka; kemasan kayu berongga magnolia dengan corak aluminium.

Baik, kini barulah kita ke aspek teknikal. Mercedes EQS SUV dilengkapi dua motor elektrik dengan output keseluruhan 544hp dan 858Nm tork. Ini membolehkannya memecut ke 100km/j dalam masa 4.6 saat dan mencapai kelajuan maksima 210km/j.

Kuasa dibekalkan oleh bateri lithium-ion berkapasiti 107.8kWh, dan memberikan EQS SUV jarak pemanduan sehingga 615km setiap cas.

Harus diketahui juga EQS SUV merupakan model EQ pertama Mercedes dengan pengecas dalaman 22kW, jadi satu cas penuh AC boleh dibuat dalam masa lima jam setengah sahaja. Dengan pengecasan pantas DC pula, ia menyookong 200kW, jadi 10 hingga 80 peratus boleh dicapai dalam masa 31 minit.

Ciri lain pada Mercedes EQS SUV ini termasuklah konfigurasi tujuh tempat duduk, MBUX Rear Seat Entertainment Plus, sistem audio Burmester dengan 15 pembesar suara dan Dolby Atmos, dan Energising Package.