Tag Archives: ESB Style

Landc Roomy – minivan yang disumpah menjadi ‘Land Cruiser’

Jika anda merasakan Toyota Land Cruiser (dan Prado) terlalu besar untuk dimuatkan dalam garaj, usah risau kerana ESB Style kini membawakan elemen SUV off-road tersebut untuk minivan Toyota Roomy.

Pakej yang digelar sebagai ‘Landc Roomy’ itu meminjam beberapa elemen rekaan Land Cruiser, seperti contoh struktur jeriji yang besar dan lebar lengkap dengan bampar yang agresif.

Disebabkan limitasi ruang, agak sukar untuk memuatkan kesemua elemen Land Cruiser pada minivan ini.

Jadi, ESB Style hanya mengehadkan perubahan tersebut pada bahagian hadapan, namun untuk bampar belakang tetap diberikan sentuhan yang sporti, diikuti dengan rim keluli berwarna putih yang dibaluti tayar Toyo Open Country R/T.

Tidak ketinggalan, sistem gantungan telah ditinggikan 30 mm bagi membolehkan ‘Landc Roomy’ ini meredah laluan off-road ringan dengan lebih mudah.

Untuk ruang kabin pula, ESB Style menawarkan aksesori seperti “Fox Mat” boleh lipat di mana ia boleh mengubah ruang kabin Roomy menjadi sebuah van pekhemah.

Berikut merupakan senarai harga aksesori yang ditawarkan oleh ESB Style untuk panduan:
• Bampar hadapan – ¥100,000 (RM2,848)
• Bampar belakang – ¥60,000 (RM1,709)
• Kit suspensi – ¥50,000 (RM1,424)
• Set rim keluli – ¥60,000 (RM1,709)
• Fox Mat – ¥25,000 (RM712)

Di Jepun, Toyota Roomy bukanlah sebuah kei van, memandangkan ia didatangkan dengan dimensi yang lebih besar, dan dikuasakan pula oleh enjin tiga silinder sebaris 996 cc yang mampu menjana kuasa setinggi 98 PS.

Versi aspirasi semula jadi pula hanya mampu menghasilkan kuasa setinggi 69 PS, namun anda boleh mendapatkan Toyota Roomy (atau Daihatsu Thor/Subaru Justy) dengan pilihan pacuan roda depan atau pacuan semua roda (AWD).

Honda N-Van bertukar menjadi Land Rover Defender?!

HONDA N-Van merupakan kenderaan komersial ringan berbentuk kei-car yang diperkenalkan pada 2018 sebagai sebahagian daripada siri N jenama itu.

Di samping ukuran dimensi yang kompak, N-Van, seperti kebanyakan kei-car yang lain, tampil dengan reka bentuk yang comel dan menawan hati.

Bagaimanapun, bagi mereka yang inginkan penampilan yang lebih rugged, syarikat talaan terkenal dari Jepun iaitu ESB Style kini menawarkan kit badan yang boleh mentransformasikan N-Van menjadi jentera off-road terkemuka iaitu Land Rover Defender.

Sudah tentu, ia tidak akan mengubah bentuk asal N-Van menjadi sebuah SUV, namun sekurang-kurangnya kit tersebut memberikan van cilik itu iras wajah yang tidak ubah seperti Defender dengan bampar, gril dan lampu baharu.

Malah, jika diperhatikan dengan lebih teliti, N-Van ini juga didatangkan dengan tulisan ‘DAFUNDER’ pada penutup bonet.

Apa yang menarik, kit daripada ESB Style ini tidak sekadar memfokuskan kepada aspek kosmetik semata-mata. Ia turut merangkumi kit lift sistem suspensi yang menjadikan N-Van “Dafunder” ini seinci lebih tinggi, serta rim 14 inci yang dibalut tayar off-road.

Turut disertakan adalah skid plate pada bampar belakang serta grafik baharu pada lampu belakang.

Cuma sayangnya, jentera unik ini masih lagi dikuasakan oleh enjin turbo 660 cc tiga silinder yang menghasilkan 63 hp dan 104 Nm dalam versi standard. Ia boleh didapati dalam versi FWD atau AWD, dengan CVT sebagai satu-satunya pilihan transmisi yang ada.

Harga kit Dafunder bermula dari 70,000 yen (RM2,313) untuk bampar hadapan, 30,000 yen (RM991) untuk bampar belakang, 38,000 yen (RM1,256) untuk sistem suspensi dan 56,000 yen (RM1,851) untuk rim.