Tag Archives: EU

Eropah mahu haramkan penggunaan gentian karbon sebelum akhirnya buat ‘U-turn’

Tahukah anda, Kesatuan Eropah pernah mengusulkan cadangan untuk mengharamkan penggunaan gentian karbon di dalam binaan kenderaan menjelang tahun 2029, baru-baru ini.

Namun, langkah untuk melarang penggunaan bahan ringan tersebut akhirnya ditarik balik berdasarkan laporan terbaharu oleh Motor1 Itali.

Dalam pindaan undang-undang yang digubal pada Januari lepas, pihak EU mahu memasukkan gentian karbon ke dalam senarai bahan berbahaya seperti merkuri, plumbum dan kadmium.

Ini kerana semasa proses pelupusan kenderaan, EU menentukan filamen gentian karbon yang terpisah boleh menjadi bawaan udara dan mendatangkan mudarat sekiranya tersentuh dengan kulit manusia.

Pihak berkuasa juga menentukan bahan tersebut mampu merosakkan mesin kitar semula yang digunakan.

Industri automotif menguasai 20 peratus daripada jumlah produksi gentian karbon di seluruh dunia.

Disebabkan sifatnya yang ringan dan tahan lasak, ia menjadi bahan wajib untuk pembinaan kereta-kereta pantas, seperti casis, tempat duduk, cermin sisi malah sesetengah pengeluar menggunakan bahan yang sama untuk binaan rim yang lebih ringan.

Gentian karbon juga menjadi bahan utama di dalam kenderaan elektrik bertujuan untuk mengurangkan berat badan dan menyumbang kepada jarak pandu yang lebih jauh.

Mujur, langkah untuk mengharamkan penggunaan bahan tersebut tidak diteruskan.

Jika tidak, ia sudah pasti mengundang bantahan keras daripada kebanyakan pengeluar automotif di dalam dunia.

Eropah haramkan penyaduran krom pada motosikal 

Bermula 2024, Kesatuan Eropah (EU)  mencadangkan pengharaman proses penyaduran krom pada sebarang kenderaan baharu termasuk motosikal. 

Menariknya, langkah itu bukan sahaja akan berlaku di Eropah malah merangkumi Amerikak Syarikat bermula 2027. 

Menurut laporan media antarabangsa, langkah itu diambil ekoran terdapat kebimbangan perkara tersebut akan memberi kesan jangka panjang pada kesihatan dan alam sekitar. Ini kerana proses penyaduran krom menghasilkan pencemaran toksik 500 kali ganda lebih tinggi berbanding pencemaran dihasilkan enjin diesel. 

Pada masa sama, penyaduran krom juga dikaitkan dengan kanser paru-paru dan hidung selain dari memberi kesan pada sistem pembiakan manusia. 

Selain itu, proses penyaduran krom juga memberi kesan pada alam sekitar menerusi pembuangan sisa. Walaupun kesemua kesan ini boleh dielak namun EU mendapati senario ini tidak harus diambil mudah. 

Berdasarkan perkara diatas, jelasnya penghasilan motosikal yang sebelum ini popular dengan penyaduran krom seperti beberapa model khas Triumph, Harley-Davidson dan Moto Guzzi tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang. 

Boleh sebabkan kanser, penyaduran krom bakal diharamkan oleh EU

PENGGUNAAN kemasan krom bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan pengeluar kenderaan kerana ia adalah jalan yang paling mudah untuk membuatkan produk mereka tampak lebih premium.

Bagaimanapun, pengeluar kenderaan di Eropah mungkin perlu mencari alternatif lain kerana Kesatuan Eropah (EU) dilaporkan telah mencadangkan larangan terhadap penyaduran krom kerana ia boleh menyebabkan kanser.

Menurut Autocar, proses penyaduran krom membawa kepada penghasilan bahan karsinogen yang dikenali sebagai hexavalent chromium.

Pelepasan bahan ini ke udara semasa proses penyaduran dikatakan 500 kali lebih toksik daripada diesel dan boleh menyebabkan kanser paru-paru yang kronik.

Penggunaan depresan wasap kimia dikatakan boleh mengurangkan pelepasan ini, namun ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan lain kerana ia mengandungi Perfluoroalky and Polyfluoroalkyl Substances (PFAS) yang juga bertoksik tinggi.

EU mencadangkan larangan teknik itu bermula 2024, dengan California dilaporkan bakal mengikuti jejak langkah yang sama. Larangan ini dijangka memberi impak besar kepada reka bentuk automotif melainkan bahan alternatif dengan kualiti yang sama dapat dikenal pasti.

Di samping industri automotif, krom juga digunakan secara meluas dalam penghasilan barang keperluan harian dan industri penerbangan.

Toyota bakal henti pengeluaran GR86 di Eropah, gagal patuh regulasi EU

TOYOTA mengeluarkan satu kenyataan mengejutkan terutama bagi kebanyakan ‘kaki kereta’ melibatkan salah sebuah model ‘termantapnya’ , GR86.

Memetik laporan media, syarikat asal Jepun itu tidak lagi akan mengeluarkan model GR86 dari tempoh dua tahun akan datang.

Foto ihsan Toyota

Ketua Pegawai Operasi Toyota (Eropah) berkata, pihaknya mempunyai sebab tertentu untuk tidak lagi mengeluarkan GR86 di pasaran Eropah walaupun mendapat permintaan hangat.

Jelas Matt Harrison, langkah itu dibuat selepas mengambil kira peraturan dikenakan Kesatuan Eropah (EU) yang menetapkan regulasi keselamatan baharu bagi kenderaan baharu.

Justeru, jika Toyota masih ingin meneruskan pengeluaran GR86 maka, satu proses panjang perlu dilakukan termasuk proses kejuruteraan semula.

Foto ihsan Toyota

GR86 merupakan sebuah model coupe dengan enjin 2,398cc yang menghasilkan lebih 232 kuasa kuda.

Harga sebuah GR86 di Malaysia adalah sekitar RM280,000 bagi model tahun 2018 dan ke atas.

Sementara itu di Eropah, tempahan bagi model GR86 hanya dibuka menjelang musim bunga dan penghantaran kepada pelanggan bermula dalam separuh penggal pertama 2022.

Foto ihsan Toyota

Peugeot hasilkan kenderaan EV sepenuhnya di Eropah menjelang 2030

SYARIKAT automotif dari Perancis, Peugeot mengumumkan hanya akan mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) bermula tahun 2030 di Eropah.

Ini bermakna, Peugeot tidak lagi akan memasarkan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) di Eropah menjelang tahun 2030 nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Peugeot Linda Jackson berkata, pihaknya bagaimanapun akan masih mengeluarkan kenderaan berenjin ICE di pasaran lain.

“Kami akan beralih kepada platform baharu  Small, Medium dan Large pada tahun 2030 nanti.

“Bagaimanapun, model kenderaan berenjin pembakaran dalaman akan diteruskan untuk pelanggan di pasaran lain,” katanya.

Memetik laporan Automotive News Europe, langkah diambil Peugeot itu mempunyai kaitan dengan peraturan baharu ditetapkan Kesatuan Eropah (EU).

Sebelum ini, EU mencadangkan agar kenderaan baharu yang dijual di Eropah perlu sifar emisi menjelang tahun 2035.

Susulan itu, banyak pengeluar kenderaan lain telah merubah pelan perniagaan mereka dengan memberi fokus kepada pengeluaran kenderaan EV.