Tag Archives: EURO NCAP

SUV elektrik Leapmotor C10 raih skor lima bintang Euro NCAP

SUV elektrik segmen D Leapmotor C10 dianugerahkan skor lima bintang dalam program ujian penilaian kenderaan baharu Eropah (Euro NCAP), baru-baru ini.

Dalam ujian tersebut, Leapmotor C10 memperoleh skor 89 peratus untuk aspek perlindungan dewasa, 85 peratus untuk perlindungan penumpang kanak-kanak, 77 peratus untuk aspek perlindungan pengguna jalan raya dan 76 peratus untuk bantuan pemanduan.

SUV elektrik tersebut menampilkan struktur binaan badan berkekuatan tinggi yang direka untuk menyerap dan menyebarkan tenaga dengan berkesan dalam insiden pelanggaran.

Leapmotor C10 masuk pasaran Malaysia – 214 hp, jarak 424 km, harga dari RM149,000

Selain itu, Leapmotor C10 didatangkan standard dengan 17 fungsi bantuan pemandu termaju (ADAS) termasuklah brek kecemasan automatik, bantuan pengekalan orong, pengesanan titik buta dan kawalan jelajah adaptif.

Untuk pasaran Malaysia, Leapmotor C10 ditawarkan dalam varian tunggal yang dikuasakan motor elektrik tunggal 214 hp/320 Nm, dengan pek bateri LFP 69.9 kWh yang mampu menawarkan jarak gerak sejauh 424 km.

SUV elektrik segmen D ini dijual pada harga RM159,000.

Laporan pandu uji pertama Leapmotor C10 boleh dibaca menerusi pautan di bawah:

Leapmotor C10, ada ruang untuk segalanya – Pandu uji ringkas

 

BYD Seal, Dolphin terima 5 bintang dari Euro NCAP

BUKAN satu, tetapi dua kenderaan elektrik (EV) keluaran BYD iaitu Seal dan Dolphin telah meraih pengiktirafan lima bintang dari program penilaian keselamatan EURO NCAP.

Menurut BYD, kunci utama pencapaian tersebut adalah kualiti binaan dan teknologi mereka termasuk e-Platform 3.0 dan bateri Blade. Platform berkenaan menampilkan struktur ‘multi-load path’ yang berfungsi untuk mengawal bagaimana tenaga diserap oleh kereta jika berlaku perlanggaran, seterusnya mengurangkan impak di dalam kabin.

Terima kasih kepada teknologi Cell-to-Body (CTB), Seal mempunyai ketegaran kilasan 40,500 Nm/darjah, membolehkan ia mencapai markah 89% untuk perlindungan penumpang dewasa.

Bukan itu sahaja, ruang penumpang juga kekal stabil dalam ujian offset hadapan, selain menawarkan perlindungan daripada kecederaan whiplash. Sistem eCall yang berfungsi untuk mengenakan brek selepas impak bagi mengelakkan perlanggaran kedua juga memainkan peranan.

Dalam ujian perlindungan kanak-kanak, Seal mencapai markah 87% dengan meminimumkan impak kepada bahagian-bahagian kritikal dalam ujian penghadang hadapan dan sisi.

Pengguna jalan raya seperti pejalan kaki dan penunggang basikal pula dilindungi dengan adanya sistem Autonomous Emergency Braking (AEB). Euro NCAP turut memuji sistem amaran yang berbunyi sekiranya pintu dibuka semasa penunggang basikal mendekati dari belakang.

Sementara itu, Dolphin mendapat markah 89% dalam ujian perlindungan penumpang dewasa dan 87% dalam ujian perlindungan penumpang kanak-kanak. Seperti Seal, ruang penumpang Dolphin kekal stabil dalam ujian offset hadapan, menawarkan perlindungan daripada whiplash.

Bukan itu sahaja, sistem bantuan keselamatan Dolphin yang merangkumi ciri-ciri seperti Intelligent Speed Limit Assist dan Lane Keeping Assist menerima 79% markah. Sistem AEB pula menyumbang kepada markah perlindungan pengguna jalan raya sebanyak 85%.