Tag Archives: EV Connection

Mercedes-Benz Malaysia perluas jaringan pengecasan EV di hotel, padang golf, tempat peranginan

Mercedes-Benz Malaysia mengumumkan kerjasama strategik dengan hotel-hotel berprestij serta pengendali padang golf dan tempat peranginan dalam usaha untuk meluaskan lagi jaringan pengecasan EV di seluruh negara.

Berikut merupakan senarai hotel dan padang golf yang terlibat untuk permulaan:
• Hotel Rasa Sayang oleh Shangri-La (Pulau Pinang)
• Hotel Marriott (Pulau Pinang)
• The RuMa Hotel & Residence (Kuala Lumpur)
• Saujana Golf & Country Club (Kuala Lumpur)
• Anantara Desaru Coast Resort & Villas (Johor)

Para pelanggan Mercedes-Benz kini boleh menikmati pelbagai kelebihan tambahan di lokasi yang disebutkan itu tadi dengan hanya menunjukkan kad atau aplikasi Mercedes-Benz semasa membuat pendaftaran masuk.

Menurut Amanda Zhang, CEO & Presiden Mercedes-Benz Malaysia berkata, “Mercedes-Benz sentiasa berada di hadapan memacu masa depan mobiliti dan kemewahan menerusi kerjasama yang sinergi dan bermakna.

“Dengan mengintegrasikan mobiliti elektrik ke dalam pengalaman gaya hidup mewah, kami mentakrifkan semula erti menjadi pelanggan Mercedes-Benz.

Ujarnya lagi, strategi jangka panjang ini bukan sahaja untuk menjadikan pemilikan kenderaan elektrik yang lebih mudah diakses, tetapi juga untuk meningkatkan setiap titik sentuhan dalam perjalanan pelanggan menerusi penyelesaian yang disesuaikan dan kerjasama bermakna yang menggambarkan komitmen terhadap inovasi dan kelestarian.

Pendekatan tiga cabang yang digunakan oleh Mercedes-Benz dalam usaha untuk mengukuhkan lagi infrastruktur pengecasan EV adalah seperti berikut:
• Charge@Home – pemasangan pengecas dinding di rumah
• Charge@Retail – menyediakan outlet pengecasan EV di pusat pameran/servis Mercedes-Benz
• Charge@Public – fasiliti pengecasan di hotel, kawasan peranginan dan padang golf

Rakan CPO (pengendali titik pengecasan) Mercedes-Benz pada ketika ini ialah EV Connection, ChargEV dan juga Gentari.

EVC, Gentari jadi CPO pertama terima lesen pemasangan pengecas EV di Sabah

EV Connection (EVC), pengendali rangkaian pengecasan JomCharge, dan Gentari menjadi pihak pertama menerima lesen untuk pemasangan sistem pengecas EV awam di Sabah dari Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

Lesen ECoS adalah setara dengan lesen yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) di Semenanjung Malaysia dan adalah penting dalam memastikan pemasangan selamat yang mematuhi piawaian keselamatan untuk melindungi penggunaan awam.

EVC dan Gentari juga merupakan pengendali poin pengecas pertama di Semenanjung Malaysia yang dilesenkan oleh ST.

ECoS ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Sabah sejak 10 Januari 2023. Ia beroperasi sebagai pengawal selia rasmi bagi sektor tenaga dalam portfolio Ketua Menteri.

Matlamat utama ECoS adalah untuk memastikan tenaga yang selamat, mampan, mampu milik dan boleh diakses untuk negeri Sabah.

It memainkan peranan penting dalam membentuk landskap tenaga Sabah, mempromosikan amalan tenaga yang bertanggungjawab, dan menjaga kepentingan kedua-dua pengguna dan alam sekitar.

Sebelum majlis penyerahan lesen, ECoS telah menganjurkan sesi taklimat yang dihadiri oleh wakil daripada Bomba, pihak berkuasa tempatan, kontraktor pemasangan dan pengendali titik pengecasan EV (CPO).

“Gentari komited terhadap menyokong peralihan mobiliti hijau di seluruh Malaysia. Menjadi CPO pertama yang dilesenkan di Sabah dengan kerjasama EVC menggariskan fokus Gentari terhadap keselamatan, kebolehpercayaan dan tumpuan pelanggan dalam operasi kami,” kata Ketua Pegawai Operasi Gentari, Haikal Zubir.

“Kami amat berbesar hati untuk menjadi antara CPO yang pertama bersama Gentari untuk menerima lesen daripada ECoS. Keselamatan awam semasa mengecas sentiasa amat penting kepada kami dan kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan ECoS dalam memastikan perkara ini,” kata Pengarah Urusan EVC, Ir Lee Yuen How.

Dengan bilangan EV yang terus berkembang di Sabah, EVC dan Gentari komited untuk menyokong infrastruktur pengecasan EV Sabah yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan tersebut.

Ini selaras dengan agenda tenaga lestari sebagai inisiatif strategik yang dinyatakan dalam Pelan Hala Tuju & Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 dan juga selaras dengan sasaran kerajaan persekutuan untuk mencapai 10,000 pengecas awam menjelang 2025.

Gentari lancar pengecas 350 kW pertama di Asia Tenggara – RM1.20/kWj

Gentari Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Petronas telah melancarkan pengecas DC 350kW pertama di Asia Tenggara untuk kenderaan elektrik (EV) di X Park Sunway Serene yang terletak di Zon Perindustrian Dagangan Bebas Sungai Way, Selangor.

Dilancarkan dengen kerjasama EV Connection Sdn Bhd (EVC), pengecas berkenaan merupakan sebahagian daripada hab pengecasan EV yang terdiri daripada satu pengecas DC 350 kW, dua pengecas pantas DC 180 kW dan lima pengecas AC (dua 22 kW dan tiga 7 kW).

Untuk makluman, pengecas DC 350 kW tersebut disambungkan dengan dua stesen individu, masing-masing menawarkan kapasiti pengecasan sehingga 175 kW.

Apa yang menarik, hab pengecasan EV di X Park itu turut menjadi yang pertama di Malaysia yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Tenaga (EC). Ini secara tidak langsung memberi jaminan dari segi keselamatan struktur dan operasi kemudahan itu.

Selain itu, satu lagi hab pengecasan milik Gentari dan EVC yang sedang dibina di Bangi Golf Resort juga mendapat lesen daripada EC.

Ketua Pegawai Mobiliti Hijau Gentari, Shah Yang Razali berkata, “Hab pengecasan berkelajuan tinggi baharu milik Gentari di X Park Sunway Serene dijangka akan memberikan sumbangan besar ke arah menyokong ekosistem EV yang berdaya maju dengan meningkatkan lagi tahap keyakinan jarak pemanduan di kalangan pengguna EV dengan memberi tumpuan kepada pengalaman pengecasan di kawasan bandar.”

Pengarah Urusan EVC, Lee Yuen How menambah, “Kami berharap penyediaan pelbagai infrastruktur pengecasan pantas yang mampu milik dan mudah untuk diakses di X Park, Resort Golf Bangi dan hab-hab berlesen lain di seluruh negara pada masa hadapan dapat meningkatkan lagi kadar penggunaan EV di kalangan rakyat Malaysia.”

Apa yang menarik, hab pengecasan di X Park ini tidak mengenakan bayaran berasaskan masa, sebaliknya berapa banyak tenaga (kilowatt jam) yang digunakan. Berikut adalah senarai harga yang akan berkuat kuasa mulai 1 Disember 2022:

GoCar, EV Connection bekerjasama untuk luaskan jaringan stesen pengecasan di Malaysia

GOCAR Malaysia dan syarikat penyedia perkhidmatan pengecasan EV bersepadu iaitu EV Connection telah menjalin kerjasama untuk mengembangkan akses terhadap stesen pengecas EV di negara ini.

Kerjasama itu akan membolehkan aplikasi mudah alih GoCar dan platform JomCharge milik EV Connection diintegrasikan, sekali gus meningkatkan akses ke atas lebih banyak stesen pengecasan EV serta pengecas pantas DC buat pengguna GoCar dan orang awam.

Selepas integrasi fasa pertama yang dijangka dapat disempurnakan menjelang suku ketiga tahun 2022, pengguna GoCar dan orang ramai boleh melihat lokasi-lokasi pengecasan, kebolehdapatan pengecas dan jenis pengecas yang ada dalam rangkaian EV Connection menerusi aplikasi GoCar.

Perancangan masa depan termasuklah meningkatkan perkhidmatan seperti keupayaan pra-tempahan pengecas EV, menyusun semula waktu pengecasan, membuat pembayaran dan mengetahui perkembangan terkini pengecasan kenderaan melalui aplikasi GoCar.

EV Connection kini mempunyai salah satu jaringan pengecas DC terbesar di Malaysia yang terletak sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan. Syarikat mensasarkan untuk mengembangkannya kepada 100 stesen pengecasan menjelang akhir tahun 2022. Pengecas DC ini bersifat universal dan boleh digunakan oleh semua jenama serta model EV.

“Menerusi integrasi ini, kami percaya bahawa pengguna akan boleh merancang perjalanan dengan lebih baik dan mempunyai kemas kini pada masa sebenar mengenai lokasi pengecas EV ketika memandu. Semua ini pasti dapat mengurangkan kebimbangan, meningkatkan keselesaan dan kemudahan buat pelanggan GoCar dan pengguna EV yang lain,” kata Ketua Pegawai Eksekutif GoCar Malaysia, Wong Hoe Mun.

GoCar kini memberi fokus untuk mengembangkan akses ke atas EV melalui perkongsian, langganan dan pengecasan kereta elektrik. Baru-baru ini, syarikat telah menambah Hyundai Kona ke dalam rangkaian GoEV dan berhasrat untuk meningkatkan jumlahnya kepada 100 unit EV menjelang akhir tahun ini.

Sejak pelancaran GoEV pada Disember 2021, lebih 1,000 pengguna EV telah mencatat perjalanan lebih 500,000km. Bagi lebih 90 peratus pengguna, ia merupakan kali pertama mereka merasai pengalaman memandu sebuah EV.

EV Connection ialah satu-satunya penyedia perkhidmatan EV yang memiliki portfolio dari segi perkakasan, pemasangan, operasi, penyelenggaraan, perkhidmatan awan dan sokongan kereta elektrik yang bersepadu.

Syarikat itu merupakan pengedar sah untuk ABB dan Hager, serta berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, Tenaga National Berhad dan MyHijau. Ia juga pemasang pengecas EV yang diiktiraf TÜV SÜD.

GoCar dan EV Connection turut merancang untuk meneroka peluang-peluang lain seperti kitar semula bateri EV, penyelesaian pengecas EV, perkongsian data dan banyak lagi.